Thursday, January 2, 2014

ANAK MUDA TURUN BERHIMPUN

ANAK MUDA TURUN BERHIMPUN

Aku sebenarnya sudah tidak mahu lagi memberikan sebarang ulasan mengenai perhimpunan yang diadakan pada malam 31 Janurai 2013 di Dataran Merdeka yang lalu. Sebabnya aku merasa amat gembira kerana tidak ada sebarang perkara yang tidak diingini berlaku, walaupun kononnya ada terjumpa senjata-senjata di tepi longkang dan sebagainya. Pada anggapan aku sekiranya tidak ada perhimpunan pun mungkin juga terjumpa senjata ditepi longkang….

Ketiadaan berlaku sebarang perkara buruk yang tidak diingini menunjukkan bahawa masyarakat kita di Malaysia sudah boleh dianggap sebagai masyarakat yang tergolong dalam masyaralat kelas pertama, terutamanya golongan anak mudanya. Tidak banyak negara di dunia boleh bersikap sepertimana yang ditunjukkan oleh masyarakat anak muda kita pada hari ini. Dan jangan lupa pula tentang masyarakat Malaysia yang terdiri dari berbilang kaum pula. Bagi aku sikap yang ditunjukkan oleh anak muda kita amat hebat. Syabas…..

Aku tidak pula hairan mengapa anak muda yang hadir di ‘Perhimpunan Turun’ itu bersikap demikian. Ini adalah disebabkan faktor pendidikan yang diterima oleh golongan anak muda ini yang rata-rata hadir di perhimpunan ‘Turun Himpun’ itu adalah terdiri golongan intelek, para mahsiswa dari university-university persekitaran Lembah Kelang. Mereka pastinya tahu dan sedar batas-batas peraturan yang sepatutnya mereka lalui agar tidak mendatangkan bencana kepada negara.

Dengan sebab itulah apabila dilemparkan tuduhan-tuduhan yang mengatakan golongan anak muda ini bertujuan untuk menjatuhkan kerajaan, maka dengan sendirinya ‘merendahkan’ daya intelek golongan yang melemparkan tuduhan sedemikian. Mereka perlu ‘cermin diri’ terlebih dahulu sebelum membuat tuduhan yang melulu yang tentunya tidak masuk akal. Kini telah terbukti bahawa tuduhan pihak-pihak tertentu itu agak meleset.

Kini telah muncul pula satu lagi ‘fatwa’ yang mengatakan bahawa anak-anak muda yang menyertai perhimpunan ‘ Turun Himpun’ tempoh hari boleh dianggap sebagai penderhaka, pengkhianat negara dan ‘halal darah mereka’. Aku merasakan bahawa tuduhan sebegini tentulah amat berat untuk diterima oleh anak-anak muda ini dan tentunya juga bagi bapa ‘anak muda’ yang hadir berjuang di perhimpunan itu. Meletakkan label anak muda sedemikian tentulah bukan merupakan sesuatu yang ringan yang perlu diperbetulkan tanggapan sedemikian dengan kadar segera.

Aku menyokong ‘perjuangan’ anak muda di ‘Perhimpunan Turun’ berdasarkan kepada Perlembagaan Negara kita yang membenarkan tindakan sedemikian dalam sebuah negara demokrasi. Lagi pun yang dilakukan oleh anak-anak muda ini hanyalah untuk berhimpun dan menyatakan ketidak puasan hati mereka terhadap kenaikan harga barang dan pengurangan subsidi setengah barangan. Itu saja. Bukannya mereka menjatuhkan kerajaan. Sekurang-kurangnya ada kumpulan yang ‘mewakili ‘ rakyat terbanyak untuk menyuarakan rasa tidak puas hati ini kepada pihak kerajaan yang memerintah disamping ‘suara-suara’ lain yang nampaknya tidak mendatangkan kesan. Dan kemungkinan juag suara anak muda ini juga tidak mendatangkan kesan yang besar tetapi sekurang-kurangnya ternampak ada usaha yang menyatakan ketidak-puasan itu.

Pada siapa lagi rakyat mahu mengadu nasib sekiranya tidak kepada golongan yang betul-betul mahu membela  nasib rakyat. Ada aduan ditujukan kepada pihak-pihak tertentu dan jawapan yang diterima tentulah tidak menyenangkan. Ada yang menyarankan agar golongan rakyat yang tidak menyukai apa saja tindakan kerajaan supaya berhijrah dan meninggalkan negara ini. Apakah golongan sebegini boleh dijadikan sandaran tempat mengadu? Ada juga terdapat golongan yang sentiasa mempertahan apa saja tindakan yang dilakukan oleh kerajaan tanpa memikirkan kesan buruk yang dideritai oleh masyarakat umum, khususnya yang berpendapatan rendah.

Tuduhan derhaka yang dilepmparkan ke atas anak-anak muda yang menyertai perhimpunan ‘Turun Himpun’ itu boleh dianggap sebagai satu tuduhan yang berat. Penderhakaan boleh dianggap paling hina dalam masyarakat Melayu yang boleh memperok-perandakan sistem pemerintahan yang akhirnya membawa kepada keruntuhan bangsa dan negara. Dengan sebab itulah sentiasa disebut ‘pantang anak Melayu menderhaka’.

Aku rasa peserta perhimpunan ‘Turun Himpun’ itu tidak termasuk dalam kategori itu. Jauh sekali dikategotikan  sebagai pengkhianat bangsa sepertimana panggilan dan label yang diberikan kepada Hang Jebat.  Hang Jebat pun pada anggapan masyarakat Melayu kini sudah tidak dianggap sebagai penderhaka lagi kerana beliau memperjuangkan tentang keadilan. Malah ada setengah pihak menganggap Hang Jebat sebagai wira yang telah berani mengubah minda orang Melayu dari berbentuk feudal kepada pemikiran moden sesuai dengan zaman yang dilalui.

Lantas aku terfikir janganlah hendaknya ada ‘ sudu yang  melebihi kuah ‘ dalam masyarakat kita. Berfikirlah sedalam-dalamnya sebelum mengeluarkan sesuatu ‘fatwa’ kerana bak kata datuk nenek kita, ‘ terlajak perahu boleh diundur, terlajak kata buruk padahnya’.

Benjamin Franklin pernah juga menyatakan , ‘ a slip of the foot you may soon recover, but a slip of the tongue you may never get over”

abuhassanadam
3 Januari 2013


1 comment: