APAKAH
BENAR MELAYU TERANCAM?
Akhbar
‘The Star’ bertarikh 20 November 2014 membawa tajuk, “UMNO delegates to speak
their mind at assembly”. Melihat tajuknya sepintas lalu memberikan gambaran
kepada aku bahawa itu merupakan perkembangan yang amat baik bagi parti UMNO
kerana para perwakilannya telah diberikan kebebasan untuk menyatakan hasrat apa
yang terkandung dalam pemikiran mereka. Dan tidaklah lagi para perwakilan
terkongkong untuk menyatakan sesuatu mengenai keadaan orang Melayu kini,
terutama yang berkaitan dengan kelemahan orang Melayu dalam berbagai bidang
yang belum dapat diselesaikan oleh UMNO yang merupakan tunjang kepada Barisan
Nasional yang memerintah Negara ini semenjak beberapa puluh tahun yang lalu.
Setelah
membaca seterusnya berita berkenaan, barulah aku sedar bahawa tanggapan aku
salah. Para perwakilan rupanya tidak akan membincangkan tentang keadaan orang
Melayu yang seperti ayam yang ‘mati di kepuk padi’ dan seperti itik ‘yang mati
kehausan di air tenang’. Mereka tidak akan membincangkan tentang kenaikan harga
minyak yang menyebabkan harga barang melambung naik dan menyusahkan kehidupan
orang Melayu yang miskin. Para perwakilan juga tidak akan membincangkan tentang
wang Negara yang berkemungkinan ‘lesap’ sepertimana yang pernah dialami oleh
Negara ketika Skandal BMF pada awal 1980an dulu. Dan para perwakilan juga
rupanya tidak mebincangkan tentang kegiatan rasuah yang bermaharajalela yang
dilakukan oleh setengah pemimpin mereka. Mereka juga rupanya tidak akan ambil
pusing tentang teguran bekas pemimpin mereka, Tun Mahathir yang menegur tentang
berbagai perkara terutama yang berkaitan dengan perjalanan sistem pendidikan
Negara. Dan para perwakilan juga tidak akan diberitahu tentang kemungkinan
orang Melayu akan berinjak ke pinggir hutan setelah kemampuan mereka untuk
membeli sebuah rumah dibandar diluar kemampuan mereka.
Malang
sungguh nasib orang Melayu…..
Rupanya
apa yang aku paparkan di atas bukan merupakan perkara yang harus dibincangkan
oleh perwakilan UMNO nanti. Rupa-rupanya isu berkenaan bukan merupakan isu yang
‘merunsingkan’ ahli UMNO di seluruh Negara mengikut apa yang dipaparkan oleh
akhbar ‘The Star’. Rupanya isu yang aku
paparkan di atas bukan isu yang membabitkan orang Melayu keseluruhannya.
Dengan sendirinya memberikan gambaran kepada aku bahawa orang Melayu sudah
tidak ada apa yang perlu dibincangkan mengenai diri mereka kerana semua perkara
telah dibereskan oleh kerajaan terutama dengan pemberian BRIM sudah cukup untuk
memberikan orang Melayu tidur nyenyak dengan buaian mimpin yang indah-indah.
Agaknya begitulah…..
Rupa-rupanya
yang sangat membimbangkan orang Melayu kini (terutama di kampung-kampung
agaknya) ialah tentang usaha-usaha pihak tertentu yang kononnya cuba menggugat
Perlembagaan Persekutuan yang berkaitan dengan kedudukan agama Islam, kedudukan
orang Melayu dan kedudukan Raja-Raja Melayu. Dan para perwakilan UMNO akan
mengkeritik pihak pemerintah kerana tidak begitu tegas dalam menangani isu-isu
ini, walaupun kononnya kelihatan terdapat usaha-usaha untuk memperkecilkan
peruntukan dalam perlembagaan Negara ini disamping mempersoalkan juga mengenai
ketegasan pihak kerajaan menguatkuasakan Akta Hasutan.
Sebagai
orang Melayu ‘tulin’ keturunan orang asli, mungkin agaknya mataku ‘buta’ dan
‘pekak’ kerana tidak dapat melihat ‘ancaman’ yang begitu serious terhadap orang
Melayu terutama ancaman terhadap agama Islam, kedudukan orang Melayu dan
Raja-Raja Melayu. Setahu aku apa yang disentuh ini adalah merupakan ‘isu Pakatan
Murni’ antara tiga kaum terbesar di Negara ini (Melayu, Cina, India) untuk
mencapai kemerdekaan dulu (1957). Malah Lord Reid, yang merupakan arkitek
merangka Perlembagaan Persekutuan pada
ketika itu telah diberi ‘pesan’ bahawa isu-isu ini adalah teras kepada
kewujudan Negara Malaya yang merdeka.
Dan
seingat akulah, tidak pernah lagi ada usaha-usaha kaum lain ( Cina dan India)
untuk menggugat kedudukan orang Melayu, Bahasa Melayu, agama Islam dan
Raja-Raja Melayu. Malah seingat akulah, Dasar Ekonomi Baru (DEB) yang
dilancarkan oleh Tun Abdul Razak pada awal 1970an mendapat sokongan dari
pemimpin kaum lain, sedangkan DEB itu jelas bertujuan untuk memajukan orang
Melayu. Kaum lain faham tentang semangat muhibbah dan kerjasama yang perlu
diamalkan dalam Negara seperti Malaysia demi kesinambungan kesejahteraan Negara
ini.
Oleh
hal yang demikian, mengapakah diheboh-hebohkan tentang kononya agama Islam
terancam. Mengapa ditimbulkan isu yang kononnya orang Melayu tergugat. Dan
apakah benar yang kedudukan Raja-Raja Melayu telah dipersoalkan kewujudannya
oleh kaum lain. Bagi aku kedudukan perkara-perkara ini adalah amat kukuh dalam
perlembagaan kita seperti kukuhnya Banjaran Titiwangsa. Maknanya tidak akan
siapa yang berani menggugatnya. Pendek kata seseorang yang cuba menggugatnya
akan terpaksa ‘melangkah mayat orang Melayu’ terlebih dahulu.
Orang
bukan Melayu tahu dan faham hakikat ini kerana kewujudan mereka dan datuk nenek
mereka sudah begitu lama berada di Negara ini dan tidak ada sebab mengapa
mereka akan mengancam dan menggugat isu-isu yang sudah termaktub dengan jelas
yang dirangka oleh datuk nenek kita dahulu.
Rakyat
Malaysia yang perihatin tahu dan faham bahawa pemimpin UMNO sentiasa
menggunakan ‘fear paradigm’ untuk ‘menakut-nakutkan orang Melayu supaya akan
terus menyokong mereka. Dan sebagai salah satu usaha UMNO juga ialah untuk
menjadikan ‘bayang-bayang’ sebagai satu reality demi untuk menyembunyikan isu
sebenar yang dihadapi oleh orang Melayu kini. Selagi tektik sedemikian
digunakan oleh UMNO, maka aku khuatir selagi itulah orang Melayu akan terus
berada ‘di takuk’ lama.
Mungkin…….
Abuhassanadam
20
November 2014
London
No comments:
Post a Comment