Monday, September 14, 2015

‘HIMPUNAN BAJU MERAH’ - AKAR UMBI UMNO NAMPAK LEBIH CERDIK

            Walau pun ternampak dengan jelas tujuan ‘tersirat’ mengapa ‘Himpunan Baju Merah’ diadakan namun jika diperincikan maka jelas pula bahawa perhimpunan sedemikian tidak akan memberikan apa-apa faedah dan manfaat samada kepada orang Melayu atau bangsa Malaysia secara umumnya. Sememangnya tidak jelas tujuan dan matlamat perhimpunan berkenaan diadakan.

            Yang selalu diteriakkan oleh golongan tertentu bahawa perhimpunan ‘Himpunan Baju Merah’ yang akan diadakan pada 16 September 2015 nanti adalah sebagai ‘tindak balas’ perhimpunan Bersih 4 yang diadakan baru-baru ini yang telah amat berjaya menarik perhatian lebih kurang setengah juta rakyat Malaysia (dari semua kaum) yang menyertainya. Dan telah ‘difitnahkan’ oleh pihak-pihak tertentu bahawa Perhimpunan Bersih 4 itu adalah anjuran kaum Cina untuk ‘menghina’ pemimpin Melayu. Jika diteliti dan diperhalusi jelas bahawa tuduhan sedemikian amat menyimpang jauh darpada kenyataan yang berlaku pada 29 dan 30 Ogos yang lepas. Tanyalah siapa pun ( yang berfikiran waras) yang hadir pada hari berkenaan pasti akan menyanggah tuduhan dan anggapan yang difitnahkan itu.

            Lantas ‘Himpunan Baju Merah’ atau pun nama barunya “Perhimpunan Rakyat Bersatu” yang akan diadakan pada 16 September 2015 adalah bertujuan untuk ‘menandingi’ dan menunjukkan ‘kekuatan’ dan ‘kehebatan’ perhimpunan yang dikatakan ‘kekuatan’ orang Melayu. Pada hakikatnya hanya segelintir orang Melayu sahaja, khususnya ahli UMNO (hanya segelintir juga) yang menyokong perhimpunan yang diadakan.

            Walaupun tidak mendapat sokongan rakyat terbanyak, “Pehimpunan Baju Merah’ tidak mendapat tentangan daripada pemimpin negara khsuusnya Presiden dan Timbalan Presiden UMNO sendiri yang merasakan tidak ada halangan bagi ahli UMNO untuk menyertai perhimpunan berkenaan.

            Yang agak menyedihkan ialah hasrat para peniaga di Jalan Petaling untuk menutup kedai mereka pada 16 September yang akan datang takut timbul keadaan yang tidak diingini ekoran daripada ‘Perhimpunan Baju Merah’ yang akan diadakan. Tindakan para peniaga demikian merupakan langkah bijak untuk mengelakkan sebarang kemungkinan perkara yang tidak diingini berlaku. Dan jika dilihat dari sudut yang lain maka jelas perhimpunan yang akan diadakan ini amat mengganggu perniagaan yang dijalankan berbanding dengan Perhimpunan Bersih 4 yang baru lalu yang sangat-sangat dialu-alukan oleh para peniaga di persekitaran Dataran Merdeka. Ada peniaga yang merasakan bahawa mereka mengalu-alukan perhimpunan sedemikian yang mendatangkan keuntungan berpuluh kali ganda daripada hari-hari biasa.

            Jelas menunjukkan bahawa ‘Perhimpunan Baju Merah’ yang akan diadakan nanti mengganggu perniagaan di persekitaran dan pastinya menyusahkan rakyat terbanyak.

