Tuesday, November 4, 2014

KUAH LAKSA PAK NGAH

Bagi ‘Orang Kuale’ (penduduk daerah Kuala Kangsar) akan tahu ‘penangan’ laksa Pak Ngah. ‘Orang Kuale’ akan sentiasa ‘terkenang-kenangkan’ laksa Pak Ngah sekiranya berada di perantauan. Dan apabila balik kampung, mesti singgah di ‘Lembah’ terlebih dulu, ‘mencari’ laksa Pak Ngah. Selepas ‘kena’ dua pinggan barulah mula beredar ke kampung. Tak kiralah. Balik ke Kati ke, ke Cheh ke, Teroso (Toronto) ke, Liman ke, Padang Rengas ke, Lubuk Merbau ke, Peroyang ke, Talang ke, Chegor Galah (Chicago) ke, ke Sayung ke, Rambai Tujuh ke……..

Minggu lepas aku balik kampung. Ke Padang Rengas ler. Kampung Keroh Hilir. Mana lagi. Sudah agak lama tidak menziarahi pusara ayahnda bonda dan keluarga yang telah lebih awal pergi. Seperti biasa, singgah di Lembah Kuala Kangsar (‘Esplanade’ di tepi Sungai Perak), makan laksa Pak Ngah. Walaupun sudah terdapat berbagai jenama laksa dijual di situ, namun aku masih mencari laksa Pak Ngah.

Laksa Pak Ngah mempunyai sejarahnya yang tersendiri. Sebagai orang lama aku kenal secara peribadi Pak Ngah yang mula-mula menghasilkan laksa berkenaan. Kini Pak Ngah sudah tidak ada lagi. Menurut ceritanya, beliau telah meninggal ketika menunaikan fardu Haji di Mekah. Sudah agak lama. Namun ‘hasil karya’nya masih terus menerus dinikmati oleh orang ramai terutama penduduk Kuala Kangsar dan pelajar-pelajar Malay College dan Clifford School.

Penghujung 1950an dan awal 1960an, Pak Ngah menjual laksanya dengan menaiki basikal. Rumahnya ia itu tempat dia membuat laksa di belakang sekolah Chong Wah, Talang. Tidak jauh dari bandar Kuala Kangsar. Kini sudah menjadi restoran untuk menikmati laksa Pak Ngah. Sebelum perniagaan laksanya berkembang, maka Pak Ngah akan mengayuh basikalnya ‘mudik’ ke Padang Rengas melalui kampung-kampung Talang, Kuala Dal, Padang Assam, Batu 17, Paya Panjang dan sampailah dia di pekan Padang Rengas.

Pak Ngah akan menjual laksanya berhadapan dengan pejabat pos Padang Rengas berhampiran dengan ‘Sekolah Cikgu Salmah’ ( Sekolah Perempuan padang Rengas). Itu pun kalau tidak kehabisan sepanjang perjalanannya dari Talang ke Padang Rengas. Kadang-kadang belum sampai ke Padang Assam, laksa Pak Ngah telah habis terjual. Sepanjang perjalanannya, beliau akan ‘disekat’ oleh ‘peminat-peminat’ yang ingin menikmati laksanya. Maka Pak Ngah akan berhenti dan menjual laksanya. Tidak perlu kerusi meja untuk makan. Sambil berdiri, sambil mencangkung ‘peminat’ makan laksa Pak Ngah.

Seingat aku sehingga tahun 1970an Pak Ngah masih menjual laksanya dengan cara sedemikian. Cuma bezanya pada tahun-tahun 1970an beliau telah menggunakan motosikal menggantikan basikal buruknya. Cara beliau menjalankan perniagaan laksanya masih sama dan kemesraannya dengan ‘peminat-peminat’ seperti kami juga tidak berbeza. Beliau sentiasa mengungkapkan ayat-ayat ini. “ Laksa aku ni, lawyer makan, magistret makan, doktor makan…….”

Maksud beliau begini. Beliau telah menjalankan perniagaan laksanya semenjak  tahun 1950an lagi dan hampir seluruh pelajar Malay College dan Clifford School pernah makan laksa Pak Ngah. Pak Ngah begitu bangga dengan keadaan itu kerana kebanyakan pelajar yang pernah menjadi pelanggannya dulu telah pun menjadi orang dewasa dan memegang jawatan penting. Dan yang menjadi kebanggaanya, mereka masih lagi terus menerus ‘meminati’ laksanya. Justeru beliau selalu mengungkapkan, “ Laksa aku ni, lawyer makan, magistret makan, doktor makan…….”

Tentulah ada peristiwa yang melucukan dan yang masih segar dalam ingatan ku yang berhubung kait dengan Pak Ngah Laksa. Di Government English School Padang Assam, Pak Ngah juga menjual laksanya. Sekitar tahun 1958, ketika aku masih bersekolah di situ. Yang masih segar dalam ingatan aku ialah bagaimana murid-murid berkejaran menuju laksa Pak Ngah apabila sampai waktu rehat. Itu bukanlah perkara yang melucukan.

Yang betul-betul melucukan ialah bagaimana Pak Ngah terpaksa ‘mengawal’ dengan ketat buyung tempat kuah laksanya. Kami sentiasa mahu menambah kuah laksa setelah laksanya habis di makan. ‘Refill”. Rata-rata pada ketika itu kami tidak mampu menambah sepiring lagi walaupun harganya hanya 10 sen. Oleh itu kami hanya mampu ‘menambah’ kuah laksanya sahaja. Itu pun cuma sekali tambahan sahaja yang dibenarkan oleh Pak Ngah. Ramai juga yang ingin menambah dua atau tiga kali. Itu yang menyebabkan Pak Ngah terpaksa ‘mengawal’ dengan ketat sekali buyung kuah laksanya!....

Masih aku ternampak muka kawan-kawan aku seperti Adib, Shafie, Khairul yang sememangnya ‘jaguh’ dalam kegiatan ‘mencuri’ kuah laksa dari buyung Pak Ngah ketika itu…….

abuhassanadam

4 Novermber 2014

No comments:

Post a Comment