“PENGHIJRAHAN” DARI KBSM KE IGCSE –
PASTINYA BUKAN SALAH IBU MENGANDUNG…..
Pada hari Sabtu, 3 Mei 2014, disalah sebuah
sekolah swasta terkenal di Subang Jaya terdapat seramai 270 orang kanak-kanak
yang berumur 12 tahun menduduki peperiksaan ‘Entrance Examination’ untuk
memasuki kelas aliran IGCSE (International General Certificate of Secondary Education) yang disediakan
di sekolah berkenaan. Difahamkan tempat belajar yang ada di sekolah berkenaan
hanya terdapat 70 tempat sahaja. Dengan
sebab itulah agaknya sekolah berkenaan mengadakan ‘tapisan’ bagi
kanak-kanak yang ingin melanjutkan pelajaran dalam aliran IGCSE walupun
terpaksa membayar yuran peperiksaan berkenaan sebanyak RM 500 seorang.
Itu hanya kisah di sebuah sekolah
swasta antarabangsa yang terletak di Subang Jaya. Bagaimana dengan ratusan
sekolah swasta lain yang berselerak di seluruh negara dan sedang menerima ‘kebanjiran’
pelajar-pelajar yang ingin mengikuti aliran persekolahan IGCSE.
Aku paparkan peristiwa ini untuk
memberikan kesedaran kepada rakyat Malaysia terutamanya kepada para pemimpin
pendidikan negara tentang nasib aliran persekolahan KBSM di negara ini. Sekurang-kurangnya
diharapkan dapat ‘membuka mata’ golongan pendidik dan Menteri Pendidikan
khususnya tentang nasib malang yang melanda sistem pendidikan negara. Persitiwa
di sebuah sekolah antarabangsa swasta di Subang jaya itu memberikan berbagai
‘makna’. Apa ‘maknanya’ peristiwa berkenaan?
·
Maknanya
rakyat Malaysia yang peka tentang perkembangan pendidikan semasa kini sedar
bahawa mereka perlu menghantar anak mereka ke sekolah swasta untuk mengikuti
sistem IGCSE dan meninggalkan persekolahan KBSM ( Kurikulum Baru Sekolah
Menengah) yang diajar di sekolah-sekolah kerajaan. Mungkin mereka merasakan
bahawa aliran kebangsaan di sekolah-sekolah kerajaan tidak akan menjamin masa
hadapan anak mereka. Mungkin begitu anggapan mereka.
·
Maknanya
rakyat Malaysia yang berada dan yang mampu membelanjakan puluhan ribu ringgit
setahun untuk pendidikan anak-anak mereka, pastinya akan menghantar anak-anak
mereka ke sekolah-sekolah antarabangsa bagi mengikuti aliran IGCSE kerana
mereka seolah-olah tidak yakin tentang prestasi sekolah kerajaan.
·
Maknanya
rakyat Malaysia dari semua kaum seolah-olah telah tidak yakin dengan pendidikan
yang disediakan oleh kerajaan Malaysia secara percuma. Walaupun diperhatikan
bahawa kebanyakan pelajar yang mengambil peperiksaan ‘Entrance Examination’ itu
terdiri dari pelajar-pelajar Cina, namun terdapat juga ibu bapa Melayu dan
India (yang berada tentunya) turut serta
dalam proses ‘penghijrahan’ itu.
·
Maknanya
hanya golongan miskin (yang kebanyakannya terdiri dari orang Melayu) sahaja
yang akan mengikuti sistem persekolahan KBSM yang disediakan oleh kerajaan.
Orang Melayu yang mampu termasuklah para menteri dan wakil rakyat pasti akan
menghantar anak mereka belajar di sekolah-sekolah swasta. Ini sudah merupakan
satu trend kini. Mungkin mereka juga agaknya tidak begitu yakin dengan prestasi
sekolah bantuan kerajaan yang ada di negara ini. Mungkin.
·
Maknanya
ibu bapa yang peka tentang perkembangan pendidikan dunia sudah tahu dan sedar
tentang laporan PISA yang meletakkan taraf pendidikan di negara kita lebih
‘teruk’ daripada Vietnam dan lima tahun kebelakang berbanding dengan taraf
pendidikan di Singapaura, Hong Kong , Korea dan tempat lain. Maknanya mereka
tahu tentang hal ini dan mereka tidak mahu anak mereka menjadi mangsa keadaan
sedemikian.
·
Maknanya
ibu bapa yang memilih sistem persekolahan IGCSE ini tahu bahahwa mereka perlu
menghantar anak mereka untuk melanjutkan pelajaran tinggi mereka ke luar
negara. Mereka tahu dan sedar bahawa kedudukan (ranking) university negara kita berbanding dengan univeristi
negara lain sudah semakin luntur. Mereka seolah-olah dapat merasakan bahawa
keadaan university kita seolah-olah dalam keadaan ‘beyond repair’.
·
Maknanya
anak-anak yang mengikuti pelajaran dan pembelajaran alirann IGCSE ini tidak
akan ‘terhutang budi’ langsung kepada negara ini apabila mereka menjadi dewasa
kelak. Apa tidaknya. Mereka tahu bahawa pembiayaan persekolahan mereka ditanggung
oleh ibu bapa sendiri dan mereka belajar di sekolah swasta antarabangsa. Dan
perbelanjaan yang dikeluarkan oleh ibu bapa mereka adalah tersangat lumayan.
Ratusan ribu ringgit. Dan berkemungkinan besar mereka tidak akan rasa terhutang
budi langsung kepada kerajaan Malaysia. Dan sekadar mereka hanya ‘menumpang’
tinggal di negara yang dianggap ‘tercinta’ ini. Apatah lagi dalam sistem
persekolahan IGCSE, seolah-olah tidak langsung diajar mengenai sejarah negara
ini. Jikalaupun ada di ajar maka hanya seperti melepaskan ‘batuk ditangga
sahaja’.
·
Maknanya
wang yang billion ringgit yang dibelanjakan oleh kementerian Pendidikan untuk
memajukan sistem pendidikan negara itu seolah-olah tidak mendatangkan hasil
yang berbaloi. Apatah lagi apabila mengenangkan jutaan ringgit yang dibelanjakan
untuk membayar pihak konsultan yang kononnya boleh memajukan sistem pendidikan
negara.
Ini cerita betul. Contoh yang aku paparkan juga
adalah peristiwa betul bukan rekaan. Bukan sekadarkan untuk ‘menyedapkan’
cerita atau pun sengaja hendak memburuk-burukkan pihak tertentu. Ini bukan
begitu. Dipaparkan cerita ini untuk dijadikan panduan dan ‘wake call’ kepada
pihak tertentu yang berkemungkinan tidak sedar bahawa sudah muncul satu keadaan
dalam negara yang ada kaitannya dengan pendidikan negara kita. Dipaparkan agar
dapat ‘mencelikkan mata’ pihak yang masih ‘berdengkor’ dan tidak sedar tentang
apa yang sedang berlaku disekeliling. Ataupun mungkin agaknya ‘sudah sedar’ dan tahu tentang perkembangan
yang berlaku. Mungkin.
abuhassanadam
6 Mei 2014
No comments:
Post a Comment