Sunday, November 30, 2014


APAKAH NASIB ORANG MELAYU AKAN SEPERTI NASIB PAK KADUK ATAU LEBAI MALANG?

Walaupun sebahagian besar orang Melayu kini tidak mahu dikaitkan dengan imej ‘kemelayuan’nya dengan UMNO, namun masih tidak dapat lari dengan persepsi ramai yang mengatakan bahawa Melayu itu UMNO dan UMNO itu Melayu. Hakikat sedemikian terpaksa diterima, walaupun apa yang berlaku dalam Persidangan Agung UMNO baru-baru ini amat tidak sesuai dan tidak secocok dengan pemikiran dan amalan setengah Melayu kini.

Ini berkaitan dengan persepsi.

Melalaui perbincangan dengan beberapa orang rakan ( yang dahulunya ahli UMNO tulin) merasakan bahawa UMNO masih ditakuk lama, malah jika dibandingkan Persidangan UMNO pada tahun-tahun 1960an dan 1970an, maka dapat disimpulkan yang PAU pada ketika itu lebih baik dan bermakna ( berasaskan kepada keadaan politik dan sosial pada ketika itu).

Tentulah aku tidak menafikan kebaikan PAU pada kali ini. Ada. Namun masih tidak menampakkan sesuatu yang menyerlah, yang boleh ‘melekat’ di benak seseorang bahawa PAU pada kali ini ‘hebat!”. Tidak muncul perasaan sedemikian. Yang tetap ‘mempengaruhi’ pemikiran seseorang ialah bahawa perwakilan UMNO merasakan bahawa Negara ini dimiliki oleh orang Melayu semata-mata. Walaupun ada ‘suara-suara’ yang mengatakan bahawa Negara ini milik bersama, namun pada keseluruhan ucapan atau saranan masih lagi merasakan bahawa Negara ini milik Melayu. Melayu yang punya. Melayu itu. Melayu ini. Pendek kata tidak menampakkan tentang 'futuristik'nya UMNO itu. Tidak menampakkan arah tuju yang jelas. Dan tidak tahu dari segi mana 'fokusnya'. Kelam dan tidak bermaya.

Sebagai orang Melayu tulin keturunan sakai, aku tidak berapa secocok dan setuju dengan pandangan perwakilan UMNO (mungkin sebahgian). Aku merasakan seolah-olah perwakilan UMNO yang terdiri dari orang Melayu sudah melupakan adat dan tatasusila yang disemaikan oleh datuk nenek kita dahulu. Apa tidaknya.

Ada peribahasa yang ditinggalkan oleh mereka ia itu,’ sekiranya menarik rambut dalam tepung, seharusnya tepung tidak bertaburan…. Sekiranya memukul ular, tanah jangan lebam, kayu jangan patah dan ular yang dipukul biar mati..” Amat jelas pesan datuk nenek kita. Kemudian diajar juga agar jangan mengecilkan hati kawan dan biar bersopan ketika berkata-kata agar kawan rakan tidak ‘terasa’.


Aminuddin Baki menyeru supaya orang Melayu bergerak maju dan berjaya dalam negara yang kaya raya. Tidak pula dia menyinggung perasaan kaum lain di tanah air yang tercinta. Begitu juga pendita Zaba dan Dato Onn Jaafar sentiasa menyeru agar orang Melayu bergerak maju. ‘ Bangunlah dari tidur mu’ . Lebih kurang begitulah kata Zaba menyeru supaya orang Melayu maju dan tidak juga beliau ‘mengecilkan hati’ kaum lain. Malah kehebatan Dato Onn amat terserlah apabila dia mencadangkan pembukaan ahli UMNO kepada kaum bukan Melayu.

Aku rasa zaman ugut-mengugut dan zaman ancam-mengancam sudah jauh ditinggalkan. Zaman kini adalah zaman kerjasama antara satu kaum dengan kaum yang lain. Zaman bebaik-baik. Bertanding dan bersaing bukan lagi beradu senjata, keris dan parang tetapi bersaing dari segi akal dan fikiran.

Kini Pusat Dagangan Dunia Putera telah ‘sunyi’ kembali. Dan pulanglah segala ‘pahlawan’ yang terpekik dan terlolong selama beberapa hari di PAU berkenaan. Dan semasa dalam perjalanan pulang elok rasanya kita persoalkan semula tentang apa yang telah kita capai demi untuk memajukan orang Melayu supaya setanding dengan kaum-kaum lain di Malaysia kini. Betul yang PAU berkenaan telah ‘meletakkan’ semula akta Hasutan di tempatnya yang asal tetapi sebagaimana yang dikatakan oleh Pak Lah bahawa Akta berkenaan jangan digunakan untuk penerusan pemerintahan UMNO di Negara ini.

Aku masih bimbang yang nasib orang Melayu (bukan ahli UMNO semata-mata) akan menjadi nasib Pak Kaduk dan Pak Pandir atau Lebai Malang.

Untuk pengetahuan anak-anak muda zaman ini, eloklah mereka juga tahu dan memahami falsafah dan pengajaran dari cerita-cerita berkenaan. Walaupun berunsur jenaka, namun terdapat pengajaran dan falsafah yang berguna terselit dari pengajaan berkenaan, kerana itulah cara datuk nenek kita dulu memberikan pengajaran kepada anak cucunya. Di suruhnya berfikir secara mendalam tentang kisah-kisah itu. Dan tidak pula ‘dia’ mahu menyalahkan orang lain yang menyebabkan keadaan jadi sedemikian rupa.