            Aku tertarik juga dengan kenyataan yang dikeluarkan oleh golongan akar umbi UMNO yang merasakan bahawa ‘Perhimpunan Baju Merah’ ini merupakan satu perhimpunan yang sia-sia tanpa mempunyai matlamat dan tujuan tertentu. Biar aku petik kenyataan seorang   ahli Umno Kedah dan aktivis, Datuk Seri Zaienal Abidin Omar yang mengatakan bahawa perhimpunan tersebut adalah sia-sia kerana tidak akan dapat mengubah nasib kaum Melayu dalam negara."Adakah selepas 16 September. Orang Melayu akan bertukar jadi pemain dan pemegang utama ekonomi negara?” Soalnya. (petikan “MALAYISAN INSIDER 12 September 2015 )
            Beliau juga mempersoalkan tentang hasrat dan matlamat perjumpaan itu diadakan. Beliau merasakan bahawa perhimpunan sedemikian tentunya tidak mendatangkan faedah sekiranya tidak ada matlamat yang jelas. Sekiranya perhimpunan ini betul-betul memperjuangkan sesuatu isu yang membabitkan kepimpinan negara kini, maka sudah seharusnya perhimpunan ini mendesak agar pihak kepimpinan negara menyelesaikan segera isu IMDB dan isu RM 2.6 billion yang tertera dalam akaun peribadi DS Najib Tun Abdul Razak. Yang anihnya ‘Perhimpunan Baju Merah’ tidak langsung menyebut isu sedemikian sedangkan seluruh dunia mempersoal dan membincangkan isu sedemikian. Dengan demikian memberikan gambaran kepada penduduk dunia bahawa orang Melayu hanya memikirkan isu-isu remeh yang tidak langsung menyentuh persoalan bangsa dan negara, apatah lagi menyentuh persoalan yang berbentu global.

            Bagi aku Datuk Seri Zaienal Abidin Omar telah membangkitkan satu isu yang cukup ‘pertinent’ apabila beliau mempersoalkan,  "Adakah kaum Cina akan tunduk dan takut serta akan turut apa juga kemahuan Melayu? Tiada apa yang berubah kerana penoreh getah akan pulang menoreh pada 17 September dan seterusnya. Apa faedahnya?"
            Kenyataan dari ahli akar umbi UMNO dari Kedah itu semacam disokong pula oleh ahli UMNO dari Selangor. Bagi Ahli Umno Cawangan Keliang, Hulu Selangor Moohamad Faizal Abdul Raub pula, perhimpunan yang menggunakan nama Melayu itu hanya memberikan imej buruk kepada kaum itu."Memang berhimpun hak rakyat Malaysia seperti mana Bersih 4, tetapi isunya di sini himpunan tersebut kononnya untuk mempertahankan maruah dan ketuanan Melayu. Kalau ikutkan situasi kini, Melayu Umnolah yang menjahanamkan bangsa sendiri," katanya kepada The Malaysian Insider.
            Maknanya golongan UMNO peringkat akar umbi telah merasakan bahawa ‘Perhimpunan Baju Merah’ itu tidak mempunyai matlamat tertentu, walaupun ‘dihalalkan’ dalam sistem pemerintahan demokrasi. Mungkin ramai lagi ahli UMNO di seluruh negara yang berpandangan seperti yang dilahirkan oleh tokoh UMNO berkenaan. Dan menampakkan kecerdikan yang menyerlah dikalangan golongan UMNO akar umbi berbanding dengan segelintir ahli UMNO yang tergolong dari kalangan elit (konon!)

abuhassanadam
14 September 2015


Thursday, September 10, 2015

UPSR, NASI LEMAK, LEPAT PISANG DAN AYAM GORENG

            Sudah dua hari Peperiksaan Ujian Penilaian Sekolah Rendah Malaysia ( UPSR) berlangsung. Dan selama dua hari juga aku tak berapa ‘lelap’ tidur. Cucu aku Fasihah Shahira menduduki peperiksaan berkenaan. Sepatutnya aku tak perlu ‘bimbang’ kerana ibu bapanya ada disampingnya untuk berkongsi kebimbangan anak mereka yang menduduki peperiksaan. Lagi pun sudah begitu lama aku dalam keadaan ‘bimbang’ ketika anak-anak menghadapi peperiksaan. Sepatutnya aku sudah ‘bersara’ daripada memikirkan tentang peperiksaan.

            Rupa-rupanya perasaan bimbang dan cemas ini akan terus menyerang, apatah lagi apabila cucu pula menduduki peperiksaan. Namun begitu aku terus menyembunyikan kerisauan dan kebimbangan aku. Aku hanya menunjukkan tentang ‘concern’ aku kepada cucu aku dan cuba sedaya upaya menyembunyikan ‘kerisauan dan kebimbangan’ aku. Yang boleh aku lakukan untuk ‘membantu’ ialah dengan cara memberikan nasihat dan berdoa disamping melakukan sembahayang hajat agar permohonan dan permintaan agar cucu aku lulus dengan cemerlang diperkenankan. olehNya.

