Saturday, March 2, 2019

ORANG MELAYU/ ISLAM NAK 'LETAK MUKA' DIMANA..

            Apakah para pemimpin PAS dan UMNO ( yang terlibat dengan rasuah dan penyelewengan) sedar bahawa orang bukan Melayu yang bukan beragama Islam kini melihat dengan perasaan ‘hina’ terhadap orang Melayu yang beragama Islam disebabkan perbuatan jelek setengah pemimpin PAS dan UMNO yang langsung tidak mempedulikan kesan buruk yang ditimbulkan oleh tindakan mereka? Orang bukan Melayu /bukan beragama Islam melihat orang Melayu yang beragama Islam yang sentiasa mengamalkan falsafah ‘cakap tak serupa bikin’.

            Orang Melayu di Malaysia kini sudah sampai kepada suatu tahap ‘tak tahu nak letak muka dimana’. Kita berada dalam masyarakat yang majmuk, berbilang kaum dan sentiasa berinteraksi antara satu dengan lain. Dan disebabkan beberapa ‘ekor kerbau’ yang membawa lumpur semacam habis kesemuanya orang Melayu terpalit dengan lumpur.

            Bertahun-tahun lamanya kita ‘menyamar’ diri sebagai ‘bukan orang Melaysia’ ketika berada di luar negara khususnya jika berada di London atau di New York disebabkan kemelut IMDB. Kita malu menyatakan yang kita dari Malaysia. Agak sedih dan malu kerana bersikap sedemikian. Tetapi hakikatnya ialah bangsa Malaysia seolah-olah ditertawakan oleh orang luar kerana ‘membiarkan’ bermaharajalelanya pelaku-pelaku  dalam kemelut IMDB sehinggakan negara hampir menjadi muflis. Mereka sering mempersoalkan ‘takkanlah kesemua orang yang bertanggungjawab kepada negara hanya membiar dan menutup sebelah mata apabila berlakunya penyelwengan dalam IMDB/’

            Orang luar negara merasa hairan dengan sikap dan tindakan para pegawai di negara kita yang hanya memejamkan mata dan tidak mengambil sebarang tindakan untuk menyekat agar keadaan sedemikian tidak berlaku. Apakah pihak para pegawai di negara kita hanya memejamkan mata dan ‘mengunci mulut’ dan tidak peduli langsung tentang berlakunya perkara sedemikian. Lantas orang-orang di luar negara terus hilang hormat kepada pemimpin negara Malaysia yang berkunjung ke negara luar.

            Soalan-soalan yang dikemukakan oleh pegawai imigresen ketika di pintu masuk ke sesuatu negara juga melihat pemegang passport Malaysia dengan penuh sinis. Bermakna bahawa mereka tahu apa yang berlaku di Malaysia. Seolah-olah pada ketika itu ( sebelum Mei 2018)  seluruh dunia mentertawakan Malaysia akibat kebodohan rakyat yang senang ditipu ‘hidup-hidup’ oleh pemimpinnya yang tidak bertanggungjawab.

            Jikalau beberapa tahun dahulu rakyat Malaysia ‘dihina’ ketika berada di luar negara, kini orang Melayu beragama Islam ‘dihina’ pula oleh orang bukan Melayu yang bukan beragama Islam. Walaupun hinaan mereka tidak terang-terangan namun ‘lirik mata dan jelingan’ sudah cukup untuk memberikan isyarat kepada kita bahawa mereka sedang ‘menyindir’ dan mentertawakan kita. Ini bukan salah mereka tetapi salah kita juga. Perbuatan pemimpin kita tidak mencerminkan sebagai seorang Islam yang mengamalkan apa yang diajarkan oleh Islam. Perbuatan pemimpin Islam yang kononnya memperjuangkan Islam sebenar tetapi telah menyeleweng dari ajaran sebenarnya. Dan kesannya telah ‘terpalit’ ke muka kita.

            Perbuatan dan tindakan setengah pemimpin kita dari UMNO dan PAS sudah cukup untuk membuat orang Melayu yang beragama Islam merasa amat malu. Namun yang anihnya pula para pelaku yang membuatkan orang Melayu malu tidak pula menunjukkan rasa segan dan malu atas perbuatan mereka. Malah golongan ini dengan bangganya pula cuba ‘menegakkan benang basah’ mereka dan cuba meyakinkan rakyat bahawa apa yang diperkatakan dan tuduhan yang dilemparkan kepada mereka adalah sebagai fitnah.

