Sunday, May 25, 2014

TERIMA KASIH TG NIK ABDUL AZIZ

 Aku merasa lega dengan kenyataan Tuan Guru Nik Abdul Aziz yang disiarkan melalui artikel berjodol,’Teluk Intan: Pandangan Saya’ bertarikh 24 Mei 2014. Aku dan beberapa orang kawan telah begitu lama agak ‘lemas’ dengan isu Hudud ini. Ini isu ‘ditelan mati emak diluah mati bapak’. Apa tidaknya. Sebagaimana yang dijelaskan oleh TG Nik Aziz, ‘hudud merupakan satu kewajipan. Mana-mana orang Islam wajib menerima hukum ini sebagaimana mereka menerima kewajipan bersolat dan berpuasa.’

Lantas mahu tidak mahu sebagai orang Islam kita perlu menerimanya. Tidak ada tolak ansur lagi. Orang islam wajib menerima hukum ini sebagaimana mereka menerima kewajipan bersolat atau berpuasa. Persoalan yang ditimbulkan sekarang ialah bahawa hukum hudud akan diperkenal dan akan dilaksanakan di Malaysia tetapi mendapat tentangan dari pihak-pihak yang bukan Islam.

Walaupun aku bukan pemimpin negara, namun isu ini memeningkan kepala aku juga kerana aku amat simpati dengan pemimpin-pemimpin lain yang cuba menyelesaikan isu hudud ini, terutama parti-parti dalam Pakatan Rakyat. DAP sejak dari dulu lagi telah pun menentang pelaksanaan Hudud ini. Malah mendiang Karpal Singh pun telah pernah beberapa kali menyatakan bahawa, ‘langkah mayatnya dahulu sebelum Hudud dilaksanakan di Malaysia’.

Dan dalam kempen PRK Teluk Intan juga, calonnya Dyana Sofia telah juga menyatakan bahawa beliau, ‘would vote against the implementation of hudud law in Malaysia if she wins and such a Bill is tabled in Parliament……the 27-year-old stressed that she was not against hudud, but implementation in Malaysia is not feasible before socio-economic issues can be addressed….My stand on hudud is the same as the party stand,"Malaysia Chronicle 18 May 2014.

Kenyataan Dyana Sofia yang sebegininya pasti mengundang kontroversi yang bukan kecil terutama bagi masyarakat Melayu di kawasan Teluk Intan yang amat kuat berpegang kepada agama. Pastinya mereka akan berfikir banyak kali sebelum memberikan undi kepada beliau yang kelihatan terang-terang tidak menyokong pelaksanaan hukum Hudud. Walaupun dijelaskan beberapa kali namun penjelasan orang biasa yang bukan memiliki kepakaran agama pastinya terlalu sukar sekali untuk diterima oleh masyarakat Melayu di Teluk Intan.
Kenyataan TG Nik Aziz datang tepat pada waktunya. Beliau menjelaskan bahawa,Berhubung pilihanraya kecil Teluk Intan, ramai yang bertanya pendirian saya berhubung isu hudud setelah calon DAP dikatakan membuat kenyataan menolak hudud. Saya tegaskan bahawa hudud merupakan satu kewajipan. Mana-mana orang Islam wajib menerima hukum ini sebagaimana mereka menerima kewajipan bersolat dan berpuasa. PAS tidak pernah lari dari kewajipan ini bahkan konsisten mempertahankannya semenjak daripada hari ia ditubuhkan lagi.
Di Teluk Intan, kerusi tersebut ialah kerusi DAP yang merupakan rakan tahaluf siyasi PAS. Bersama-sama DAP dan juga PKR, PAS telah bekerjasama membentuk Pakatan Rakyat dan sama-sama memperjuangkan keadilan dan membanteras rasuah. Sehingga hari ini DAP belum pernah menzalimi PAS sebagaimana yang dilakukan UMNO sebelum ini.

Justeru, apabila calon DAP dikatakan menolak hudud, ia tidak mengejutkan kerana itulah perbezaan PAS dengan DAP. Dalam hal ini, PAS sewajibnya berusaha lebih gigih memberikan kefahaman kepada DAP agar kebaikan dan keindahan hukum Islam ini dapat difahami dan diterima. Sebab itu, saya sentiasa menaruh harapan agar satu hari nanti DAP menerima hasrat PAS ini hasil dakwah berterusan yang tidak henti-henti.

