‘SAYA LUPA SAYA PUNYA BRYLCREAM!!...”
Aku mula belajar kuak renang dan kuak
lentang di dua buah ‘kolam renang’ di kampung aku. Kampung Keroh Hilir, Padang
Rengas, Perak. Aku dan rakan-rakan lain tentunya bersyukur kerana dengan dua
buah ‘kolam renang’ itulah dapat kami belajar berenang sebagaimana anak-anak
yang bertuah di bandar-bandar.
Sebuah ‘kolam renang’ terletak di Kampung
Keroh Hilir berhampiran dengan rumah Pak Said Bendang dan sebuah lagi ‘kolam
renang’ berhampiran dengan rumah Pak Lebai Imam di Kampung Pulau. ‘Kolam
renang’ di kampung aku agak kecil berbanding dengan ‘kolam renang’ di Kampung
Pulau yang lebih besar yang membolehkan kami mengadakan ‘pertandingan renang’.
‘Kolam renang’ yang aku maksudkan itu hanya ‘wujud’ setahun
sekali, ia itu musim penduduk kampung mengerjakan sawah padi, ia itu ketika
sawah padi memerlukan air untuk mengairi sawah mereka. Maka Sungai Sauk akan
disekat (sauk) supaya air dapat disalurkan ke sawah-sawah padi berhampiran.
Pada waktu air disekat dengan menggunakan empangan itulah membolehkan
terbentuknya ‘kolam mandi’ bagi kanak-kanak di sini mandi dan berenang dalam
masa yang terhad itu. Dalam masa sebulan itulah kami belajar berenang dan
mencuba berbagai loncatan, meniru iklan minyak rambut ‘Brylcream’ pada ketika
itu dan setelah melakukan penerjunan diekori pula dengan jeritan, “ Saya lupa
saya punya Brylcream!!...”
Memang seronok mengenangkan peristiwa itu.
Boleh tergelak sampai terkencing. Dan sememangnya terbayang ‘muka-muka’ rakan
lama ( ada yang telah pun meninggal lebih awal seperti Mat N….., Ani, Ngah)
yang hampir setiap hari berada di ‘swimming pool’ berkenaan. Pada hari cuti
sekolah maka kami akan berada di situ sepanjang hari dan pada hari-hari
persekolahan, ‘jadual latihan’ bermula puku2.30 petang dan berakhir sebelum
Maghrib.
Sebelum ‘Masuk Jawi’ kami tidak memerlukan
sebarang ‘pakaian mandi’. ‘Bolin…”. Maknanya telanjang bulat. Tidak ada sehelai
benang pun. Kadang-kadang kanak-kanak perempuan pun mandi sama. Bolin juga.
Tidak pula timbul perasaan segan dan malu pada ketika itu. Dan tidak pula ada
perasaan ‘serong’. Mungkin terlalu mentah untuk ‘menyedari’ perkara sedemikian.
Baru berumur enam atau tujuh tahun.
Emak tak pernah pula melarang kami mandi
manda di Sungai Sauk. Yang sentiasa menjadi ‘pengawas’ ialah Pak Haji Yaakub.
Beliaulah yang selalu merotan kami dengan pokok Malialam sekirannya didaptinya
kami mandi manda di Sungai Sauk. Aku tak tahu pula siapa yang memberikan
‘mandat’ kepadanya untuk menjadi ‘polis’ dan ‘pengawas’ itu. Namun itulah ‘tugas’
beliau. Dan emak bapak kami tidak pula melenting sekiranya anak-anak mereka
dirotan oleh Pak Haji Yaakub. Malah berterima kasih lagi. Dan Pak Haji Yaakub
pula menlakukan tugas itu dengan sukarela.
