ERA DYANA SOFIA : MUNCULNYA POLITIK BARU DI MALAYSIA
Satu trend baru kelihatan dalam masa berkempen
PRK Kawasan Teluk Intan ialah kecondongan kepimpinan parti komponen Pakatan
Rakyat untuk menonjolkan golongan muda supaya bergiat cergas dalam politik. Perkembangan
ini amat jelas kelihatan pada kepimpinan PAS ataupun DAP mahupun PKR. Dan
tentunya amat berbeza dengan ‘fahaman’ yang masih ditonjolkan oleh UMNO (BN)
yang masih berpaut kepada cara lama ia itu seolah-olah mengenepikan orang muda.
Dengan sebab itulah sekiranya Dyana mengikut jejak langkah ibunya menyertai
puteri UMNO berkemungkinan beliau tidak akan dapat menduduki tempat sebagaimana
beliau diletakkan oleh DAP kini.
DS Anwar Ibrahim, TG Haji Hadi dan YB Saudara Lim
Kit Siang nampaknya telah mengorak langkah yang luar biasa memberikan perhatian
khusus kepada anak muda. YB Lim misalnya telah mempertaruhkan tindakannya
dengan pengorbanan yang bukan kecil meletakkan Dyana bertanding di PRK Teluk
Intan. Seorang calon muda. Melayu. Masih dikira tidak berpengalaman dalam sepak
terajang politik, tetapi ‘disuruh’ bertanding di situ. Menunjukkan bahawa YB
Saudara Lim Kit Siang telah ‘memperjudikan’ masa hadapan politiknya. Pastinya
ada suara-suara sumbang yang menentang tindakannya itu. Namun disebabkan keyakinannya
untuk mengenengahkan anak muda sebagai calon maka keputusan terpaksa dibuat.
Melalui gerak gerinya, dapat ‘dibaca’ bahahwa
sememangnya beliau sangat mengharapkan kemenangan Dyana, kerana kemenangan itu
nanti akan membawa kepada implikasi yang amat besar. Melalui gerak gerinya juga
dapat ‘dibaca’ bahawa sememangnya hasrat YB Lim Kit Siang berusaha untuk
‘memadamkan’ tanggapan banyak pihak yang mengatakan bahawa partinya DAP adalah
parti milik orang Cina. Tetapi dengan mengemukakan Dyana sebagai calon,
gambaran sedmikian sudah mula agak pudar. Dan akan lenyap sekiranya Dyana
menang dalam PRK nanti dengan undian dari berbagai kaum yang dapat membuktikan
dengan jelas bahawa DAP adalah sebuah parti yang tidak memihak kepada mana-mana
kaum di Malaysia..
Aku yakin kemenangan Dyana nanti (Insyallah) akan
merupakan titik tolak dalam pembentukan satu rupa bangsa Malaysia yang akan
dicorakkan oleh anak muda dengan restu dan bimbingan ‘orang tua’ yang
berpengalaman. Aku perhatikan tindak tanduk YB TG Haji Hadi adalah luar biasa
sekali dalam PRK Teluk Intan ini. “kemesraan’ dan hubungan ‘bapak-anak’ yang
ditonjolkannya terhadap Dyana adalah merupakan sesuatu yang luar biasa. Aku
tidak tahu apakah tarikan yang ada pada anak gadis ini yang menyebabkan
seolah-olah TG Haji Hadi sanggup memberikan sokongan PAS yang tidak berbelah
bagi pada DAP untuk memenangi PRK ini.
Dengan kehadiran dan penglibatan DS Anwar Ibrahim
sudah cukup memberikan bukti bahawasanya ketiga-tiga kepimpinan tertinggi
Pakatan Rakyat mengharapkan kemenangan DAP dalam PRK. Seolah-olah kemenangan
itu nanti akan merupakan kemenangan calon muda yang akan mencorak dan
menentukan masa depan politik negara.
Anak-anak muda di seluruh negara sudah dapat
‘membaca’ dan memerhati bahawa sebenarnya Pakatan Rakyat sedang melatih dan
membimbing anak-anak muda supaya terjun ke kancah politik. Dan sememangnya PRU
14 nanati adalah PRU yang akan ditentu dan dimiliki oleh anak muda. Anak muda
akan menjadi penentu segalanya. Dengan demikian kepimpinan Pakatan Rakyat telah
mengorak langkah dengan menampilkan orang muda untuk ditonjolkan menduduki
kerusi di parlimen atau di dewan undangan negeri nanti.
Konsep perjuangan amat rapat kaitannya dengan orang muda. Malah
konsep perjuangan hampir sama dengan konsep nasionalisme yang dipopularkan
Barat. Memperkatakan mengenai pemuda atau orang muda seolah-olah tidak lengkap
jika tidak disertakan dengan perkataan ‘perjuangan menentang Malayan Union’
oleh pemuda UMNO pada suatu ketika dahulu.