Usia Pakatan Rakyat baru sahaja lima tahun. Dalam masa lima tahun, adalah satu perkara yang logik jika DAP masih belum memahami hasrat PAS dalam isu ini. Pihak yang patut malu ialah UMNO yang telah setengah abad bersahabat dengan parti-parti komponen bukan Melayu dalam Barisan Nasional, namun hingga sekarang masih gagal memberikan kefahaman tentang Islam. Bahkan ada ahli Parlimen UMNO sendiri secara terang-terangan mengeluarkan kenyataan untuk mengundi menolak hudud di Parlimen nanti.
Amat lojik penjelasan yang diberikan oleh TG Nik Aziz, seorang ulama yang amat bijaksana dan dapat menyesuaikan pemikiranya di era Kurun ke 21. Dengan sendirinya beliau mengerti apa yang dimaksudkan dengan istilah ‘modern’ dan ‘perubahan’.

Aku terbaca juga tentang kisah bagaimana Rasulullah berusaha cuba menegakkan undang-undang Islam di Madinah yang beliau mengambil masa puluhan tahun sebelum dilaksanakannya. Namum akhirnya undang-undang sedemikian dapat diterima oleh masyarakat Islam dan bukan Islam di Madinah. Apakah begitu cara hukum Hudud hendak dilaksanakan di Malaysia nanti. Dan sekiranya begitulah caranya aku amat yakin masyarakat Islam memhaminya dan lantas akan bersetuju pelaksanaanya insyallah.

Aku yakin bukan Islam lambat laun akan menerima Hudud berdasarkan pengalaman yang dilalui oleh PAS sendiri. Dulu parti PAS terlalu sukar untuk diterima oleh bukan Islam. Malah terus menerus dimusuhi. Kini bukan sahaja diterima tetapi telah pun ‘rakan kongsi’ yang amat ikrab demi untuk kemajuan bangsa Malaysia. Sejarah akan terukir tentang pakatan murni yang terjalin antara PAS, DAP dan PKR ini. Atas pertimbangan itu jugalah aku amat yakin bahawa penjelasan mengenai isu Hudud ini dapat diterima dengan hati yang terbuka oleh Islam dan bukan Islam di Teluk Intan. Aku amat yakin pengundi yang terbuka mindanya akan menerima penjelasan TG Nik Aziz ini.

Diharapkan begitulah..

abuhassanadam
25 Mei 2014


PS

Didapati "ANTARAPOS"  telah beberapa kali menggunakan nama saya Abu Hassan Adam untuk artikel yang disiarkannya. Saya tidak pernah memberi apa-apa sumbangan artikel kepada blog berkenaan dan tidak pernah menulis artikel bagi pihak berkenaan dan tidak berhasrat untuk berbuat demikian.

Harap maklum.

abuhassanadam

5 comments:

  1. Salam, saya bukanlah yang arif tentang agama, tapi saya akan sentiasa mengatakan bahawa sebagai seorang Muslim, saya menerima hukum Allah. Dan saya tidak akan sekali-kali menjadi calun mana-mana parti politik yang memusuhi hukum Allah. Full stop.

    Kerana saya percaya bila-bila masa saya boleh dipanggil pulang menemui-Nya dan jadi MP pun dengan segala keglamourannya tidak berbaloi untuk itu!

    Saya tak nampak apa yang diperkatakan di sini boleh melegakan naluri sesiapa. Janganlah kita menipu hati sendiri. Naluri manusia yang sebenarnya takut akan azab Tuhannya. Tuan Guru mengatakan setiap Muslim wajib menerima hudud dan dalam yang sama menerima seadanya DAP yang dikatakan tidak sezalim UMNO.

    Zalim atau tidak sesuatu parti politik pada pandangan kita adalah sesuatu yang subjektif. Mungkin pada pandangan saya, parti DAP yang dipuji melangit itu adalah amat zalim sekali. Zalim yang nyata kerana menentang Pencipta. Berbeza pendapat di situ, dan kita terima kepelbagaian pendapat sebagai sesuatu yang positif.

