BADMINTON: APABILA MALAYSIA MASUK FINAL
Seingat aku ler, inilah kali pertama Jepun masuk
pertandingan akhir badminton. Sebelum ini bukan sahaja persembahan Jepun lemah,
malah tidak pernah tersenarai pun sebagai pasukan yang digeruni oleh
negara-negara yang sentiasa ‘monopoli’ pertandingan Thomas Cup seperti
Malaysia, Indonesia dan China. Maknanya apabila Jepun berjaya masuk ke
pertandingan akhir dan menewaskan China 3-0 merupakan satu pencapaian luar
biasa.
Mengenai Malaysia masuk pertandingan akhir tidaklah
begitu memeranjatkan. Semenjak tahun-tahun 1950an dan 1960an sememangnya
gelanggang badminton dunia ‘milik’ Malaya (Malaysia) atau Indonesia ( ketika
China belum lagi memasuki pertandingan Thomas Cup). Sememangnya sukan Badminton
adalah merupakan bidang sukan milik Malaya (Malaysia). Negara-negara Eropah
seperti England dan Denmark tidak dapat menandingi kehebatan Malaya pada ketika
itu.
Malaya mula memenangi Thomas Cup semenjak tahu
1949. Dan pada ketika itu pertandingan Thomas Cup diadakan tiga tahun sekali.
Pada tahun 1952 sekali lagi Malaya menjadi johan mengalahkan pasukan England.
Pada tahun 1955 sekali lagi Malaya menjadi Johan mengalahkan Denmark. Selepas
itu kejohanan ini dimonopoli oleh Indonesia. Malaysia hanya dapat memenanginya sekali
sahaja ia itu pada tahun 1967. Antara jaguh badminton negara pada ketika itu
ialah Wong Peng Soon, Eddy Choong, Tan Aik Huang dan lain-lain.
Aku bukanlah sebagai pengulas sukan badminton
tetapi yang aku nak ceritakan ialah tentang kesan dan pengaruh sukan ini ke
atas penduduk Malaysia. Tidak seperti sekarang ini, pengaruh sukan badminton ketika
itu sememangnya berpengaruh sampai ke kampung-kampung pendalaman. Pada awal
tahun-tahun 1960an sememangnya terdapat ‘berselerak’ gelanggang badminton di
kampung-kampung, walaupun kampung itu terletak jauh dari bandar.
Sekurang-kurangnya terdapat satu gelanggang badminton yang diusahakan oleh
anak-anak muda kampung berkenaan. Bukan dibantu oleh kerajaan seperti
sekarang….
Aku dan sepupu-sepupu aku juga tidak mahu ketinggalan
dalam hal ini. Kami buat gelanggan sendiri berhampiran dengan rumah Ngah
(sepupu aku-arwah). Garisan dalam dan luar diperbuat daripada buluh. Dan untuk
mengukur panjang gelanggang itu kami gunakan kayu pembaris. Tidak ada tali
(tape) untuk digunakan. Tiang tempat menggantung jaring kami menggunakan bulu
aur. Begitulah keadaanya di kampung-kampung pada ketika itu. Di Keroh Hulu,
Keroh Seberang, Paya Lintah, Kampung Lalang, Kampung Pulau, kesemuanya ada
gelanggang badminton.
Pada awalnya kami menggunakan racket dan ‘shuttle
cock’ buatan sendiri. Tidak ada wang untuk membeli racket dan bulu ayam. Oleh
itu racket adalah buatan sendiri (papan yang dibentuk seperti racket) dan bulu
tangkis pula digunakan bulu ayam yang diikat dengan getah skrap. Walaupun bukan
permainan ‘badminton’ sebenar, tetapi menimbulkan keseronokan dan keriangan
yang bukan kepalang. Kami akan berada di gelanggang bermula dari pukul 3.00
petang ( sekembali dari sekolah) sehinggalah Maghrib.
Kami dapat membeli racket dan bulu tangkis sebenar
selepas musim buah-buahan. Hasil jualan buah-buahan (durian dan manggis) dari
kebun Atuk kami, barulah kami dapat mengumpulkan sedikit wang untuk membeli
racket (aku lupa jenamanya. Bukan Dunlop! ). Sekiranya aku tak silap harganya
ialah RM2.50sen. Dan sebuah bulu tangkis berjenama ‘Eagle’ berharga RM0.60 sen
(bersamaan dengan harga dua pinggan mee goreng di Lembah, Kuala Kangsar).
