Friday, May 23, 2014

SAMPAI BILA ORANG MELAYU PERLU DIMANJAKAN

Kini heboh pula diperkatakan mengenai UITM yang dikhususkan untuk orang Melayu. Chancellor kata peruntukan 153 dalam perlembagaan Malaysia menetapkan bahawa ITM adalah untuk orang Melayu. Alumnai ITM juga kata ITM sememangnya untuk orang Melayu. Cuma Dyana saja yang mempersoalkan tentang mengapa ITM diperuntukan kepada orang Melayu sahaja. Beliau mempersoalkan tentang keadilan dengan menunjukkan contoh bahawa terdapat pelajar bukan Melayu (miskin) yang mempunyai kelayakan tidak dapat memasuki ITM. Dan aku percaya sudah ramai juga bekas pelajar ITM yang berpandangan sedemikian. Namun disebabkan Dyana yang bertanding jadi calon DAP di PRK Teluk Intan, maka Dyana seorang sajalah yang jadi sasaran. Ikhlaskah agaknya mereka yang menjadikan beliau sebagai sasaran?

Sampai bilakah agaknya orang Melayu memerlukan pertolongan dan bantuan supaya maju. Sampai bila. Sekiranya orang Melayu terus menerus masih memerlukan ‘tongkat’ untuk berjaya memberikan gambaran bahawa orang Melayu masih mundur dalam serba serbi lapangan. Bermakna bahawa orang Melayu tidak boleh ‘survive’ tanpa pertolongan kerajaan. Bermakna bahawa Dasar Ekonomi Baru itu perlu diteruskan sampai bila-bila sehingga orang Melayu betul-betul maju.

Tentulah sekali lagi dipersoalkan. Sampai bila?

Aku tidak kata orang Melayu tidak hebat. Tidak maju. Orang Melayu sememangnya berkebolehan dan hebat sama seperti orang lain juga. Tetapi disebabkan adanya  golongan Melayu yang lemah yang ‘kerja’nya hanya meminta-minta menyebabkan golongan Melayu yang cekap dan hebat ini merasa diri mereka ‘terhina’ dan terlindung. Dan yang anihnya golongan Melayu lemah ini pula sering mendapat perhatian dari pihak tertentu. Dimanjakan. Dan merekalah yang ‘bertuah’ dan dapat ‘menikmati’ wang negara secara ‘haram’ yang diperolehi dari titik peluh pembayar cukai di negara ini. Dan golongan ini jugalah yang sentiasa ‘merengek’ dan ‘merayu’ agar orang Melayu ( golongan Melayu yang tidak bermaruah itu ) diberikan pertolongan dan bantuan.

Boleh aku katakan bahawa orang Melayu kebanyakan sememangnya ‘anak jantan’ dalam zaman penjajahan British dulu berbanding dengan keadaan sekarang yang sudah agak ramai juga menjadi ‘lelaki yang betina’. Aku ambil contoh dari segi merebut peluang pendidikan yang diberikan oleh British. Tidak ada Dasar Ekonomi Baru’ yang disediakan oleh British untuk anak-anak Melayu. British ada menyediakan biasiswa kepada anak-anak Melayu yang layak dan berkebolehan. Dan hanya yang memenuhi kelayakan sahajalah yang mendapat biasiswa berkenaan. Tidak ada pilih bulu sepertimana yang diamalkan oleh setengah-setengah pihak kini.

Apakah tidak hebat namanya jikalau anak Melayu pada zaman British boleh menduduki peperiksaan yang sama dengan anak-anak bangsa lain di seluruh dunia. Apakah tidak hebat namanya sekiranya ada anak Melayu ( kampung ) boleh lulus dengan cemerlang dalam peperiksaan Senior Cambridge dimana semua mata  pelajarannya mesti dijawab dalam Bahasa Inggeris. Dan yang paling menakjubkan lagi ialah adanya anak Melayu yang mendapat keputusan cemerlang dalam jurusan undang-undang di University Cambridge, England. Tun Sufian Hashim misalnya. Dan beliaulah akhirnya diberikan peranan untuk menerajui bidang kehakiman di negara kita. Maka tidak haranlah bidang kehakiman pada ketika itu menyerlah dan disanjung oleh bukan sahaja oleh rakyat di Malaysia tetapi juga dari negara-negara luar.

Orang Melayu masih perlu dibantu dalam bidang pendidikan. Setuju. Persoalannya ialah golongan Melayu yang macam mana yang perlu dihabiskan wang negara untuk membantu mereka. Apakah setelah lebih dari setengah abad negara dibebaskan oleh British, masih ramai orang Melayu memerlukan bantuan pendidikan. Ini menunjukkan ada yang tidak kena di mana-mana yang menyebabkan keadaan terjadi demikian.

