DARI TONG-YA-NONG
KE UNTA-TIKA
Alkisah maka tersebutlah kisah sebuah negeri yang
terletek di sebelah timur. Tong-Ya-Nong namanya. Sehari perjalanan dari
Pa-Hoang ke utara arahnya. Dan sehari perjalanan juga ke Ki-Lan-Tan dari
Tong-Ya-Nong. Baginda Ah-Mad nama pembesarnya. Tersangatlah elok rupa parasnya
seperti bulan gerhana.
Maka gemparlah segala orang di pekan sekiranya
melihat baginda lalu. Segala anak bininya orang dan anak dara-dara orang yang
taruhan sekaliannya berterpaan hendak melihat Baginda Ah-Mad. Ada yang menengok
pada pintu, ada yang menengok pada kisi-kisi, ada yang menengok pada tingkap,
ada yang menengok pada atap, ada yang memesok dinding, ada yang memanjat pagar.
Adapun terdengar khabar di seluruh negeri
mengatakan yang pembesar negeri ini akan berangkat ke sebuah tempat bernama
Unta-Tika. Negeri di bawah angin katanya. Sejuk. Penuh dengan ais dan burung
Penguin. Entah apalah gerangan baginda untuk pergi ke sana. Memang pernah
disebut berkali-kali oleh Mamak Mendeliar pada zaman dahulu kala bahawa
Unta-Tika memang kaya dengan bahan mentah. Katanya macam-macam ada didalam
perut bumi Unta-Tika. Emas, perak, besi, uranium dan macam-macam lagi.
Arakian maka disuruhlah oleh
hulubalang-hulubalang Tong-Ya-Nong bekerja keras mengumpulkan duit untuk
perbelanjaan dan tambang menambang Baginda Ah-Mad untuk ke Unta-Tika itu. Maka
bertungkus lumuslah rakyat Tong-Ya-Nong bekerja keras bagi mengumpulkan wang
yang diperlukan oleh Baginda Ah-Mad. Dan bukan Bendahara seorang saja yang
pergi. Berbelas-belas orang pengikutnya akan ke Unta-Tika. Kesemua tambang
menambang mereka akan ditanggung oleh rakyat Tong Ya-Nong.
Adapun Tong-Ya-Nong memang dalam keadaan
kesusahan. Nelayan-nelayannya tidak dapat pergi ke laut menangkap ikan kerana
angin kencang di laut. Dan di setengah tempat di negeri itu baru saja terlepas
dari banjir besar yang menenggelamkan beberapa kawasan di Tong-Ya-Nong.
Tambahan pula pada ketika ini harga barang-barang makanan semuanya naik belaka.
Ramai rakyat Tong-Ya-Nong terpinga-pinga apabila
diriwayatkan yang Baginda Ah-Mad akan berangkat ke Unta-Tika. Ramai yang tidak
pernah dengar tentang negeri yang bernama Unta-Tika. Ramai juga yang bertanya
apakah gerangan Baginda hendak berangkat ke Unta-Tika. Untuk berkahwin dengan
anak raja Unta-Tika kah yang mendorong Baginda pergi ke sana. Ada yang bertanya
begitu.
Dikhabarkan pada sekalian rakyat Tong-Ya-Nong
bahawa baginda ke sana adalah untuk meninjau dan mempelajari sesuatu dari
negeri yang penuh dengan ais itu dan burung Penguin. Moga-moga apabila baginda
dan rombongannya kembali dari melawat Unta-Tika nanti baginda akan dapat
membawa kemajuan yang besar kepada negeri Tong-Ya-Nong.
Telah dikhabarkan kepada sekalian rakyat bahawa
Baginda amat bimbang sekiranya negeri Tong-Ya-Nong yang terletak berhampiran
dengan laut itu akan bertukar menjadi ais sepertimana yang berlaku di Unta-Tika
itu. Dengan demikian Baginda bersiap sedia menghadapi kemungkinan Tong-Ya-Nong
menjadi negeri yang dipenuhi oleh ais. Baginda akan mempersiapkan rakyatnya
bagaimana hendak menghadapi keadaan demikian. Bagaimana rakyat yang menjadi
nelayan kini perlu menukarkan pekerjaan mereka kepada penternak penguin supaya
pendapatan rakyat negeri itu terjamin.
Baginda Ah-Mad boleh dikira sebagai pemerintah
yang ‘far-sighted’ ia itu boleh menduga apa yang akan terjadi kepada negerinya
pada masa yang tidak ditentukan. Beliau tidak mahu lagi rakyatnya hanya pandai
menjadi nelayan dan petani yang hanya pandai menanam kangkung saja. Beliau mahu
rakyatnya berkebolehan dalam semua perkara.
Mungkin juga pada fikiran rakyat di Tong-Ya-Nong
bahawa pemimpin mereka pergi ke Unta-Tika untuk menandatangani perjanjian
supaya negeri Unta-Tika dapat membekalkan ais untuk keperluan para nelayan
membekukan ikan yang ditangkap oleh mereka. Diriwayatkan bahawa ais yang
diperolehi dari Unta Tika adalah lebih baik kualitinya daripada ais yang
dihasilkan di Tong-Ya- Nong. Dengan demikian Baginda merasakan bahawa
lawatannya ke Unta-Tika akan memberi banyak faedah kepada rakyat di negerinya.
Oleh itu rakyat tidak perlu mempersoalkan kewajaran Baginda dan rombongannya membelanjakan
jutaan ringgit semata-mata untuk membiayai perbelanjaan ‘lawatan’nya ke
Unta-Tika itu.
Amin….
abuhassanadam
18 Januari 2014
Ha ha ha! ini Ahmad, orang Teganu kate 'bengong'.
ReplyDelete