Friday, May 16, 2014

GURU MENANGIS!........

Semalam aku menangis. Aku pasti  ramai lagi yang pernah menggelarkan dirinya ‘cikgu’ suatu masa dahulu pasti akan menangis juga mengenangkan kehadiran hari merayakan guru. Kalaupun tidak menangis teresak-esak mengalirkan air mata, sekurang-kurangnya hati dan perasaan ramai guru di Malaysia kini tetap ‘menangis’. Dan tidak pula dapat dinafikan bahawa ramai juga guru muda (yang aru sahaja menceburkan diri dalam lapangan perguruan) akan berada dalam keadaan keriangan apabila mendapat ucapan ‘selamat hari guru cikgu’ daripada anak muridnya di sekolah.

‘Hadiah’ yang paling berharga dan bernilai bagi seorang guru ialah apabila mendengarkan anak muridnya berjaya. Tidak kiralah dalam lapangan apa pun, asalkan dapat memberikan sumbangan penting kepada masyarakat dan negara. Seorang yang pernah menggelarkan dirinya sebagai ‘cikgu’ akan merasa begitu bahagia apabila mendapat tahu bahawa anak muridnya telah menjadi seseorang yang baik dan berguna kepada masyarakat.

Guru adalah antara golongan manusia yang sentiasa ‘syok sendiri’. Beliau tidak perlu diberikan hadiah berharga atau mendapat dan menerima pujian yang melambung. Malah ‘ucapan Selamat Hari Guru’ pun tidak diperlukannya. Yang diperlukannya ialah ‘berita’ yang mengatakan anak muridnya berjaya. Menjadi manusia yang berguna kepada masyarakat dan negara.

Seingat aku tidak ada guru dalam dunia ini yang mengajar anak muridnya perkara-perkara yang tidak baik.

·      Tidak ada guru yang menyuruh anak muridnya mencuri.
·      Cikgu Samad Kulup Seman tidak pernah menggalakkan anak muridnya menjadi penipu dan perompak.
·      Cikgu Yunus Shamsuddin yang sentiasa berpesan kepada anak muridnya supaya bercakap benar dan menjauhkan diri dari menjadi penipu.
·      Cikgu Ismail Shamsuddin yang sentiasa menasihati anak muridnya supaya sentiasa menghormati ibu bapa dan golongan yang lebih tua.
·      Mr Ang Chui Pek selalu berpesan supaya sentiasa berbuat baik kepada orang yang kurang berada tidak kira Melayu, Cina atau India.
·      Mr Muthusamy tidak menggalakkan anak muridnya supaya membenci antara satu sama lain.
·      Ustaz Mat Noor pula tidak pernah mengajar anak muridnya supaya memusuhi penganut agama lain. Dan beliau jugalah yang menyuruh berbaik-baik sesama manusia dan tidak kira walau dari bangsa apa sekali pun.

Mengenangkan hal sebegini aku menangis. Dan aku yakin ramai lagi ‘guru-guru tua’ seperti aku yang turut menangis mengenangkan sudah ramai ‘anak-anak murid’ yang sudah tidak mengikuti nasihat sebagaimana yang telah diberikan oleh guru dulu. Seolah-olah apa yang disampaikan oleh ‘cikgu’ dahulu diabaikan. Nasihat dan pesanan guru adalah seperti ‘mencurahkan air di daun keladi’. Apa tidaknya.

·      Begitu ramai ‘anak-anak murid’ yang seolah-olah melupakan ajaran guru agar tidak menjadi penipu dan tidak menjadi pencuri dan perompak. Kini begitu ramai ‘ anak murid’ yang telah melupakan ajaran itu. Mereka dengan tidak segan silu mengamalkan penipuan dan rasuah. Menipu wang rakyat yang berjumlah berbilion ringgit. Sudah lupakah agaknya mereka ajara guru mereka dahulu.
·      Dulu para guru mengajarkan berbagai ilmu agar ‘anak murid’ dapat memanfaatkannya. Guru sains misalnya mengajar ilmu itu bukan untuk memberikan pengetahuan kepada ‘anak murid’ supaya pandai merompak bank dan ‘memecah rumah’. Ilmu yang diberikan oleh guru itu adalah untuk ‘anak murid’ berjaya menjadi seseorang yang berguna kepada masyarakat.
·      Guru matapelajaran Ekonomi mengajar ‘anak murid’nya ilmu sedemikian bukan untuk membolehkan anak muridnya menipu kerajaan dengan projek lembu yang bernilai berjuta ringgit sedangkan projek berkenaan tidak pun wujud di negara ini. Cikgu tidak mengajar begitu.
·      Guru mengajar ‘anak murid’ supaya bermoral dan berperangai baik sekiranya ditakdirkan menjadi pemimpin negara dan tidak sekali-kali mengajar ‘anak murid’nya supaya mengabaikan kesejahteraan rakyat yang dipimpin dan sentiasa mementingkan kekayaan untuk diri dan keluarga. Guru tidak mengajar begitu.
·      Guru sejarah sentiasa mengingatkan ‘anak murid’nya supaya menjadikan pelajaran berkenaan sebagai teladan dan jadikanlah sesuatu yang baik sebagai teladan dan sesuatu yang buruk dijadikan sempadan. Guru sentiasa mengajar anak muridnya tentang menjaga harga diri dan maruah. Guru sentiasa berpesan agar maruah diri dan keluarga sentiasa di pertahankan disamping mempertahankan dan menegakkan maruah bangsa dan negara. Kini sudah terdapat begitu ramai ‘anak murid’ yang melupakan nasihat sedemikian. Ramai yang sudah tidak langsung berpegang kepada prinsip perjuangan. Ramai yang sudah lupa akan pentingnya menjaga maruah diri dan keluarga. malah sudah ramai yang tidak mempeduli dan mempertahankan maruan negara bangsa. Apatah lagi mempertahankan agama.

Semalam aku menangis. Dan sebagaimana aku katakan mungkin ramai lagi para guru yang menangis. Terlau sedih dan kecewa dengan sikap dan tindakan yang dilakukan oleh ‘anak murid’ yang seolah-olah ‘melawan’ ajaran guru. Apakah yang boleh dilakukan oleh seorang guru melainkan berdoa kepada Allah agar ‘anak murid’nya menyedari semula dan mengingati ajaran guru suatu ketika dulu.

Dengan berat hati aku ucapkan jugalah ‘SELAMAT HARI GURU’

abuhassanadam
16 Mei 2014


No comments:

Post a Comment