GOLONGAN PENYEMAI
BENIH PERKAUMAN MESTI DIKUTUK
Di Malaysia, dalam kurun ke 21 masih ada lagi
rakyat Malaysia yang berfikiran sempit dan berunsur perkauman. Tiap-tiap kaum
menampakkan wujudnya pemikiran sedemikian. Samada Melayu ke, Cina ke atau India
ke ternampak wujudnya perasaan dan pemikiran sedemikian. Dan jurang pemisahan
antara kaum ini semacam menampakkan mula meluas. Itu pemerhatian rambang. Tidak
ada statistik untuk membuktikan andaian aku ini.
Aku sentiasa menyalahkan sistem pendidikan negara
yang menyebabkan keadaan terjadi sedemikian. Itu dulu. Aku merasakan bahwa
sekiranya unsur perpaduan itu tidak diterap dengan betul, maka kesalahan patut
diletakkan dibahu para pendidik di negara ini kerana merekalah yang
bertanggungjawab memberikan didikan sempurna kepada anak-anak kita yang bukan
sahaja menyampaikan pelajaran untuk lulus peperiksaan tetapi juga untuk
membentuk perangai dan syahsiah yang sempurna.
Tentulah ibu bapa juga yang patut dipersalahkan
sekiranya wujud keadaan perpaduan kaum yang tidak sempurna di negara ini.
Walaupun peranan pendidik itu penting namun sekiranya ibu bapa bersikap
bertentangan dengan apa yang diasuh oleh guru maka tentulah akan menelurkan
manusia yang dibentuk mengikut acuan pemikiran ibu bapa nya.
Kini aku merasakan bahawa kedua-dua faktor di
atas ( pendidik dan ibu bapa) telah ‘ditewaskan’ oleh faktor politik. Maksud
aku dalam bahasa yang senang difahami bahawa tindakan setengah parti politik
atau ‘orang politik’ telah banyak mempengaruhi tindak tanduk masyarakat di
negara ini. Seolah-olah pendidik dan ibu bapa sedang ‘bertarung’ dengan
golongan politik dalam usaha untuk mempengaruhi anak-anak muda ke jalan
perpaduan kaum yang sebenar-benarnya di Malaysia.
Maksud aku apa yang dipelajari oleh anak-anak di
sekolah dan apa juga pengajaran yang disampaikan oleh guru amat bertentangan
dengan apa yang dilihat dan diperhatikan oleh mereka diluar. Dalam hal
perpaduan kaum misalnya, aku amat yakin bahawa tidak akan ada para guru yang
menyemaikan perasaan perkauman, benci membenci antara satu kaum dengan kaum
lain disekolah. Namun apabila dilihat oleh mereka gelagat setengah orang
poiltik diluar yang jelas-jelas bersifat perkauman, maka pastinya anak-anak
akan keliru melihatkan keadaan sedemikian.
Dalam isu kangkung yang sedang hangat
diperkatakan kini adalah merupakan isu yang agak kecil dan remeh sekiranya
peristiwa begiini berlaku di negara-negara maju seperti Amerika Syarikat dan
Great Britain yang betul-betul mengamalkan kebebsan bersuara tulin.
Pemimpin-pemimpin di negara-negara berkenaan lebih terusk lagi dikertitik oleh
rakyatnya berbanding dengan apa yang berlaku kepada Perdana Menteri kita.
Dalam ‘talk Show’ yang dikendalikan oleh TV di
sana, berbagai gelaran diberikan kepada Presiden Amerika dan berbagai kutukan
dilemparkan kepadanya, namun tidak pula ada tindakan balas seperti yang berlaku
di negara kita Malaysia. Di England misalnya pernah juga Queen sendiri
dipersendakan oleh rakyatnya. Dan tidak pula ada tindakan dikenakan kepada pihak
yang melemparkan kutukan berkenaan.
Mengapa keadaan sebegitu berlaku di Malaysia?
Nampaknya DS Najib faham dan tidak mengambil tindakan balas sepertimana yang
dilakukan oleh ‘pejuang-pejuang’ UMNO yang merupakan ‘lebih sudu daripada
kuah’. Nampaknya DS Mohd Najib telah mengambil sikap yang agak ‘cool’ dan
terpuji menangani isu sebegitu.
Namun yang menghairankan ialah segelintir para
‘pejuang’ UMNO yang sudah bertindak agak diluar batasan. Telah menggunakan isu
kangkung ini untuk menelurkan isu perkauman. Ini yang aku katakan bahawa ramai
rakyat Malaysia, khususnya anak-anak (yang tidak bersalah) kurang faham
melihatkan senario yang sebegini. Apakah ada hubungannya antara isu kangkung
dengan isu perkauman?. Apakah golongan yang ‘lebih sudu daripada kuah’ ini
merasakan bahawa Perdana Menteri Malaysia tidak boleh langsung dikritk. Apakah
begitu sokongan ‘membabi buta’ mereka kepada pemimpin sehinggakan sudah tidak
dapat membezakan antara satu isu dengan isu lain. Atau apakah sudah hilang
pertimbangan mereka sehinggakan setiap isu yang dibangkitkan mesti dikaitkan
dengan isu perkauman. Atau apakah golongan sebegini sudah kehilangan punca
untuk mencari ‘sesuap nasi dan sesuap petang’ selain dari kerelaan diri
diperalatkan oleh golongan tertentu. Apakah begitu pegangan hidup mereka?
Mungkin golongan sebegini bukan sahaja ‘buta
perut’ tetapi juga ‘buta hati’ dan tidak langsung bertanggungjawab terhadap
masyarakat di Malaysia khususnya anak-anak. Tindakan mereka itu diperhatkan
bukan sahaja oleh rakyat Malaysia yang merasakan bahawa itu merupakan tindakan
yang amat tidak cerdik, tetapi juga oleh anak-anak yang pasti ‘keliru’ dengan
keadaan sedemikian.
Pastinya golongan yang memainkan isu perkauman
ini merasakan dirinya ‘hebat’ tetapi mereka lupa bahawa mereka sebenarnya telah
menyemaikan benih perkauman dikalangan anak-anak yang memerhatikan gelagat dan
tindakan mereka.
Ini yang aku katakan bahawa para pendidik dan ibu
bapa di rumah telah ‘tewas’ mendidik anak-anak kejalan perpaduan sebenar
disebabkan oleh adanya anasair-anasir yang sentiasa menyemaikan benih-benih
perkauman dikalangan rakyat Malaysia.
abuhassanadam
19 Januari 2014.
No comments:
Post a Comment