Sunday, May 25, 2014

TERIMA KASIH TG NIK ABDUL AZIZ

 Aku merasa lega dengan kenyataan Tuan Guru Nik Abdul Aziz yang disiarkan melalui artikel berjodol,’Teluk Intan: Pandangan Saya’ bertarikh 24 Mei 2014. Aku dan beberapa orang kawan telah begitu lama agak ‘lemas’ dengan isu Hudud ini. Ini isu ‘ditelan mati emak diluah mati bapak’. Apa tidaknya. Sebagaimana yang dijelaskan oleh TG Nik Aziz, ‘hudud merupakan satu kewajipan. Mana-mana orang Islam wajib menerima hukum ini sebagaimana mereka menerima kewajipan bersolat dan berpuasa.’

Lantas mahu tidak mahu sebagai orang Islam kita perlu menerimanya. Tidak ada tolak ansur lagi. Orang islam wajib menerima hukum ini sebagaimana mereka menerima kewajipan bersolat atau berpuasa. Persoalan yang ditimbulkan sekarang ialah bahawa hukum hudud akan diperkenal dan akan dilaksanakan di Malaysia tetapi mendapat tentangan dari pihak-pihak yang bukan Islam.

Walaupun aku bukan pemimpin negara, namun isu ini memeningkan kepala aku juga kerana aku amat simpati dengan pemimpin-pemimpin lain yang cuba menyelesaikan isu hudud ini, terutama parti-parti dalam Pakatan Rakyat. DAP sejak dari dulu lagi telah pun menentang pelaksanaan Hudud ini. Malah mendiang Karpal Singh pun telah pernah beberapa kali menyatakan bahawa, ‘langkah mayatnya dahulu sebelum Hudud dilaksanakan di Malaysia’.

Dan dalam kempen PRK Teluk Intan juga, calonnya Dyana Sofia telah juga menyatakan bahawa beliau, ‘would vote against the implementation of hudud law in Malaysia if she wins and such a Bill is tabled in Parliament……the 27-year-old stressed that she was not against hudud, but implementation in Malaysia is not feasible before socio-economic issues can be addressed….My stand on hudud is the same as the party stand,"Malaysia Chronicle 18 May 2014.

Kenyataan Dyana Sofia yang sebegininya pasti mengundang kontroversi yang bukan kecil terutama bagi masyarakat Melayu di kawasan Teluk Intan yang amat kuat berpegang kepada agama. Pastinya mereka akan berfikir banyak kali sebelum memberikan undi kepada beliau yang kelihatan terang-terang tidak menyokong pelaksanaan hukum Hudud. Walaupun dijelaskan beberapa kali namun penjelasan orang biasa yang bukan memiliki kepakaran agama pastinya terlalu sukar sekali untuk diterima oleh masyarakat Melayu di Teluk Intan.
Kenyataan TG Nik Aziz datang tepat pada waktunya. Beliau menjelaskan bahawa,Berhubung pilihanraya kecil Teluk Intan, ramai yang bertanya pendirian saya berhubung isu hudud setelah calon DAP dikatakan membuat kenyataan menolak hudud. Saya tegaskan bahawa hudud merupakan satu kewajipan. Mana-mana orang Islam wajib menerima hukum ini sebagaimana mereka menerima kewajipan bersolat dan berpuasa. PAS tidak pernah lari dari kewajipan ini bahkan konsisten mempertahankannya semenjak daripada hari ia ditubuhkan lagi.
Di Teluk Intan, kerusi tersebut ialah kerusi DAP yang merupakan rakan tahaluf siyasi PAS. Bersama-sama DAP dan juga PKR, PAS telah bekerjasama membentuk Pakatan Rakyat dan sama-sama memperjuangkan keadilan dan membanteras rasuah. Sehingga hari ini DAP belum pernah menzalimi PAS sebagaimana yang dilakukan UMNO sebelum ini.

Justeru, apabila calon DAP dikatakan menolak hudud, ia tidak mengejutkan kerana itulah perbezaan PAS dengan DAP. Dalam hal ini, PAS sewajibnya berusaha lebih gigih memberikan kefahaman kepada DAP agar kebaikan dan keindahan hukum Islam ini dapat difahami dan diterima. Sebab itu, saya sentiasa menaruh harapan agar satu hari nanti DAP menerima hasrat PAS ini hasil dakwah berterusan yang tidak henti-henti.