    Namun, kenyataan Tuan Guru tersebut tidak menyelesaikan permasalahan pokok seorang Muslim - apa hukumnya seorang Muslim bercita-cita menolak hukum Allah itu andai dibawa ke Parlimen? Dengan alasan bahawa itulah pendirian partinya yang beliau menjadi calun secara rela. Tiada siapa yang memaksa. Full stop.

    Tepuk dada tanyalah iman. Kita boleh berdolak dalih di sini, namun sekiranya kita menjadi tanah esok hari, apakah yang akan kita akan perkatakan kepada Pencipta kita semua? Yang kita menentang Mu Tuhanku kerana itu sahajalah peluangku untuk jadi MP?

    Come on, saudara. Hidup hanya sementara!

    ReplyDelete
  2. Satu pertanyaan .Ada pihak yang menentang Hudud telah melontar beberapa persoalan. Misalnya, bagaimana seorang wanita yang telah dirogol itu mendapatkan empat saksi yang bersifat kudus (holy) bagi membuktikan aktiviti tak senonoh/tak bermoral itu adalah rogol dan bukannya aktiviti seks suka sama suka? Pertama, andainya empat saksi itu begitu kudus apa bendanya atau jadahnya mereka berada pada senario tak bermoral itu? Jika mereka manusia kudus bukankah mereka seharusnya atau menjadi tanggungjawab mereka untuk memberhentikan kegiatan seksual itu? Jika mereka tercacak dan enjoy melihat kegiatan rogol itu dan tidak bertindak membuat sesuatu maka mereka bukanlah tergolong insan yang kudus.
    Adakah PAS akan memasukkan empat orang saksi dalam cadangan Hududnya sementara tiada rujukan yang jelas/murni dalam Quran pula mengenai rogol yang mengatakan empat saksi adalah mandotory bagi membuktikan aktiviti zina. Istilah 'zina' itu termaktub namun tiada pula istilah 'rogol'.

    ReplyDelete
  3. Izinkan saya memberi komen ttg artikel di atas. Saya sekadar mampu memberi komen drpd kacamata seorg bukan Islam. Saya masih ingat dengan jelas sekali semasa PAS cuba memperkenalkan Hudud di Kelantan pada tahun 1993. Cubaan itu mendapat tentangan daripada orang bukan Islam terutama orang-orang Cina. Daripada siaran akhbar, saya difahamkan bahawa pihak yang berusaha memperkenalkan Hudud yakni kerajaaan PAS yang diketuai TG Nik Aziz merasakan bahawa undang-undang yang ada, iaitu undang-undang sekular/sivil tidaklah sesuai kerana ia adalah undang-undang buatan manusia. Undang-undang sivil harus di gantikan oleh undang-undang Tuhan (Hudud), mengikut TG Nik Aziz. Apabila usaha beliau tidak dapat diterima oleh orang bukan Islam kerana mereka akan tertakluk kepada Hudud, beliau memberi ruang kepada bukan Islam untuk dihukum bawah undang-undang agama masing-masing. Tetapi haruslah diketahui oleh orang ramai bahawa hanya Islam sahaja yang ada undang-undang jenayah. Agama lain tidak ada. Oleh yang demikian mahu tak mahu, undang-undang sivil sahajalah digunakpakai untuk penganut agama lain.

    Tentangan daripada pelbagai pihak mengenai usaha PAS memperkenalkan Hudud kali ini berpunca daripada kurangnya fahaman bukan Islam, mengikut TG Nik Aziz. Dan mengikut Tuan Abu Hassan beliau berasa komen daripada TG Nik Aziz adalah baik sekali untuk menjelaskan kepada orang bukan Islam bahawa Hudud adalah perkara wajib bagi orang Islam.