            Malangnya masih ada lagi rakyat Melayu/Islam yang merelakan diri menjadi pengikut mereka dan tentunya rela ‘dicucuk hidung’. Masih ada yang sanggup ‘ke hulu dan ke hilir’ mempertahankan mereka dengan anggapan bahawa tuduhan yang dikenakan terhadap mereka adalah sebagai satu fitnah. Mereka seolah-olah lupa bahawa ‘perbuatan terkutuk ’ yang mereka lakukan adalah seperti ‘merompak di saing hari’ di mana seluruh dunia sudah memperkatakannya.

            Sebahagian besar rakyat Malaysia amat malu kini dengan perbuatan terhina setengah pemimpin kita dan ‘di manalah nak diletakkan muka kita.

            MALU!….

abuhassanadam
2 Mac 2019


Friday, March 1, 2019

PAS MENJOLOK ‘SARANG TEBUAN’!!

            Entah macam mana, angin tidak ribut pun tidak pemimpin PAS Tuan Guru Haji Hadi Awang bersama dengan dua orang ‘pengapit’nya bertemu Tun Mahathir menyatakan sokongan kepada Tun Mahathir. Pada awalnya tidak dihebuhkan kenyataan yang PAS akan menyokong Tun Mahathir. Cuma yang dijelaskan oleh Tun Mahathir hasil pertemuan mereka itu ialah yang PAS tidak akan memberikan sokongan kepada UMNO pada PRK Semenyih.

            Kebanyakan pemimpin dan ahli PAS sendiri terpinga-pinga dengan perkembangan sedemikian. Mereka tidak diberitahu (atau mungkin telah diberitahu tetapi pura-pura buat tak tahu) oleh pucuk pimpinan. Kesannya tentulah timbul ‘kecelaruan’. Si pemimpin peringkat atasan telah memberikan jaminan yang mereka tidak akan menyokong UMNO di PRK berkenaan sedangkan pada majlis pengisytiharan pencalonan, pemimpin peringkat pertengahan telah bersungguh-sungguh  dengan kenyataan yang mereka akan semacam  ‘sehidup semati’ dengan UMNO sebagaimana yang berlaku di PRK Cameron Highlands.

            Selepas itu baru timbul isu (secara rasmi!) yang PAS akan memberikan sokongan padu kepada Tun Mahathir. Tidak begitu jelas pula tentang mengapa diberikan sokongan kepada Tun M dan Tun M pula tidak juga menyatakan dengan jelas mengapa sokongan itu diberikan. Sebagaimana kebiasaannya Tun M lebih banyak diam daripada berkata-kata. Hanya pihak PAS yang ‘melompat’ dan ‘meloncat’. Dan pihak kepimpinan PAS sudah agak menyepi tentang isu tidak menyokong UMNO di PRK Semenyih walaupun kononnya jentera PAS masih bergerak di sana.

            Jelas menampakkan yang kepimpinan PAS dalam keadaan ‘kacau kena’ ( loghat negeri Perak yang bermaksud serba salah) terutama selepas Tuan Guru Haji Hadi menarik balik samannya terhadap Clare Brown berhubung dengan samanya tentang IMDB. Telah dicanangkan ‘ ke hulu ke hilir’ yang PAS beroleh kemenangan dan mendapat kepercayaan kepada ahli-ahlinya (tentulah dengan pekikan Allahu Akbar!) dan tiba-tiba menarik balik tuntutan saman berkenaan. Bagi golongan yang tidak berapa cerdik sahaja yang percaya bahawa PAS telah beroleh kemenangan.

            Agaknya dalam keadaan kelam kabut yang sedemikian dan ditambah pula dengan ‘malapetaka’ yang ditimbulkan oleh YB Nik Abduh yang menyebabkan Tuan Guru Haji Hadi sentiasa mengatur langkah sumbang. Setiap kenyataan yang dikeluarkan mendapat reaksi yang negatif dari rakyat yang berfikiran rasional, seolah-olah kenyataan beliau sudah tidak dihormati dan seringkali dipersendakan. Hanya kepada pengikut yang fanatik sahaja tempat beliau ‘mengadu nasib’untuk menagih sedikit simpati dalam arus ‘perjuangan’ yang agak tenat ini.