Usia Pakatan Rakyat baru sahaja lima tahun. Dalam masa lima tahun, adalah satu perkara yang logik jika DAP masih belum memahami hasrat PAS dalam isu ini. Pihak yang patut malu ialah UMNO yang telah setengah abad bersahabat dengan parti-parti komponen bukan Melayu dalam Barisan Nasional, namun hingga sekarang masih gagal memberikan kefahaman tentang Islam. Bahkan ada ahli Parlimen UMNO sendiri secara terang-terangan mengeluarkan kenyataan untuk mengundi menolak hudud di Parlimen nanti.
Amat lojik penjelasan yang diberikan oleh TG Nik Aziz, seorang ulama yang amat bijaksana dan dapat menyesuaikan pemikiranya di era Kurun ke 21. Dengan sendirinya beliau mengerti apa yang dimaksudkan dengan istilah ‘modern’ dan ‘perubahan’.

Aku terbaca juga tentang kisah bagaimana Rasulullah berusaha cuba menegakkan undang-undang Islam di Madinah yang beliau mengambil masa puluhan tahun sebelum dilaksanakannya. Namum akhirnya undang-undang sedemikian dapat diterima oleh masyarakat Islam dan bukan Islam di Madinah. Apakah begitu cara hukum Hudud hendak dilaksanakan di Malaysia nanti. Dan sekiranya begitulah caranya aku amat yakin masyarakat Islam memhaminya dan lantas akan bersetuju pelaksanaanya insyallah.

Aku yakin bukan Islam lambat laun akan menerima Hudud berdasarkan pengalaman yang dilalui oleh PAS sendiri. Dulu parti PAS terlalu sukar untuk diterima oleh bukan Islam. Malah terus menerus dimusuhi. Kini bukan sahaja diterima tetapi telah pun ‘rakan kongsi’ yang amat ikrab demi untuk kemajuan bangsa Malaysia. Sejarah akan terukir tentang pakatan murni yang terjalin antara PAS, DAP dan PKR ini. Atas pertimbangan itu jugalah aku amat yakin bahawa penjelasan mengenai isu Hudud ini dapat diterima dengan hati yang terbuka oleh Islam dan bukan Islam di Teluk Intan. Aku amat yakin pengundi yang terbuka mindanya akan menerima penjelasan TG Nik Aziz ini.

Diharapkan begitulah..

abuhassanadam
25 Mei 2014


PS

Didapati "ANTARAPOS"  telah beberapa kali menggunakan nama saya Abu Hassan Adam untuk artikel yang disiarkannya. Saya tidak pernah memberi apa-apa sumbangan artikel kepada blog berkenaan dan tidak pernah menulis artikel bagi pihak berkenaan dan tidak berhasrat untuk berbuat demikian.

Harap maklum.

abuhassanadam

Saturday, May 24, 2014

BADMINTON: APABILA MALAYSIA  MASUK FINAL

Seingat aku ler, inilah kali pertama Jepun masuk pertandingan akhir badminton. Sebelum ini bukan sahaja persembahan Jepun lemah, malah tidak pernah tersenarai pun sebagai pasukan yang digeruni oleh negara-negara yang sentiasa ‘monopoli’ pertandingan Thomas Cup seperti Malaysia, Indonesia dan China. Maknanya apabila Jepun berjaya masuk ke pertandingan akhir dan menewaskan China 3-0 merupakan satu pencapaian luar biasa.

Mengenai Malaysia masuk pertandingan akhir tidaklah begitu memeranjatkan. Semenjak tahun-tahun 1950an dan 1960an sememangnya gelanggang badminton dunia ‘milik’ Malaya (Malaysia) atau Indonesia ( ketika China belum lagi memasuki pertandingan Thomas Cup). Sememangnya sukan Badminton adalah merupakan bidang sukan milik Malaya (Malaysia). Negara-negara Eropah seperti England dan Denmark tidak dapat menandingi kehebatan Malaya pada ketika itu.

