Tuesday, December 16, 2014


NEGARAKU  MALAYSIA YANG TERCINTA

Sudah lebih sebulan aku berada di London, ibu Negara bekas tanah jajahan British yang pernah menjajah Negara aku buat beberapa lama. Dan tidak berapa lama lagi aku pulang juga ke Negara asal aku, Malaysia. Tempat tumpah darah ku. Kata peribahasa Melayu, ‘hujan emas di negeri orang, hujan batu di negeri sendiri’.

Aku merasakan macam ‘tahu-tahu’ pula ‘pencipta’ peribahasa berkenaan tentang suasana sebenar yang semacam mana aku alami sendiri di rantau orang kini. Aku pernah tinggal di London beberapa tahun yang lampau. Lama juga. Empat tahun. Tetapi kehadiran ku di kota ini, pada kali ini agak luar biasa. Mungkin itu hanya merupakan perasaan aku sahaja agaknya.

Aku masih teringat pada suatu ketika dalam tahun 1996. Suatu pagi. Winter. Pukul 9.00 pagi masih gelap. Sedang aku hendak memasuki pejabat di 44 Bryanston Square, tiba-tiba aku disapa oleh seorang warga Inggeris yang bertanyakan samada aku bekerja di pejabat ini – Malaysian Students Department, UK & Eire. Sambil tersenyum aku menganggukkan kepala. Dia terus menyatakan kepada aku bahawa dia amat berbangga dengan nama ‘MALAYSIA’ walaupun dia bukan rakyat Malaysia. Dia bercerita lagi bahawa dia begitu bangga mendengar pencapaian Malaysia dibawah kepimpinan DS Dr. Mahathir Mohammed dan Saudara Anwar Ibrahim.

Nama Malaysia dan Dr. Mahathir begitu harum sekali pada ketika itu. Dan tidak keterlaluan jika aku katakan, orang Malaysia (Melayu, Cina dan India) tidak ‘malu’ menyatakan yang kita sebenarnya anak Malaysia. Dan aku pernah menghadiri satu majlis yang dianjurkan oleh badan korporat Britain yang mana Dr. Mahathir menyampaikan ucap utama. Sememangnya Dr. Mahathir merupakan negarawan terulung memandangkan penghormatan ‘standing ovation’ yang diberikan oleh para hadirin yang hadir yang 90% daripadanya merupakan orang putih.

Aku teringat juga bagaimana aku ‘menguji’ dan ‘menjual’ nama Saudara Anwar Ibrahim di London dikalangan kenalan dari luar negara. Hampir kesemua mereka yang aku kenali, mengenali Saudara Anwar ibrahim. Dan mengenali beliau dengan lebih rapat dengan cara menceritakan kepada aku tentang sejarah perjuangannya. Dan kehebatan Saudara Anwar Ibrahim bukan sahaja di London tetapi juga dikalangan pelajar di France dan Amerika Syarikat ( ketika aku diundang oleh pelajar di kedua-dua tempat berkenaan di sana)

Aku teringat juga bagaimana akrabnya hubungan pelajar-pelajar Melayu, Cina dan India ketika berada di UK. Hal ini dapat aku buktikan ketika aku mengadakan rumah terbuka Hari Raya di rumah aku sendiri dimana bilangan pelajar yang hadir adalah sama ramai antara Melayu, Cina dan India. Dan pelajar bukan Melayu berpakaian baju Melayu. (Entah dari mana dipinjam oleh pelajar-pelajar demikian pakaian berkenaan !).

Aku begitu bangga sekali melihatkan suasana sedemikian pada ketika itu ( 1995-1998). Dan pada ketika itu tersemat di hati dan perasaan ku tentang keyakinan akan wujudnya satu bangsa Malaysia yang harmoni di Negara Malayisa tercinta pada suatu ketika nanti. Sudah tidak nampak jurang perbezaan antara pelajar Melayu dan bukan Melayu pada ketika itu. Masing-masing merasakan bahawa mereka adalah merupakan anak Malaysia yang akan membangunkan Negara ini secara bersama.

Aku tak tahu bagaimana keadaannya kini?

Walaupun hampir setiap tahun aku berada di sini namun kehadiran aku pada kali ini agak lama. Sudah lebih sebulan. Dan aku merasakan bahawa aku merasa begitu selesa berada di sini. Aku tidak tahu mengapa aku berperasaan sedemikian. Tentulah amat tidak kena bagi seseorang untuk menyatakan perasaan sedemikian sebagaimana yang aku rasakan itu. Namun aku hanya meluahkan perasaan dan persepsi aku. Aku tidak boleh berbohong dengan apa yang aku rasa. Walaupun mulut aku berkata lain tetapi hati dan perasaan pula menyatakan sesuatu yang berlainan.

Aku tidak pula mahu menyatakan yang pentadbiran dan pemerintahan di Negara kita begitu buruk. Cuma aku hanya merasakan bahawa apa yang aku rasa dan lihat di sini agak berlainan dengan apa yang aku rasa dan lihat di Negara aku yang tercinta – Malaysia. Tentulah banyak contoh-contoh yang boleh aku berikan untuk menyokong apa yang aku rasa. Dan tentulah tidak cukup ruang sekiranya aku ingin menyatakan segala-galanya.

Aku dapat menyimpulkan bahawa yang menyebabkan ramai yang merasa begitu selesa tinggal di Negara-negara maju seperti England ini ialah tentang penguatkuasaan undang-undangnya. Bagi aku itu puncanya. Sekiranya undang-undang dan peraturan di Negara itu dilaksanakan dengan betul tanpa ada pilih kasih, maka rakyat akan merasa bahagia berada di dalam sesebuah Negara itu.

Sepanjang aku berada di sini bukan tidak ada kes-kes jenayah dilaporkan. Ada. Tetapi kes-kes berkenaan ditangani secara berkesan tanpa ada  pilih kasih. Seolah-olah semuanya dilaksanakan secara adil dan saksama. Dan tidak pula aku mendengar kisah pecah rumah sebagaimana yang hampir setiap hari berlaku di Malaysia. Tidak pula aku mendengar kisah ragut yang mungkin hampir setiap jam berlaku di Malaysia. Mungkin.

Dan yang paling membahgiakan aku ialah wujudnya suasana kebebasan bersuara dan berfikir secara berleluasa disini. Setiap akhbarnya melaporkan keadaan sebenarnya berlaku. Dan rakyat boleh mengharapkan kepada akhbar hariannya untuk mendapatkan maklumat yang  tidak berat sebelah. Akhbar-akhbar yang terdapat di sini boleh dijadikan sumber maklumat yang berunsur akademik dan bukan merupakan suratkhabar propaganda semata-mata untuk memutarbelitkan sesuatu fakta yang benar.

Walau seelok mana pun Negara orang, hati ini tetap berada di Negara sendiri juga. “Tak sudah seluang melaut akhirnya  ke tepi juga”. Kampung halaman tetap terkenang dan terbayang selalu. Gunung Pondok ( yang kini sudah hampir separuh diterokai oleh Perak Hanjung) di Padang Rengas tetap melambai-lambai menyuruh aku pulang. Dan mungkin jugalah di kampung Keroh Hilir  tempat paling damai bagi aku sekiranya tidak berada di London.

“Ke manalah terbangnya bangau akhirnya ke atas belakang kerbau juga”

Abuhassanadam
London
16 Disember 2014





No comments:

Post a Comment