Dan melalui pemerhatan aku sememangnya sudah ramai orang Melayu yang berada dan hebat. Elite Middle Class. Walaupun masih ramai juga orang Melayu  di kampung-kampung yang masih miskin. Sepatutnya golongan Melayu (yang miskin) yang sebeginilah yang perlu dibantu dan diberikan pertolongan. Sememangnya ada bantuan yang disalurkan oleh kerajaan menerusi ajensi-ajensi tertentu. Persoalannya sampaikah bantuan-bantuan itu kepada kumpulan sasar. Jawabnya ‘sampai’. Timbul juga persoalan, ‘ berapa peratuskah yang sampai dan berapa peratus yang tercicir di tengah jalan’?.

Hasrat kerajaan untuk mendirikan Sekolah Berasrama Penuh kerajaan dan Maktab Rendah Sains Mara adalah untuk memberikan peluang pendidikan kepada kanak-kanak luar bandar yang kurang bernasib baik. Setuju. Tetapi dari segi pelaksanaannya masih ramai anak-anak golongan berada dari bandar yang ‘menumpang’ belajar di sekolah-sekolah berkenaan.Tidak salah sekiranya quota untuk orang Melayu luar bandar sudah dipenuhi. Tetapi soalnya dengan kemasukan kanak-kanak dari golongan berada itu telah menyebabkan kanan-kanak luar bandar yang berkebolehan terpinggir. Lantas gagallah hasrat kerajaan untuk membantu kanak-kanak luar bandar yang miskin. Dan yang malangnya ada juga Pak Menteri kita yang juga menghantar anak ke sekolah berkenaan ‘mencuri’ quota yang disediakan kepada anak-anak kampung yang miskin.

Tahun 2014, Kurun ke 21, masih terdengar suara sayup-sayup orang Melayu ‘meminta nyawa’ agar mereka diberikan pertolongan. Masih terdengar suara dari atas yang meminta golongan yang ‘kaya’ membantu golongan yang ‘miskin’. Seolah-olah begitu mudah kehidupan yang dilalui oleh golongan Melayu sebegitu yang hidupnya hanya tahu meminta-meminta. Seolah-olah apabila berhadapan dengan kesusahan akan mengadu kepada pihak kerajaan. Dan yang agak malangnya ialah pihak kerajaan yang tidak berfikir panjang terus merayu kepada golongan ‘berada’ agar golongan ini dibantu. Aku merasakan perbuatan sedemikian agak memalukan.

Aku yakin ramai orang Melayu yang merasa malu dan terhina dengan tindakan setengah golongan orang Melayu yang sentiasa merayu dan meminta pertolongan itu. Dalam situasi yang begini seolah-olah kemerdekaan yang kita capai semenjak setengah abad yang lalu ditafsirkan oleh mereka sebagai satu zaman memerah kekayaan negara (yang dikurniakan Allah) untuk kepentingan mereka, ia itu orang Melayu yang lemah  dari semua segi, yang ‘kerja’ mereka adalah merayu, merintih, agar diberikan belas kasihan. Golongan Melayu yang sebgini sebenarnya amat memalukan golongan Melayu yang bekerja keras yang sanggup berhempas pulas untuk menegakkan maruah Melayu sebagai satu bangsa yang kuat dan dihormati oleh dunia.

Aku tak tahulah sampai bila agaknya golongan Melayu yang sebegini mengharapkan ‘tongkat’ untuk hidup.

abuhassanadam
23 Mei 2014


PS

Didapati "ANTARAPOS"  telah beberapa kali menggunakan nama saya Abu Hassan Adam untuk artikel yang disiarkannya. Saya tidak pernah memberi apa-apa sumbangan artikel kepada blog berkenaan dan tidak pernah menulis artikel bagi pihak berkenaan dan tidak berhasrat untuk berbuat demikian.

Harap maklum.

abuhassanadam

4 comments:

  1. Tuan Abu Hassan.. Saya sering mengikuti penulisan kau. Seronok saja saya dapat membaca komen -komen yang cukup bernas dan rasional drpd seorang Melayu tulin, yang susah kita nak jumpa di cyberspace atau di dunia realiti hari ini. Saya bukan seorang bumi....Saya nak tanya : adakah salah kalau UITM mengambil sedikit pelajar bukan bumi, sebab saya difahamkan bahawa ada pelajar-pelajar Muslim dari luar negara yang di terima masuk. UITM adalah sebuah institusi pendidikan awam , bukan swasta. Tidakkah UITM memaparkan polisi yang lebih adil dan saksama? Ya memang, orang Melayu jelata, bekas pelajar dan ahli politik akan membantah dengan sekeras-kerasnya, spt yang berlaku pada 2008 ekoran drpd cadangan MB Selangor. Ya memang saya pun tahu....UITM sangat sinonim dengan bangsa Melayu.