Ramai para perwakilan ke PAU merasa begitu ‘puas’ setelah menghamburkan apa yang terselit dihati dan terpendam di perasaan. Apatah lagi setelah mendapat tepukan gemuruh dari para perwakilan ataupun berjaya meletakkan diri sebagai ‘maharaja lawak’ buat seketika. Namun para perwakilan harus juga menilai kesan-kesan yang ditinggalkan. Apakah semua orang Melayu di Malaysia bersetuju dengan apa yang diperkatakan dalam persidangan itu. Dan harus difikirkan juga bahawa anak-anak muda (Melayu) zaman ini adalah terdiri golongan intelek yang boleh berfikir dengan cara rasional dan dapat membezakan yang mana baik dan yang mana buruknya. Apatah lagi apabila pemikiran mereka tidak lagi berpaut kepada ‘traditional assumption’ yang pada pendapat mereka ‘sudah lapuk’.

Dalam hal ini aku nampak sekurang-kurangnya kepimpinan Pemuda UMNO agak faham dengan perkembangan yang ada sekarang berbanding dengan kedua-dua cabang wanitanya ( samada yang tua atau yang muda). Sekurang-kurangnya Saudara Khairi Jamaluddin telah melontarkan hasratnya untuk bergerak ke arah itu. Dan persoalannya lagi ialah apakah hanya beliau seorang yang akan bergerak sedangkan yang lain masih ‘khayal’ dan ‘berpeluk tubuh’.

Kesan yang paling besar ekoran daripada PAU kali ini ialah ‘kecederaan’ yang amat sukar diubati ia itu tergurisnya hati kaum-kaum bukan Melayu di Negara ini ekoran dari perbahasan yang langsung tidak memikirkan hati dan perasaan rakan dan taulan yang sama-sama membangunkan Negara ini. Seharusnya para perwakilan hannya menumpukan perbincangan kearah usaha untuk memajukan orang Melayu dengan mengemukakan kelemahan-kelemahan yang dilakukan oleh kerajaan (pimpinan UMNO)  disamping melontarkan berbagai usaha untuk memajukan orang Melayu.

Seharusnya perwakilan UMNO menyusur-galur semula apa yang telah diputuskan dalam perhimpunan PAU yang lalu dan melihat kembali sejauh mana perancangan itu telah dilaksanakan. Disamping itu perwakilan juga harus mengkeritik tindakan-tindakan yang dilakukan oleh kepimpinan dalam menerajui kepimpinan Negara. Tentulah ada cacat celanya. ‘Bumi mana yang tidak ditimpa hujan dan laut mana yang tidak berombak’. Semacam amat kurang disentuh. Semacam ‘takut’ untuk mempersoalkannya….

Sebagaimana yang aku tegaskan bahawa kaum Cina dan kaum lain di Malaysia sedikit sebanyak ‘berkecil hati’ juga dengan kata-kata yang dilemparkan oleh para perwakilan. Sekurang-kurangnya mereka merasa ‘bersedih’ dengan kata-kata yang dihamburkan oleh setengah perwakilan UMNO itu, walaupun mereka amat sedar bahawa itu BUKAN merupakan suara hati orang Melayu di Malaysia secara keseluruhannya.

Abuhassanadam
London
30 November 2014

3 comments:

  1. Pak Abu

    Kita mungkin lebih mudah memahami politik UMNO Baru hari ini jika kita lihat hanya 1 daripada 6 orang melayu menjadi ahli UMNO.

    2. Keahlian UMNO hari ini tidak lagi seperti dulu terdiri dari orang melayu Islam seperti saya dan Pak Abu. Masa itu Tan Sri OK Ubaidullah seorang indian muslim tidak menjadi ahli UMNO. Sebaliknya beliau menyertai MIC dan adalah ahli CWC MIC.

    Sekarang semua bumiputra tak kira bukan melayu atau bukan Islam pun boleh menjadi ahli UMNO.

    Sekarang, bumiputra bukan melayu dan bukan Islam di Sabah ramai menjadi ahli UMNO. Di sekitar Kubang Pasu, Kedah beberapa kampong siam telah menubuhkan cawangan-cawangan UMNO. Ahli-ahlinya terdiri dari masyarakat siam yang berugama buddha.

    3. Walaupun keahlian UMNO terdiri dari bumiputra pelbagai etnik dan ugama, namun kita lihat perjuangan Umno yang diwar-war oleh pemimpin tertinggi UMNO masih berasaskan perjuangan melayu dan Islam.

    Nampak pelik tetapi benar.

    Semoga sedikit input ini berguna untuk memahami perjuangan dan nasib kita orang melayu.

    ReplyDelete
  2. Saudara bat8,

    Pemerhatian yang teliti dan bermakna. Syabas!

    Pak Abu

    ReplyDelete
  3. Orang gila mengoyak Al-Quran, dituduh orang Cina membakar Al-Quran. Mana hati dan perasaan tak terguris kalau difitnah sedemikian rupa. Lagi sakit hati, polis tak berani bertindak, diam membisu macam tikus.

    ReplyDelete