DARI
ULU MENGKUANG KE BRYANSTON SQUARE LONDON
Semalam
aku pergi ‘melawat’ semula pejabat lama di 44-45 Bryanston Square London di
mana pada suatu ketika dahulu terletaknya Malayisan Student Departmen UK
&Eire (Jabatan Penuntut Malaysia UK &Eire). Dah tutup. Dah pindah ke
tempat lain. Dekat Bayswater. Kehadiran aku di Bryanston Square hanyalah
sebagai melawat ‘memory lane’.
Aku
berdiri di atas tangga menghala ke Malaysia Hall sambil mendongak ke tingkat 3,
dimana terletaknya pejabat aku pada suatu ketika dahulu. Pejabat pengarah MSD
yang bertugas untuk menjaga hal ehwal pelajar-pelajar Malaysia yang berada
diseluruh UK &Eire. Pada ketika itu, ada terdapat 92 orang kakitangan (
pegawai dan petugas sokongan) untuk menjaga kebajikan pelajar Malaysia yang
berjumlah lebih kurang 35,00 orang ( 1995-1998).
Sambil
merenung ke atas, fikiran aku menerawang menjangkau ke tahun-tahun 1960an
ketika aku bertugas sebagai guru di Sekolah Kebangsaan Ulu Mengkuang, Selama
Perak. ‘Jauhnya perjalanan hidup ku’ kata hati kecil ku. Tentulah tidak
terfikir oleh aku pada ketika mengajar darjah 1 di Sekolah Kebangsaan Ulu
Mengkuang dulu yang aku akan bertugas sebagai Pengarah jabatan kerajaan di
London. Memang jauh panggang dari api. Memang tidak pernah terfikir. Tidak
pernah terlintas langsung!!…( bukan nak bermegah-megah. Tidak sekali). Hanya
Allah yang mentukan segala-galanya.
Aku
tidak pernah belajar di Tingkatan 4. Pendidikan formal aku hanya setakat
Tingkatan 3. Terlalu miskin untuk menyambung pelajaran ke Tingkatan 4 ( walaupun
di tempatkan ke aliran sains) dan demi untuk memberi peluang kepada adik
meneruskan pelajarannya. Aku dapat merasakan bahawa arwah bapa pasti tidak
termampu untuk membiayai pelajaran dua orang anak (aku dan adik) yang belajar
di sekolah Inggeris ketika itu. Salah seorang terpaksa berkorban. Aku
‘mengundur diri’.
Dengan
hanya berkelulusan LCE (Lower Certificate of Education) aku diterima masuk ke
DTC ( Day Training Centre Taiping – maktab perguruan ) yang kemudiannya
membolehkan aku menjadi guru di Sekolah Kebangsaan Ulu Mengkuang, Selama Perak,
sebuah kawasan pendalaman ( enam batu dari jalan raya yang menghubungkan pekan
Selama dengan Sungai Bayor) yang pada ketika itu hanya dihubungi melalui jalan
tanah merah dengan menaiki basikal.
Lima
tahun aku berada di UM ( Ulu Mengkuang). Dan aku bertekad ia itu sekiranya aku
mahu berpindah pastinya tempatnya ialah di UM ( University Malaya) juga. Doaku dimakbulkan Allah. Dalam
masa lima tahun berada di desa pingitan itu, dapat aku menyempurnakan hasrat
aku menamatkan Peperiksaan Senior Cambridge dan Higher School Certificate.
Bersendirian.
Ini
yang pernah dikata dan dipesan oleh datuk nenek kita,
- Hendak
seribu daya tak hendak seribu dalih
- Jikalau
tidak dipecah ruyung, dimana akan dapat sagunya.
- Sikit-sikit
lama-lama menjadi bukit
Dan
banyak lagi peribahasa Melayu yang boleh dijadikan panduan. Menceritakan
kejayaan memanglah seronok tetapi tujuan aku memaparkan cerita sebegini adalah
untuk merangsang anak-anak muda (Melayu terutamanya) supaya berani, dan bersemangat
waja dan jangan sekali-kali
berputus asa dalam melakar hidup yang penuh dengan pancaroba. Jangan hanya
pandai berkata-kata ‘ kita boleh’ tetapi hendaklah membuktikan yang ‘kita
sememangnya boleh’.
Ringkas
cerita, masuklah aku ke University Malaya tahu 1971 dan graduate tahun 1973.
Setelah lulus ditawarkan untuk berkhidmat di Sekolah Menengah St Patrick Kulim,
Kedah. Aku menolak atas sebab yang sekolah itu terletak dibandar. Aku mahu
mengajar anak Melayu miskin di luar Bandar yang keadaan mereka serupa dengan
apa yang aku alami. Ini tidak bermakna yang aku tidak mahu mengajar anak Cina
atau India. Bukan….
