Tuesday, January 14, 2014

YANG MENGHAIRANKAN MENGAPA TIDAK RAMAI PEMIMPIN KITA MENCONTOHI SIFAT RASULULLAH

Sambutan Maulidur Rasul pada hari ini disambut dengan meriah. Di mana-mana saja. Di peringkat pusat diadakan di Puterajaya. Di setiap negeri diadakan sambutan. Meriah. Diadakan perarakan dengan pakaian berwarna warni. Hebat nampaknya. Para pelancong yang datang melihatkan sambutan yang kita adakan tentulah terpegun melihatkan ‘birthday celebration’ untuk mengenangkan kelahiran Nabi Muhammad s.a.w. Mungkin juga tidak banyak negara di dunia ini yang mengadakan sambutan semeriah yang diadakan  seperti di negara kita.

Bukan tahun ini sahaja negara mengadakan sambutan yang sebegini. Tiap-tiap tahun. Sudah ‘berkembung’ ucapan yang dilafazkan oleh para penceramah agama kita di majlis-majlis sambutan Maulidur Rasul ini  menjelaskan tentang keperibadian Nabi Muhammad yang luhur. Dijelaskan tentang sifat  terpuji baginda ia itu siddiq (berkata benar), amanah ( dipercayai), tabliq (menyampaikan) dan fatanah ( bijaksana).

Boleh dikatakan sudah ‘berbuih’ mulut para penceramah kita menyampaikan ceramah mengenai sifat Rasullullah dengan harapan para pendengar yang mendengar ceramah berkenaan dapat menghayati dan mencontohi keperibadian Rasulullah itu. Namun apa yang terjadi adalah seperti mencurahkan air di daun keladi. Ibarat kata peribahasa Melayu, ‘ sepuluh jong masuk kuala, anjing masih bercawat ekor juga’. Maknanya walaupun diadakan puluhan ‘Maulidur Rasul’ yang mengharapkan dapat mencontohi sifat terpuji Rasullullah, namun tidak banyak yang berubah. Tidak ramai yang mahu mencontohinya.

Sifat terpuji Rasullullah sepatutnya dihayati dan diikuti oleh pemimpin negara kita. Sepatutnya begitulah. Apatah lagi apabila melihat melalui siaran langsung , hampir seluruh pemimpin negara hadir pada majlis sambutan itu. Dan sepatutnya dapatlah mereka menghayati dan mencontohi apa yang dilakukan oleh Rasulullah dalam melaksanakan tanggungjawab memimpin negara.

Aku tidak menafikan tentang tidak ada langsung para pemimpin negara yang cuba melaksanakan apa yang diajar oleh Rasulullah itu. Ada. Tetapi aku yakin boleh dibilang dengan jari. Tak ramai. Maknanaya jikalau ada pun yang cuba mencontohinya tentulah tidak sepenuhnya. Rasulullah terkenal dengan panggilan Muhammad al Amin. Kanak-kanak Tadika pun tahu tentang hal ini.  Nabi Muhammad seorang yang  amanah dan boleh dipercayai. Sepatutnya para pemimpin negara perlu menungkan sedalam-dalamnya tentang hakikat ini. Apakah mereka yakin dengan diri mereka bahwa mereka sebenarnya amanah dalam menjalankan tugas mereka mentadbirkan negara ini. Rakyat tidak mengharapkan pemimpin negara ini mencontohi seratus peratus sifat yang dimiliki oleh Nabi Muhammad itu. Sekurang-kurangnya para pemimpin negara menunjukkan kesediaaan untuk melaksanakan tugas dengan penuh amanah dan sentiasa berkata benar.

Persepsi rakyat terbanyak di negara kini merasakan bahawa ramai pemimpin negara tidak amanah dan sentiasa mengamalkan perbuatan yang amat dijauhi oleh Nabi Muhammad seperti rasuah, penipuan, tidak berkata benar ( berbohong) dan perkara-perkara lain yang amat dimusuhi oleh Nabi Muhammad. Mungkin tidak semua pemimpin negara kini yang bersifat sedemikian. Namun seperti kata peribahasa Melayu juga, ‘ seekor kerbau (Lembu) membawa lumpur maka tentulah hampir semuanya terpalit’. Dalam keadaan sekarang rakyat merasakan bukan ‘seekor’ yang membawa lumpur tetapi berpuluh-pulu ‘ekor’.

Diadakan majlis sambutan secara besar-besaran itu adalah untuk menyedarkan sekalian umat Islam agar betapa pentingnya kita mengenangkan kembali perjuangan yang telah dilalui oleh Nabi Muhammad dalam menegakkan syiar Islam. Disamping itu diharapkan dapat menyedarkan kita tentang betapa pentingnya kita mencontohi apa yang dilakukan oleh Nabi Muhammad.

Aku amat yakin sekiranya para pemimpin negara betul-betul ikhlas mencontohi sifat Rasulullah terutama dalam mentadbirkan negara nescaya tidak timbul kegusaran rakyat terhadap setengah tindakan yang dijalankan oleh kerajaan. Sekiranya para pemimpin negara kita betul-betul menghayati perjuangan Rasulullah yang sentiasa mementingkan umatnya, pasti rakyat tidak akan menentang apa yang dilakukan oleh kerajaan. Tentulah tidak ada tunjuk perasaan yang menentang kenaikan harga barang agaknya sekiranya para pemimpin negara meletakkan prinsip perjuanagan Rasullullah sebagai asas kepada pelaksanaan apa juga rancangan yang hendak dilakukan.

Walaupun sambutan Maulidu Rasul telah berakhir, namun kesan ajaran Rasulullah itu seharusnya diteruskan. Bukan sahaja melalui ceramah-ceramah agama tetapi dalam tindakan para pemerintah yang mentadbir negara dan juga para pemimpin di peringkat negeri, pemimpin peringkat jabatan-jabatan kerajaan.

Kesimpulannya aku ingin memetik kata-kata Zac Matthews dari Sydney Australia yang mengatakan,’…..We want to utilise the rich prophetic model of leadership because we sincerely believe the prophet ( Muahmad) is the best example in all aspects of life. It is important as Muslims to derive as much benefit out of that 23-year period of prophethood…….”

Apakah para pemimpin negara kita tidak boleh menungkan sejenak kenyataan demikian. Mengapa agaknya para pemimpin kita masih  teragak-agak untuk mencontohi kepimpinan terpuji Rasulullah.

abuhassanadam
12 Rabiul Awal 1435
14 Januari 2014


2 comments:

  1. Kata Mashitah, Najib dah pun mencontohi Rasulullah...

    http://www.sinarharian.com.my/kolumnis/dr-mashitah-ibrahim/najib-contohi-kemoderatan-rasulullah-1.34543

    Inilah contoh kipas-an yang ekstrem dan menyedihkan. Mungkin pengipas-pengipas dari kiri, kanan, depan, belakang, atas dan bawah menyebabkan pemimpin tertinggi terasa semuanya dah betul. Maklumlah, apa buat semuanya betul malah dah pun diiktiraf mencontohi Rasulullah S.A.W...

    ReplyDelete
  2. Kenapa ramai dikalangan pemimpin kita gagal mencontohi Nabi Muhammad saw, kerana apabila ianya mengambil semua apa yang ditunjuk oleh Rasul, maka dgn sendiri perkara mungkar mereka tidak boleh buat, oleh itu mereka akan jadi 'papa kedana' semuanya....

    ReplyDelete