RUPANYA
NELSON MANDELA JUGA ‘MASUK JAWI’
Entah
macam mana sedang aku membaca buku karangan Richard Stengel berjodol,’
Mandela’s Way, Fifteen Lessons on
Life,Love, and Courage’ terserampaklah aku dengan keterangan yang menceritakan
bahawa Nelson Mandela juga ‘Masuk Jawi’. Menarik juga penjelasannya.
Digambarkan bagaimana seorang demi seorang kanak-kanak yang sebaya dengan
Mandela ketika itu, seorang demi seorang berbaris menyerahkan ‘anu’nya kepada
‘Tok Mudim’ untuk ‘disembelih’. Dan setelah ‘anu’ mereka dipotong, maka mereka
akan menjerit ‘aku telah menjadi seorang lelaki’. Tidak pula dijelaskannnya
peristiwa berkenaan dalam bahasa Afrika. Di kampung aku peristiwa berkenaan
dinamakan ‘Masuk Jawi’.
Jangan
tanya aku mengapa peristiwa berkenaan dinamakan ‘Masu Jawi’. Semenjak aku kecil
dan kini dah ‘tua-merenta’ itulah namanya.Hanya kadang-kadang dipersendakan
oleh kanak-kanak dengan mengatakan mengapa tidak disebut ‘Masuk Rumi’. . Hingga
kini masih dipakai oleh orang kampung aku , walaupun sudah ramai yang menggunakan
perkataan ‘bersunat’.
Hanya
beberapa jam sahaja sebelum aku bertolak ke London baru-baru ini, aku telah
mendapat panggilan telipon dari rakan lama aku. Namanya tercatat dalam telipon
bimbit aku. Nama sebenarnya Mat Saad tetapi dalam telipon bimbit aku tertulis
nama Mat…..Biasalah…Bagi sesiapa yang bernama Mat akan adalah
panggilan-panggilan lain dihujung nama Mat. Namun untuk menghormati Arwah
ibunya yang memberikan nama yang elok untuk beliau, aku tak mahu mendedahkan
nama gelarannya….
“
Kene (kenal) tak suara ini” Tanya Mat setelah aku menyambut salamnya.
“Takkan
lah aku tak kene (kenal)…orang kuat kampung’ jawab aku.Dan diikuti dengan
deraian ketawanya.
“
30 haribulan sebelas, kami nak buat khenduri besor (besar). Nak masuk jawi cucu
aku. Ada anak orang lain juga nak numpang. Lima belas orang kesemuanya. Jangan
tak balik….Tiga ekor kambing tumbang. Ada gulai nangka, gulai rebung, ikan
masin, sambal tempoyak ulam petai…..’ sambungnya lagi.
Mahu
rasanya aku membatalkan saja penerbangan aku ke London. Namun apakan daya.
Hanya beberapa jam saja lagi aku akan bertolak. Semua persiapan sudah teratur
untuk dibawa bersama ke rumah anak aku di sana.
Terlalu
berat hati aku untuk menyatakan yang aku tidak dapat hadir majlis ‘Masuk Jawi’
cucunya kerana bersungguh benar nampaknya dia menjemput aku. Namun begitu aku
dengan bahasa yang paling teratur (supaya tidak mengecilkan hatinya dan
kawan-kawan lain yang ‘sewaktu dengan aku’ di kampung) aku menjelaskan yang aku
tidak dapat hadir. Mat faham. Tetapi hati aku ini yang amat berat tidak menghadirkan diri di khenduri
berkenaan.
Khenduri
‘Masuk Jawi’ di kampung aku amat meriah. Tidak banyak bezanya dengan khenduri
kahwin. Ada yang ‘menumbangkan lembu’ untuk mengadakan khenduri ‘Masuk Jawi’.
Aku teringat ketika bapa mengadakan khenduri ‘masuk Jawi’ untuk aku suatu
ketika dulu. Memang meriah. Seluruh orang kampung dijemputnya. Walaupun tidak
menyembelih lembu, namun beberapa ekor kambing yang dibelanya sendiri ‘tumbang’
juga.
Rupanya
tradisi mengadakan majlis khenduri ‘Masuk Jawi’ secara besar-besaran masih
berlangsung di kampung aku,
walaupun ada juga yang telah menggunakan khidmat klinik di Padang Rengas untuk
menjalankan acara bersunat. Tak ramai. Orang kampung aku masih menggunakan
khidmat ‘Tok Mudim’ juga yang disifatkan oleh mereka sebagi ‘berkesan’. Aku tak
tahu apa yang dimaksudkan oleh mereka sebagai ‘berkesan’!.....
Sebenarnya
upacara ‘Masuk Jawi’ itu adalah kemuncak khenduri yang diadakan. Aku masih
ingat bagaimana pada paginya diadakan majlis khatam quraan, menandakan yang aku
telah tamat mengaji Quraan dengan Pak Haji Sulaiman. Bukan sebarang
Khatam!....Aku dan Karim ( rakan aku masuk jawi) dipakaikan dengan pakaian
seperti anak Arab Bedwi. Berjubah. Macam anak Arab di padang pasir. Aku dan
Karim diarak dari rumah Pak Haji Sulaiman ke rumah aku. Kami dijulang.
Disamping itu rakan-rakan yang mengiringi kami itu menyanyikan lagu
nasyid,Meriah betul. Agaknya seluruh keluarga aku, terutamanya Opah dan Atuk
aku amat bergembira melihat yang aku sudah khatam Quraan. Dah ‘Graduate’…..
Selepas
Zohor, setelah semua jemputan menikmati makan tengah hari, maka bermulalah
upacara ‘Masuk Jawi’. Aku dan Karim disuruh mandi di sungai. Dikuti oleh
rakan-rakan sebaya dengan aku. Tujuannya supaya ‘anu’ kami menjadi kebas
disebabkan kesejukan air sungai (pada ketika itu). Agak lama juga kami mandi di
sungai dalam suasana yang sungguh meriah.
Dari
sungai kami dijulang lagi untuk pergi ke rumah dan terus ke tempat
‘penyembeliahn’. Perasaan takut tetap ada. Luka ditangan nampak darahnya, inikan
pula luka ‘di anu’ tu…..
Abuhassanadam
22
November 2014
London
No comments:
Post a Comment