PEMIMPIN YANG MENGGADAI PRINSIP DAN MARUAH
Aku tidak tahu apa ‘hukuman’ yang perlu dikenakan
ke atas pemimpin-pemimpin yang bertindak diluar batas normal (dalam politik) melainkan
dengan meletakkan satu ‘tanda’ ke atas mereka bahawa mereka telah menggadaikan
maruah diri dan bangsa Melayu. Dan tentulah tidak juga boleh dipersalahkan
mereka sepenuhnya kerana bertindak sedemikian rupa kerana mereka juga mengikuti
jejak langkah pemimpin terdahulu yang juga bertindak sebagaimana yang mereka
lakukan. Maknanya mereka juga seperti gelagat Pak Pandir (dalam cerita Pak
Pandir) yang selalu mengatakan ungkapan yang berbunyi, ‘bukan anak aku sorang
….”
Sehari dua ini rakyat Malaysia telah
dipertontonkan dengan babak-babak yang mengelirukan, bercampur antara persaan
sedih, lucu dan marah. Keliru apabila melihatkan watak-watak yang menggelarkan
diri mereka sebagai pemimpin seorang demi seorang merelakan diri mereka
‘dihina’ oleh masyarakat dan bangsa mereka. Aku tidak tahu apakah ungkapan yang
paling tepat untuk diberikan kepada mereka yang boleh mengubah prinsip
pendirian dalam masa yang tidak sampai 48 jam.
Sudah diludah dijilat balik. Begitulah bunyinya
peribahasa Melayu lama untuk menggambarkan tindakan beberapa orang pemimpin
Terengganu yang sudah kembali semula ke pangkuan diiringi senyum lebar
membayangkan seolah-olah tidak ada apa-apa yang buruk berlaku sebelumnya. Hanya
semalam, para ‘pemimpin’ di negeri Terengganu Darul Iman telah melafazkan
ungkapan yang kurang enak terhadap pemimpin tertinggi mereka, namun dalam masa
yang kurang dari 48 jam semuanya sudah baik seperti biasa. ‘Air ludah’ yang
semalam telah pun ‘dijilat semula’ pada hari ini. Dan masing-masing melafazkan
kata-kata keramat orang tua-tua, ‘ biduk lalu kiambang bertaut’.
Bagi aku kemelut yang berlaku di Terengganu itu
memberikan kesan yang amat besar kepada hati dan perasaan rakyat Terengganu
khususnya dan rakyat Malaysia keturunan Melayu amnya. Sebenarnya ‘derita dan
pedih’ yang dirasakan oleh rakyat Perak beberapa tahun yang lalu masih belum
‘sembuh’ seperti sediakala. Masih terasa lagi ‘pedihnya’ dan ternampak
‘parutnya. Memang belum pulih sepenuhnya. Kini timbul pula peristiwa yang
hampir serupa berlaku di Terengganu, yang pastinya menambahkan lagi derita dan
luka perasaan rakyat Malaysia yang sentiasa memikirkan tentang prinsip dan
maruah.
Sebelum mengambil apa-apa tindakan yang sepenting
ini, apakah pemimpin-pemimpin Terengganu ini tidak memikirkan ‘maruah’ rakyat
Terengganu keseluruhannya. Maksudnya apakah mereka tidak terlebih dahulu
menyelami perasaan rakyat Terengganu dengan tindakan mereka ‘yang menjilat
semula air ludah’ mereka itu. Pastinya rakyat Terengganu yang sentiasa menjaga
meruah diri merasakan perbuatan ‘pemimpin’ mereka itu agak janggal (mungkin ada
juga yang merasa agak ‘jijik’) di mata rakyat Terengganu. Mungkin…..
Yang aku sedang fikirkan juga ialah bahawa
masyarakat Malaysia dan khususnya masyarakat Melayu sedang dalam keadaan yang
amat sedih mengenangkan tindakan para pemimpin yang sentiasa mendabik dada ‘terpekik
terlolong’ menjeritkan bahawa kononnya merekalah pembela bangsa dan negara. Dan
pemimpin yang sebegini jugalah yang selalu menasihatkan orang Melayu agar
bangsa Melayu snetiasa menjaga maruah diri dan mempertahankan prinsip
perjuangan dalam menghadapi dunia yang penuh dengan pancaroba. Dan bukankah
tindakan mereka itu telah menggadaikan maruah dan prinsip perjuangan. Sekiranya
mereka menafikan kenyataan ini, aku tidak tahu apa pula ‘label’ yang perlu
dikenakan. Ini yang dikatakan sebagai, ‘cakap tak selupa bikin…..”
Terus terang aku katakan bahawa aku ( orang
Melayu totok ) amat merasa malu dan terhina melihatkan gelagat beberapa orang
‘tokoh’ yang bersikap seperti mana yang dijelaskan samada yang berlaku di
Perak, di Terengganu atau di mana saja di bumi Malaysia ini. Apakah mereka ini
bukan lagi merupakan keturunan anak cucu Dato Maharajalela (Perak)yang sanggup
membunuh James Birch demi mempertahankan maruah bangsa dan negeri. Dan apakah
mereka juga tidak mengkaji sejarah perjuangan Haji Abdul Rahman Limbong yang
sanggup berdepan dengan British demi mempertahankan seinci tanah Terengganu walaupun
tidak lengkap persenjataannnya. Mengapakah agaknya mereka begitu mudah boleh
diperdaya dan menukar haluan?
Menggadai maruah sudah merupakan perkara biasa
dan lumrah dikalangan masyarakat Malaysia kini. Seiring dengan tindakan yang
‘tidak merasa malu’ masyarakat Malaysia melakukan seolah-olah mereka tidak
pernah pun ‘menempuh’ dan diajar apa sebenarnya makna perkataan demikian.
Seolah-olah mereka tidak langsung pernah diajar dan dididik oleh ibu bapa mereka
ketika mereka masih kecil. Seolah-olah para guru tidak menjalankan tugas dengan
sempurna mendidik ‘anak-anak’ yang kini sudah besar panjang dan bergelar
sebagai pemimpin pula.
Bukan tidak ada pemimpin Melayu di Malaysia yang
boleh dicontohi dan yang sanggup bermati-matian menegakkan maruah diri dan
prinsip hidup demi untuk meneruskan kelangsungan perjuangan bangsa dan negara. Ramai.
Tun Dr.Ismail bin Abdul Rahman. Seorang Melayu tulin. Dan tidak pula luntur
penghormatan yang diberikan kepadanya oleh bukan Melayu disebabkan beliau
seorang pemimpin yang berketurunan Melayu. Malah hormat kaum bukan Melayu
kepadanya semakin kuat dan kukuh.
YB Tengku Razaleigh Hamzah pernah mengatakan, ‘"The Chinese did not have much
confidence in Razak, but they did in Ismail. Razak was always associated with
Malay and rural affairs, et cetera. Ismail was a principled man — and was seen
that way by the different races. He was the Rock of Gibraltar. Once he decided
on something you could be sure that he had gone through the relevant details
and studied them. What is confidence unless it is based on the people’s belief
in the leader?" Wikipedia.
Wahai pemimpin yang menggelarkan diri sebagai
‘Melayu beragama Islam ’, fikirkanlah……
abuhassanadam
15 Mei 2014
No comments:
Post a Comment