Tuesday, January 21, 2014

13 MEI TAK AKAN BERLAKU LAGI, PERCAYALAH......

Sayup-sayup kedengaran suara sumbang yang ‘meramalkan’ akan berlaku semula peristiwa 13 Mei 1969 sekiranya isu kangkung tidak ditangani dengan berkesan. Dan yang ‘melaung-laungkan’ dan yang ‘terpekik terlolong’ meramalkan tentang kemungkinan berulangnya peristiwa pahit berkenaan ialah para ‘pemimpin’ (yang melantik dan menggelar dirinya sebagai pemimpin Melayu ) yang bagi aku amat tidak bertanggungjawab. Dan pastinya amat tidak layak digelar sebagai pemimpin yang kelihatan ‘kerja’nya hanya melaga-lagakan anggota masyarakat yang sudah sedia berpadu.

Alasan yang digunakan untuk mewajarkan akan berlaku semula peristiwa pahit 13 Mei ialah ‘isu kangkung’. Betapa cetek dan rendahnya cara berfikir seorang ‘pemimpin’ demikian, kecualilah ada agenda tersembunyi yang mewajarkan mengemukakan hujah sedemikian ataupun mungkin juga disebabkan oleh terbukanya peluang ‘cari makan’ yang lumayan bagi golongan begini.

Kita tidak harus meletakkan diri kita sertaraf masyarakat yang tinggal di dunia ketiga sedangkan kita telah pun mendabik dada dan telah ‘ke hulu dan ke hilir’ mengatakan bahawa Malaysia sudah tergolong dalam negara maju. Apakah begitu pemikiran masyarakat dari negara maju yang sentiasa memikirkan perkara remeh untuk dijadikan isu besar. Tentu tidak jawabnya.

Perdana Menteri kita faham tentang perkara ini kerana beliau juga dididik dan didewasakan oleh masyarakat dunia maju. Lantas beliau amat ‘cool’ menangai isu kangkung sedangkan yang hebuh dan riuh rendah adalah golongan yang dilihat seperti melebihi ‘sudu dari kuah’. Bagi aku tindakan ‘pemimpin’ yang sebegini amat tidak bertanggungjawab apabila sanggup mengaitkan isu kangkung dengan isu perkauman.

Mungkin golongan yang sentiasa bercakap mengenai peristiwa 13 Mei 1969 tidak tahu dan mengerti apa sebenarnya peristiwa pahit itu. Mungkin mereka juga belum lahir ketika peristiwa berkenaan berlaku. Dan apatah lagi bahawa mereka tidak dapat merasakan kesan-kesan buruk ekoran daripada peristiwa itu. Dan aku yakin bahawa peristiwa pahit itu tidak akan berlaku di Malaysia lagi memandangkan kesedaran yang begitu tinggi dalam masyarakat Malaysia yang sedar bahawa harga perpaduan kaum itu amatlah tinggi. Mungkin yang kurang sedar dan peka dengan hakikat ini adalah golongan yang sentiasa menyebut-nyebut dan mengapi-apikan peristiwa 13 Mei itu.

Sebagai rakyat Malaysia aku merasa bertuah kerana kesan daripada peristiwa 1969 itu dapat dipulihkan dengan agak segera. Demi kepentingan perpaduan dan semangat saling hormat-menghormati antara kaum di Malaysia, seolah-olah kaum-kaum di Malaysia dapat melupakan peristiwa itu. Sememangnya seolah-olah rakyat Malaysia boleh melupakan demi kepentingan dan kemajuan negara.

Tetapi mengapa ‘pemimpin-pemimpin” yang tidak bertanggungjawab ini sentiasa menyebut-nyebut dan melaungkan tentang persitiwa pahit ini. Apakah mereka merasakan bahawa tindakan mereka itu merupakan satu ‘’kebanggan’ bagi mereka yang sentiasa melaungkannya. Aku tidak faham.

Yang aku dapat perhatikan sebagai suatu perkembangan yang menarik ialah sikap yang ditunjukkan oleh anak-anak muda generasi kini yang amat sedar tentang pentingnya perpaduan kaum di negara ini berbeza sekali dengan tindakan anak muda yang semacam terkeluar dari ‘peradaban manusia moden’ yang sentiasa terpekik terlolong melaungkan sesuatu yang kadang-kadang kelihatan terkeluar dari batasan peradaban manusia.

Aku amat bangga apabila melihat sikap anak-anak muda Melayu, Cina dan India yang seolah-olah mereka telah melupakan bahawa mereka sebenarnya dari keturunan yang berlainan tetapi terus menghayati konsep bangsa Malaysia dengan begitu berkesan sekali. Golongan sebeginilah yang merwarnai bangsa Malaysia kini dan bukannya golongan yang ‘kurang beradab’ yang sentiasa ‘mendewakan’ peristiwa 13 Mei itu.

Mungkin golongan yang kurang beradab itu lupa bahawa mereka sedang berada dalam Kurun ke 21 dan bukannya wujud dalam Kurun ke 20. Sikap setengah mereka tidak ubah seperti ‘tentera upahan’ pembesar tempatan seperti yang digambarkan dalam filem-filem Melayu lama arahan P.Ramlee. Mereka masih mengagung dan mendewakan kekuatan fizikal sedangkan anak muda Kurun ke 21 mempamerkan kekuatan mental. Mungkin agaknya disebebkan kelemahan pemikiran (mental) telah menyebabkan mereka bertindak untuk menunjukkan kekuatan fizikal ( yang bukan merupakan trend dalam masyarakat Kurun ke 21 dan pemakaian masyarakat moden).

Oleh kerana masyarakat kini ( terutama anak mudanya) sudah boleh berfikir dengan waras bersesuaian dengan pemikiran masyarakat yang hdiup dalam zaman global, maka ‘laungan-laungan’ yang tidak bertanggungjawab seperti ‘ramalan’ berlakunya 13 Mei akan dipandang sepi oleh golongan ini. Dan berkemungkinan ditertawakan memandangkan zaman konflik sedemikian rupa sudah berlalu dan hanya dijadikan ‘sempadan’ dalam menegakkan satu bangsa Malaysa yang maju dan berjaya.

Aku yakin bahawa ‘laungan’ sedemikian hanya seperti salakan anjing menyalak bukit…….

abuhassanadam

21 Januari 2014

No comments:

Post a Comment