ANTARA HUDUD
DAN PAKATAN RAKYAT
Sebenarnya aku amat gentar untuk membicarakan isu
yang amat sensitif ini. Banyak sebabnya. Pertama pernah dikatakan oleh orang
tua-tua bahawa,’ jikalau kail panjang sejengkal jangan laut hendak diduga’.
Sememangnya ‘kail’ aku tak cukup sejengkal pun. Namun demikian biarlah aku
memberanikan diri untuk membicarakan hal yang berkaitan dengan Hudud dan tidak
akan membicarakan mengenai hukum Hudud ‘per se’ (Latin). Maknanya aku tidak
akan membicarakan hukum Hudud dengan cara yang tersendiri –by itself (kata
orang putih). Ramai para ulama diluar sana yang akan membicarakannya. Serahkan saja
kepada mereka.
Yang memberanikan aku untuk sama-sama
membincangkan isu ini adalah berpunca daripada dua tiga pendapat daripada
beberapa orang tokoh yang seakan-akan sama dengan apa yang aku fikirkan. Dengan
demikian aku akan menumpang ‘sekaki’ pandangan mereka itu dan dengan izin aku
akan sesuai dan lanjutkan perbincangan berasaskan pandangan mereka.
Free Malaysia Today bertarikh 2 Mei 2014 ada
memetik kenyataan USM associate
professor in Islamic studies Dr Mohd Asri Zainul Abidin yang
mengatakan bahawa, “PAS
should be pursuing social justice instead of hudud to achieve their
dream in forming an Islamic state’. Lantas beliau membandingkan zaman ini
dengan zaman Rasullallah.’ “Our present society is consumer-based and there are
untouchables who are beyond the law….During the Prophet’s time, there was no
reason for theft. All were even. The rulers had no interest taking a cut
from the state’s treasury…….it is a just society where everyone is treated
equally where there is no reason to commit sins such as adultery and theft,”
Hujah
ini pasti akan dipertikaikan. Dan tugas aku bukan untuk berdebat tentang isu
ini. Awal-awal lagi sudah aku katakan bahawa aku tidak akan berdebat tetang isu
ini kerana ‘kail aku yang panjang sejengkal’. Namun aku merasakan ada
kebenarannya. Dan untuk mencari jalan penyelesaiannya, maka aku merasakan
bahawa perlulah dipertimbang dan diperhalusi dengan sehalus-halusnya sebelum
dikemukakan untuk dipertimbangkan. Dan ini bukan perkara kecil. Memberikan
penjelasan kepada rakyat Malaysia bukan kerja senang.
Hukum
Hudud adalah undang-undang Islam yang telah terbukti keberkesanannya. Dan
pernah diuji dan dilaksanakan. Berkesan. Namun untuk memberikan penjelasan
tentang keberkesanannya itu memerlukan kepakaran. Jangankan untuk menjelaskan
kepada yang bukan Islam, untuk memberi kefahaman kepada orang Islam pun begitu
sukar. Ramai yang hanya tahu menyebut perkataan ‘Hukum Hudud’ yang sering
dikaitkan dengan ‘hukum kerat tangan’. Bukan sahaja yang bukan Islam berkata
begitu, ramai juga orang Islam yang beranggapan sedemikian. Dan tugas besar
yang berada dihadapan kita ialah bagaimana untuk menjelaskan perkara berkenaan
supaya rakyat Malaysia betul-betul memahaminya.
Jangan
dipersalahkan golongan bukan Melayu sekiranya mereka menentang Hukum Hudud.
Mereka tidak tahu dan tidak jelas. Bagaimana mereka nak menyintainya sekiranya
mereka belum kenal lagi. Dan sehingga kini mereka belum dikenalkan. Mereka
hanya mendengar bahawa Hudud akan diperkenalkan. Dan bagi setengah daripada
golongan bukan Islam merasakan bahawa kemunculan Hudud adalah merupakan
kemunculan satu bayangan yang amat menggerun dan paling menakutkan.
Sekiranya
begitu penerimaan bukan Melayu terhadap hukum Hudud yang akan diperkenalkan
oleh PAS, aku terfikir tentang nasib Pakatan Rakyat pula yang terdiri daripada
PKR, PAS dan DAP. Sudah pun terdengar bisik-bisik yang mengatakan bahawa DAP
kurang senang dengan tindakan PAS yang akan memperkenalkan hukum Hudud ini. Dan
ada pula pihak yang agak lantang menyatakan bahawa hasrat PAS memperkenalkan
Hudud ini tidak akan terbantut yang bermakna bahawa PAS akan meneruskan
rancangannya itu.
Bagaimana
pula dengan nasib Pakatan Rakyat?
Sehubungan
dengan persoalan ini aku sependapat dengan Dr. Farouk Musa, Pengarah Islamic
Renaissance Front (IRF). Kenyataan beliau yang dipetik oleh Malaysiakini
bertarikh 2 Mei 2014 menyatakan, ‘Kita telah bekerja begitu keras untuk merubah
rejim dalam negara ini. Ia dilakukan bukanlah kerana kita menyayangi Pakatan
Rakyat. Namun kini, dengan isu ini (hudud) sahaja, Umno akan terus kekal
memerintah untuk 50 tahun akan datang,"
Aku merasakan apa yang
dikatakan oleh beliau perlu dipertimbangkan dengan sehalus-halusnya sebelum
‘nasi menjadi bubur’. Ramai rakyat
Malaysia akan kecewa sekiranya apa yang ‘diramalkan’ ini menjadi kenyataan.
Pakatan Rakyat dengan kerjasama tiga parti terbesar, PAS, DAP, PKR sememangnya
sudah amat hampir menuju destinasi yang dicita-citakan untuk menewaskan BN dan
seterusnya menerajui pemerintahan di negara ini. Dan janganlah dikecewakan
harapan rakyat ini. Biarlah putih tulang dan janganlah putih mata.
Hukum Hudud adalah
undang-undang Islam yang tidak boleh dipertikaikan keberkesanannya oleh umat
Islam, tetapi pelaksanaanya tentulah agaknya berdasarkan kepada situasi
tertentu yang membolehkan undang-undang berkenaan dilaksanakan. Tuhan sentiasa
memberikan berbagai kelonggaran bagi penganutnya untuk melaksanakan sesuatu ‘arahan’
yang diberikan.
Terlintas di kepala aku
tentang kelonggaran yang diberikan oleh Allah berkaitan dengan hal-hal solat. Solat Jamak dan Qasar ‘dianugerahkan’ oleh Allah adalah
untuk mempermudahkan atau memberikan keringanan kepada orang yang musafir lebih
dari 2 marhalah. Orang musafir sering mengalami masalah dalam perjalanannya,
sukar untuk berhenti solat dan sebagainya. Maka dari itulah Allah memberikan
kemudahan kepada umat Islam untuk jamak dan qasar solat fardhunya. Dengan
demikian tiada alasan lagi bagi orang yang musafir untuk meninggalkan solat
fardhu.
Mungkin
tidak sesuai perbandingan yang aku kemukakan. Namun pada hakikatnya, aku masih
yakin bahawa Allah itu maha pemurah dan memahami permasalahan yang dihadapi
oleh penganutnya. Dan Allah juga memberikan kita akal dan fikiran untuk
memikirkan sesuatu untuk kepentingan bersama.
abuhassanadam
4 Mei 2014
No comments:
Post a Comment