Wednesday, November 12, 2014

TUN DAIM –  CADANGANYA HARUS TERMASUK TINDAKAN TERHADAP MENTERI JUGA

Ada beberapa perkara penting yang diutarakan oleh Tun Daim dalam ucapanya semasa merasmikan buku berjudul “The Colour of Inequality” di Institut Antarabangsa Pemikiran dan Tamadun Islam (Istac), Kuala Lumpur. Berdasarkan Malaysian Insider bertrikh 11 November 2014, beliau menggariskan beberapa perkara untuk menjadi renungan rakyat Malaysia keseluruhannya dan pemimpin UMNO khususnya yang akan bersidang di PWTC tidak berapa lama lagi.
·      "Tidak ada maknanya kerajaan mendabik dada mengatakan kita sedang menuju ke arah negara berpendapatan tinggi jika masih ramai rakyat tidak mampu memiliki sebuah rumah biasa,"
·      "Hakmilik hartanah antara yang membimbangkan di kalangan rakyat Malaysia, khususnya mereka bawah umur 40 tahun, berdepan kesukaran untuk memiliki aset penting ini…Perumahan menjadi kelas aset kewangan, malah ia menjadi alat spekulasi daripada menjadi tempat untuk kita tinggal,"
·      "Tiada maknanya kita ke arah negara berpendapatan tinggi, pada ketika rakyat, anak-anak kita, jiran dan rakan kita masih berpendapatan bawah tahap kemiskinan,"
·      "Masih ramai pakcik dan makcik di kampung dan bandar yang masih bergelut untuk mendapat sesuap nasi dan menghantar anak mereka ke sekolah setiap hari."
·      "Nilai harta yang dibeli pembeli atasan berkembang lebih cepat daripada harta yang dibeli pembeli ‘low-end’ sepanjang tahun," kata kajian tersebut.
Aku amat bersetuju dengan pandangan sedemikian. ( tapi siapalah aku untuk menyatakan samada ‘bersetuju’ atau ‘tidak bersetuju’ dengan kenyataan sedemikian, kerana tidak akan memberi bekas langsung kepada pembuat dasar negara). Jarang aku diketemukan dengan pandangan seikhlas itu oleh pemimpin UMNO khususnya apabila memperkatakan tentang masalah yang dihadapi oleh negara. Samada pemimpin politik atau pun akhbar arus perdana di negara ini terus menerus memuji dan memuja apa yang dilakukan oleh pihak kerajaan yang memerintah pada hari ini dan langsung tidak menyatakan walau sedikt pun perkara negatif dan buruk yang dilakukan oleh pihak kerajaan.
Media dan akhbar arus perdana terlalu banyak menyembunyikan fakta yang dikira ‘negatif’ daripada diketahui oleh masyarakat umum. Walaupun media sosial sedang ‘berperang’ dengan media arus perdana untuk menyampaikan berita yang betul dan tepat kepada rakyat umum namun, media arus perdana (media elektronik dan media cetak) masih lagi seolah-olah mengawal pemikiran masyarakat Melayu luar bandar.
Masyarakat harus disedarkan tentang apa yang sebenarnya berlaku disekeliling dan bukan ‘digelapkan’ atau diperbodohkan dengan menafikan maklumat sebenarnya. Bukan sahaja media arus perdana yang memainkan ‘peranan’ sedemikian, tetapi pemimpin UMNO (peringkat Bahagian dan Cawangan) juga turut berperanan ‘menggelapkan’ berita yang tidak tepat kepada rakyat luar bandar. Orang Melayu di luar bandar terus menerus ‘didendangkan’ dengan ‘lagu-lagu’ yang menyeronokkan seolah-olah apa yang dilakukan oleh kerajaan adalah baik-baik belaka. Apatah lagi dengan pemberian BRIM, ramai yang berada di kampung-kampung sudah cukup puas hati dengan apa yang dilakukan oleh kerajaan.
Amat malang dan sedih rasanya mengenangkan nasib bangsa aku setelah lebih setengah abad mencapai kemerdekaan.
Kenyataan Ybhg Tun Daim seharusnya merupakan ‘eye opener’ kepada pihak-pihak yang bertanggungjawab. Sepatutnyalah pihak yang bertanggungjawab ‘mengasihani’ rakyat luar bandar yang tidak berdaya ini. Lakukanlah sesuatu demi untuk membaiki taraf hidup mereka. Sediakan lah kepada mereka ‘pancing’ yang sesuai untuk mereka menempuh hidup yang penuh bermakna dan bukan hanya sekadar memberikan seekor ‘ikan’ yang hanya boleh mengembirakan mereka untuk jangka masa yang singkat.
Tun Daim ada juga mencadangkan agar pihak kerajaan mengambil tindakan tegas terhadap pegawai kerajaan yang seolah-olah tidak mempedulikan teguran dan tindakan Ketua Audit Negara yang menyebabkan keteresan yang melampau terhadap kewangan negara. Juga merupakan saranan yang amat tepat yang disuarakan oleh bekas Menteri Kewangan ini. Walaupun begitu keras nadanya, namun sudah sampai masanya juga kerajaan tidak perlu berlembut lagi dengan sikap dan tindakan pegawai yang tidak bertanggungjawab sedemikian.

Saban tahun telah didapat keteresan yang melampau yang membabitkan wang negara, wang pembayar cukai. Dan saban tahun juga seolah-olah para pegawai kerajaan memekakkan telinga dan memandang ringan teguran dan saranan Ketua Audit Negara. Mungkin disebabkan tidak ada tindakan yang tegas dari pihak-pihak tertentu yang menyebabkan setengah pegawai kerajaan merasa ‘lemak’ dan terus menerus melakukan penyelewengan dan sikap tidak peduli teradap teguran Audit itu. Mungkin juga mereka mengamalkan apa yang pernah disuarakan oleh kepimpinan negara ia itu, ‘you scratch may back and I’ll scratch yours….” Mungkin begitu.

Dan tentulah tidak adil pula sekiranya hanya pegawai kerajaan yang diambil tindakan dan seolah-olah hanya ‘memejamkan sebelah mata’ terhadap para Menteri dan Timbalan Menteri yang melakukan berbagai rasuah dan penyelewengan. Walaupun tidak ada bukti yang jelas untuk membuktikan tentang penyelewengan dan rasuah yang diamalkan oleh kepimpinan negara, namun sekiranya pihak yang bertanggungjawab betul-betul menjalankan tugas untuk membenetars amalan sedemikian pasti akan terjumpa dan terbutik juga.

Dan pihak berkuasa MACC dan PDRM sepatutnya sedar dan insaf akan saranan YBHG Tun Daim dan selayaknya menjalankan tugas dengan berkesan sebagaimana yang sepatutunya dilakukan oleh seorang Islam (sekiranya beragama Islam).

abuhassanadam
12 November 2014




No comments:

Post a Comment