            Aku masih teringat bagaimana arwah ibu ku akan ‘menyampaikan hadiah’ nasi lemak dan kuih-kuih kepada anak-anak di kampung aku setiap kali akau menduduki peperiksaan kerajaan pada suatu ketika dulu. Pagi-pagi lagi emak akan membawa nasi lemak dan kuih-kuih yang dimasaknya sendiri dan menunggu kanak-kanak ke sekolah untuk disedekahkah nasi lemak berkenaan. Anak-anak dari Kampung Seberang tidak ada jalan lain untuk ke sekolah di Kampung Lalang melainkan melalui jalan ( batas bendang) di hadapan rumah kami. Oleh itu arwah emak hanya perlu menunggu di tepian jalan dan menghulurkan bungkusan (nasi lemak dan kuih lepat pisang ) kepada anak-anak sekolah berkenaan. Mngkin itulah saja cara yang boleh dilakukan oleh emak dan bapa untuk ‘membantu’ aku dan adik aku lulus dengan cemerlang dalam peperiksaan yang kami duduki. (Semoga roh kedua-dua mereka dicucuri rahmat hendaknya).

            Amalan arwah ibu aku mahu aku teruskan. Mahu rasanya aku pulang ke kampung halaman aku untuk meneruskan amalan baik yang dilakukan oleh ibu bapa aku dulu-dulu. Aku dapat bayangkan kegembiraan yang terpancar di wajah setiap anak-anak yang menerima bungkusan nasi lemak dan Lepat Pisang dari ibu ku. Dan setiap kali dihulurkan bungkusan demikian emak akan memberitahu anak-anak itu agar mendoakan aku dan adik aku lulus dalam peperiksaan. Setiap kali aku dan adik aku menduduki peperiksaan, begitulah amalan ibu ku.

            Apabila cucu ku Shahira menduduki peperiksaan UPSR, aku berhasrat untuk mengikut jejak langkah arwah ibu ku. Tidak pula aku memberitahu cucu dan emak bapa mereka tentang hasrat yang terpendam ini. Aku telah mengenal pasti sebuah kawasan perumahan di Lembah Kelang yang aku merasakan anak-anak di kawasan perumahan berkenaan akan merasa gembira dan bahagia sekiranya aku hulurkan pemberian aku bersempena dengan peperiksaan yang diduduki oleh cucu ku.

            Nasi lemak yang sepatutnya diberikan oleh arwah ibu ku telah aku tukarkan dengan beberapa bungkusan ayam goreng yang pastinya mengembirakan anak-anak apabila mendapatinya. Dan aku pasti juga kanak-kanak yang aku kenal pasti itu agak jarang dapat menikmati ayam goreng sedemikian memandangkan latar belakang kehidupan keluarga mereka yang agak sederhana. Lantas sememangnya begitu hasrat aku agar dapat mengembirakan hati anak-anak berkenaan disamping mendoakan kejayaan Shahira dalam Peperiksaan UPSR yang didudukinya.

            Disamping aku mendoakan kejayaan cucu aku, tidak lupa juga aku untuk mendoakan kejayaan anak-anak lain terutama yang berada di kampung-kampung yang kehidupan mereka amat sederhana seperti mana yang pernah aku lalui puluhan tahun yang lampau. Dan amat aku hargai pendidikan yang telah aku terima ini hasil usaha gigih ibu bapa aku kerana dengan berbekalkan pendidikan yang sebeginilah dapat aku ‘meneroka’ dunia ini sebagaimana yang dinikmati oleh orang lain.

            Memiliki pendidikan merupakan harta yang tidak ada tolak bandingnya……

abuhassanadam
10 September 2015


            

Tuesday, September 8, 2015

APA SALAHNYA KUMPULAN ‘BAJU MERAH’ BERHIMPUN?

            Tidak salah rasanya sekiranya Kumpulan ‘Baju Merah’ mahu mengadakan perhimpunan sepertimana yang dilakukan oleh Kumpulan Bersih 4 baru-baru ini. Setiap negara yang mengamalkan demokrasi dan kebebasan bersuara tidak menghalang rakyatnya menyuarakan sesuatu pandangan dan pendapat malah adalah digalakan rakyat mengadakan ‘percambahan fikiran’ demi untuk menyuburkan demokrasi di negara itu sendiri.