            Masyarakat Malaysia mula bertanyakan beberapa soalan. Mengapa Tuan Guru Haji Hadi bersungguh-sungguh benar menyatakan sokongan kepada Tun M. Apa perlunya sokongan beliau. Dan mengapa ‘tanpa angin dan tanpa ribut’ TG Haji Hadi ‘berikrar’ menyatakan tidak memberikan sokongan kepada UMNO di PRK Semenyih. Dan sekiranya PAS memberikan sokongan kepada Tun M bermakna PAS juga memberikan sokongan kepada pemimpin Pakatan Harapan yang mana DAP juga termasuk dalam kumpulan PH sedangkan PAS telah menyatakan dengan jelas bahawa ‘musuh’ PAS sebenarnya adalah DAP.

            Dalam keadaan yang cuba meleraikan kekusutan dan dalam usaha mencari helah yang sesuai PAS menyatakan bahawa Tun Mahathir akan menghadapi undi tidak percaya di Parlimen. Timbul persoalan dari kumpulan mana? Dari DAP kah. Dari PKR kah? Dari Amanah kah? Jelas kelihatan tidak ternampak sebarang tanda wujudnya komplot untuk menjatuhkan Tun M. Yang wujud hanyalah suara-suara ‘budak nakal berhingus’ yang cuba-cuba ‘bermain politik ikutan’ mengatakan bahawa ada usaha Saudara Anwar Ibrahim yang akan menggugat kedudukan Tun M sebagai Perdana Menteri.

            Tuduhan itu dinafikan oleh Saudara Anwar sekeras-kerasnya. Walaupun begitu kepimpinan PAS terus ‘berpaut’ kepada isu “Anwar nak menjatuhkan Tun M ‘ dan para pemimpin PAS bawahan terus menerus mendendangkan ‘lagu’ itu. Pada mulanya Anwar hanya berdiam diri, bersikap membiarkan keadaan berlalu namun tuduhan dari kepimpinan PAS semakin menjadi-jadi.

            Tindakan PAS ibarat menjolok sebarang tebuan. Kini tebuan yang dijolok sarangnya sudah mula menyengat.  Dan muncullah kisah Tuan Guru Haji Hadi membayar sejumlah wang RM 1.4 juta yang agak lumayan kepada Clare Rewcastle Brown sebagai penyelesaian luar mahkamah kes samannya di London. Mengikut kata Saudara Anwar Ibrahim, ‘…saya tak akan bercakap kalau saya tak ada fakta. Ni saya ada bukti – Pas, Hadi Awang telah bayar RM 1.4 juta kepada Clare Rewcastle Brown. Kalau Pas nak cabar, boleh dakwa saya di mahkamah, saya ada bukti” Malaysia Chronicle – Februai 28 , 2019)

            Dan Saudara Anwar meminta kepimpinan PAS menjawab dan menjelaskan tentang pembayaran berkenaan. Apakah kepimpinan PAS berani menyahut cabaran berkenaan. Eloklah tunjukkan‘kejantanan’ pemimpin PAS kepada rakyat. Ataupun sekurang-kurangnya dapat menyedar dan mencelikkan mata para pengikut PAS yang membuta tuli itu.

abuhassanadam
1 Mac 2019



Thursday, February 28, 2019

HENTIKANLAH 'MAINAN' ISU PERKAUMAN

            Rakyat Malaysia dari segenap lapisan dan yang cintakan perdamaian sudah jemu dan jelak dengan isu perkauman yang sentiasa ‘didendangkan’oleh para pemimpin khususnya pemimpin parti pembangkang. Kadang-kadang terfikir juga bahawa tidakkah pemimpin yang sentiasa mendendangkan isu sedemikian sedar bahawa rakyat sudah meluat dengan keadaan yang ‘didendangkan’ itu.

            Memanglah senang untuk ‘menakluki’ emosi golongan rakyat yang suka dengan keadaan sedemikian tetapi golongan rakyat yang suka dengan keadaan sebegitu sudah tidak ramai. Namun demikian sekiranya dibiarkan dipupuk dan dibaja maka golongan yang berfikiran sedemikian akan berkembang dan terus hidup subur juga.

