Wednesday, November 19, 2014


KENYATAAN TUN MAHATIR : SEOLAH-OLAH MENTERI JUGA TIDAK YAKIN KEPADA SEKOLAH KEBANGSAAN

Apakah para perwakilan UMNO yang akan bersidang tidak berapa lama lagi faham dan mengerti bahawa telah terdapat kecacatan yang ketara dalam sistem pendidikan di Negara kita kini sebagai mana yang disuarakan oleh Tun Mahathir dalam blognya yang berjodol,’Malaysian Education” bertarikh 17 November 2014.

Rakyat Malaysia sentiasa “didendangkan” dengan lagu-lagu merdu yang mengambarkan bahawa sistem pendidikan di Negara kita adalah bertaraf dunia dan antara yang terbaik di Asia Tenggara. Kita tidak menafikan tentang beberapa kemajuan yang telah dicapai oleh kita, namun jika dibandingkan dengan pencapaian di Negara-negara lain di Asia, perkembangan pendidikan Negara kita agak terkebelakang.

Telah banyak kali disuarakan oleh beberapa golongan yang tahu menahu mengenai pendidikan di Negara kita bahawa sistem pendidikan di Negara kita amat memerlukan pemerhatian yang serious memandangkan terlalu kerap kita mendengar kritikan-kritikan di luar yang mempersoalkan tentang sistem pendidikan kita dari sudut yang negatif. Kebocoran kertas soalan UPSR dan pengenalan peperiksaan PT3 menggantikan Peperiksaan Menengah Rendah telah menimbulkan keriuhan yang bukan kepalang dari kalangan masyarakat. Namun pihak berwajib terus melaksanakan apa yang ingin dilakukan. Seolah-olah mereka tidak peduli tentang sungutan yang disuarakan oleh masyarakat. Seolah-olah mereka berkata,’ awak apa tahu……”

Golongan yang berada di kota-kota mula mengorak langkah ‘menyelamatkan’ pendidikan anak-anak mereka. Ini termasuklah para menteri dan timbalan menteri yang sedar bahawa anak-anak mereka perlu diselamatkan dari ‘malapetaka’ yang akan menimpa. Hakikat ini telah diakui sendiri oleh Tun Mahathir yang mengatakan, ‘Then the ministers’ children, against national policy started going to private schools and international schools which use largely English as the teaching medium. The ministers also send their children to public (actually private) school in the UK. So followed the children of the rich.The result is that the rich go to private schools in Malaysia and U.K while the poor go to national schools at home”

Berdasarkan kepada kenyataan Tun Mahathir yang mengatakan bahawa para menteri juga menghantar anak-anak mereka ke sekolah-sekolah persendirian yang berbayar dan ‘meninggalkan’ sekolah-sekolah kebangsaan menampakkan seolah-olah bahwa para meneri juga tidak berkeyakinan kepada sekolah kebangsaan.Sekiranya mereka betul-betul yakin kepada apa yang mereka rangka (melalui perbincangan dalam mesyuarat kabinet mereka) pastinya mereka tidak meninggalkan sekolah kebangsaan untuk ‘berhijrah’ ke sekolah-sekolah persendirian.

Sekolah-sekolah persendirian dan sekolah antarabangsa sedang tumbuh seperti cendawan selepas hujan di kawasan-kawasan elit samada di Kuala Lumpur, Petaling Jaya, Pulau Pinang, Johor Bharu dan tempat-tempat lain dimana ‘berkumpul’nya golongan berada. Golongan yang berada kini, tidak kira Melayu, Cina atau India pasti akan menghantar anak-anak mereka ke sekolah-sekolah berkenaan walaupun yuranya yang begitu tinggi. Demi untuk masa hadapan anak-anak, mereka sanggup membelanjakan wang yang begitu banyak. Jelas menampakkan yang kebanyakan mereka sudah tidak berkeyakinan lagi kepada sekolah aliran kebangsaan. Mungkin…..

Dan apabila Tun Dr. Mahathir sendiri ( Mantan Perdana menteri dan pernah juga menjadi Menteri Pendidikan pada suatu ketika dahulu) mengakui yang cucu-cucunya belajar di sekolah persendirian dengan jelas menunjukkan kurang yakinnya (anak beliau) terhadap sistem pendidikan Negara. Kenyataannya,’ I must confess that although my children all went to national schools, my grandchildren all go to private schools in the country and abroad’

Dan yang menyedihkan ialah golongan yang berpendapatan rendah samada di bandar-bandar ataupun di kampung-kampung yang terpaksa berpuas hati dengan keadaan pendidikan yang disediakan oleh kerajaan. Dan yang menyebabkan kita merasa ‘sebak di dada’ ialah yang golongan berpedapatan tinggi dapat menikmati pendidikan bertaraf ‘global’ sedangkan golongan yang ‘kais pagi makan pagi dan kais petang makan petang’ itu terpaksa berpuas hati dengan ‘pemberian’ oleh kerajaan. Kesannya sebagaimana yang dikatakan oleh Tun Mahathir ialah, ‘…the rich now speak in English and the poor in Malay, Chinese or Tamil. Jobs favour the English Speakers.’

Dan tidak hairanlah sekiranya kita kerapkali mendengar tentang peratus pengangguran dari kalangan pemuda Melayu amat tinggi berbanding dengan kaum lain di Negara ini. Anak Melayu dari kampung hanya menerima pendidikan dari aliran kebangsaan yang tidak begitu mahir menggunakan bahasa Inggeris sedangkan penekanan untuk mendapatkan pekerjaan adalah penguasaan Bahasa Inggeris yang baik. Kesannya akan ketinggalanlah anak Melayu miskin di kampung dan hanya mengharapkan pekerjaan yang terhad yang dapat disediakan oleh pihak kerajaan.

Malangnya nasib bangsaku. Rupa-rupanya apa yang ‘ditangisi’ oleh Aminuddin Baki pada suatu ketika dulu masih lagi menjadi tangisan orang Melayu miskin kini.

“AYAM MATI DI KEPUK PADI, ITIK KEHAUSAN DI AIR TENANG’

abuhassanadam
19 November 2014
London

No comments:

Post a Comment