MENANTI KEMENANGAN DYANA SOFEA
Rakyat menunggu dengan penuh debaran. Bukan
sahaja rakyat di Teluk Intan tetapi rakyat seluruh Malaysia yang merasakan
bahawa PRK Teluk Intan adalah luar biasa. Lain dari yang lain. Dan tentulah
kesan daripada keputusannya nanti juga agak berlainaan. Dikatakakan ramai orang
bahawa kesan keputusan PRK ini nanti akan mengubah landskap politik di
Malaysia.
Semalam YB Tengku Razaleigh menyatakan bahawa DAP
bijak mengatur tektik dalam PRK berkenaan dengan mengemukakan calon muda –Dyana
Sofea. Dan diperhatikan bahawa terlalu ramai yang bercakap mengatakan bahawa
dalam perkembangan politik baru di Malaysia (yang sedang bermula sekarang)
orang muda memainkan peranan yang cukup penting. Hanya UMNO(BN) sahaja yang
masih menyepi tentang hal ini menampakkan seolah-olah pemimpin UMNO(BN) yang
kebanyakannya sudah merangkak ke alam purba masih mahu berpaut kepada cara dan
adat lama dengan mengekalkan pemimpin purba dalam struktur parti mereka.
Apakah tindakan sedemikian wajar?
“I have been saying many
times in my speeches that Umno has to buck up. They have to start looking into
all those reform measures demanded by society…………(They would do it) if they are
really listening to the people, especially the youths because they are going to
be 60 percent of new voters in the next general election,” kata YB Tengku
Razaleigh Hamzah. (Malaysiakini 31 Mei 2014)
Dengan sebab itulah dapat aku
katakan bahawa keputusan PRK Teluk Intan ini amat penting untuk menentukan
bahawa apakah benar suara orang benar telah ‘kedengaran’. Dalam PRK Kajang yang
diadakan baru-baru ini telah nampak jelas bahawa anak muda memainkan peranan
penting dalam menentukan kemenangan DS Wan Azizah. Anak muda tidak lagi
kelihatan berperanan semata-mata sebagai perayu undi atau pekerja pilihan raya
sahaja tetapi telah menampakkan diri mereka penting sebagai penentu kemenangan
seseorang calon.
Dalam hal untuk ‘memikat’
orang muda supaya terlibat secara aktif dalam politik ini, nampaknya Pakatan
Rakyat telah terkehadapan dalam hal ini berbanding dengan UMNO (BN). Kemunculan
tokoh-tokoh muda seperti Nurul Izzah, Rafizi Ramli, Tony Pua, dan beberapa
orang lain telah menampakkkan bahawa Pakatan Rakyat telah sedar tentang peranan
orang muda dalam politik baru di
Malaysia. Dan kini dengan kemunculan Dyana Sofea telah merancakkan lagi suasana
‘kemeriahan’ yang sedia ada.
Mungkin Tun Dr Mahathir
sudah nampak akan kemungkinan kemunculan politik baru yang didokong oleh orang
muda. Dengan sebab itulah awal-awal lagi (semasa pentadbirannya) beliau telah
menubuhkan Puteri UMNO dan Putera UMNO. Namun disebabkan ketokohan
pemimpin-pemimpinnya maka seolah-olah Puteri UMNO dan Putera UMNO ‘hidup segan
mati tak mahu’. Kini kedua-dua cawangan itu masih berfungsi tetapi disebabkan
‘kehebatan’ dan ‘aura’ yang ditonjolkan oleh pemimpin muda dari Pakatan Rakyat seolah-olah telah
menenggelamkan pemimpin muda dari kalangan UMNO.
Dan ‘tenggelamnya’ pemimpin
muda dari UMNO bukanlah disebabkan semata-mata oleh ‘aura’ pemimpin muda
Pakatan Rakyat seperti Dyana Sofea, tetapi adalah juga disebabkan oleh keadaan
anak muda kini yang seolah-olah dahagakan perubahan. Mereka seolah-olah melihat
anak muda yang berada dalam UMNO sebagai wakil ‘kaum tua’ yang masih mahu
berpegang kepada tradisi lama sedangkan dunia sedang bergerak dengan begitu
laju yang menuntut berbagai-bagai perubahan. Dan mereka merasakan bahawa
pemimpin muda dalam Pakatan Rakyat adalah serasi dan sesuai dengan perjuangan
yang sedang mereka perjuangkan.
Rata-rata anak muda
terpelajar tahu tentang penyelewengan yang berbagai-bagai yang sedang berlaku kini.
Mereka membaca dan mengetahui berbagai-bagai perkara buruk dan berbagai skandal
melalui media sosial yang berlegar dengan pantas. Walaupun ada berbagai usaha
untuk menutup berita-berita yang tidak enak didengar dan tak molek dibaca namun
dalam zaman ini ‘mulut tempayan tidak akan boleh ditutup dengan adanya media
sosial yang pastinya akan menewaskan bila-bila masa sahaja media arus perdana.
PRK Teluk Intan yang sedang
berjalan kini pastinya akan memberikan berbagai jawapan dan tafsiran apabila
keputusannya diumum dan dianalisis nanti. Pastinya juga akan menimbulkan
suasana panik kepada setengah parti politik terutamanya UMNO (BN) apabila
keputusan diumumkan.
Ditakdirkan Allah Dyana
Sofea menang dalam PRK Teluk Intan ini berbagai persoalan telah terjelma dan
terjawab.
- · Maknanya sekurang-kurangnya Teluk Intan telah dapat memecahkan persoalan Melayu-bukan Melayu apabila kaum Cina beramai-ramai telah menyokong calon Melayu dengan tidak berbelah bagi.
- · Maknanya orang Melayu juga telah rela hati mengundi calon DAP yang semenjak sekian lama dianggap oleh orang Melayu bahawa DAP ini adalah parti yang dimonopoli orang Cina.
- · Maknanya pengundi di Teluk Intan yakin dengan kemampuan calon muda seperti Dyana Sofea.
- · Maknanya PAS, PKR dan DAP sangat akrab dan bekerjasama bersungguh-sungguh memenangkan calon DAP itu.
Dan berbagai-bagai analisis
lain yang boleh diketengahkan. Kita tunggu keputusan yang mendebarkan nanti.
Semua persoalan ini pasti
terjawab.
abuhassanadam
31 Mei 2014
PS
Didapati "ANTARAPOS" telah beberapa kali menggunakan nama saya Abu Hassan Adam untuk artikel yang disiarkannya. Saya tidak pernah memberi apa-apa sumbangan artikel kepada blog berkenaan dan tidak pernah menulis artikel bagi pihak berkenaan dan tidak berhasrat untuk berbuat demikian.
Harap maklum.
abuhassanadam
PS
Didapati "ANTARAPOS" telah beberapa kali menggunakan nama saya Abu Hassan Adam untuk artikel yang disiarkannya. Saya tidak pernah memberi apa-apa sumbangan artikel kepada blog berkenaan dan tidak pernah menulis artikel bagi pihak berkenaan dan tidak berhasrat untuk berbuat demikian.
Harap maklum.
abuhassanadam
This comment has been removed by the author.
ReplyDelete