Thursday, December 28, 2017

PEMIMPIN UMNO BERSIKAP ‘SENYAP DAN SUNYI’

            Sehingga kini hampir keseluruhan pemimpin UMNO di seluruh negara, disemua peringkat seolah-olah mengamalkan sikap ‘senyap dan sunyi’ terhadap isu ‘panas’ yang sedang dibincangkan rakyat di seluruh negara. Hampir setiap ceruk rantau rakyat terus menerus membincangkannya tetapi yang anihnya para pemimpin UMNO (hampir disemua peringkat) terus bersikap ‘senyap dan sunyi’. Seolah-olah mereka tidak mahu campuratangan langsung dalam hal yang mungkin membabitkan kepimpinan mereka.

            Jikalau sebelum ini rakyat Malaysia semacam tidak mempedulikan apa yang berlaku kepada IMDB tetapi semakin hari rakyat semakin disedarkan bahawa sebenarnya negara kita berada dalam keadaan bahaya mengikut apa yang digambarkan oleh golongan mereka yang faham tentang seolok belok perniagaan dan yang berpengalaman mentadbir negara seperti yang digambarkan oleh Tun Dr. Mahathir atau TS Muhyiddin Yassin.

            Yang betul-betul menyedarkan tentang kepincangan negara kini ialah apabila berlaku penyelewengan yang bukan kecil dalam FELDA, walaupun sebelum ini rakyat sudah disedarkan tentang penyelwengan yang berlaku dalam pengurusan MARA, Lembaga Urusan Tabung Haji (LUTH) dan beberapa agensi kerajaan lain, namun rakyat umum hanya menyerahkan kepada pemimpin dan golongan tertentu untuk menyelesaikan masalah berkenaan. Tetapi dengan ‘ledakan’ dan letupan yang berlaku dalam FELDA ini telah membuka mata rakyat umum khususnya para peneroka FELDA yang isu ini sudah ibarat ‘cacing yang sudah sampai ke mata’

            Hendaknya pihak yang bertanggungjawab janganlah lagi hendaknya menghampa perasaan rakyat yang memerlukan sangat-sangat pertolongan saudara-saudara sekalian untuk membawa segala ‘penyamun’ ini ke muka pengadilan. Cukuplah agakanya lakonan dan drama yang ditunjukkan kepada rakyat. Rakyat ( yang tinggal di bandar misalnya) bukan tidak tahu dan bukannya tidak faham ‘mainan’ saudara-saudara sekalian tetapi sifat penyabar dan bertimbang rasa rakyat itu yang mempengaruhi mereka untuk melakukan sesuatu yang diluar dugaan.

            Segala ‘penyamun-penyamun’ yang terlibat dalam skandal  IMDB, MARA, LUTH tetap bersalah. Mereka perlu dihukum dengan hukuman yang seberat-beratnya kerana kesalahan mereka yang bukan sahaja tergolong dalam kategori pecah amanah tetapi yang paling menyedihkan mereka telah memusnahkan harapan orang Melayu khsusnya orang Melayu luar bandar. Mereka tidak syak lagi mesti dihukum. Tetapi yang tidak kurang juga bersalahnya ialah golongan yang bersekongkol dengan mereka.

            Dalam Persidangan Agung UMNO yang diadakan  baru-baru ini tidak terdengar langsung komen, sungutan, pandangan yang berkaitan dengan IMDB atau MARA atau LUTH yang disuarakan oleh para perwakilan UMNO. Langsung tidak ‘berdetik’ langsung. Apakah golongan pemimpin UMNO ini tidak tahu tentang berlakunya penyelewengan dalam agensi kerajaan milik Melayu itu. Mengapakah para pemimpin UMNO (kononnya!) langsung tidak menegur langsung kepincangan yang telah berlaku. Apakah mereka tidak tahu tentang berlakunya penyelwengan sedemikian? Mustahil. Ataupun mungkin agaknya terlalu ‘kenyang’ maka sudah tidak terdaya lagi untuk menyuarakan sesuatu pandangan atau teguran.

            Lantas golongan ini harus dipersalahkan juga kerana tidak berani  menegur kepincangan yang dilakukan. Sekiranya mereka ‘bersuara’ sekurang-kurangnya ada juga segan dan silunya para pemimpin yang diatas kerana para pemimpin sentiasa mengharapkan sokongan dari pihak akar umbi untuk memenangi sesuatu jawatan dalam UMNO. Sekurang-kurangnya mereka juga berbisa dan kata-kata mereka ‘didengar’ juga oleh pucuk pimpinan. Tetapi malangnya mereka tidak langsung bersuara dan ‘bermaharajalela’lah para pemimpin mereka untuk melakukan penyelewengan.