            Malangnya di negara ini perhimpunan sedemikian tidak medapat kebenaran dan kelulusan dari pihak berkuasa. Semacam pemerintah di negara ini amat takut dan bimbang dengan sebarang perhimpunan dan tunjuk perasaan yang dijalankan. Lihat sajalah apa yang berlaku di pusat-pusat pengajian tinggi awam di negara ini. Para pelajar yang sepatutnya terdedah dengan berbagai pendedahan telah tidak dibenarkan terlibat dalam sebarang ‘percambahan fikiran’ atau perdebatan yang mempersoalkan hal-hal berkaitan dengan negara. Lantas para pelajar terus menerus ‘tertutup’ fikiran mereka dan ‘terciptalah’ pemimpin-pemim masa depan kita sebagai pemimpin ‘yes-man’.

            Kumpulan Bersih 4 telah berhimpun pada 29 dan 30 Ogos yang lalu. Tidak mendapat kebenaran polis. Lebih kurang 500,000 hadir. Berani buat berani tanggung. Dan Kumpulan ‘Baju Merah’ pula akan mengadakan perhimpunan ‘besar-besaran’ pada 16 September 2015 nanti. Dan difahamkan mereka juga tidak mendapat kebenaran pihak polis. Dan kononnya mereka juga akan meneruskan program yang telah sedia dirancang walaupun tidak ‘berketua’ dan tidak tahu siapa yang menjadi ketuanya. Yang dapat diketahui bahawa seorang Menteri dari Pahang telah menggalakkan ahli UMNO dari kawasannya supaya hadir pada perhimpunan berkenaan. Apakah beliau yang merupakan ketua dan perancangnya? Entahlah.

            Inilah perbezaan yang jelas antara ‘Bersih’ dan ‘Baju Merah’. Kumpulan ‘Bersih’ dilihat agak tersusun dan bertanggungjawab tentang apa yang hendak dilakukan. Jelas matlamatnya. Mungkin dengan sebab itulah ramai yang hadir ‘menunjukkan muka’ diperhimpunan demikian dengan tidak sedikit pun memikirkan samada perhimpunan Bersih itu dianjurkan oleh Cina atau oleh Melayu atau oleh India. Tidak ada perasaan sedemikian. Yang penting matlamat dan tujuannya jelas. Sesuai dengan tuntutan keadaan semasa.

            Hanya segelintir masyarakat di negara ini yang menuduh mengatakan bahawa Perhimpunan Bersih 4 adalah anjuran masyarakat Cina untuk ‘menghina’ masyarakat Melayu. Bagi aku satu fitnah yang amat serious. Mungkin jugalah ‘puak’ yang menuduh itu tidak hadir pada perhimpunan Bersih demikian dan tidak melihat dengan mata kepala sendiri bagaimana bersatunya rakyat Malaysia menentang kezaliman dan penyelewengan yang sedang berlaku di Malaysia kini. Ada ‘episode’ di perhimpunan berkenaan yang amat ‘menyentuh’ perasaan sesiapa yang melihat tentang keintiman ikatan bangsa Malaysia. Mengapa ada pihak yang memutarbelitkan hubungan kaum yang begitu murni itu? Apakah untungnya pihak yang cuba melaga-lagakan antara kaum itu sedangkan tidak wujud walau sedikit pun ketegangan antara kaum itu. Mengapa?

            Bagi pihak yang membuat tuduhan, apakah mereka mempunyai statistik yang konkrit menyatakan bahawa majoriti yang hadir itu adalah kaum Cina dan terlalu kurang kaum Melayu. Mungkin betul terdapat perbezaan kecil tentang kehadiran antara kaum Melayu dan bukan Melayu? Mungkin. Apakah tidak dirasionalkan mengapa terdapat perbezaan sedemikian? Sekiranya pelajar-pelajar dari pusat pengajian tinggi  awam dibenarkan hadir maka besar kemungkinannya Kuala Lumpur akan ‘banjir’ dengan anak-anak muda dari semua kaum yang bakal menentukan masa depan kehidupan mereka di negara yang tercinta ini. Malangnya golongan ini dihalang dan disekat. Itupun masih ramai yang berjaya ‘melepaskan’ diri untuk hadir.

            Hadirnya peserta ke Perhimpunan Bersih 4 adalah jelas tujuan dan matlamatnya. Dan telah terbukti bahawa Bersih 4 telah berjaya  mengukuhkan pembentukan sebuah bangsa Malaysia yang harmoni dimana semua kaum dapat wujud seiringan dan bekerjasama dalam menuntut keadilan di negara ini. Dan tentulah terfikir bahawa apakah Kumpulan ‘Baju Merah’ juga mempunyai matlamat dan tujuan sebagaimana yang dilakukan oleh Bersih 4.