Hanya
beberapa hari sahaja di Sekolah Menengah St Patrick Kulim, aku ditukarkan ke
Serdang, Kedah. Kononnya itulah sekolah yang paling ‘luar bandar’ di Kedah
selain dari Mahang ( pada ketika itu). Mana-mana pun aku terima. Tiga tahun di
Serdang aku minta ditukarkan ke sekolah di kawasan kampung aku ( daerah Kuala
Kangsar). Aku ditempatkan di Sekolah Menengah Bukit Mercu, Kuala Kangsar.
Status luar Bandar juga.
Yang
paling menyeronokkan aku mengajar di Bukit Mercu ialah aku dapat menggunakan
loghat Perak ketika mengajar.Dan pelajar-pelajar pun begitu seronok dengan cara
demikian. Rupa-rupanya sesuatu yang menyeronokkan itu tidak akan bertahan lama.
Hanya tujuh bulan berada di situ, aku telah ‘ditarik’ ke Kementerian Pelajaran
Malaysia. Dan bermulalah kehidupan aku sebagai ‘nomad’ yang berpindah dari satu
bahagian ke suatu bahagian lain. Semuanya kehendak Allah….
Tujuh
bulan sebagai Nazir Persekutuan aku telah dipindahkan ke Lembaga Peperiksaan
Malaysia. Dan tiga bulan berada di Lembaga Peperiksaan telah dihantar untuk
berkursus di Eduactional Testing Service, Princeton, New Jersey USA. Pengalaman
aku di luar Negara bertambah apabila dihantar berkursus di Innovation and
Technology in Education, Manila.Pengalaman yang paling bermakna juga ialah
apabila berkursus di Seoul Korea Selatan (Central Official Training Institute).
Yang
paling aku merasa bahagia sekali ialah apabila aku dapat tawaran melanjutkan pelajaran
peringkat sarjana di Stanford University, Palo Alto, California, USA.
Aku
tidak pernah menceritakan kisah ini walaupun pada anak-anak aku. Mungkin mereka
hanya mendengarnya secara ‘bits and pieces’. Tapi aku merasakan bahawa elok
juga aku tuliskan kisah ini, kalau-kalau mungkin ada anak-anak di luar sana
yang terangsang dengan ‘penderitaan’ yang aku alami ini dan ‘kebahgiaan’ yang
aku kecapi kini.
Yang
ingin aku sampaikan ialah bahawa, setiap impian dan cita-cita itu pasti akan
dimakbulkan oleh Allah sekiranya kita bersungguh-sungguh melakukannya. Sentiasa
solat dan berdoa.Semua harapan dan impian akan ditunaikan Allah. Hanya masa
yang menentukan.
Aku
mohon maaf kepada yang agak ‘terganggu’ dengan coreta aku kali ini kerana
seolah-olah mendabik dada menonjolkan diri. Tidak sekali-kali niat aku
begitu…….
Abuhassanadam
London
25
November 2014
Saya tertarik dan kagum yang Sdr lulus SC dan HSC secara sendirian dan selepas itu mendapat kesempatan ke luar negara seperti Korea, AS, Filipina dan UK. Sdr pernah bergelut dalam dunia kemiskinan di daerah Selama tetapi dapat keluar dari cengkaman kemiskinan sehingga menjadi orang kuat dalam Kementerian Pendidikan seperti juga Sasterawan Negara yang berkubang dalam kemiskinan di Sik Kedah dan dapa menikmati jawatan Profesor di USM.
ReplyDeletePastinya Sdr dapat melalui dan menikmati pendidikan berkualiti dalam latar belakan miskin tidak seperti anak-anak kita kini yang menerima mutu pendidikan yang boleh diragukan.
Soalan saya : Apakah pernah Sdr menyuarakan atau memberi ulasan kritikal akan tahap pendidikan kita semasa Sdr menjawat jawatan yang paling tinggi semasa di Kementerian Pendidikan kepada Kementerian Pendidikan? Atau Sdr mungkin ketahui bagaimana UMNO yang menjadi tunjang pemerintahan negara sudah hilang apa itu konsep pendidikan berkulaiti yang harus diterapkan pada sistem pendidikan kita?
Saudara Matahari Bulan,
ReplyDeleteTkasih atas komen saudara. Merangsangkan fikiran. Mungkin kita akan bertemu dan berbincang dari hati kehati suatu ketika nanti.
Pak Abu
( Pukul 5.00 pagi waktu London)
En Hassan, aku pun macam hang juga, pi USA belajar dan pencen Professor di UiTM dah 12 tahun. I was from SK Sg Seputeh, Ulu Selama.
ReplyDelete