            Isu perkauman kebiasaannnya ‘dimainkan’ dalam kempen-kempen pilihanraya samada PRK ataupun PRU. Dan yang menaburkan ‘fitnah’ ke arah itu adalah pihak parti pembangkang. Berbagai perkara dan isu dikaitkan dengan isu perkauman yang matlamat akhir mereka ialah akan wujud perpecahan yang boleh menguntungkan parti yang diperjuangkan oleh mereka. Golongan ini hanya ‘bersandarkan’ kepada isu perkauman untuk memenangi hati rakyat demi memenangi sesuatu PRK. Dalam PRK di Semenyih yang berlangsung kini, terang-terang ada isu perkauman dimainkan walaupun dilaksana secara berselindung. Apabila PAS dengan jelas mengatakan bahawa mereka menyokong UMNO kerana menentang DAP. Dengan jelas menampakkan kecondongan untuk menggunakan isu perkauman dalam PRK Semenyih.

            Apakah tidak ada cara lain untuk memenangi PRK?  Apakah para pemimpin parti pembangkang  merasakan bahawa  itu saja cara yang boleh dieksploit untuk memenangi hati rakyat (yang suka mendengar isu sebegini)?. Para pemimpin parti pembangkang satu demi satu terpalit dengan isu rasuah dan penyelewengan. Dan yang terakhir telah muncul pula kisah Tuan Guru Haji Hadi membayar sejumlah wang RM 1.4 juta yang agak lumayan kepada Clare Rewcastle Brown sebagai penyelesaian luar mahkamah kes samannya di London.

            Mengikut kata Saudara Anwar Ibrahim, ‘…saya tak akan bercakap kalau saya tak ada fakta. Ni saya ada bukti – Pas, Hadi Awang telah bayar RM 1.4 juta kepada Clare Rewcastle Brown. Kalau Pas nak cabar, boleh dakwa saya di mahkamah, saya ada bukti” Malaysia Chronicle – Februai 28 , 2019)

            Berlatarbelakangkan suasana sedemikian rupa maka, mahu tidak mahu parti pembangkang seperti UMNO dan PAS semacam terpaksa menggunakan isu perkauman demi untuk mempengaruhi undi kaum Melayu. Dan sememangnya semenjak zaman berzaman isu perkauman ini digunakan sewenang-wenangnya. Seingat aku parti-parti lain seperti Gerakan, DAP juga pernah mengamalkan menggunakan isu perkauman dalam kempen pilihanraya di Malaysia ia itu ketika parti berkenaan sebagai pembangkang dalam kerajaan Malaysia.

            Disebabkan bermaharajalelanya isu perkauman diamalkan dalam kempen pilihanraya tahun 1969 telah menyebabakan berlakunya peristiwa berdarah 13 Mei 1969 yang merupakan titik hitam dalam sejarah Malaysia. Peristiwa berkenaan telah menyedarkan generasi yang melalui detik pahit itu dan semenjak itu tidak pernah terdengar lagi peristiwa seperti itu berulang. Rakyat umum sedar bahawa tidak ada gunanya isu-isu perkauman diulang-ulang. Dengan demikian rakyat Malaysia pada umumnya bertaut rapat mendokong konsep perpaduan dikalangan rakyat Malaysia.

            Tetapi persoalannya ialah pemimpin politik pula yang sentiasa menimbulkan isu-isu sensitif yang membabitkan Melayu dan bukan Melayu. Sehingga ke saat ini rakyat Malaysia amat toleren menghadapi keadaan yang wujud ini dan pujian harus diberikan kepada rakyat Malaysia yang masih mendokong konsep perpaduan rakyat ini dengan penuh tanggungjawab. Walau bagaimanapun sekiranya isu perkauman itu terus menerus dimainkan, takut kalau-kalau generasi Malaysia akan datang tidak lagi mengamalkan apa yang telah diamalkan oleh generasi ‘lama’ yang akan lenyap tidak lama lagi.

            Pemimpin politik, khususnya golongan politik pembangkang harus menyedari hakikat ini. Negara ini telah terbina dengan kukuhnya oleh pemimpin terdahulu dan hendaknya jangan dirobohkan oleh pemimpin kini.

abuhassanadam
28 Februari 2019


             

Wednesday, February 27, 2019

PENCERAMAH AGAMA MENGELAK MENYENTUH ISU RASUAH

            Hampir kesemua penceramah agama samada melalui media elektronok atau pun samada di surau-surau dan masjid jarang sangat menyentuh isu rasuah. Mungkin ada agaknya mereka berbuat demikian tetapi aku yang tidak berkesempatan mendengar huraian mengenai isu rasuah sedangkan rasuah merupakan topik yag paling hangat dibincangkan di negara kita sekarang terutamanya selepas PRU14 yang baryu lalu.

