‘SESAT’ DI DUBLIN
(Coretan ini ditujukan kepada para pelajar yang
kini sudah menjadi doktor di Malaysia yang menuntut di Dublin sekitar tahun
1995-1998)
Tahun 1996. Aku terlupa tarikh yang sebenar. Dah
lama sangat. Dah dekat dua puluh tahun peristiwa itu berlaku tapi masih segar
dalam ingatan aku. Payah nak lupa.
Ketika itu aku bertugas sebagai Pengarah Jabatan
Penuntut Malaysia United Kingdom & Eire. Penghulu. Jaga pelajar-pelajar
yang menuntut di United Kingdom dan Eire. Maknanya menjadi tugas aku juga untuk
menjaga ‘budak-budak’ yang belajar di Ireland – Dublin, Belfast, Galway.
Maknanya dalam setahun sekurang-kurangnya dua kali aku mesti melawat
‘anak-anak’ yang berada di sana. Nak pergi selalu tak boleh juga. Belanja
mahal. Terpaksa berhati-hati menggunakan duit rakyat. Tak pergi tak boleh juga.
Nanti timbul berbagai kerenah ‘anak-anak’ di sana. Maklumlah orang muda-muda…..
Aku memberitahu Ismail (Warden MSD di Dublin
ketika itu) yang aku akan ke Dublin untuk berjumpa pelajar dan bertanya khabar
disamping menyelesaikan sebarang masalah pelajar yang timbul, khususnya yang
berkaitan dengan kewangan mereka. Ismail memberitahu penghulu pelajar tentang
kedatangan aku. Maknanya si Penghulu pelajar akan mengumpulkan pelajar-pelajar
yang ada Dublin untuk berjumpa dengan
aku.
Dipersetujui yang aku akan berjumpa dengan
anak-anak pelajar di Dublin di sebuah rumah yang disewa oleh mereka. Mereka
beritahu alamat tempat mereka mengadakan
perjumpaan. Mereka tanya aku samada mereka perlu menunggu aku di lapangan terbang
Dublin.
“Tak payah’ jawab aku. ‘Pak Abu boleh datang
sendiri……’ sambung aku lagi. Seluruh pelajar di UK memanggil aku dengan
panggilan Pak Abu. Aku memang senang dengan panggilan itu. Semacam hubungan
bapak dengan anak. Memang pun tugas aku untuk menjaga kebajikan mereka. Hingga
sekarang panggilan itu masih ‘terpakai’ dan dipakai walaupun aku bukan lagi
‘penjaga’ mereka.
Seperti biasa, apabila sampai sahaja di lapangan
terbang Dublin aku pasti menyewa kereta untuk menyenangkan aku bergerak melawat
pelajar di sana. Tidak susah untuk pergi kesuatu tempat disana dengan
pertolongan peta yang begitu sistematik. Dan pada ketika itu belum ada lagi
penggunaan GPS dan hanya peta jalanraya yang boleh dijadikan panduan.
Aku tiba lebih kurang pukul 7.00 malam. Sudah
gelap. Winter dan cuaca begitu sejuk sekali. Aku sudah pun berjanji dengan
pelajar-pelajar di Dublin yang aku akan sampai tempat pukul 8.00 malam dan
seterusnya majlis dialog dengan pelajar. Majlis makan malam selepas diadakan
dialog, kata aku. Pelajar setuju program yang telah dipersetujui bersama.
Dalam perjalanan ke rumah pelajar berkenaan,
terlintas di kepala aku untuk membuat ‘kejutan’ kepada pelajar. Sememangnya
‘perangai’ aku suka ‘bergurau’ dengan pelajar. Itulah juga cara aku bermesra
dengan pelajar disamping ‘mengawal’ tingkah laku mereka ketika berada di
perantauan. Terus terang aku katakan bahawa tidak mudah untuk ‘mengawal’
pelajar-pelajar di luar negara yang terdiri golongan bijak pandai yang amat
jauh bezanya dengan keadaan pelajar di dalam negaar sendiri. Dan ramai juga
antara pelajar demikian yang sudah pun lanjut usia terutama yang mengikuti
kursus Phd.
Pukul 7.45 aku sampai disuatu kedai pam minyak
yang tidak jauh dari tempat mereka mengadakan majlis pada malam berkenaan. Aku
letakkan kereta sewa aku di kawasan pam minyak berkenaan. Aku akan berjalan
kaki sahaja ke rumah pelajar berkenaan. Tak jauh. Lebih kurang setengah
kilometer.
“ Zainal…..di mana tempat hangpa nak buat majlis
malam ini?’ Tanya aku kepada Zainal (penghulu pelajar Dublin ketika itu), melalui
telefon bimbit aku, pura-pura tidak tahu lokasi mereka mengadakan majlis pada
malam itu.
“Pak Abu di mana?” tanya Zainal yang agak cemas.
“Tak tahu la…..di sebelah jalan ni ada sebuah
bangunan tinggi, dekat dengan kedai buah-buah…..dan di belakang sana ada KFC…”
kataku untuk mengelirukan Zainal. Sebenarnya pada ketika itu aku sudah pun
masuk di kawasan perkarangan rumah mereka sambil memerhatikan dari jauh gelagat
dan suasana ‘havoc’ dalam rumah berkenaan.
“ Siapa boleh ambil Pak Abu?” aku terdengar
Zainal minta salah seorang pelajar supaya pergi mencari aku yang entah di mana.
“Cuba Pak Abu tengok nama jalannya……” tanya
Zainal kepada aku. Dan sememangnya sudah ada yang bersetuju untuk menyusuli
aku. Tapi tak tahu di mana lokasinya.
Pada ketika itu aku sudah pun berada betul-betul di
hadapan rumah mereka. Hanya menunggu untuk memetik loceng rumah mereka.
Disamping itu aku mendengar keriuhan dalam rumah mengenai ‘kehilangan’ aku yang
tidak diketahui di mana. Dan pada ketika itu mahu rasanya aku ‘menamatkan’ saja
‘drama’ tersebut. Tapi aku masih bersabar dan tidak mahu ‘menyudahkan’ babak
berkenaan sehinggalah pintu rumah terbuka dan keluarlah beberapa orang pelajar
dari rumah yang akan menyusuli aku yang ‘tersesat’.
Apabila mereka ternampak saja aku di luar rumah,
salah seorang pelajar menjerit, “ Pak Abu di sini weeehhhhh…..”
Aku tidak mahu menceritakan suasana selepas itu.
Aku hanya mahu setiap pembaca membayangkan suasana kemesraan yang terjalin
antara ‘bapak’ dengan ‘anak-anak’ pada majlis berkenaan. Bayangkan……
Majlis pada malam itu berlarutan hingga tengah
malam.
Terlalu manis bila aku mengenangkan peristiwa
yang bersejarah itu.
abuhassanadam
5 November 2014
No comments:
Post a Comment