    ReplyDelete
  2. Selagi UMNO berkuasa selagi itu sebahagian signfikan Melayu akan dibantu. Pada kertas berbilion-bilion RM telah dicurahkan bagi menaiktarafkan standard sosioeknomi orang Melayu tetapi cara atau kaedah kroni kapilisme sebaliknya mengkayakan elt Melayu/Cna dan India sementara majoriti orang Melayu atau Bumiputra masih dalam kategori miskin bandar walaupun dan setenah abad telah berlalu. Secara teorinya jika Melayu dibantu/disuap/di ber tongkat dalam arena persaingan maka mutu atau kualiti orang Melayu yang hendak dibentuk itu tidak akan tercapai kalau berjaya pun Melayu itu tetap kelihatan poyo, tiada keyakinan diri dan lebih teruk lagi jadi pembodek UMNO totok.Lihat graduan Melayu, rata-rata poyo dan tiada penampilan keyakinan diri atau mempunyai kemahiran sofwer kcuali yang dihasilkan dalam suasana berlaianan dari luar negara.Orang Melayu pun dikongkong dek agama yang tidak membebaskan atau yang membuka minda mereka. Lihat suku kaum lain seperti Cina dan India tanpa bantuan khas/subsidi dari kerajaan UMNO boleh muncul berjaya.Lihat Melayu Brunei, rata-rata poyo walaupun kerajaannya kaya, tiada Melayu Brunei yang hebat dalam apa jua bidang baik perubatan, sukan, sastera, sains dan intelektual.

    ReplyDelete
  3. Salam,

    Saya biasa juga membaca penulisan saudara. Saya bekas graduan ITM. Saya bangga ITM/UiTM telah berjasa melahirkan melayu & bumiputera yang berjaya. Bertambah bangga kerana lahir manusia2 yang hebat hari ini. Dyana Sofya juga adalah kejayaan yang luar biasa UiTM. Pihak kerajaan UMNO yang memerintah tidak boleh lagi melabelkan UiTM adalah milik mereka. Saya berharap sebagai Melayu Islam kita sewajarnya membuka lembaran baru mendirikan bangsa Malaysia Merdeka. Buka peluang sedikit kepada saudara-saudara Malaysia yang tidak berkemampuan untuk belajar di UiTM. Ini akan memberi satu persaingan yang sihat dalam menaikkan nama UitM.

    Tolonglah ahli2 politik jangan mainkan lagu lama tentang bangsa.Itu semua polisi pecah & perintah penjajah Kerana tanpa orang2 Cina, India, Kadazan, Iban Bidayuh, Murut Orang Asli dan lain2 , tidak mungkin 1Malaysia kan berjaya dibentuk.

    ReplyDelete
  4. Salam, entah macam mana saya tersesat di sini. Maaf sekiranya saya tidak bersetuju calun DAP Teluk Intan dilabel sebagai "kejayaan luarbiasa UiTM." Saya tak nampak apa yang luarbiasanya. Bahkan sangat "biasa" berdasarkan pemerhatian saya untuk seorang lulusan UiTM menentang roh UiTM sendiri. Hanya ketika mereka telah lulus. Bukan semasa mereka sendiri merayu-rayu memohon tempat di sana kerana gagal mendapat tempat di IPTA lain. Maaf, kenyataan yang pahit tapi itulah hakikatnya!

    Lantas UiTM itu mengutif Melayu yang keciciran dari IPTA itu, supaya masih berpeluang mendapat pendidikan tinggi. Supaya tidak mewarisi kemiskinan serta kerja ibu bapanya sebagai penoreh getah, nelayan dan pesawah atau peneroka Felda.

    Lupakah saudara akan itu semua? Semudah itu saudara melupakan nasib bangsa sendiri? Hanya kerana calun DAP seorang Melayu yang rela dipergunakan?

    Mungkin saya tidak layak berkata sedemikian kerana saya bukan lulusan UiTM. Kerajaan UMNO yang saudara benci menghabiskan duit dengan begitu banyak untuk pelajaran saya di luar negara. Atas dasar DEB UMNO yang saudara pertikaikan kerelavanannya juga.

    Saya bukan seorang UMNO tapi saya tahu berterimakasih kepada yang telah berbudi kepada saya.

    Tanpa semua itu, saya tidak tahu di mana saya sekarang.

    Janganlah bicara tentang meritokrasi vs affirmative action jikalau saudara sendiri tidak memahami realiti bangsa sendiri yang masih tertindas walau dalam senario sekarang.

    Mungkin saudara sendiri sudah lupa akan bagaimana bangsa Melayu itu, cara ia berkomunikasi penuh kiasan yang sentiasa mendahulukan perasaan orang lain, dengan perkataan lazim "tidak mengapa"?

    ReplyDelete