Persoalannya ialah apakah orang muda kini atau lebih tepat lagi
generasi muda kini betul-betul memahami perjuangan sebagai mana
kefahaman yang dianuti oleh generasi lama ( yang mungkin sudah tidak ramai lagi
yang berada di dunia ini).
Orang Melayu berjuang habis-habisan menentang gagasan yang cuba
merendah-rendahkan dan menghina bangsa Melayu. Bermulalah satu perjuangan anak
muda Melayu menegak dan menebus maruah bangsa Melayu yang tidak ada tolok
bandingnya dalam sejarah Malaysia sehingga tercapainya kemerdekaan pada 1957.
Apakah perjuangan orang Melayu sudah selesai? Dan apakah agenda
dan bentuk perjuangan bangsa Malaysia pula dalam era globalisasi kini? Dengan
kata-kata lain apakah perancagan konkrit orang muda kini untuk
mengharungi Kurun ke 21. Apakah sumbangan anak muda era kurun ke21 dalam
meningkatkan taraf dan maruah bangsa Malaysia di persada antarabangsa. Aku
nampak masih kosong. Mungkin ada tetapi belum sampai kepada ‘pencapaian’ anak
muda 1940an dan 1950an. Belum….
Dilihat dari persepektif sejarah, persiapan yang telah disiapkan
oleh pemimpin terdahulu agak lengkap atau hampir lengkap. Bermula dari
kepimpinan Tunku Abdul Rahman, Tun Abdul Razak seolah-olah telah menyediakan
tapak yang cukup kukuh bagi anak muda untuk melonjak ke hadapan.
Anak muda harus meneruskan perjuangan yang terhenti itu. Konsep
anak muda di Malaysia tidak lagi terhad kepada anak muda Melayu tetapi sudah
merangkumi anak muda Cina, India dan lain-lain. Anak muda Malaysia seharusnya
mempunyai agenda yang tersendiri bagaimana untuk mewujudkan bangsa Malaysia
yang bermaruah. Anak muda Melayu, Cina dan India harus berfikiran sebagai anak
muda Malaysia dan bukan sebagai anak muda Melayu yang berjuang untuk menentang
Malayan Union pada 1946 dahulu. Hakikat ini harus disedari oleh semua anak muda
Malaysia.
Masyarakat Malaysia seolah-olah menunggu agenda besar yang harus
diperjuangkan oleh generasi muda Malaysia kini. Apakah generasi muda kini masih
belum bersedia untuk merangka satu agenda besar untuk kepentingan rakyat
Malaysia. Apakah belum cukup ilmu di dada dan belum ‘terasah keris di pinggang’
untuk melancarkan satu perjuangan Abad ke 21.
Satu hakikat yang perlu ditegaskan juga walaupun amat pahit untuk
ditelan ialah masih ada – atau sebenarnya masih ramai – anak-anak muda Malaysia
‘terikut-ikut’ dengan rentak ‘orang tua’ di negara ini. Maknanya apa yang telah
dirangka oleh ‘orang tua’ terus menerus diikuti secara membuta tuli tanpa
memikirkan baik buruknya ‘langkah’ yang telah diatur oleh orang tua ( yang
terlebih dahulu makan garam) itu. Bak kata orang sekarang – tidak ternampak
satu anjakan paradigma.
Anak muda Malaysia kena berfikir tentang masa hadapan yang akan
mereka lalui. Masa hadapan adalah milik anak muda kini bukan milik ‘orang tua’
kini. Dan malangnya apa yang ‘diperjuangkan’ oleh anak muda kini tidak dapat
dihayati oleh keseluruhan anak muda. Apakah tidak adanya ‘ Malayan Union’ maka
anak muda kini sudah hilang arah dan tujuan dan seolah-olah mereka hilang
pedoman. Seolah-olah anak-anak muda seperti layang-layang putus tali.
Sudah tentulah tidak ada masa bagi memikirkan soal perjuangan
sekiranya kebanyakan masa dihabiskan untuk membicarakan perkara remeh dan tidak
menguntungkan. Generasi muda harus mempersiapkan diri menempa dan berusaha
untuk mengukir satu perjuangan yang boleh mengakngkat martabat bangsa di hari
muka.
Tugas itu bukan senang. Ia memerlukan komitmen dan pengorbanan
yang bukan kepalang. Walaupun ‘ribut dan taufan’ yang melanda, ‘orang tua’
masih yakin bahawa anak muda Malaysia yang terdiri Melayu, Cina dan India,
India dan Kadazan dapat melakarkan satu perjuangan besar yang boleh dibanggakan
oleh bangsa Malaysia dan generasi tua yang bakal meninggalkan dunia ini, lambat
laun.
‘Dyana Mania’ harus diteruskan.
Abuhassanadam
29 Mei 2014
PS
Didapati "ANTARAPOS" telah beberapa kali menggunakan nama saya Abu Hassan Adam untuk artikel yang disiarkannya. Saya tidak pernah memberi apa-apa sumbangan artikel kepada blog berkenaan dan tidak pernah menulis artikel bagi pihak berkenaan dan tidak berhasrat untuk berbuat demikian.