            Sekurang-kurangnya sudah ada, dan sudah mula para artis menyuarakan rasa ketidakpuasan terhadap sesuatu perkara. Apa yang disuarakan oleh Chef Wan, dan Sheila Majid merupakan sesuatu yang agak luar biasa. Jikalau pada zaman kemerdekaan dahulu, golongan wartawan/ sastrawa, dan guru-guru yang sentiasa memberikan teguran kepada kerajaan, tetapi kini golongan ini sudah mengamalkan sikap senyap dan sunyi juga. Para guru sudah menghadkan diri mereka hanya untuk mengajar anak murid sahaja dan tidak lagi mahu berkecimpung dalam menentukan kemajuan masyarakat.

            Golongan wartawan dan sastrawan pun seolah-olah kelihatan sudah ramai yang ‘meletakkan senjata’ dan tidak mahu lagi berjuang sebagaimana wartawan/sastrawan zaman dahulu. Tambah menyedihkan lagi ialah tentang adanya golongan para penulis/sastrawan/wartawan yang sanggup memutarbelitkan berita, memihak kepada ‘penyangak-penyangak’ dan ‘penyamun’ tertentu yang mengekpolitasi wang hasil titik peluh rakyat. Mereka sudah sanggup menjadi ‘tentera upahan’ untuk mendapatkan sedikit bayaran untuk menyara sesuap nasi untuk keluarga dan anak tercinta. Mungkin golongan ini sudah lupa tentang tanggungjawab mereka yang lebih besar yang berada dihadapan mereka dan yang perlu dipikul.


abuhassanadam
28 Disember 2017








Monday, December 18, 2017

CIKGU AZIZAN, ANDA TIDAK KESEORANGAN

            Sebagai seorang guru tua, aku pasti apa yang dilakukan oleh Cikgu Azizan adalah bertepatan dengan sikap seorang guru yang mahu melihat anak muridnya berjaya dalam pelajaran dan mempunyai pekerti yang baik. Itu pasti. Aku yakin Cikgu Azizan adalah tergolong dalam kategori guru yang sedemikian. Dan aku pasti juga beliau bertindak bukan kerana dendam kesumat, bukan kerana benci kepada anak muridanya dan bukan juga disebabkan oleh faktor-faktor lain.

            Lantas aku berkeyakinan apa yang dilakukan oleh Cikgu Azizan bertepatan dengan sikap dan tindakannya sebagai seorang guru. Noktah. Lantas aku memberikan sokongan. Namun sekiranya tindakan Cikgu Azizan bertentangan dengan apa yang sepatutnya dilakukan oleh seorang guru maka serahkan kepada pentadbbiran sekolah dan kementerian untuk menghukumnya. Apakah berat benarkah kesalahan seorang guru sehingga membawa kes sedemikian ke mahkamah?

            Ada satu ‘rahsia’ yang ingin dikongsikan dengan pembaca yang bukan dari golongan guru dan yang tidak pernah menjadi guru. Hanya yang bergelar guru ( guru pencen khususnya) yang pernah merasakan pengalaman dan ‘nikmat’ sedemikian. Kebiasaannya anak murid yang pada suatu ketika dulu merupakan murid dan pelajar yang nakallah yang sentiasa mengingati jasa dan sumbangan guru. Murid yang sedemikianlah yang sentiasa menjadi ‘penghiubur’ kehidupan seorang guru pencen. Merekalah yang kerapkali mengunjungi dan bertanya khabar tentang guru yang pernah ‘merotan’, ‘memukul’, ‘melempang’ mereka ketika mereka dalam ‘proses untuk menjadi seorang manusia’.

            Cikgu Azizan mungkin tergolong dalam kumpulan guru yang sedemikian yang sentiasa memikirkan tentang ‘pembentukan pribadi dan sahsiah’ anak muridnya sehingga terlupa (agaknya) tindakannya sudah ‘melampau batas’ ( mengikut perkiraan setengah ibu bapa moden yang sanggup akhirnya mengheret beliau ke mahkamah).

