Sunday, January 12, 2014

ADA MELAYU (ISLAM) YANG AMAT MUDAH DIPERALATKAN

Aku ketawa besar apabila membaca kenyataan YB Ustaz Mujahid Yusof Rawa dalam artikel berjodol,’ Holy water won’t turn Muslim into Christians’ (Malaysiakini 11 Januari 2014). Aku ketawa disebabkan bahawa ‘hujah’ ini telah digunapakai oleh para ‘ulama’ semenjak aku kecil-kecil lagi. Maknanya hujah ini sudah wujud di alam Melayu ini sekurang-kurangnya lima puluh tahun yang lampau. Mungkin lebih lama agaknya.

Dalam zaman penjajahan, anak-anak yang menuntut di sekolah Inggeris terutamanya sentiasa diberikan ‘tunjuk ajar’ oleh para ‘ulama’ kampung bahawa kami perlu sentiasa berwaspada kerana sememangnya tujuan padri Kristian untuk memerangkap kami supaya memeluk agama Kritian. Itu tuduhan mereka. Dan salah satu cara yang  digunakan ialah dengan memberikan minuman ‘holy water’ yang sekali gus akan menukarkan agama kita kepada Kristian. Hanya dengan segelas air minuman!.....

Itulah ‘ayat-ayat suci’ yang dipantakkan ke telinga kami pada ketika itu oleh ‘ulama’ kampung kami. Ada yang yakin tetapi ramai yang tidak. Namun untuk menyatakan ‘tidak yakin’ dengan ‘fatwa’ berkenaan tentulah tidak berani dilakukan, kerana para ‘ulama’ ketika itu sudah mengeluarkan satu ‘fatwa’ bahawa ‘ tuan guru jangan disoal…..BERDOSA!...” Oleh yang demikian tidak ada diantara kami yang berani menyuarakan pendapat dan menentang. Dan kesannya tidak seorang pun antara kami yang menuntut di sekolah Inggeris yang memeluk agama Keristian. Mungkin juga disebabkan kami tidak minum ‘holy water’ agaknya!!.......

YB Mujahid juga ada menyatakan,” "There is no such thing as going to Church and suddenly becoming a Christian. That is rubbish”yang aku petik dari Malaysiakini bertarikh 11 Januari 2014. Itu merupakan kenyataan-kenyataan yang selalu disuarakan oleh para ‘ulama’ kampung kepada pendengarnya. Dan para pendengarnya pasti menganggukkan kepala. Setuju. Melihatkan keadaan sebegini yang menyebabkan aku begitu sedih kerana seolah-olah masyarakat Melayu itu tidak ubah seperti zaman Pak Pandir. Aku tak hairan sekiranya ‘fatwa’ sebegini disuarakan pada zaman-zaman awal Kurun ke 20. Sememangnya orang Melayu pada ketika itu dalam keadaan yang amat daif dan ‘ignorant’ (aku terpaksa gunakan bahasa Inggeris untuk ‘melapik’ perkataan yang digunakan).Tetapi yang aku hairan ialah bahawa masih ada lagi orang Melayu (Islam) yang masih berkeadaan sedemikian walaupun sudah berada pada awal Kurun ke 21.

Aku teringat satu peristiwa pada tahun 1997 di mana DS Mustafa Mohamed ( ketika itu sebagai Menteri Perusahaan Awam, jikalau tak silap aku) bersama-sama dengan beberapa orang pelajar di Kent, England telah menunaikan solat Maghrib di sebuah bilik di gerjeja di situ. Aku masih teringat. Kami tutup ‘salib’ dengan kain buat sementara kami menunaikan solat Maghrib. Dan sehingga kini kami semua masih merupakan penganut Islam yang kuat dan kukuh.