Malaya mula memenangi Thomas Cup semenjak tahu 1949. Dan pada ketika itu pertandingan Thomas Cup diadakan tiga tahun sekali. Pada tahun 1952 sekali lagi Malaya menjadi johan mengalahkan pasukan England. Pada tahun 1955 sekali lagi Malaya menjadi Johan mengalahkan Denmark. Selepas itu kejohanan ini dimonopoli oleh Indonesia. Malaysia hanya dapat memenanginya sekali sahaja ia itu pada tahun 1967. Antara jaguh badminton negara pada ketika itu ialah Wong Peng Soon, Eddy Choong, Tan Aik Huang dan lain-lain.

Aku bukanlah sebagai pengulas sukan badminton tetapi yang aku nak ceritakan ialah tentang kesan dan pengaruh sukan ini ke atas penduduk Malaysia. Tidak seperti sekarang ini, pengaruh sukan badminton ketika itu sememangnya berpengaruh sampai ke kampung-kampung pendalaman. Pada awal tahun-tahun 1960an sememangnya terdapat ‘berselerak’ gelanggang badminton di kampung-kampung, walaupun kampung itu terletak jauh dari bandar. Sekurang-kurangnya terdapat satu gelanggang badminton yang diusahakan oleh anak-anak muda kampung berkenaan. Bukan dibantu oleh kerajaan seperti sekarang….

Aku dan sepupu-sepupu aku juga tidak mahu ketinggalan dalam hal ini. Kami buat gelanggan sendiri berhampiran dengan rumah Ngah (sepupu aku-arwah). Garisan dalam dan luar diperbuat daripada buluh. Dan untuk mengukur panjang gelanggang itu kami gunakan kayu pembaris. Tidak ada tali (tape) untuk digunakan. Tiang tempat menggantung jaring kami menggunakan bulu aur. Begitulah keadaanya di kampung-kampung pada ketika itu. Di Keroh Hulu, Keroh Seberang, Paya Lintah, Kampung Lalang, Kampung Pulau, kesemuanya ada gelanggang badminton.

Pada awalnya kami menggunakan racket dan ‘shuttle cock’ buatan sendiri. Tidak ada wang untuk membeli racket dan bulu ayam. Oleh itu racket adalah buatan sendiri (papan yang dibentuk seperti racket) dan bulu tangkis pula digunakan bulu ayam yang diikat dengan getah skrap. Walaupun bukan permainan ‘badminton’ sebenar, tetapi menimbulkan keseronokan dan keriangan yang bukan kepalang. Kami akan berada di gelanggang bermula dari pukul 3.00 petang ( sekembali dari sekolah) sehinggalah Maghrib.

Kami dapat membeli racket dan bulu tangkis sebenar selepas musim buah-buahan. Hasil jualan buah-buahan (durian dan manggis) dari kebun Atuk kami, barulah kami dapat mengumpulkan sedikit wang untuk membeli racket (aku lupa jenamanya. Bukan Dunlop! ). Sekiranya aku tak silap harganya ialah RM2.50sen. Dan sebuah bulu tangkis berjenama ‘Eagle’ berharga RM0.60 sen (bersamaan dengan harga dua pinggan mee goreng di Lembah, Kuala Kangsar).

Di Padang Rengas hanya terdapat sebuah kedai sahaja yang menjual racket dan bulu tangkis. Joo Onn namanya. Itulah merupakan ‘supermarket’ penduduk Padang Rengas. Kedainya kecil sahaja tetapi ‘macam-macam ada’. Kain baju, pinggan mangkuk dan alat muzik (harmonica) pun ada.

Permainan badminton di kampung tentulah agak sukar apabila musim berangin. Kadang-kadang permainan terpaksa diberhentikan buat seketika ketika angin bertiup dengan kuat. Tentulah anak-anak kini tidak dapat membayangkan keadaan sedemikian kerana kanak-kanak kini bermain dalam dewan yang tertutup dan diterangi lampu yang terang.

Tahun 1964 ketika diadakan pertandingan Thomas Cup antara Malaysia dan Indonesia yang dilangsungkan di Jakarta, kami mengikuti pertandingan itu melalui radio. Ketika itu belum ada sebuah TV pun di padang Rengas. Dan tidak ramai pun penduduk yang memiliki radio di kampung aku. Oleh itu kami terpaksalah pergi ke rumah Encik Kontak untuk ‘mengikuti’ pertandingan berkenaan. Hampir seluruh penduduk Ekor Dusun bertumpu ke rumah Encik Kontak. Tua muda.

