BUKIT
MERCU
Besok
(30 November 2014) mereka akan mengadakan perjumpaan murid-murid tua di Kuala
Kangsar. Selepas menghadiri khenduri kahwin anak Adenan. Begitulah kata
‘penggiat’nya, Rashidi. Dan mengikut kata Rashidi, beliau telah cuba untuk
mengumpulkan seberapai ramai pelajar-pelajar (tingkatan enam -1977) yang
belajar di Sekolah Menengah Bukit Mercu pada ketika itu. Disamping itu mereka
telah menjemput juga guru-guru yang mengajar mereka pada ketika itu (yang masih
‘ada’) dan termasuklah aku. Namun aku telah memberitahu beberapa orang yang
berkunjung ke rumah aku tempoh hari ( Saidina Omar dan isteri, Zainuddin, Zaki)
yang aku tak dapat hadir kerana aku akan ke London.
Mungkin
ramai yang tidak tahu dimana terletaknya Sekolah Menengah Bukit Mercu. Sebenarnya
tak jauh dari Kuala Kangsar. Malah boleh dikatakan di Bandar Kuala Kangsar itu
sendiri. Kononnya mengambil nama Istana Mercu yang pernah wujud di situ pada
suatu ketika dulu. Tak tahu pula aku tentang Sultan yang mana yang pernah
membangunkan istana di situ dulu.
Aku
pernah di tempatkan di sekolah itu pada tahun 1977. Tidak lama aku di situ.
Lapan bulan sahaja, tetapi meninggalkan kesan yang sungguh mendalam. Di situlah
merupakan ‘tugas’ aku yang terakhir ‘bergelumang’ dengan murid-murid sekolah.
Selepas itu aku telah ‘berkelana’ sebagai ‘nomad’ dari satu tempat ke suatu
tempat ‘mencari sesuap nasi’.
Walaupun
sekejap aku berada di situ namun aku masih terbayang keadaan di sekolah itu
ketika aku masih mengajar di situ. Telah aku ceritakan sebelum ini bahawa yang
menyebabkan aku merasa gembira berada di sini ialah ‘keselesaan’ aku
menyampaikan pelajaran menggunakan loghat Perak. Boleh dikatakan ‘pengajaran
dan pembelajaran’ yang aku sampaikan sentiasa ‘hidup’ dan ceria, walaupun
mungkin ‘melanggar’ sedikit sebanyak tatacara penyampaian pengajaran dan
pembelajaran. Tak kiralah…. Asalkan mereka seronok dan faham apa yang aku
sampaikan.
Entah
macam mana aku dilantik juga oleh Pengetua ( Allahyarham Tuan Haji Wan Mustafa)
sebagai Guru Disiplin. Aku terima jugalah lantikan itu walaupun aku merasakan
yang aku tidak sesuai memegang jawatan itu. Bagaimanalah aku nak jadi ‘polis’
kalau aku sentiasa ‘berdamping mesra’ dan ‘berlawak jenaka’ dengan
pelajar-pelajar.
Satu
peristiwa yang tidak dapat aku lupakan….walaupun banyak peristiwa lain yang
menyeronokkan dalam masa lapan bulan berada di situ.
Zakaria
( bukan nama sebenar) adalah antara pelajar paling nakal di sekolah itu. Berada
di Tingkatan Lima (tercorot sekali). Tidak berminat belajar tetapi meminati
pelajaran Sejarah ( pelajaran yang aku ajar). Ke mana aku pergi (mengajar di
kelas lain) Zakaria tetap ‘mengekori’ aku. Dia akan duduk (di atas lantai) di
belakang kelas yang aku ajar.Pernah aku beritahu Pengetua tentang hal ini.
Jawapan Pengetua ialah, “ ..biarlah cikgu asalkan dia mahu belajar’…”
Pada
suatu hari, Cikgu Azizah Hamid (Guru Perpustakaan dan aku mendapat khabar
beliau masih sihat ‘bergelumang’ dengan cucu-cucu) memberitahu aku yang buku perpustakaan banyak yang hilang.
Dicuri . Dan salah seorang yang dikenalpasti sebagai pencuri ialah Zakaria.
Jadi Cikgu Azizah meminta aku ‘memujuk’ Zakaria untuk mendapatkan buku
berkenaan.
Proses
aku mendapatkan semula buku perpustakaan itu dari Zakaria tentulah panjang
ceritanya. Ringkasnya buku yang dicuri dipulangkan semula oleh Zakaria. Dua
kotak ‘susu cap junjung’. Empat puluh atau lima puluh buah buku kesemuanya. Aku
telah memberitahu Pengetua sekiranya Zakaria memulangkan kesemua buku-buku ini
aku memohon kepada Pengetua supaya Zakaria jangan dikenakan tindakan “Public
Canning’’ dan hanya dikenakan denda biasa disebabkan ini merupakan kesalahan
pertama.Pengetua setuju.
Tentulah
banyak lagi cerita lucu dan menyeronokkan ketika berada di sekolah berkenaan.
Kebetulan pula kehadiran aku di sekolah berkenaan adalah seperti ‘pinang pulang
ke tampuk dan siirih pulang ke gagang’. Apa tidaknya. Kebanyakan guru-guru yang
mengajar di situ hampir semuanya aku kenal rapat. Cikgu Hidzir, Ayat, Zam,
Yunus, Kamaruddin,Halim, Azizah, Raja Teh, Zainal Badri, Nasaruddin dll. Dan
yang menjadikan suasana di Bukit Mercu bertambah ‘hebat’ ialah secara kebetulan
Mat Ha ( Dato’ Khairuddin Arshad) kawan se ‘Padang Rengas’ aku berpindah dari
Lenggong ke SM Bukit Mercu. Pendek kata, bilik guru sentiasa ‘gamat’ dek gelak
ketawa apabila sampai waktu rehat.
Rupanya
keadaan sedemikian tidak lama. Aku harapkan ‘panas sampai ke petang, rupanya
hujan ditengah hari’. Pada bulan September tahun berkenaan aku telah didatangi
oleh Dato’ Khlaid Abdul Halim ( Timbalan Ketua Nazir Persekutuan) untuk ‘melamar’ aku bertugas di kementerian
Pelajaran. Dan aku diminta berpindah dalam masa terdekat.
Dan
untuk menjadikan cerita ini agak ‘dramatik’ ialah pada hari dan ketika aku
‘dilamar’ itu juga, telah berlaku suatu peristiwa yang agak menyayat juga, ia
itu Pengetua telah membuat perhimpunann tergempar. Zakaria akan dirotan di
khalayak ramai. Walaupun aku sedih dengan tindakan Pengetua itu tetapi mungkin
juga dengan tindakan Pengetua itu telah menyedarkan Zakaria yang boleh mengubah
perangainya sehinggakan kini menjawat jawatan sebagai pegawai Polis.
Namun
begitu aku tidak menyaksikan peristiwa Zakaria dirotan di hadapan pelajar
kerana berada di bilik Pengetua bersama dengan Dato’ Khalid.
Sememangnya
aku tidak sampai hati melihat Zakaria dirotan sedemikian…….
Abuhassanadam
London
29
November 2014
No comments:
Post a Comment