            Sebagai orang tua, aku ingin menasihati guru-guru muda agar meneruskan perjuangan cikgu-cikgu. Jangan undur, bermakna jangan ikut ‘rentak’ sebagaimana yang diperlukan oleh setengah ibu bapa (yang kononya moden). Setiap perjuangan sememangnya memerlukan pengorbanan. Dan pihak kementerian juga harus bersama para guru yang betul-betul menepati istilah sebagai seorang pendidik. Pihak kementerian khususnya Menteri Pelajaran harus tegas berdepan dengan situasi yang wujud kini. Berikan keadilan kepada Cikgu Azizan dan pihak Menteri Pelajaran tidak terikut-ikut dengan rentak politik kini yang kelihatan boleh ‘memporak-perandakan’ pentadbiran sekolah dan mengecewakan para guru.

            Jikalau dberi kesempatan kita merenung kembali tentang suasana persekolahan suatu ketika dulu, tentulah ramai yang tahu bahawa antara syarat-syarat yang diberikan oleh ibu bapa kepada guru ketika menyerahkan anak-anak mereka ialah agar anak-anak mereka ‘tidak capik dan buta’. Dan diringi dengan sebatang rotan yang diberikan kepada guru/ustaz untuk digunakan apabila perlu. Dan kesanya tidak pula terdapat dalam sejarah  persekolahan di negara ini (semenjak dahulu hingga sekarang) murid-murid yang capik atau buta dipukul guru.

            Jangan pula dituduh yang aku mencadangkan suasana sedemikian dikembalikan di sekolah. Aku faham dan amat mengerti tentang perubahan masa dan keadaan. Mungkin ‘penyerahan rotan’ tidak lagi sesuai dan menggunakan rotan secara berleluasa juga tidak sesuai pada zaman ini. Namun menyerahkan kuasa kepada Pengetua atau guru disiplin untuk merotan pelajar-pelajar yang melanggar peraturan sekolah adalah sesuai dan tentunya telah difikirkan sehalus-halusnya oleh pihak kementerian sebelum peraturan menjadi undang-undang.

            Tentulah ramai yang sependapat agaknya bahawa mendenda semestinya dilakukan terhadap pelajar yang sentiasa ponteng sekolah, melakukan kegiatan ‘membuli’ rakan-rakan lain, mengamalkan tabiat menghidu gam dan kegiatan-kegiatan lain yang dirasakan tidak sesuai bagi seorang pelajar. Dan yang perlu dilakukan oleh para pengetua atau guru disiplin ialah mengambil tindakan yang sesuai bagi pelajar yang sedemikian. Dan tugas ibu bapa pula ialah mengadakan pertemuan dan perbincangan dengan pihak pentadbiran sekolah dan bukannya mengambil tindakan mahkamah sekiranya anak-anak mereka melakukan kegiatan negatf seperti yang dinyatakan.

            Cikgu Azizan tidak keseorangan dalam menghadapi suasana sepertimana yang dihadapi kini. Tentulah ramai bekas murid-murid beliau yang telah berjaya dalam menempuh hidup yang akan sentiasa bersama beliau. Sekurang-kurangnya mendoakan beliau ‘berjaya’ dalam ‘perjuangan’ begini. Cikgu Azizan dan keluarganya seharusnya berbangga dengan beliau diheret ke mahkamah kerana kesalahan beliau (mungkin) hanya disebabkan usahanya untuk membetulkan perangai seorang muridnya. Lantas dalam usaha ke arah itu mungkin beliau tersilap langkah yang menyebabkan beliau dalam keadaan yang dihadapinya kini. Namun begitu Cikgu Azizan harus berbangga sebagai seorang guru.

            Teruskan ‘perjuangan’ mu Cikgu Azizan dan guru-guru muda lain yang seangkatan dengan beliau demi pembinaan bangsa Malaysia tercinta.

abuhassanadam

18 Disember 2017

Thursday, December 14, 2017

ANTARA LAS VEGAS DAN BUKIT CHANDAN

            Entah macam mana pada malam yang hening jernih ini fikiran aku menerpa kepada suatu peristiwa yang pernah berlaku dan yang pernah aku alami sendiri pada penghujung tahun-tahun 1960an. Episod sejarah ini jarang diperkatakan. Dan bagi aku elok jugalah peristiwa sebegini dipaparkan untuk tatapan generasi kini supaya mereka tahu bahawa apa yang pernah berlaku dan tentulah menghairankan juga bagaimana ia boleh berlaku.