Yang menghairankan aku juga ialah bahawa pada ketika itu begitu ramai sekali peminat badminton yang terdiri dari orang tua-tua. Malah kaum wanita juga berminat, berbanding dengan keadaan sekarang. Maksud aku wanita-wanita tua di kampung-kampung juga berminat mengikuti ( melalui radio)  pertandingan badminton.

Sukan badminton sememangnya sukan ‘kepunyaan’ orang Malaysia. Dan di Indonesia juga begitu menurut rakan-rakan dari Indonesia. Kecenderungan mereka kepada sukan badminton adalah luar biasa sekali. Berbanding pula dengan keadaan di England atau di Amerika Syarikat, tidak begitu keadaannya. Badminton adalah merupakan sukan biasa-biasa’ dan bukan sebagaimana yang pernah ‘menghantui’ rakyat Malaysia pada suatu ketika dahulu.

Malaysia sekali lagi masuk pertandingan akhir. Apakah kesanya nanti sama seperti kesan yang ditinggalkan pada awal tahun 1960an dulu.

Sama-sama kita lihat.

abuhassanadam
24 Mei 2014




Friday, May 23, 2014

SAMPAI BILA ORANG MELAYU PERLU DIMANJAKAN

Kini heboh pula diperkatakan mengenai UITM yang dikhususkan untuk orang Melayu. Chancellor kata peruntukan 153 dalam perlembagaan Malaysia menetapkan bahawa ITM adalah untuk orang Melayu. Alumnai ITM juga kata ITM sememangnya untuk orang Melayu. Cuma Dyana saja yang mempersoalkan tentang mengapa ITM diperuntukan kepada orang Melayu sahaja. Beliau mempersoalkan tentang keadilan dengan menunjukkan contoh bahawa terdapat pelajar bukan Melayu (miskin) yang mempunyai kelayakan tidak dapat memasuki ITM. Dan aku percaya sudah ramai juga bekas pelajar ITM yang berpandangan sedemikian. Namun disebabkan Dyana yang bertanding jadi calon DAP di PRK Teluk Intan, maka Dyana seorang sajalah yang jadi sasaran. Ikhlaskah agaknya mereka yang menjadikan beliau sebagai sasaran?

Sampai bilakah agaknya orang Melayu memerlukan pertolongan dan bantuan supaya maju. Sampai bila. Sekiranya orang Melayu terus menerus masih memerlukan ‘tongkat’ untuk berjaya memberikan gambaran bahawa orang Melayu masih mundur dalam serba serbi lapangan. Bermakna bahawa orang Melayu tidak boleh ‘survive’ tanpa pertolongan kerajaan. Bermakna bahawa Dasar Ekonomi Baru itu perlu diteruskan sampai bila-bila sehingga orang Melayu betul-betul maju.

Tentulah sekali lagi dipersoalkan. Sampai bila?

Aku tidak kata orang Melayu tidak hebat. Tidak maju. Orang Melayu sememangnya berkebolehan dan hebat sama seperti orang lain juga. Tetapi disebabkan adanya  golongan Melayu yang lemah yang ‘kerja’nya hanya meminta-minta menyebabkan golongan Melayu yang cekap dan hebat ini merasa diri mereka ‘terhina’ dan terlindung. Dan yang anihnya golongan Melayu lemah ini pula sering mendapat perhatian dari pihak tertentu. Dimanjakan. Dan merekalah yang ‘bertuah’ dan dapat ‘menikmati’ wang negara secara ‘haram’ yang diperolehi dari titik peluh pembayar cukai di negara ini. Dan golongan ini jugalah yang sentiasa ‘merengek’ dan ‘merayu’ agar orang Melayu ( golongan Melayu yang tidak bermaruah itu ) diberikan pertolongan dan bantuan.