Dan kini barulah aku terasa terhutang budi
kepada Pak Haji Yaakub yang sentiasa mengawas kami pada ketika itu. Memangnya
mulia tugasnya itu kerana beliau takut kalau-kalau kami lemas dalam air Sungai
Sauk yang agak dalam juga. Dan kesedaran sebegini timbul apabila aku terpaksa
‘menemani’ anak-anak aku (ketika mereka masih kecil) ketika mereka mandi manda
di kolam renang di hotel-hotel kami menginap. Aku akan sentiasa berada di tepi
kolam mandi apabila anak-anak mandi manda. ‘Bertugas’ seperti Pak Haji Yaakub….
Arwah emak atau bapak tidak pernah pun
berada di tepi Sungai Sauk atau Sungai Kampung Pulau ketika aku mandi manda.
Tak pernah. Dan tidak pula pernah berlaku anak-anak di kampung ini yang mati
lemas. Mengapa ibu bapa sekarang terlalu memanjakan anak-anak sehingga
anak-anak ‘rimas’ dengan pengawasan ibu bapa kini? Dan yang anihnya pula ada
pula ibu bapa kini yang langsung tidak peduli tentang hal anak-anak mereka
sehinggakan anak-anak menjadi liar.
Kami bukan sahaja mandi manda di Sungai
Sauk tetapi kami belajar berenang. Dan mengadakan berbagai loncatan juga. Di
Sungai Sauk, ‘Launching Pad’nya ialah titi (jambatan) batang kelapa yang
merentasi sungai berkenaan. Dari atas titi itulah kami akan terjun menjunam ke
Sungai Sauk macam dalam iklan minyak rambut Brylcream. Di Sungai kampung Pulau
pula, ‘launcing pad’nya ialah tunggul pokok Sagu yang berada di tepi sungai
berkenaan. Terpaksa memanjat tunggul sagu berkenaan dan dari situlah terjun
menjunam ke bawah.
Bagi kami pada ketika itu tidak wujud
istilah ‘kotor’ atau ‘jernih’ air Sungai Sauk atau Sungai Kampung Pulau itu.
Tidak timbul langsung. Yang penting ialah adanya takungan air yang membolehkan
kami berenang dan terjun macam iklan Brylcream. Memanglah air di Sungai Sauk
itu jernih sebelum kami turun ke dalammnya. Tetapi setelah beberapa lama kami
mandi manda, maka airnya agak jernih sedikit daripada air ‘kubang kerbau’.
Tidak pula menjadi masalah kepada kami.
Untuk menunjukkan samada air itu bersih
atau kotor akan dapat dilihat kesannya setelah badan kami kering, terjemur dek
mata hari. Tubuh badan kami boleh dijadikan tempat ‘menulis’ atau ‘melukis’
sesuatu kerana disebabkan kekotoran air yang kami mandi. Amat seronok
mengenangkan peristiwa sebegini.
Ketika pulang ke kampung, adalah menjadi
tugas aku untuk mengunjungi temapt-tempat ini. ‘Memory lane’, Sedih bercampur
gembira melihat dan mengenangkan peristiwa lama. Sedih disebabkan sudah tidak
kelihatan lagi titi batang kelapa yang merupakan ‘luncing pad’ pada suatu
ketika dulu dan kini telah digantikan dengan jambatan kayu. Sudah tidak ada
lagi Sungai Sauk atau Sungai Kampung Pulau disebabkan penduduk di sini sudah
tidak lagi menanam padi. Lantas tidak perlu lagi air disekat untuk mengairi
sawah padi. Dan tidak wujud lagilah ‘Swimming Pool’ di kampung kami.
Saungai Sauk dan Sungai Kampung Pulau hanya
tinggal kenangan….
Abuhassanadam
London
1 Disember 2014
Pak Hassan,
ReplyDeleteSungai Sauk masih ada cuma airnya sudah tidak serancak dulu. Airnya kini mengalir sayu menanti riuhnya 'perenang perenang' yang tak mungkin kembali lagi...
Azilah Shuhada
DeleteIndah sekali bahasa anakanda. Teruskan menulis. Saya bangga sekali.
Pak Abu
Terima kasih ayahanda. Anakanda tidak petah merencana cuma baru belajar mengeja.
DeleteThis comment has been removed by the author.
Delete