            Persitiwa yang aku paparkan nanti pastinya tidak mungkin akan berlaku lagi. Aku yakin tidak akan berlaku lagi. Sekurang-kurangnya dalam masa terdekat. Yang aku maksudkan ialah pesta hiburan di Bukit Chandan. Pesta berkenaan diadakan diperkarangan Istana Iskandaraiah dalam zaman pemerintahan Sultan Idris Syah. Ia bukan calang-calang pesta dan pastinya ‘mengalahkan’ sebarang pesta yang diadakan pada ketika itu, walaupun dimana saja diadakan di negara ini. Pasti ‘tewas’.

            Mungkinlah agaknya Sultan yang memerintah pada ketika itu mahu menyediakan hiburan sepuas-puasnya kepada rakyat negeri Perak pada ketika itu, pada hari merayakan keputeraan baginda pada bulan September. Mungkin. Jikalau aku tidak silap pesta hiburan dan perjudian diadakan selama satu bulan di perkarangan Istana Iskandariah Bukit Chandan Kuala kangsar.

            Dalam masa satu bulan itu rakyat negeri Perak betul-betul berhibur dan berpesta. Bersantai kata orang sekarang. Pada setiap malam perkarangan Istana Iskandariah menjadi tumpuan. Maka berpusu-pusulah rakyat negeri ini, terutamanya rakyat yang berada didaerah Kuala Kangsar. Dari Sayung, Manong, Teroso, Padang Rengas, Kota Lama, Cheh, Kati, Sauk, Talang berduyun-duyun menuju ke Istana Iskandariah.Untuk memudahkan orang dipersikataran Padang Rengas mengunjungi pesta berkenaan, syarikat bas ‘Red &Yellow’ berfungsi sampai tengah malam untuk memberi kemudahan penduduk Padang Assam, Kuala Dal, Talang mengunjungi pesta berkenaan.

            Tentulah para pembaca rencana ini tidak sabar-sabar lagi ingin tahu apakah yang hebat dan istemewanya pesta di Istana Iskandariah itu. Bagi aku memang hebat dan sememangya luar biasa. Yang boleh menandingi pesta berkenaan kemungkinannya pesta di Las Vegas di Amerika Syarikat yang dapat menandinginya. Mungkin ramai yang tidak yakin dan percaya apabila dikatakan demikian. Hanya yang berada pada waktu itu yang dapat mengiakan apa yang aku katakan itu.

            Telah dikatakan pada awal rencana ini bahawa Sultan Idris seolah-olah mahu menyediakan hiburan sepuas-puasnya kepada rakyat negeri Perak. Apa tidaknya. Sebut saja jenis hiburan. Semuanya ada. Peminat Kugiran pop ye ye disediakan satu pentas untuk peminat berkenaan dengan penyanyi jemputan yang didatangkan dari Singapura. Untuk peminat lagu-lagu ghazal disediakan pula satu pentas untuk Ghazal Pati Kepala Batas. Untuk anak muda yang ketagih nak berjoget disediakan juga satu pentas joget moden yang mana peserta yang ingin berjoget boleh naik ke pentas secara percuma. Boleh berjoget selagi mahu.

            Satu hal yang unik yang dianggap amat luar biasa ialah bentuk perjudian yang diadakan. Mungkin ramai yang tidak percaya dan yakin apabila aku katakan bahawa bentuk perjudian yang diadakan boleh menyamai apa yang ada di Las Vegas . Ini cerita betul. Walaupun kerajaan Malaysia melarang perjudian, namun mungkin disebabkan diadakan di persekitaran istana maka dibenarkan perjudian dijalankan.

            Dan hampir keseluruhan rakyat negeri Perak yang mengunjungi pesta berkenaan pada ketika itu terlibat dalam perjudian. Dari sekecil-kecil (10 sen) sehinggalah mencecah ribuan ringgit. Dan perjudian sedemikian dijalankan secara terang-terangan. Dalam hal perjudian mungkin jugalah pengunjung-pengunjung bukan sahaja rakyat negeri Perak tetapi mungkin dari luar negara juga memandangkan penglibatan perjudian dalam skala yang besar. Mungkin.

            Satu perkara yang boleh dimanfaatkan oleh masyarakat persekitaran ialah pesta sedemikian telah menyediakan peluang berniaga kepada mereka khususnya menjual barang makanan. Penglibatan sedemikian boleh memberikan pendapatan yang lumayan selama sebulan.