Tahun 1996, pelajar-pelajar di Birmingham England telah mengadakan solat jenazah disebuah bilik di sebuah gereja di Birmingham yang diimamkan oleh Dr. Badrul Amin, memandangkan tidak ada tempat lain yang lebih sesuai untuk mengadakan solat jenazah berkenaan. Aku ada bersama-sama pelajar berkenaan yang mengadakan solat jenazah untuk yang meninggal akibat serangan ‘Meningjitis’.

Aku mengemukakan kisah-kisah berkenaan semata-mata bertujuan untuk mengingatkan diri kita bahawa agama Islam bukan sahaja dimiliki oleh orang Melayu (sebagaimana yang difahami oleh masyarakat Melayu pada awal Kurun ke 20 dulu agaknya). Dan perlu juga disedari bahawa bilangan umat Islam di China jauh lebih besar dari bilangan umat Islam (Melayu) di Malaysia. Dengan demikian tentulah kita tidak harus menuduh yang setiap orang Cina itu kafir dan setiap Arab yang datang ke Malaysia itu sebagai Islam tulin. Jangan…….

Dek kerana kesempitan cara berfikir setengah orang Melayu (Islam) itulah yang menyebabkan ada dikalangan mereka yang mudah diperalatkan oleh golongan yang menamakan diri mereka ‘ulama’. Apabila pengetahuan mengenai agama itu cetek, maka apa saja yang diperkatakan oleh para ‘ulama’ akan diikuti  sepenuhnya. Tambahan pula apabila ada diantara kita yang berkeadaan dalam kesesakan kewangan, maka apa saja yang dikatakan oleh para ‘ulama’ akan kita patuhi sepenuhnya walaupun tindakan kita itu menampakan keodohan yang amat ketara. Aku teringat ungkapan yang mengatakan bahawa ‘ si tidur makanan sijaga’ dan ‘ si bodoh makanan si cerdik’

Tidak berapa lama dulu terdapat ‘ulama’ yang menggunakan ‘fear paradigm’ menakut-nakutkan rakyat Malaysia yang beragama Islam bahawa sudah terdapat ribuan umat Islam yang telah memeluk agama Kristian, terutamanya anak-anak muda yang amat mudah terpengaruh. Kenyataan sedemikian disampaikannya kepada para hdirin yang hadir mendengar ceramah beliau di sebuah masjid. Maknanya saranannya itu ditujukan kepada hadirin yang sudah dengan rela hati datang ke masjid dan merupakan golongan yang taat kepada agama.

Aku menyoal diri aku. Bukankah tugas golongan agama, JAKIM, Jabatan Agama Islam Negeri untuk memperbetulkan keadaan ini. Bukankah itu tugas Menteri diJabatan Perdana Menteri yang dipertanggungjawabkan tentang hal agama. Seolah-olah golongan ‘ulama’ ini mahu menyalahkan orang lain dan masyarakat umum yang menyebabkan keadaan terjadi sedemikian rupa. Seolah-olah golongan ‘ulama’ ini mahu lepas tangan dan menuding jari ke arah orang lain. Dan tidak pula aku nampak tindakan drastik dari JAKIM ke arah memerangi gejala ini. Mungkin aku yang tak sedar agaknya……

Aku fikir sudah sampai masanya golongan ‘ulama’ sebegini bertindak sebagaimana yang dilakukan oleh pendakwah-pendakwah yang sanggup turun ‘bergelumang’ dengan anak-anak muda yang dikatakan sebagai ‘terpesong’ itu. Golongan ulama sebegini seharusnya bukan lagi semata-mata menyampaikan ceramahnya di masjid-masjid dan surau tetapi harus ‘terjun’ di tempat-tempat yang memerlukan pendakwahan.

Dan yang penting juga, janganlah para ‘ulama’ hanya memilih masjid atau surau yang banyak terkumpulnya ahli korporat untuk menyampaikan ceramah agama mereka. Pilih jugalah kawasan kampung yang daif ataupun kawasan perumahan flat yang dihuni golongan yang berpendapatan rendah.

abuhassanadam
12 Januari 2014


No comments:

Post a Comment