            Sepatutnya para alim ulama dan guru agama seiring dengan pihak kerajaan untuk memerang isu rasuah yang bermaharajalela yang telah berlaku semenjak beberapa lama. Seharusnya guru agama yang menunjuk ajar dan menunjuk jalan bagaimana cara dan jalan membenteras rasuah. Tetapi sebaliknya para cendekiawan agama terus menerus mendiamkan diri dan tidak mahu langsung  menyentuh isu yang yang amat keji ini.

            Amat diyakini bahawa sekiranya golongan agama yang sentiasa menyampaikan ceramah-ceramah di masjid dan surau bersungguh untuk membenteras rasuah dikalangan rakyat negara ini, maka pastinya lambat laun akan berjaya juga. Dikemukakan kenyataan ini ekoran daripada ceramah yang aku ikuti mengenai alam Barzakh dan Padang Mahsyar. Begitu berkesan sekali ceramah yang disampaikan oleh penceramah berkenaan. Dengan itu sekiranyalah bahan ceramah yang disampaikan itu mengenai pembenterasan rasuah dikalangan rakyat di Malaysia sedikit sebanyak akan memberi kesan juga di hati pendengar yang mendengarnya.

            Suatu trend yang amat membimbangkan kini ialah perasaan tidak ada malu langsung yang ditunjukkan oleh setengah pihak yang telah melakukan kesalahan. Rasuah misalnya. Malah kesalahan dan rasuah yang dilakukan bukanlah kecil tetapi melibatkan bilion ringgit dan hampir memusnahkan negara. Tokoh-tokoh yang melakukan perbuatan terkutuk itu ( walaupun belum dijatuhkan hukuman oleh mahkamah, tetapi seluruh dunia telah memperkatakan) tidak sedikitpun menunjukkan rasa segan dan malu di atas perbuatan terkutuk yang dilakukan. Malah kelihatan berbangga pula meperagakan diri sebagai ‘hero’ dan wira yang didendang.

            Dan yang amat malang dan membimbangkan pula ialah tokoh yang  terpalit dengan rasuah mempunyai peminat ( walau pun tidak ramai) yang fanatik. ‘Kegilaan’ mereka terhadap tokoh-tokoh tertentu adalah diluar dugaan dan diluar pertimbangan pemikiran manusia. Sudah dijelas diketahui umum bahawa tokoh yang disanjung oleh mereka adalah tokoh yang terpalit dengan rasuah namun mereka masih menyokong ‘perjuangannya’. Ini merupakan satu kelainan yang sungguh jelek yang berlaku ke atas sebahagian masyarakat Melayu.

            Sayup-sayup kedengaran juga dilaporkan bahawa pernah sorang tokoh yang dikatakan terlibat dengan rasuah telah dilantik sebagai penasihat untuk menasihati sebuah badan kerajaan yang mengawasi hal-hal rasuah. Sekiranya betul keadaan ini berlaku maka sekali lagi berita sebegini merupakan berita malang bagi negara Malaysia. Pelantikan sedemikian adalah seperti membiarkan  musang menjaga reban ayam atau seperti burung Pegar yang menjaga sawah padi.

            Sekiranya betul keadaan sedemikian berlaku apakah ‘tokoh’ yang dilantik itu tidak sedar tentang perbuatannya yang terkutuk itu. Apakah begitu tebal muka golongan sebegini yang terus menerima lantikan berkenaan. Dan siapakah yang bertanggungjawab melantik dan memilihnya sudah cukup berpuas hati dengan saringan yang dilakukan. Ataupun mungkinkah saringan yang dilakukan itu dilakukan sambil lewa sahaja.

            Akhir kata kepada golongan yang masih mendewa-dewakan pemimpin yang sudah terpalit dengan rasuah supaya mengentikan amalan sedemikian. Jelas sangat kelihatan tidak bermaruahnya golongan yang mendewa-dewakan golongan sedemikian disamping meletakkan diri pengikut yang membuta tuli dilembah kehinaan. Malanganya pula kebanyakan yang berbuat demikian terdiri dari kalangan orang Melayu.

            Insaflah.

abuhassanadam

27 Februari 2019