Friday, November 7, 2014

IKAN SEPILAI

Pada mulanya aku serba salah juga untuk menuliskan tajuk di atas takut-takut orang lain tidak tahu apa dia ‘ikan Sepilai’. Setelah aku rujuk kamus DBP maka jelas bahawa ikan Sepilai itu adalah sejenis ikan kecil untuk diperlagakan.Ada yang panggil ‘Ikan Laga’. Di bandar mereka panggil ‘Ikan laga’. Orang kampung seperti aku saja (agaknya!) yang panggil ikan Sepilai.

Tak kisahlah panggi apa pun. Yang pentingnya aku nak menceritakan kisah ‘ikan sepilai’ ini dengan tujuan untuk memberitahu anak cucu aku bahawa pada zaman ketika kami masih kecil ( zaman budak-budak) tidak ada komputer game seperti yang digunakan oleh anak-anak sekarang. Jadi salah satu kegiatan untuk memenuhi masa lapang kami ialah dengan cara mengadakan ‘pertandingan tinju’ antara ikan Sepilai. Dengan sebab itulah ada yang memanggilnya sebagai Ikan Laga kerana sememangnya ikan Sepilai ini suka berlaga antara satu dengan yang lain.

Agak sukar juga untuk mendapatkan ikan Sepilai ini bagi anak-anak yang tinggal di bandar. Tidak sukar pula bagi anak kampung seperti aku ( pada zaman itulah) untuk mendapatkan ikan Sepilai. Mungkin ada kedai-kedai di bandar-bandar seperti Kuala Lumpur yang menjual ikan laga. Namun begitu sudah agak lama aku tidak melihat anak-anak zaman ini mengadakan ‘perlawanan tinju’ menggunakan ikan Sepailai. Mungkin lebih menyeronokkan bagi anak-anak zaman ini melihat ‘perlawanan tinju’ berkenaan.

Hampir setiap hari, dalam perjalanan pulang dari sekolah aku dan beberapa orang kawan, Ani, Ngah, Isa, Bahari akan mencari ikan Sepilai di parit-parit tali air di kawasan sawah di kampung kami. Antara Kampung Lalang dan Kampung Keroh Hilir ada sebidang sawah yang terbentang luas. Dan di situ terdapat juga tali air yang digunakan untuk mengairi sawah berkenaan pada musim bersawah. Dalam parit berkenaanlah tempat ikan Sepilai bernaung di bawah buih yang dikeluarkannya.

Untuk mencari ikan Sepilai tidak susah (pada ketika itu). Yang perlu dicari terlebih dahulu ialah buihnya seperti air ludah di atas air. Yang dicari adalah buih yang ‘kekaratan’ dan bukan buih yang berwrna putih. Sepilai di bawah buih kekaratan biasanya adalah terdiri dari specie yang garang dan berwarna cantik. Apabila ternampak saja buih berkenaan, pastilah ada ikan Sepilai yang berselindung di bawah buih berkenaan. Gunakan saja dua tangan untuk menangguk ikan Sepilai di bawah buih berkenaan. Pasti dapat. Namun begitu bukan semua ikan Sepilai yang ditangguk itu boleh digunakan sebagai ‘peninju’.

Ada dua jenis ikan Sepilai. Jantan dan betina. Mengikut ‘kajian’ yang kami buat (pada ketika zaman budak-budak) dulu, ikan Sepilai betina warnanya tidak ‘segarang’ warna yang jantan. Warna ikan betina agak kehijauan berbanding dengan yang jantan yang memiliki warna kebiruan bercampaur kemerahan. Garang dan cantik pada pandangan mata. Jenis inilah yang digunakan untuk ‘bertinju’.

Kebiasaanya Sepilai betina akan dilepaskan semula ke tempat asalnya. Tak perlu. Tak cantik dan tidak boleh berlawan. Hanya yang jantan sahaja yang ‘dibela’. Maknanya ‘peninju’ itu akan dipelihara ‘seperti menantang minyak yang penuh’. Botol tempat tinggal Sepilai jantan akan ditanam separuh. Hanya muncung botol sahaja yang terkeluar. Memberi peluang pernafasan. Kononnya untuk menjadikan Sepilai lebih garang dan lebib cantik warnanya.

Aku masih ingat lagi bagaimana botol berisi ikan Sepilai aku tanam di pangkal perdu pokok pisang di belakang rumah aku. Ada tiga botol yang aku buat begitu, menunggu saat dan ketika untuk ‘masuk gelanggang’. Kononnya, megikut ‘fatwa’ rakan-rakan, lagi lama Sepilai ditanam, maka lagi garanglah ikan Sepilai berkenaan. Entah betul atau tidak, aku tidak dapat memastikannya. Begitulah ‘fatwa’ yang dikeluarkan oleh mereka yang tahu selok belok ikan Sepilai.

Hari untuk menyaksikan ‘perlawanan’ ikan Sepilai pun sampailah.Ngah, Ani, Isa, Bahari, Karim, Zainan datang beramai ke rumah Wan Munah ( emak Karim). Masing-masing membawa botol berisi Sepilai masing-masing. Macam Don King memimpin Mohd Ali dalam perlawanan tinju dunia tu. Lebih kurang begitulah. Dan pertandingan ini akan mengambil masa yang lama disebabkan banyak pasangan yang akan berlawan. Untuk menentukan kalah menang pertandingan, ditentukan oleh kami juga.

Tidak susah untuk menentukan kemenangan kalah-mati ini. Ada terdapat keadaan di mana sesuatu pertandingan itu hanya mengambil masa tak sampai setengah jam, apabila salah satunya ‘tumbang’ dan terus mati. Ada juga terdapat keadaan dimana sesuatu ‘peninju’ mengambil masa yang agak lama untuk menumbangkan lawannya. Kemenangan akan diisytihar apabila salah satu mati.

‘Gelanggang tinju’ kebiasaannya diletakkan di tengah rumah Wan Munah. Sebuah balang kaca berisi air diletakkan di tengah rumah. Para penonton yang terdiri dari kami berlima atau berenam akan meniarap di atas lantai mengelilingi balang berkenaan sambil ‘menonton’ dengan penuh minat pertandingan berkenaan. Kadang-kadang pertandingan itu akan berlarutan sampai ke petang yang hanya diselang oleh waktu ‘interval’ pada waktu makan tengah hari. Setengah jam sahaja. Dan akan bersambung selepas itu sehinggalah menjelang senja.

Dapat aku bayangkan sekiranya suasana sedemikian dapat dinikmati oleh anak-anak zaman ini, aku yakin mereka akan dapat ‘menewaskan’ pengaruh internet dan tempat internet itu akan diambil alih oleh perlawanan ikan Sepilai…..

Mungkin…..

Abuhassanadam
7 November 2014







1 comment: