Wednesday, January 8, 2014

SOO HA , MOH KOH ,  NYONYA PANJANG

Ketiga-tiga orang ‘tokoh’ di atas adalah kawan baik arwah emak aku. Boleh dikatakan antara mereka adalah semacam hubungan keluarga. Rapat betul. Cuma yang membezakan mereka adalah amalan-amalan keagamaan sahaja dan jenis makanan. Selain daripada itu mereka boleh bercampur gaul dalam keadaan yang luar biasa. Tambahan pula ketiga-tiga mereka itu ( dan ahli keluargaa mereka juga ) boleh berbahasa Melayu. Menggunakan loghat Perak ler….

Ini cerita betul. Cerita perpaduan tulin antara Melayu dan Cina. Bukan dibuat-buat. Bukan cerita yang direka-reka untuk ‘menyedapkan’ supaya cerita sedap didengar. Tidak juga kisah yang dibuat-buat oleh orang politik supaya dapat menggambarkan tentang perpaduan yang begitu erat di negara ini sedangkan realitinya tidak seakrab sebagaimana yang digambarkan.

Mengikut cerita emak, Keluarga Soo Ha, Moh Koh dan Nyonya Panjang pernah tinggal di kampung kami pada tahun-tahun 1930an dan 1940an. Mereka dapat menyesuaikan diri dengan orang kampung terutama dengan keluarga Atuk aku yang membenarkan mereka tinggal di tanahnya (tanpa sewa) dan membenarkan juga mereka menjalankan perusahaan bercucuk tanam di tanah berkenaan ( tanpa sewa juga mungkin).

Dari situlah terjalinnya hubungan baik antara mereka ( antara emak dengan Soo Ha, Moh Koh dan Nyonya Panjang). Ketika itu mereka masih kecil lagi dan sentiasa bermain bersama-sama. Dan melalui emak aku jugalah mereka pandai berbahasa Melayu. Loghat Perak.Cerita perpaduan dan muhibbah sebegini yang bukan di buat-buat tetapi perpaduan tulin yang lahir dari hati yang tulus ikhlas. Semangat perpaduan yang lahir bukan digalakkan oleh pihak kerajaan tetapi didorong oleh semangat ingin berbaik-baik dan ‘sedar diri’ pendudk Cina yang tinggal di pekan Padang Rengas. Wujudnya semangat ‘sedar diri’ ini adalah ekoran daripada kesedaran yang merasakan diri mereka ( orang Cina) itu sebagai orang yang menumpang ( pada ketika itu ).

Latarbelakang kisah Soo Ha, Moh Koh dan Nyonya Panjang hanya diceritakan kepada aku oleh emak. Semasa hayatnya sentiasa dia bercerita tentang ‘kawan baik’nya ini. Aku dapat lihat dengan mata keala aku keakraban mereka ia itu apabila Atuk aku masih mengupah Soo Ha untuk membina rumahnya ( masih ada lagi rumah lama ini ) pada awal tahun 60an. Ketika itu aku masih kecil tetapi sudah boleh memamahi keadaan yan berlaku. Dapat melihat keakraban dan kemesraan antara keluarga aku dengan keluarga Soo Ha.

Ketika itu Soo Ha, Moh Koh, Nyonya anjang tidak lagi tinggal di kampung kami. Mereka diarah berpindah dan ditempatkan di  New Village di Pekan Padang Rengas, sebuah kawasan penempatan orang Cina. Rancangan Penempatan Briggs ( Briggs Plan) telah diperkenalkan oleh Sir Harold Briggs pada tahun 1950 sebagai langkah untuk menyekat kegiatan pengganas Komunis yang begitu bermaharajalela pada ketika itu. Lantas keluarga Cina ini juga pindah ke New Village di Padang Rengas. Dan semacam terputus hubungan antara keluarga emak aku dengan keluarga Tionghua.

Tidak begitu rupanya. Hubungan mereka tetap seperti biasa. Untuk barang-barang keperluan dapur, emak pasti akan ‘membeli-belah’ di kedai Moh Koh ( masih ada lagi kedai berkenaan tetapi telah berpindah milik kepada anaknya dan Moh Koh juga telah meninggal). Sekurang-kurangnya sekali dalam dua minggu emak pasti bertemu Moh Koh. Dan pada ketika itu mereka akan bertukar-tukar ‘cerita’ terutama semasa zaman kanak-kanak mereka.

Hubungan berbaik-baik ini bukan sahaja antara emak denganMoh Koh atau Soo Ha, tetapi berterusan sehingga melampaui generasi. Maknanya Moh Koh juga rapat dengan aku dan adik aku. Pernah pada suatu hari ( dalam tahun 1980an) ketika aku singgah sebentar di kedai Moh Koh sebelum balik ke kampung, Moh Koh telah memberitahu aku, ‘….. tadi emak kamu ada datang ke kedai aku. Beli barang. Dia kata kamu nak balik hari ini…..” dan Moh Koh terus bercerita mengenai diri aku. Seolah-olah semua hal yang berkaitan dengan diri aku kesemuanya diketahui oleh Moh Koh. Emaklah yang jadi tukang ceritanya. Kawan baik ler katakan…..

Aku yakin suasana harmoni  antara kaum sebegini wujud di mana-mana di Malaysia. Dan aku mengharapkan biarlah suasana sebegini berterusan dalam negara Malaysia yang kita cintai ini. Aku menceritakan keadaan sebegini hanyalah untuk memberi tahu kepada anak-anak ( Melayu, Cina, India ) bahawa orang Melayu keseluruhannya tidak pernah memusuhi orang Cina. Ini kenyataan sejarah.

Dan hanya baru-baru ini telah timbul suara sumbang dan perasaan syak wasangka yang digembar-gemburkan oleh golongan yang tidak bertanggungjawab yang cuba merenggangkan perhubungan antara kaum itu. Bagi aku mereka ini adalah golongan yang buta sejarah atau tidak mempelajari sejarah dalam ertikata yang sebenar-benarnya.

Sekiranya matapelajaran Sejarah diajar dengan cara yang sejelas-jelasnya, pasti perpaduan di negara kita akan kukuh. Inilah peranan Guru Sejarah yan bertaburan di pelusuk tanah air kini.

abuhassanadam
8 Januari 2014





3 comments: