Saturday, January 11, 2014

BARANG MAKANAN DI LONDON  LEBIH MURAH DARI DI MALAYSIA

Hampir dua bulan aku berada di London. Bulan November dan Disember 2013. Melawat anak yang tinggal di sana. Tinggal di rumahnya. Tempat tinggal tak perlu bayar. Free. Untuk makan dan minum kami sekeluarga, masak sendiri. Dengan sebab itulah aku tahu dan berani membandingkan harga barang makanan di London dengan di Malaysia kini. Aku ( ditemani isteri)  yang pergi ke pasar dan membeli barang-barang berkenaan. 

Ramai orang mengatakan bahawa taraf hidup di London adalah terlalu tinggi dan dengan sebab itulah  ramai Malaysia ‘takut’ untuk datang bercuti di London disebabkan harga barangan yang begitu mahal. Ada betulnya. Ada barangan yang mahal harganya dan banyak barangan ( barang makanan misalnya) jauh lebih murah dari di Malaysia.

Tidak dapat dinafikan bahawa yang banyak menghabiskan wang pengunjung ke London ialah untuk membiyai kos penginapan dan perbelanjaan makan (sekiranya makan di resotoran-restoran sekitar London). Sewa hotel misalnya.Sememangnya mahal. Hotel bertaraf tiga bintang di sekitar London boleh mencecah sekitar RM 500 semalam. Selain daripada itu aku tidak nampak perbezaan besar antara London dengan Kuala Lumpur. Malah bagi aku kos keperluan dapur jauh lebih murah di London berbanding dengan di Kuala Lumpur. Dan kualiti barangan yang dibeli juga terjamin disebabkan keberkesanan persatuan pengguna di sana. 

Aku bandingkan harga beras di London dengan di Kuala Lumpur. Samada sama harga atau lebih murah di London bergantung kepada pengeluar. Sayur-sayuran memangnya jauuuuuuhhhhh lebih murah. Ubi kentang jauuuuuhhh lebih murah. Buah-buahan jangan dibandingkan. Tempat asalnya. Tentulah lebih murah.Daging ayam (yang telah dibersihkan)  hanya 1 Paun ( RM 5.30)  sekilo. Telur ayam Gred A hanya 1 Paun 70P ( RM 7.00) bagi 30 biji. Roti ( Kingsmill) yang tiga kali lebih besar dari roti yang terjual di pasaraya kita hanya berharga 1 Paun. Susu segar sememangnya jauh lebih murah……Cukuplah setakat itu aku membandingkan harga-harga barang makanan di London untuk membuktikan yang negara maju yang sentiasa menjaga kesejahteraan rakyat. Itu di London, ibu kota. Dan tentulah barang makanan akan menjadi lebih murah sekiranya ditinjau di bandar-bandar kecil yang jauh dari London.

Apabila aku bandingkan pula dengan keadaan sekarang di mana harga barang di Kuala Lumpur bukan lagi membimbangkan tetapi telah sampai ke peringkat ‘menakutkan’ dan ‘menggerunkan’. Berbagai jenis ‘takut’ telah ‘menghinggapi’  aku kini. Dan begitu jugalah agaknya dengan ramai rakyat Malaysia lain. Takut untuk mimum dan makan di kedai makan ( kedai mamak terutamanya) dimana harga makanan sudah agak melampaui harga sepatutnya. Takut untuk ke pasar untuk membeli ikan dan sayuran kerana harga barangan berkenaan sudah naik menjunam sehinggakan tidak terfikir yang harga sekilo harga ikan tenggiri dan udang sudah hampir menyerupai harga emas. Itu baru harga ikan dan sayuran.

Aku yakin sudah ramai rakyat Malaysia yang sudah agak lama tidak menikmati daging lembu dan daging kambing. Rakyat yang aku maksudkan adalah rakyat marhaen seperti aku. Rakyat yang kehidupannya susah, berpendapatan rendah (tidak kira yang tinggal di bandar atau di kampung).

Bagi masyarakat yang hidup mewah seperti para Menteri dan wakil rakyat, golongan usahawan, pegawai tinggi kerajaan keadaan kenaikan harga barang tentulah tidak terasa langsung bagi mereka. Malah sayup kedengaran ada menteri kita yang mengadakan pesta hari jadi dalam keadaan serba mewah di Hotel bertaraf lima bintang, dalam keadaan rakyat sedang menderita tersiksa dengan kenaikan haraga barang. Dan terdengar juga (mungkin tidak betul) tentang ‘cerita’ pemimpin negara yang sanggup menghabiskan jutaan ringgit wang rakyat berhibur menyambut pesta tahun baru di luar negara.

Aku sememangnya tidak sampai hati melihat sepupu aku ( bekerja sebagai Pengawal Keselamatan di sebuah syarikat ) mengeluh kerana kenaikan harga barang. Aku sedar penderitaan yang dialaminya. Aku rasa keperitan hidup yang dilalui keluarganya terutama apabila untuk menyediakan peralatan sekolah anaknya seramai empat orang. Aku dapat mengagak yang anaknya sudah berapa bulan tidak dapat menikmati daging lembu atau daging kambing dan berkemungkinan akan menikmatinya apabila menjelangnya Hari Raya nanti. Besar kemungkinannya begitu memandangkan keadaan yang sedang dilalui sekarang. Beliau mengeluh kerana terpaksa membayar tambang sekolah yang berkemungkinan juga akan naik ( mungkin sudah naik pun).

Memang tidak dapat melelapkan mata mengenangkan hal yang berlaku kepada sepupu ku itu. Dan mengenangkan nasib orang lain juga yang senasib dengan sepupu aku itu. Dulu sentiasa dikatakan bahawa orang kampung yang susah dan menderita. Kini aku dapat melihat dan merasakan bahawa bukan sahaja di kampung malah di bandar-bandar seperti di persekitaran Kuala Lumpur akan terdapat rakyat yang bukan kepalang deritanya. Tinjaulah di kawasan penempatan golongan yang berpendapatan rendah akan dapatlah dirasakan keperitan hidup yang dilalui oleh mereka. Akan dapatlah ‘dihidu’ kesengsaraan yang mereka lalui.

Sekiranya dibandingkan apa yang mereka makan dengan apa yang dimakan oleh para menteri dan pemimpin negara kita tentulah amat jauh bezanya dari segi jenis dan nilai pemakanan yang mereka nikmati. Mungkin nilai makanan sehari bagi seorang menteri sama dengan nilai dan harga makanan seminggu bagi seorang yang berpendapatan rendah yang tinggal di rumah-rumah pangsa di sekitar Lembah Kelang.

Yang aku tahu bahawa mereka bukan sahaja memerlukan simpati tetapi yang lebih penting ialah pembelaan dan tindakan….

abuhassanadam
11 Januari 2014


No comments:

Post a Comment