Boleh aku katakan bahawa orang Melayu kebanyakan sememangnya ‘anak jantan’ dalam zaman penjajahan British dulu berbanding dengan keadaan sekarang yang sudah agak ramai juga menjadi ‘lelaki yang betina’. Aku ambil contoh dari segi merebut peluang pendidikan yang diberikan oleh British. Tidak ada Dasar Ekonomi Baru’ yang disediakan oleh British untuk anak-anak Melayu. British ada menyediakan biasiswa kepada anak-anak Melayu yang layak dan berkebolehan. Dan hanya yang memenuhi kelayakan sahajalah yang mendapat biasiswa berkenaan. Tidak ada pilih bulu sepertimana yang diamalkan oleh setengah-setengah pihak kini.

Apakah tidak hebat namanya jikalau anak Melayu pada zaman British boleh menduduki peperiksaan yang sama dengan anak-anak bangsa lain di seluruh dunia. Apakah tidak hebat namanya sekiranya ada anak Melayu ( kampung ) boleh lulus dengan cemerlang dalam peperiksaan Senior Cambridge dimana semua mata  pelajarannya mesti dijawab dalam Bahasa Inggeris. Dan yang paling menakjubkan lagi ialah adanya anak Melayu yang mendapat keputusan cemerlang dalam jurusan undang-undang di University Cambridge, England. Tun Sufian Hashim misalnya. Dan beliaulah akhirnya diberikan peranan untuk menerajui bidang kehakiman di negara kita. Maka tidak haranlah bidang kehakiman pada ketika itu menyerlah dan disanjung oleh bukan sahaja oleh rakyat di Malaysia tetapi juga dari negara-negara luar.

Orang Melayu masih perlu dibantu dalam bidang pendidikan. Setuju. Persoalannya ialah golongan Melayu yang macam mana yang perlu dihabiskan wang negara untuk membantu mereka. Apakah setelah lebih dari setengah abad negara dibebaskan oleh British, masih ramai orang Melayu memerlukan bantuan pendidikan. Ini menunjukkan ada yang tidak kena di mana-mana yang menyebabkan keadaan terjadi demikian.

Dan melalui pemerhatan aku sememangnya sudah ramai orang Melayu yang berada dan hebat. Elite Middle Class. Walaupun masih ramai juga orang Melayu  di kampung-kampung yang masih miskin. Sepatutnya golongan Melayu (yang miskin) yang sebeginilah yang perlu dibantu dan diberikan pertolongan. Sememangnya ada bantuan yang disalurkan oleh kerajaan menerusi ajensi-ajensi tertentu. Persoalannya sampaikah bantuan-bantuan itu kepada kumpulan sasar. Jawabnya ‘sampai’. Timbul juga persoalan, ‘ berapa peratuskah yang sampai dan berapa peratus yang tercicir di tengah jalan’?.

Hasrat kerajaan untuk mendirikan Sekolah Berasrama Penuh kerajaan dan Maktab Rendah Sains Mara adalah untuk memberikan peluang pendidikan kepada kanak-kanak luar bandar yang kurang bernasib baik. Setuju. Tetapi dari segi pelaksanaannya masih ramai anak-anak golongan berada dari bandar yang ‘menumpang’ belajar di sekolah-sekolah berkenaan.Tidak salah sekiranya quota untuk orang Melayu luar bandar sudah dipenuhi. Tetapi soalnya dengan kemasukan kanak-kanak dari golongan berada itu telah menyebabkan kanan-kanak luar bandar yang berkebolehan terpinggir. Lantas gagallah hasrat kerajaan untuk membantu kanak-kanak luar bandar yang miskin. Dan yang malangnya ada juga Pak Menteri kita yang juga menghantar anak ke sekolah berkenaan ‘mencuri’ quota yang disediakan kepada anak-anak kampung yang miskin.

Tahun 2014, Kurun ke 21, masih terdengar suara sayup-sayup orang Melayu ‘meminta nyawa’ agar mereka diberikan pertolongan. Masih terdengar suara dari atas yang meminta golongan yang ‘kaya’ membantu golongan yang ‘miskin’. Seolah-olah begitu mudah kehidupan yang dilalui oleh golongan Melayu sebegitu yang hidupnya hanya tahu meminta-meminta. Seolah-olah apabila berhadapan dengan kesusahan akan mengadu kepada pihak kerajaan. Dan yang agak malangnya ialah pihak kerajaan yang tidak berfikir panjang terus merayu kepada golongan ‘berada’ agar golongan ini dibantu. Aku merasakan perbuatan sedemikian agak memalukan.