    Saya berasa bahawa penjelasan TG Nik Aziz terlalu simplistik/mudah. Orang bukan Islam tidak kisah sekali tentang pelaksanaan Hudud sekiranya Hudud adalah untuk orang Islam sahaja. Tetapi apabila Hudud akan juga dikenakan kepada mereka (spt yang dituntut oleh banyak pihak), itu lah yang buat mereka risau. Saya juga fikir tidak wajar orang bukan Islam dikenakan Hudud, sebab mereka bukan Islam. Dan keduanya, apakah pelaksanaan Hudud nanti tidak ada implikasi ke atas bukan Islam? Itu satu soalan yang tidak dapat dijawab oleh pihak yang hendak melaksananya. Itu satu kerisauan orang bukan Islam. Bolehkah PAS atau ISMA menjamin bahawa pelaksanaan Hudud akan dilihat oleh orang bukan Islam sebagai satu set undang-undang yang begitu adil sekali? Di mana mereka tidak dianiayaikan? Apa yang mereka lihat sekarang, di mana pihak bukan Islam tidak diadili dengan adil (spt dalam kes perceraian dan hak menjaga anak) cukup untuk membuat mereka bimbang.

    Dan jika TG Nik Aziz dapat menyakinkan orang bukan Islam bahawa Hudud adalah baik untuk semua (tetapi sekadar memberi contoh bahawa kadar jenayah akan turun, dan pintu rumah tidak perlu lagi dikunci, adalah tidak mencukupi!), orang bukan Islam akan terima Hudud.

    ReplyDelete
  4. Saya sekadar cuba berkongsi kefahaman saya mengenai hudud dari perspektif seorang biasa (layman). Saya bukan seorang ahli agama dan bukan ahli PAS dan tidak pernah melihat dokumen yang digubal PAS.

    Apa yang saya paham, kebanyakan undang-undang jenayah yang sedang digunapakai di Malaysia, yang berlandaskan common law of England, adalah tidak bertentangan dengan syariah laws. Ianya adalah skop budi-bicara pemerintah, atau dalam terma khususnya ta'zir. Ini termasuk capital punishment, seperti hukuman mati untuk pembunuh, yang dalam kebanyakan kes tidak sampai ke tahap pembuktian dan/atau saksi hudud bagi membolehkan hudud terpakai.

    Hudud dengan itu hanya akan menambah ruang lingkup baru kepada undang -undang jenayah, yang melibatkan jenayah berat tertentu, dengan matlamat mencegah dan bukannya menghukum. Beban pembuktian dan syarat saksi serta syarat lain adalah amat berat dan dalam kebanyakan kes, pesalah akan kembali kepada skop ta'zir tadi ( yang dalam kebanyakan kes tiada bezanya dengan undang-undang jenayah sekarang).

    Berdasarkan kefahaman tersebut, saya merasakan wajar undang-undang jenayah, yang lebih tepat dipanggil "Syariah Compliant Criminal Laws" diteliti oleh pakar yang turut diperakui kepakarannya oleh pihak Kerajaan untuk digunapakai, tanpa mengira agama. Syariah compliant criminal laws sewajarnya menyerapkan undang-undang sedia ada yang kebanyakannya sebenarnya tidak bertentangan dengan syarak, cuma dengan tambahan hukuman hudud yang amat berat beban pembuktiannya.

    ReplyDelete
  5. Kepada Matahari Bulan, apa yang saya paham, dari kaca mata syariah, rogol adalah satu cabang zina (illegal intercourse) tetapi secara paksa, jadi kesalahan hanya diletakkan kepada pihak yang memaksa. Saksi yang adil yang menyaksikan pula adalah saksi yang berada di tempat kejadian, dan secara logiknya semasa dalam proses memberikan pertolongan, mereka menyaksikan kejadian tersebut.

    Contoh, sekumpulan 4 lelaki adil terserempak dengan kejadian rogol dalam perjalanan pulang dari masjid. Mereka memberikan pertolongan tapi mereka juga adalah saksi kejadian.

    Tapi sekiranya yang terserempak dengan kejadian tersebut adalah sekumpulan ahli DAP yang baru balik berkempen dari Teluk Intan (he..he) yang menolak hudud walaupun Muslim, maka hudud tidak digunapakai, sebab tak cukup syarat, dan undang-undang jenayah menurut budi bicara pemerintah (ta'zir) seperti sekarang, digunapakai.

    ReplyDelete