            Suatu hal yang amat ketara yang kelihatan amat tidak sesuai tentang kewujudannya ialah tentang peserta yang akan hadir yang terdiri semata-mata dari kaum Melayu sahaja. Mungkin orang Melayu ahli UMNO. Dan semacam ada usaha untuk menandingi kumpulan Bersih 4. Dengan jelas juga menampakkan bahawa tidak ada matlamat yang jelas mengapa diadakan perhimpunan ‘Baju Merah’ itu. Larangan yang dikenakan oleh pihak polis itu terhadap perhimpunan itu ada asasnya.

            Namun sekiranya pihak Kumpulan ‘Baju Merah’ yang dirasakan ramai antara pesertanya terdiri dari ahli UMNO Melayu dapat menjemput ahli-ahli MCA (Cina) dan MIC (India) untuk bersama-sama memperjuangkan sesuatu, maka tentulah tidak ada sebab mengapa pihak polis tidak memberikan kebenaran kepada mereka untuk mengadakan perhimpunan demikian. Kumpulan ‘Baju Merah’ harus dengan segera menyatakan tujuan dan matlamatnya mengadakan perhimpunan sedemikian dan dinyatakan dengan jelas organisasi yang menganjurkan perhimpunan demikian.

            Aku merasakan bahawa tidak ada sebab mengapa Kumpulan ‘Baju Merah’ tidak sepatutnya mengadakan perhimpunan pada 16 September yang akan datang. Aku merasakan amat meriah keadaan sedemikian, apatah lagi pada hari menyambut kemerdekaan dalam Malaysia. Yang penting perhimpunan itu bukan sahaja dihadiri oleh orang Melayu (UMNO) tetapi juga mesti disertai bersama oleh kaum Cina (MCA) dan India (MIC). Dan tidak salah sekiranya rakyat Malaysia lain juga menyertai bersama.

            Yang penting ialah dijelaskan matlamat dan tujuan perhimpunan berkenaan. Untuk apa dan ke mana arah tujunya. Selamat berhimpun……

abuhassanadam

8 September 2015

Saturday, September 5, 2015

BUDAYA SAMSENG -  APAKAH MILIK ORANG MELAYU?

            Akhir-akhir ini sudah mula wujud suatu budaya baru yang dilahirkan oleh segelintir orang Melayu yang boleh disifatkan sebagai ‘budaya samseng’. Pastinya tidak mempunyai ramai pengikutnya disebabkan kelahirannya tidak bertepatan dengan zaman kwujudannya. Maksud aku bahawa Kurun ke 21 bukanlah merupakan zaman atau kurun untuk mempamerkan kekuatan fizikal tetapi kurun ini adalah zaman manusia mempamerkan kekuatan mental. Orang putih kata ‘knowledge-based society’. Kurun yang mementingkan masyarakat berilmu pengetahuan.

            Justeru sekiranya masih ada lagi orang Melayu yang mahu menunjukkan ‘kekuatan’ melalui kekuatan fizikal, bermakna orang Melayu amat ketinggalan zaman sedangkan bangsa-bangsa lain di dunia sudah mengubah haluan, mementingkan ilmu pengetahuan dan pemodenan. Maknanya cara berfikir segelintir orang Melayu yang demikian, yang masih mahu mengamalkan budaya samseng itu samalah seperti keadaan masyarakat Melayu purba yang digambarkan oleh P.Ramlee melalui watak A.Rahim dan Sharif Dol dalam filem-filem Melayu lama.

Orang Melayu seolah-olah sudah ‘kekeringan’ untuk menunjukkan sesuatu yang boleh menyebabkan mereka merasa bangga dengan ‘kebolehan’ dan ‘kemampuan’ mereka. Seolah-olah orang Melayu terpaksa memilih ‘budaya samseng’ untuk ditunjukkan kepada orang lain bagi meyakinkan bahawa inilah ‘pusaka’ yang dimilki oleh orang Melayu dari datuk nenek mereka. Semacam begitu keadaannya kini. Sebenarnya tidak begitu sikap dan tindakan datuk nenek kita zaman dahulu.Tidak begitu…..