Aku yakin ramai orang Melayu yang merasa malu dan terhina dengan tindakan setengah golongan orang Melayu yang sentiasa merayu dan meminta pertolongan itu. Dalam situasi yang begini seolah-olah kemerdekaan yang kita capai semenjak setengah abad yang lalu ditafsirkan oleh mereka sebagai satu zaman memerah kekayaan negara (yang dikurniakan Allah) untuk kepentingan mereka, ia itu orang Melayu yang lemah  dari semua segi, yang ‘kerja’ mereka adalah merayu, merintih, agar diberikan belas kasihan. Golongan Melayu yang sebgini sebenarnya amat memalukan golongan Melayu yang bekerja keras yang sanggup berhempas pulas untuk menegakkan maruah Melayu sebagai satu bangsa yang kuat dan dihormati oleh dunia.

Aku tak tahulah sampai bila agaknya golongan Melayu yang sebegini mengharapkan ‘tongkat’ untuk hidup.

abuhassanadam
23 Mei 2014


PS

Didapati "ANTARAPOS"  telah beberapa kali menggunakan nama saya Abu Hassan Adam untuk artikel yang disiarkannya. Saya tidak pernah memberi apa-apa sumbangan artikel kepada blog berkenaan dan tidak pernah menulis artikel bagi pihak berkenaan dan tidak berhasrat untuk berbuat demikian.

Harap maklum.

abuhassanadam

Thursday, May 22, 2014

MACAM MENONTON FILEM PURBAWARA


Suasana seperti yang digambarkan dalam filem-filem bercorak purbawara, masyarakat Melayu lama semacam sudah muncul semula pada awal kurun ke 21. Kebiasaannya suasana yang aku maksudkan itu dapat dilihat hanya melalui filem-filem bercorak purba tetapi kini sudah dapat dilihat ‘lakonan’ dalam bentuk ‘real’. Bukan lagi lakonan tetapi keadaan sebenarnya berlaku.

Jikalau dalam filem lama keluaran Jalam Ampas, watak itu biasanya dilakonkan oleh A.Rahim atau Salleh kamil atau Sharif Dol, pelakon watak jahat yang sukar dicari ganti. Sekiranya A.Rahim atau Salleh Kamil berlakon sudah pasti watak yang akan dilakonkan oleh mereka adalah watak jahat. Mereka akan melakonkan watak sebagai ketua samseng yang akan menggunakan tenaga anak buahnya untuk memeras ugut orang kampung ataupun sebagai ‘orang kuat’ Sultan atau Tok Penghulu yang tugasnya memastikan orang kampung membayar cukai kepada Sultan atau Tok Penghulu. Dan ‘anak buah’nya akan patuh tentang apa saja yang disuruh arah oleh boss mereka. Mereka tidak perlu banyak soal tentang ‘arahan’ yang disampaikan oleh boss.

Itu merupakan gambaran masyarakat Melayu feudal  seperti yang digambarkan dalam filem-filem Melayu. Namun ‘drama’ sedemikian seolah-olah berulang tayang dalam awal Kurun ke 21. Dan yang menghairankan kita ialah suasana sedemikian bukan lagi merupakan sebuah drama purba tetapi keadaan sebenarnya berlaku di hadapan mata kita. Bukan lagi lakonan seperti yang dilakonkan oleh A.Rahim itu tetapi perbuatan sebenar yang dilakukan oleh ‘pelakon’ sebenar.

Akhir-akhir ini sudah begitu banyak sekali ‘lakonan’ sedemikian ‘dipentaskan’. Bukan sahaja di Kuala Lumpur tetapi telah merebak ke Pulau Pinang. Mungkin juga ada ‘drama-drama’ sedemikian dipentaskan di temat-tempat lain yang diarahkan oleh ‘pengarah’ yang sama, namun tidak dilaporkan secara meluas oleh akhbar-akhbar atau TV arus perdana.