            Pada tahun 1986, aku berpeluang mengunjung Las Vegas di Amerika Syarikat dan antara tempat yang aku lawati tentulah tempat perjudian (bukan untuk bejudi). Ketika berada disitu teringatlah aku mengenai kawasan perjudian yang diadakan di kawasan Istana Iskandariah Bukit Chandan sebagaimana  yang aku jelaskan sebentar tadi. Sememangnya tidak banyak perbezaan. Tentulah kawasan perjudian di Bukit Chandan diadakan di luar bangunan sedangkan di Las vegas diadakan di dalam bangunan hotel yang cantik. Pada ketika perjudian di Istana Iskandariah diadakan, berkemungkinan juga ada para penjudi dari Las Vegas yang mengunjungi kawasan perjudian Istana Iskandariah. Mungkin.

            Keadaan pesta sedemikian sudah tidak diadakan lagi di perkaranagan Istana iskandariah. Malah dalam zaman Sultan Azlan Syah tidak pula kedengaran tentang adanya pesta sedemikian di jalankan, apatah lagi zaman pemerintahan Sultan Narin.

            Bukan hasrat aku untuk memberikan komen tentang baik buruknya pesta yang diadakan itu. Yang ingin disampaikan ialah tentang adanya peristiwa sedemikian diadakan di perkarangan istana Iskandaraiah Kuala Kangsar pada suatu waktu penghujung tahun 1960an. Jikalau aku tak silap pada tahun 1970.

            Hanya tinggal kenangan kata penyanyi R. Azmi.

abuhassanadam
14 Disember 2017




















































Tuesday, December 12, 2017

DR MAHATHIR PAHLAWAN BANGSA

            Sepanjang perjalanannnya Dr. Mahathir diibaratkan sebagai seorang pahlawan yang sentiasa berusaha menebus maruah bangsanya. Pengembaraannya itu adalah satu pengorbanan yang tidak pernah kenal erti letih dan lelah. Malah sehingga hari ini pun ‘pengembaraannya’ diteruskan walaupun ramai yang berpendapat bahawa Dr. Mahathir harus berehat. Dan yang menariknya lagi beliau tidak pun menampakkan perasaan kecewa terhadap perjuangannya. Yang menyebabkan beliau kecewa mungkin apabila melihatkan negara dari hari demi hari seolah-olah menuju ke arah kehancuran.

            Beliau meneruskan perjalanan sehinggalah akhirnya dapat meyakinkan pengikut bahawa apa yang dilakukan sebenarnya merupakan satu keyakinan yang telah dikaji dan diteliti. Beliau seolah-olah tidak kecewa dengan perjuangannya malah beliau amat yakin bahawa perjuangan mesti diteruskan untuk membela bangsa dan negara. Ibarat kata peribahasa Melayu, ‘membujur lalu melintang patah’.

            Kini perjalanannya diteruskan lagi walaupun kita merasakan bahawa beliau sepatutnya berhenti dan ‘bercuti’. Namu diatas desakan dan runtunan hati dan perasaan perjuangan harus diteruskan, apatah lagi apabila wawasan 2020nya seolah-olah diketepikan. Sudah jelas kelihatan pihak kerajaan seolah-olah mengenepikan Wawasan 2020 dan menggantikannya dengan TN50. Mungkin ini juga merupakan salah satu sebab yang Dr Mahathir bersunggug-sungguh benar tampil semula ke arena perjuangan untuk ‘bersepak-terajang’ bagi meyakinkan rakyat Malaysia bahawa negara kita masih ketinggalan berbanding dengan bangsa-bangsa lain yang lebih maju.

            Allah memanjangkan usianya. Rakyat Malaysia yang sentiasa mengimpikan sebuah bangsa Malaysia yang kuat mengharapakan terus kepimpinan dari Dr. Mahathir. Kita tidak tahu dimanakah pengkalan perhentiannya dan titik noktahnya. Rakyat Malaysia umumnya hampir pasti merasakan bahawa hanya Saudara Anwar Ibrahim yang layak untuk mengambil ‘baton’ dari genggaman Dr. Mahathir. Hanya Allah dan keadaan yang akan menentukan. Hanya Saudara Anwar Ibrahim yang dianggap boleh menyambung perjalanan dan seterusnya mempertingkatkan apa yang telah ditinggalkan oleh Dr Mahathir. Dalam ertikata yang lain, penggantinya nanti seharusnya mempunyai kualiti kepimpinan yang boleh meneruskan usaha menebus maruah bangsa.

