DYANA MANIA : ANAK MUDA MENINGGALKAN UMNO
Satu waktu dulu pernah aku tulis membayangkan
kemungkinan UMNO akan senasib dengan dinosaur, sejenis binatang yang gagah dan
kuat yang ditakuti oleh semua binanatang di atas bumi ini, akhirnya hilang dan
lenyap. Oleh itu aku membayangkan apakah UMNO juga akan serupa nasibnya dengan
dinosaur. Kini sudah mula muncul satu ‘petunjuk’ yang dinamakan ‘Dyana Mania’
dalam PRK Teluk Intan. Apakah ‘Dyana Mania’ akan menjadi pemangkin kepada
proses penghijrahan anak muda Melayu khususnya meninggalkan UMNO.
Apakah Tun Mahathir yang merupakan pemimpin UMNO
begitu lama sudah dapat membayangkan keadaan sedemikian akan berlaku. Mungkin
agaknya Tun sudah dapat merasakan keadaan sedemikian akan berlaku dan hanya
sekadarkan beliau tidak mahu menyebutnya dan mungkin juga terlalu gerun untuk
melafazkannya. Jikalau tidak begitu ‘ramalan’nya tentulah tidak mungkin beliau
begitu gabra meperkatakan tentang penampilan anak muda bernama Dyana dalam PRK
Teluk Intan.
Mungkin pemimpin UMNO yang lain tidak dapat
nampak apa yang ‘dilihat’ dan ‘direnung’ oleh Tun Mahathir. Pastinya Tun
Mahathir amat bimbang tentang perkembangan yang berlaku kini. Apa tidaknya.
Dulu DAP adalah dianggap sebagai parti kaum Cina. Dan sehingga kini DAP
sentiasa dianggap dan diwar-warkan sebagai parti rasis yang memperjuangkan kepentingan
Cina dan anti Melayu. Tetapi dengan kehadiran beberapa pemimpin Melayu dalam
DAP, tohmahan dan anggapan sebegini pastinya akan hilang dengan sendirinya.
Yang paling merunsingkan para pemimpin UMNO ialah
hilangnya label UMNO yang sentiasa dikatakan bahawa UMNO sahajalah yang akan
memperjuangkan orang Melayu. Kini sudah ada tiga parti yang kuat dan kukuh
yang bukan sahaja memperjuangkan orang
Melayu tetapi juga kaum Cina, India, Kadazan, Dayak dll Maknanya lama kelamaan
orang Melayu yang berpendidikan akan lebih selesa dengan parti yang
berorientasikan bangsa Malaysia, yang berteraskan orang Melayu.
Hakikat ini yang pada fikiran aku amat
membimbangkan pemimpin UMNO terutama Tun Dr. Mahathir. Dan kemunculan Dyana
mungkin merupakan ‘catalyst’ dan ‘game changer’ yang akan mencetuskan
berbagai-bagai perkembangan selepas ini. Mungkin….
Oleh
itu mahu tak mahu UMNO kena berubah ikut zaman. Jikalau tidak nasib UMNO akan
sama dengan nasib Dinosaur. Lenyap di atas muka bumi ini. Dalam banyak hal UMNO
terpaksa buat perubahan. Bak kata peribahasa Melayu, ‘sekali air bah sekali
pasir berubah’. ‘Air bah’ telah pun berlaku dan telah meninggalkan kesan-kesan
yang memaksa ‘pasir’ berubah. Hukum alam mengatakan bahawa pasir mesti
berubah selepas air bah. Oleh itu tidak salahnya ahli UMNO melihat keadaan
sedemikian daripada mencari jalan menyalahkan ‘orang’ itu dan menyalahkan ‘
pihak’ ini. Buang masa. Bukan zamannya kita membebel dan menyalahkan orang
lain. Orang UMNO juga selalu’ menyalak’ ke sana ke mari menyuruh orang lain ‘
think positive’. Diri sendiri bagaimana?
Aku
perhatikan ramai pemimpin UMNO yang masih berada pada tahap tahun-tahun
60an. Jikalau ada pun perubahan cara berfikir dan bertindak, ia hanya
berlaku dikalangan setengah pemimpin. Sedikit benar bilangannya. Apa tidaknya.
Hadirkanlah diri di Persidangan Agung UMNO (PAU) yang diadakan pada setiap
tahun itu. Itulah rupanya semenjak dari dulu sehinggalah sekarang. Dari segi
penyampaian dan ‘input’ aku rasa tak banyak beza dengan keadaan pada tahun-tahun
60an dan 70an, walaupun ada usaha pembaharuan yang cuba hendak
diketengahkan oleh golongan muda, namun usaha yang sedemikian ‘tak jalan’.
Itulah UMNO sehingga kini dan mungkin selama-lamanya.
Berbalik
kepada persoalan perubahan yang perlu dilakukan oleh UMNO. Aku tidak dapat
memberikan formulanya. Aku hanya ‘pandai’ mengkritik tetapi tidak dapat
memberikan penyelesaiannya. Itu aku mengakuinya. Dan bukan pula tugas aku nak
memikirkannya. Cuma aku dapat memberikan senario yang sedang dan akan dihadapi
oleh UMNO sekiranya mahu menjadikan parti itu relevan.
UMNO terpaksa mengambil kira perasaan anak muda generasi DEB,
terutamanya anak muda Melayu yang berpendidikan tinggi. Cara berfikir mereka
agak berlainan dengan cara berfikir generasi lama – generasi sebelum DEB.
Golongan ini tediri daripada para eksekutif yang boleh berdikari dengan ilmu
dan ijazah yang mereka perolehi. Mereka tidak memerlukan ‘tongkat’ atau
penggantungan kepada sesiapa. Mereka berdikari. Lantas cara berfikir mereka
juga amat sukar dipengaruhi.
Ramai anak muda generasi Kurun ke 21 sudah tidak berfikir berlandaskan
kaum dan bangsa. Ini berlaku pada Melayu, Cina, India dan kaum-kaum lain.
Mereka sudah tidak berapa peduli sangat tentang kedudukan kaum dan bangsa.
Mereka adalah Bangsa Malaysia. Keadaan ini berlaku adalah ekoran daripada
sukatan pelajaran yang merentasi kurikulum yang didedahkan kepada mereka di
sekolah-sekolah.
Aku
perhatikan UMNO secara umumnya semacam tidak sedar tentang perkembangan yang
dinyatakan di atas. UMNO masih syok sendiri. UMNO masih ‘melayan’ orang Melayu.
Masih ‘menjaga’ hati orang Melayu. Begitu ‘enaknya’ melayan ‘mimpi-mimpi’ yang
endah sehinggakan ramai orang Melayu tidak sedar tentang perkembangan yang
berlaku disekeliling.
Memang
berlaku. Dan aku perhatikan keadaan itu dengan penuh minat. Aku nampak macam
cerita seekor katak yang berada dalam air yang dipanaskan. Disebabkan terlalu
selesa berada dalam air berkenaan, sikatak lupa bahawa air sedang dipanaskan.
Si katak baru sedar yang ia dalam bahaya setelah air telah mendidik.
Kesannya…..
fikirlah sendiri…..
Abuhassanadam
27
Mei 2014
PS
Didapati "ANTARAPOS" telah beberapa kali menggunakan nama saya Abu Hassan Adam untuk artikel yang disiarkannya. Saya tidak pernah memberi apa-apa sumbangan artikel kepada blog berkenaan dan tidak pernah menulis artikel bagi pihak berkenaan dan tidak berhasrat untuk berbuat demikian.
Harap maklum.
abuhassanadam
No comments:
Post a Comment