Harap maklum.
abuhassanadam
Memilih kepimpinan muda memang ada kelebihannya tetapi perlu juga diingat bahawa pemimpin-pemimpin dewasa dan banyak pengalaman juga penting dalam sesuatu kepimpinan. Orang muda penuh dengan semangat membara tetapi ada kalanya semangat membara itu didorong oleh emosi menyebabkan tindakannya kurang melihat kepada relaliti semasa dan setempat. Di sinilah perlu orang dewasa yang berpengalaman untuk memandu orang muda bertindak mengikut jalan yang sederhana. Sebenarnya, BN ada banyak pilihan untuk mengetengah pemimpin-pemimpin muda, iaitu dengan mencalonkan pegawai-pegawai awam dari pelbagai bidang profesion sebagai calon dalam pilihanraya umum atau kecil. PR tidak banyak pilihan kerana mereka tak dapat nak ambil pegawai awam sebagai calon, mungkin boleh diatakan bahawa tiada seorang pun pegawai awam yang sanggup menjadi calon PR kerana jika mereka berbuat demikian, maka banyak kemudahan hidup mereka terpaksa dikorbankan. Tapi lain halnya dengan mereka yang bekerja sendiri, seperti seorang peguam, doktor, peniaga dll. Risiko mereka terjejas daripada segi kemudahan hidup seperti penadapatan adalah rendah kerana kalaupun mereka kalah, mereka masih boleh menruskan aktiviti atau urusan ekonomi mereka melalui apa yang mereka buat sebelumnya. Mereka tidak bergantung kepada kerajaan yang memerintah, tetapai mereka bergantung kepada orang ramai sebagai pelanggan mereka.
ReplyDeleteOrang muda masih kurang pengalaman, justeru perlu bimbingan daripada orang tua..juga seperti catatan sejarah penting jadi pedoman kepada anak-anak muda. Anak muda masuk ke sekolah dilengkapi pengetahuan sifar; diberi pelbagai tunjukajar/didikan berpandukan sukatan pelajaran yang ditentukan oleh kerajaan. Pengetahuan dan ilmu yang dterima oleh anak murid tidaklah sempurna jika mereka tidak diajar sejarah dan aspirasi negara. Oleh itu, sekiranya fakta-fakta dalam buku sejarah sekolah kita sengaja ditukar faktanya, atau topik-topik yang penting dianggap tidak lagi penting (dan dikeluarkan), tindakan begini adalah merbahaya. "The young minds are impressionable", yakni anak muda senang sahaja dipengaruhi. Dan sekiranya betul kata-kata bahawa ""history is written by victors", maka anak muda kita dengan mudah disuap dengan fakta sejarah yang kurang tetap, Dan tidak kurangnya kesan daripada tohmahan, berita palsu/yang kurang tepat yang mereka dengar atau baca setiap hari.
DeleteAdakah 'kebangkitan' anak muda sebaik sahaja tamat PR13 tahun lepas betul-betul menyaksikan suatu kebangkitan anak muda yang belum pernah disaksikan di negara ini, yang memberi tanda bahawa anak muda kita daripada pelbagai kaum telah sedar bahawa mereka harus lebih agresif untuk menentukan masa depan negara? Dan penglibatan ramai anak muda bukan Melayu menandakan suatu trend positif bahawa mereka ingin melibatkan diri dalam urusan negara? Saya kira 'ya' dan 'bukan'. Perlulah ingat bahawa walaupun adanya penglibatan anak muda bukan Melayu dalam arena politik kebelakangan ini, penglibatan mereka lebih berunsur "hangat-hangat tahi ayam". Mereka sebenarnya tidak berani/kurang minat semasa berdepan dengan isu-isu yang lebih hangat. Adakah kita akan lihat apa yang berlaku di Thailand di mana dua puak politik yang bertentangan boleh bertembung sekian lama? Beranikah orang-orang bukan Melayu yang mewakili parti selain daripada UMNO atau PAS melawan ahli-ahli UMNO atau PAS (bukan di kotak undi) tetapi secara nyatanya?
Kelihatan seorang gadis Melayu untuk bertanding di Teluk Intan adalah tindakan yang baik daripada pucuk pimpinan DAP/PKR. Objektif utama ialah untuk mengikis tanggapan bahawa DAP adalah parti rasis Cina; tetapi untuk menolak tanggapan minda Melayu bahawa DAP bukan parti cauvinis Cina/komunis agak sukar. Ini akan ambil masa yang lama sehingga lebih ramai orang Melayu menyertai DAP. Ini satu cabaran yang besar buat DAP. Senario politk negara bercelaru. Apakah PAS dengan agenda pelaksanaan Hududnya sudah memberi isyarat kepada orang bukan Islam di negara ini yang tidak akan menyokongnya pada PRU14 nanti?