MACAM MENONTON FILEM PURBAWARA
Suasana seperti yang digambarkan dalam
filem-filem bercorak purbawara, masyarakat Melayu lama semacam sudah muncul
semula pada awal kurun ke 21. Kebiasaannya suasana yang aku maksudkan itu dapat
dilihat hanya melalui filem-filem bercorak purba tetapi kini sudah dapat
dilihat ‘lakonan’ dalam bentuk ‘real’. Bukan lagi lakonan tetapi keadaan
sebenarnya berlaku.
Jikalau dalam filem lama keluaran Jalam Ampas,
watak itu biasanya dilakonkan oleh A.Rahim atau Salleh kamil atau Sharif Dol,
pelakon watak jahat yang sukar dicari ganti. Sekiranya A.Rahim atau Salleh
Kamil berlakon sudah pasti watak yang akan dilakonkan oleh mereka adalah watak
jahat. Mereka akan melakonkan watak sebagai ketua samseng yang akan menggunakan
tenaga anak buahnya untuk memeras ugut orang kampung ataupun sebagai ‘orang
kuat’ Sultan atau Tok Penghulu yang tugasnya memastikan orang kampung membayar
cukai kepada Sultan atau Tok Penghulu. Dan ‘anak buah’nya akan patuh tentang
apa saja yang disuruh arah oleh boss mereka. Mereka tidak perlu banyak soal
tentang ‘arahan’ yang disampaikan oleh boss.
Itu merupakan gambaran masyarakat Melayu feudal seperti yang digambarkan dalam filem-filem
Melayu. Namun ‘drama’ sedemikian seolah-olah berulang tayang dalam awal Kurun ke
21. Dan yang menghairankan kita ialah suasana sedemikian bukan lagi merupakan
sebuah drama purba tetapi keadaan sebenarnya berlaku di hadapan mata kita.
Bukan lagi lakonan seperti yang dilakonkan oleh A.Rahim itu tetapi perbuatan
sebenar yang dilakukan oleh ‘pelakon’ sebenar.
Akhir-akhir ini sudah begitu banyak sekali
‘lakonan’ sedemikian ‘dipentaskan’. Bukan sahaja di Kuala Lumpur tetapi telah
merebak ke Pulau Pinang. Mungkin juga ada ‘drama-drama’ sedemikian dipentaskan
di temat-tempat lain yang diarahkan oleh ‘pengarah’ yang sama, namun tidak
dilaporkan secara meluas oleh akhbar-akhbar atau TV arus perdana.
Seingat aku beberapa tahun lepas telah
‘dipentaskan’ ‘drama’ berjodol,’memijak kepala lembu’ di hadapan pejabat
Setiausaha Kerajaan Negeri Selangor. Dan selepas itu sebuah ‘drama’ lagi
‘dipentaskan’ di hadapan rumah Datok Ambiga. Drama dihadapan rumah Dato Ambiga
agak lebih canggih lagi kerana diselang selikan dengan ‘drama-tari’ yang
ditarikan oleh ‘penari-penari’ veteran. Dan semalam sebuah ‘drama’ lagi
dipentaskan di Dewan Undangan Negeri Pulau Pinang. Lagi hebat. Kebiasaannya
drama-drama sedemikian dipentaskan di panggung-panggung tetapi ‘drama’ yang
‘dipentaskan’ semalam berlaku di dalam Dewan Undangan Negeri Pulau Pinang.
Bagi aku ‘drama’ di Pulau Pinang itu ataupun
serangan masuk ke dalam Dewan Undangan Negeri Pulau Pinang bukan perkara kecil
yang hanya dipandang ringan. Kerajaan semestinya memandang perkara ini sebagai
isu serious yang semestinya diambil tindakan keras dan dikenakan hukuman yang
setimpal dengan perbuatan ‘menodai’ bangunan yang mulia. Dewan Undangan Negeri
adalah setaraf dengan Parlimen dan seharusnya dihormati oleh rakyat. Para Ahli
Dewan Undangan Negeri adalah merupakan wakil rakyat yang dipilih oleh rakyat.
Dengan demikian sesiapa sahaja yang menceroboh dewan yang mulia ini adalah
sebagai penceroboh dan amat kurang sopan.
Seingat aku tidak pernah lagi berlaku perbuatan
yang sebegini tidak sopan dilakukan oleh rakyat Malaysia walu dari ketrunan apa
pun, apatah lagi oleh orang Melayu yang terkenal dengan sikap beradab dan
bertatasusilanya. Kebiasaannya orang Melayu yang berdarah Melayu tulin tidak
akan melakukan perbuatan yang sedemikian rupa. Mungkinlah agaknya mereka sudah
hilang akal yang menyebabkan mereka hilang pertimbangan dan melakukan perkara
yang tidak sepatutnya dilakukan oleh orang yang siuman cara berfikirnya.
Kesan buruk daripada perbuatan terkutuk yang
berlaku di Pulau Pinang itu amat besar kepada ekonomi negara sekiranya pihak
polis tidak mengambil tindakan segera dan mengenakan hukuman yang setimpal
kepada pesalah. Bagi aku perbatan sedemikian lebih buruk dan lebih teruk
berbanding dengan beberapa tunjuk perasaan yang pernah diadakan di Kuala
Lumpur. Demonstrasi yang diadakan adalah merupakan tindakan yang wajar yang termaktub
dalam perlembagaan negara dan sememangnya merupakan salah satu elemen dalam
sebuah negara yang mengamalkan demokrasi. Dan para peserta demonstrasi tidak
langsung merosakkan barang-barang awam, apatah lagi menceroboh parlimen atau
Dewan Undangan Negeri ataupun pejabat-pejabat kerajaan. Amat berbeza dengan
yang dilakukan oleh penceroboh-penceroboh yang memasukki Dewan Undangan Negeri
Pulau Pinang itu.
Pelabur luar pasti sedang memerhatikan keadaan
sedemikian dengan penuh minat. Mereka tentu mula berfikir bahawa apakah
Malaysia sudah tidak mempunyai undang-undang yang membolehkan hal sebegini
berlaku. Dan rakyat Malaysia sedang mempersoalkan bagaimana penceroboh itu
boleh dengan mudah dapat memasuki Dewan berkenaan. Dan rakyat mula juga bertanya
dan menyoal diri sendiri, sekiranya Dewan Undangan Negeri pun boleh dimasuk
dengan senang oleh penceroboh, maka tentulah amat mudah pihak penceroboh
memasuki mana-mana bangunan yang hendak dimasuki oleh mereka.
Dan rakyat mungkin juga bertanya, apakah negara kita
sudah tidak mempunayi peraturan dan undang-undang?
abuhassanadam
22 Mei 2014
PS
Didapati "ANTARAPOS" telah beberapa kali menggunakan nama saya Abu Hassan Adam untuk artikel yang disiarkannya. Saya tidak pernah memberi apa-apa sumbangan artikel kepada blog berkenaan dan tidak pernah menulis artikel bagi pihak berkenaan dan tidak berhasrat untuk berbuat demikian.
Harap maklum.
abuhassanadam
No comments:
Post a Comment