Seingat aku beberapa tahun lepas telah ‘dipentaskan’ ‘drama’ berjodol,’memijak kepala lembu’ di hadapan pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri Selangor. Dan selepas itu sebuah ‘drama’ lagi ‘dipentaskan’ di hadapan rumah Datok Ambiga. Drama dihadapan rumah Dato Ambiga agak lebih canggih lagi kerana diselang selikan dengan ‘drama-tari’ yang ditarikan oleh ‘penari-penari’ veteran. Dan semalam sebuah ‘drama’ lagi dipentaskan di Dewan Undangan Negeri Pulau Pinang. Lagi hebat. Kebiasaannya drama-drama sedemikian dipentaskan di panggung-panggung tetapi ‘drama’ yang ‘dipentaskan’ semalam berlaku di dalam Dewan Undangan Negeri Pulau Pinang.

Bagi aku ‘drama’ di Pulau Pinang itu ataupun serangan masuk ke dalam Dewan Undangan Negeri Pulau Pinang bukan perkara kecil yang hanya dipandang ringan. Kerajaan semestinya memandang perkara ini sebagai isu serious yang semestinya diambil tindakan keras dan dikenakan hukuman yang setimpal dengan perbuatan ‘menodai’ bangunan yang mulia. Dewan Undangan Negeri adalah setaraf dengan Parlimen dan seharusnya dihormati oleh rakyat. Para Ahli Dewan Undangan Negeri adalah merupakan wakil rakyat yang dipilih oleh rakyat. Dengan demikian sesiapa sahaja yang menceroboh dewan yang mulia ini adalah sebagai penceroboh dan amat kurang sopan.

Seingat aku tidak pernah lagi berlaku perbuatan yang sebegini tidak sopan dilakukan oleh rakyat Malaysia walu dari ketrunan apa pun, apatah lagi oleh orang Melayu yang terkenal dengan sikap beradab dan bertatasusilanya. Kebiasaannya orang Melayu yang berdarah Melayu tulin tidak akan melakukan perbuatan yang sedemikian rupa. Mungkinlah agaknya mereka sudah hilang akal yang menyebabkan mereka hilang pertimbangan dan melakukan perkara yang tidak sepatutnya dilakukan oleh orang yang siuman cara berfikirnya.

Kesan buruk daripada perbuatan terkutuk yang berlaku di Pulau Pinang itu amat besar kepada ekonomi negara sekiranya pihak polis tidak mengambil tindakan segera dan mengenakan hukuman yang setimpal kepada pesalah. Bagi aku perbatan sedemikian lebih buruk dan lebih teruk berbanding dengan beberapa tunjuk perasaan yang pernah diadakan di Kuala Lumpur. Demonstrasi yang diadakan adalah merupakan tindakan yang wajar yang termaktub dalam perlembagaan negara dan sememangnya merupakan salah satu elemen dalam sebuah negara yang mengamalkan demokrasi. Dan para peserta demonstrasi tidak langsung merosakkan barang-barang awam, apatah lagi menceroboh parlimen atau Dewan Undangan Negeri ataupun pejabat-pejabat kerajaan. Amat berbeza dengan yang dilakukan oleh penceroboh-penceroboh yang memasukki Dewan Undangan Negeri Pulau Pinang itu.

Pelabur luar pasti sedang memerhatikan keadaan sedemikian dengan penuh minat. Mereka tentu mula berfikir bahawa apakah Malaysia sudah tidak mempunyai undang-undang yang membolehkan hal sebegini berlaku. Dan rakyat Malaysia sedang mempersoalkan bagaimana penceroboh itu boleh dengan mudah dapat memasuki Dewan berkenaan. Dan rakyat mula juga bertanya dan menyoal diri sendiri, sekiranya Dewan Undangan Negeri pun boleh dimasuk dengan senang oleh penceroboh, maka tentulah amat mudah pihak penceroboh memasuki mana-mana bangunan yang hendak dimasuki oleh mereka.

Dan rakyat mungkin juga bertanya, apakah negara kita sudah tidak mempunayi peraturan dan undang-undang?

abuhassanadam
22 Mei 2014


PS

Didapati "ANTARAPOS"  telah beberapa kali menggunakan nama saya Abu Hassan Adam untuk artikel yang disiarkannya. Saya tidak pernah memberi apa-apa sumbangan artikel kepada blog berkenaan dan tidak pernah menulis artikel bagi pihak berkenaan dan tidak berhasrat untuk berbuat demikian.

Harap maklum.

abuhassanadam