            Dan seiring dengan kewujudan budaya samseng dikalangan segelintir orang Melayu itu lahir pula ‘tentera upahan’ yang akan melakukan apa saja yang diperintahkan oleh ‘boss’nya dengan bayaran yang agak malu untuk dinyatakan dalam rencana ini. Semacam terlalu hina bagi anggota ‘tentera upahan’ sanggup dan rela menerima bayaran yang sedikit itu demi untuk menyara ‘sesuap nasi’ keluarga dan anak-anak di rumah. Namun pada hakikatnya begitulah yang berlaku. Mereka semacam sanggup ‘menggadai’ maruah orang Melayu dengan tindakan yang mereka lakukan. Walaupun golongan yang sedemikian amat kecil namun kaum lain di negara ini akan menyimpulkan bahawa golongan sedemikian mewakili orang Melayu. Ini yang dikatakan ‘beberapa ekor kerbau membawa lumpur’ hampir semua orang Melayu terpalit.

            Yang menghairankan juga ialah bahawa isu yang diperjuangkan oleh mereka adalah amat remeh dan kadang-kadang tidak masuk akal bagi masyarakat yang rasional. Dan paling terhina ialah apabila ‘tentera upahan’ ini merasa begitu bangga dengan tindakan mereka ‘memperjuangka’ isu yang remeh. Sanggup muncul dihadapan kamera TV, ‘mendabik dada’ memperjuangkan isu yang tidak patut diperjuangkan.

            Berbanding dengan perjuangan pahlawan-pahlawan Melayu lama seperti Dato Bahaman, Mat Kilau  (Pahang), Dato Maharajalela  (Perak),  Tok janggut (Kelantan), Haji Abdul Rahman Limbung Terengganu, maka ‘perjuangan’ ‘tentera upahan’ yang mengamalkan budaya samseng ini adalah seperti membandingkan malam dengan siang. Orang Melayu khususnya sehingga kini masih mengagungkan perjuangan pahlawan-pahlawan Melayu sedemikian kerana mereka sanggup ‘bergalang nyawa’ demi mempertahankan rakyat dan negeri mereka.

            Tok Janggut, Haji Abdul Rahman Limbung amat jelas perjuangan mereka membela orang kampung yang dikenakan cukai tanah oleh British. Mereka sanggup mengangkat senjata (keris, pedang dan parang) menentang penjajah dengan senjata moden mereka demi mempertahankan rakyat (bangsa) dan negeri (negara). Itu baru dapat dibanggakan oleh orang Melayu dan bukan mengamalkan budaya samseng dengan menjadi ‘tentera upahan’ yang dibayar dengan bayaran ‘tak berapa sen pun’ tetapi sanggup mencalarkan maruah orang Melayu dan bangsa Melayu.

            Yang amat menghairankan lagi ialah bahawa ‘tentera upahan’ yang wujud di Malaysia kini tidak pun menyentuh langsung isu-isu besar negara yang membabitkan kesejahteraan rakyat Malaysia. Mereka tidak ‘berdetik’ untuk menentang pengenalan GST oleh kerajaan yang jelas menghimpit kehidupan rakyat. Tidak kedengaran pun suara golongan ini untuk bersama rakyat terbanyak menentang pengenalan GST itu. Sekurang-kurangnya rakyat mahu mendengar ‘suara’ mereka.

            Dan ketika seluruh dunia mempersoalkan tentang IMDB dan mengenai RM 2.6 billion yang berada dalam akaun peribadi DS Najib, Perdana Menteri kita, golongan ‘tentera upahan’ senyap sesepinya. Tidak berdetik walau sedikitpun. Lantas rakyat Malaysia pastinya mempersoalkan tentang kewujudan ‘tentera upahan’ ini. Untuk apa? Dan siapakah yang membiayai aktiviti mereka untuk ‘memekik’ dan ‘melolong’ di sana sini. Ke manakah arah tujuan mereka. Ataupun mungkinkah kewujudan golongan ini semata-mata untuk menunjukkan ‘kekuatan fizikal’ di era global sedangkan seluruh manusia di dunia sedang bertarung untuk menunjukkan kekuatan mental.

            Jikalau begitulah caranya maka amat malanglah bangsa Melayu yang masih tidak mahu berganjak dari ‘perjuangan’ asal mereka. Seolah-olah golongan ini masih mahu mempertahankan ‘kebodohan, kepandiran, kekolotan’ orang Melayu.

            Dan seharusnya yang berfikiran sedemikian harus ditentang habis-habisan.

abuhassanadam
5 September 2015