            Analisis yang cuba diterokai mengenai diri Dr. Mahathir  bermula pada tahun 1971 ia itu ketika beliau masih dianggap sebagai orang luar selepas terkeluar daripada arus pentadbiran kerajaan ekoran daripada kritikannya tentang perjalanan pentadbiran kerajaan pada ketika itu dibawah kepimpinan Tunku Abdul Rahman dan Tun Abdul Razak. Dapat dilihat bahawa beliau tidak segan dan silu ataupun gentar menyatakan apa yang tidak kena tentang perjalanan pentadbiran kerajaan mengikut pertimbangannya. Walaupun berada dalam UMNO pada ketika itu, beliau terus menerus mengkritik perjalanan pentadbiran UMNO dan dasar-dasar yang tidak sesuai yang dilakukan. Dan sehingga hari ini Dr Mahathir masih ‘consistent’ dalam tindak-tanduknya.

            Biarlah aku tinjau serba sedikit tentang pemikiranya sebagaimana yang digambarkannya dalam bukunya, ‘The Malay Dilemma’ yang diharamkan di Malaysia oleh pentadbiran Tunku Abdul Rahman. Pernah diadakan satu diskusi anjuran Institute of South East Asian Studies Singapore pada tahun 1971 untuk mengupas intisari penting yang terdapat dalam pemikiran Dr Mahathir itu. Hasil dapatan daripada perbincangan di situ menunjukan bahawa apa yang ditulis oleh Dr Mahathir dalam ‘The Malay Dilemma’ relevan dengan tindakanya ketika menjadi Perdana Menteri adalah selari. Boleh dianggap sebagai bukti bahawa apa yang difikirkan oleh Dr. mahathir ketika menulis, ‘The Malay Dilemma’ masih konsisten dengan tindakannya ketika menjadi Perdana Menteri Malaysia selama 22 tahun.

            Kedengaran juga komen dari kalangan tertentu yang mengatakan bahawa apa yang dikotakan oleh Dr. Mahathir ketika menjadi Perdana Menteri tidak sama dengan apa yang diperkatakan belalui bukunya.Ini bermakna, ‘cakap tidak serupa bikin’.

            Apakah anggap sedemikian betul?

            Untuk mengkaji betul tidaknya anggapan sedemikian, aku cuba sedikit sebanyak ‘membongkar’ (setakat kemampuan yang termampu) bahan-bahan lama yang mengandungi ucapan dan isi wawancara Dr. Mahathri dengan para wartawan samada dari dalam atau luar negara.

            Dari segi pertemuan dan temu-ramah Dr. Mahathir dengan wartawan asing adalah dirasakan sehinggakan Dr Mahathir dianggap sebagai ‘darling’ wartawan dalam dan luar negara. Beliau tidak keberatan untuk bertemu dengan wartawa pada bila-bila masa. Hujah-hujah dan pemikiran yang dihamburkannya menarik perhatian pendengar dimana saja. Beliau tidak gentar dan takut bertemu wartawan. Anatara wartawan yang pernah menebubual beliau ialah  Victor Laniauskas selaku ketua penyunting majalah ‘Readers Digest’ edisi Asia pada tahun 1982.

            Sejurus sahaja Barisan Nasional menyambut kemenangan pada tahun 1983, Dr Mahathir telah ditemuramah oleh wartawa ‘Asiaweek’ ia itu Berton Woordward, David Lazarus dan Assif Shameen. Pada bulan May 1988, Caroll Bogert dari majalah ‘Newsweek’ pula mengadakan wawancara dengan Dr Mahathir.

            Berdasarkan kepada beberapa wawancara yang dilaluinya, boleh disimpulkan bahawa ‘nada’ Dr Mahathir beberapa tahun yang lalu adalah sama dengan dengan apa yang diperkatakannya pada hari ini. Masih mengenai bangsa dan negara. masih mahu meneruskan perjuangan menebus maruah bangsa. Masih tidak mahu melihat bangsa Malaysia ketinggalan. Masih mahu berdiri sama tinggi dan duduk sama rendah dengan bangsa lain didunia.

abuhassanadam
12 Disember 2017