Friday, January 10, 2014

GOLONGAN ELIT TIDAK YAKIN DENGAN SEKOLAH KEBANGSAAN

Tidak adil juga agaknya aku terus mengeluarkan kenyataan sedemikian sebagai jawapan kepada terlalu banyak sekolah-sekolah persendirian yang ditubuhkan di negara kini. Aku tak tahu pula berapa jumlah sebenar sekolah persendirian yang ditubuhkan di Lembah Kelang. Tetapi yang aku tahu sememangnya banyak. Banyak dalam ertikata berpuluh-puluh. Mungkin sampai ke angka beratus beberapa tahun lagi sekiranya keadaan dan suasana pendidikan di negara ini tidak diperbetulkan.

Maknanya apabila banyak sekolah persendirian dibuka dan ramai pula ibu bapa yang menghantar anak-anak mereka belajar disekolah berkenaan (walaupun mahal bayarannya) maknanya mereka tidak berminat untuk menghanatar anak mereka di sekolah-sekolah kebangsaan. Maknanya mereka merasakan bahawa sekolah kebangsaan tidak ada ‘standard’. Maknannya mereka tidak yakin sekolah kebangsaan akan menjamin masa hadapan anak-anak mereka. Maknanya mereka merasakan bahawa masa depan anak-anak mereka akan ‘gelap’ sekiranya mereka menghantar anak-anak mereka ke sekolah kebangsaan. Macam-macam andaian boleh dikemukakan. Mungkin betul dan mungkin tidak.

Ibu bapa yang berada dan yang kurang berada juga merasakan bahawa sekolah persendirian menjadi pilihan mereka memandangkan bahawa seolah-seolah kebangsaan sudah tidak mendapat keyakinan dari setengah-tengah pihak, terutama rakyat yang berada. Aku tidak dapat mencari jawapan yang lebih terperinci dan lojik tentang mengapa ibu bapa di bandar-bandar di Kuala Lumpur memilih untuk menghantar anak mereka ke sekolah persendirian selain daripada hilangnya keyakinan mereka terhadap sekolah kerajaan.

Apa tidaknya. Bukannya murah perbelanjaan untuk menghantar seorang anak ke sekolah persendirian. Tidak kurang dari RM10,000 yang terpaksa dibelanjakan oleh seorang bapa dalam setahun sekiranya anaknya berada dalam Darjah 1. Itu baru Darjah 1. Apabila si anak belajar dalam Tingkatan 5 si ayah terpaksa membayar dengan harga tdak kurang RM 20,000. Itu untuk seorang anak. Bagaimana pula sekiranya tiga orang anak yang belajar disekolah yang sama?. Itu bukan jumlah yang kecil. Namun ibu bapa yang berada sanggup membelanjakan wang sejumlah itu demi pelajaran anak-anak. Mengapa?

Dan sudah ramai juga ibu bapa yang menghantar anak-anak mereka ke sekolah antarabangsa untuk mengikuti kursus IGCSE
( International General Certificate of Secondary Education) yang pada keseluruhannya diajar dalam Bahasa Inggeris dan matlamat akhirnya ialah  untuk memasukki university luar negara. Bahasa Melayu ada diajar di kelas-kelas tersebut dan mungkin sebagai memenuhi syarat kerajaan dan ‘melepaskan batuk di tangga’ sahaja. Mungkin. Ini disebabkan bahawa Bahasa Melayu bukan merupakan syarat ‘Lulus’ peperiksaan seperti SPM.  Setakat yang aku tahu agama Islam juga tidak diajar kecuali ada permohonan daripada pelajar itu sendiri yang ingin mempelajari agama dan dipersetujui oleh pengurusan sekolah. Agaknya begitulah.

Aku tidak dapat memberikan jawapan samada perkembangan ini merupakan sesuatu yang sihat atau tidak. Dari suatu segi tentulah ‘tidak sihat’ perkembangan sedemikian memandangkan bahawa sudah ramai rakyat yang berada di negara ini yang mengenepikan sistem pendidikan nasional. Apatah lagi apabila sudah tidak langsung mempelajari sejarah Malaysia. (Matapelajaran Sejarah yang diajar tidak menekankan tentang sejarah Malaysia). Tambahan pula bahasa perantaraan yang digunakan ialah bahasa Inggeris walaupun Bahasa Melayu wajib diajarkan sebagai mata pelajaran.

Ditinjau dari sudut yang lain tentulah kita tidak seharusnya menyekat ibu bapa yang berada untuk memilih pendidikan yang terbaik untuk anaknya. Mereka adalah terdiri dari golongan bijak pandai yang dapat menilai buruk baiknya sistem pendidikan disesebuah negara itu. Mereka tentunya mahukan anak mereka mendapat pendidikan yang terbaik bagi anak mereka untuk menjamin masa hadapan yang cemerlang.Lantas dengan kuasa wang yang mereka ada, mereka tentulah boleh memilih sekolah mana dan pendidikan yang bagaimana yangs sesuai untuk anak-anak mereka. Dikalangan pemimpin-pemimpin negara kita ramai juga yang menghantar anak mereka untuk belajar disekolah persendirian sepertimana yang dijelaskan.

Lantas tumbuhlah sekolah-sekolah persendirian seperti cendawan selepas hujan di kawasan Lembah Kelang. Dan mungkin juga keadaan yang serupa wujud di Pulau Pinang, Ipoh dan Johor Bharu. Mungkin. Aku tidak membuat kajian dan tinjauan. Keadaan sebegini tentu sekali tidak akan wujud sekiranya golongan berada ini menaruh keyakinan kepada sistem pendidikan dan sekolah yang ditubuhkan oleh kerajaan. Berkemungkinan itu merupakan salah satu puncanya. Mungkin…

Jika keadaan sedemikian tidak ditangani takut akan wujud dua kelompok persekolahan di negara ini pada masa akan datang. Satu kelompok yang merupakan sekolah kerajaan dan satu lagi merupakan sekolah persendirian. Sekolah persendirian sememangnya telah lama wujud, semenjak zaman berzaman. Tetapi tidaklah seperti yang terdapat pada hari ini. Dan keghairahan ibu bapa untuk menghantar anak-anak mereka ke sekolah-sekolah persendirian juga seolah-oalh tidak dapat dibendung-bendung lagi.

Kesannya tentulah akan lahir suasana persekolahan yang agak luar biasa di negara ini. Sekolah kebangsaan akan dihuni oleh pelajar-pelajar yang kurang berada ( khususnya pelajar Melayu) manakala sekolah persendirian akan terdiri dari golongan berada yang terdiri dari semua kaum.

Aku tidak mahu membincangkan lebih lanjut senario dan landskap negara ekoran daripada keadaan persekolahan yang sebegini. Terserahlah kepada golongan bijak pandai memikirkan kesan buruk dan baiknya.

abuhassaanadam

10 Januari 2014

No comments:

Post a Comment