Di Padang Rengas hanya terdapat sebuah kedai
sahaja yang menjual racket dan bulu tangkis. Joo Onn namanya. Itulah merupakan
‘supermarket’ penduduk Padang Rengas. Kedainya kecil sahaja tetapi ‘macam-macam
ada’. Kain baju, pinggan mangkuk dan alat muzik (harmonica) pun ada.
Permainan badminton di kampung tentulah agak
sukar apabila musim berangin. Kadang-kadang permainan terpaksa diberhentikan
buat seketika ketika angin bertiup dengan kuat. Tentulah anak-anak kini tidak
dapat membayangkan keadaan sedemikian kerana kanak-kanak kini bermain dalam
dewan yang tertutup dan diterangi lampu yang terang.
Tahun 1964 ketika diadakan pertandingan Thomas
Cup antara Malaysia dan Indonesia yang dilangsungkan di Jakarta, kami mengikuti
pertandingan itu melalui radio. Ketika itu belum ada sebuah TV pun di padang
Rengas. Dan tidak ramai pun penduduk yang memiliki radio di kampung aku. Oleh itu
kami terpaksalah pergi ke rumah Encik Kontak untuk ‘mengikuti’ pertandingan
berkenaan. Hampir seluruh penduduk Ekor Dusun bertumpu ke rumah Encik Kontak.
Tua muda.
Yang menghairankan aku juga ialah bahawa pada
ketika itu begitu ramai sekali peminat badminton yang terdiri dari orang
tua-tua. Malah kaum wanita juga berminat, berbanding dengan keadaan sekarang.
Maksud aku wanita-wanita tua di kampung-kampung juga berminat mengikuti (
melalui radio) pertandingan badminton.
Sukan badminton sememangnya sukan ‘kepunyaan’
orang Malaysia. Dan di Indonesia juga begitu menurut rakan-rakan dari
Indonesia. Kecenderungan mereka kepada sukan badminton adalah luar biasa
sekali. Berbanding pula dengan keadaan di England atau di Amerika Syarikat,
tidak begitu keadaannya. Badminton adalah merupakan sukan biasa-biasa’ dan
bukan sebagaimana yang pernah ‘menghantui’ rakyat Malaysia pada suatu ketika
dahulu.
Malaysia sekali lagi masuk pertandingan akhir.
Apakah kesanya nanti sama seperti kesan yang ditinggalkan pada awal tahun
1960an dulu.
Sama-sama kita lihat.
abuhassanadam
24 Mei 2014
Memang satu keputusan yang menakjubkan bagi Malaysia dan juga Jepun terhadap Indonesia dan China sebab bergu Malaysia pertama yang baru saja dibentuk 3 minggu lamanya dan tiada ranking boleh memalukan bergu Indonesia yang mempunyai ranking pertama dunia sementara pemain Jepun boleh tumbangkan Tembok Besar China.
ReplyDeleteBagaimana pun Malaysia dan Jepun bolehkah menggekalkan ketekalan atau momentum yang telah dipamerkan pada malam Jumaat lalu pada hari Ahad ini? Kalu Lim Chong Wei dapat menyekat form dan kehebatan Tago dan bergu pertama dan kedua kita boleh hebat lagi maka kita akan meraih Thomas Cup yang sebelum ini tidak diramalkan oleh siapa yang Malaysia berpotensi besar menggondolnya bagi edisi terkini. Jika berjaya salut pada Rashid Sidek selaku pengarah projek ini dan juga jurulatih yang lain bersama pemain-pemain lain kerana strategi dan percaturannya yang sedikit sebanyak dapat menghasilkan kejayaan luar biasa nanti.
Piala Thomas 1992 sentiasa dalam ingatan saya. Masa itu baru sayu baru berusia 9, tetapi masih ingat betapa gilanya saya dan keluarga saya dengan Piala Thomas tahun itu, Tahun itu pertama kali saya menonton permainan badminton, di rumah depan TV yang sudah lamanya dibuang. Sampai sekarang juga terharu apabila mengingati kegembiraan and kebanggaan yang dirasai apabila Cheah Soon Kit and Soo Beng Kiang menang mengatasi pasangan dari Indonesia. Pemain dalam pusingan akhir tahun itu, Rashid Sidek, Razif Sidek, Jalani Sidek, Foo Kok Keong, Soo Beng Kiang, Cheah Soon Kit and Kwan Yoke Meng, adalah inspirasi untuk ramai rakyat Malaysia. Inilah kebanggaan kita, rakyat Malaysia. Moga-moga pemain-pemain negara akan mengembalikan Piala Thomas tahun ini, and menjadi inspirasi untuk rakyat-rakyat Malaysia.
ReplyDelete