Tuesday, December 23, 2014


PENDUDUK LONDON MASIH BOLEH 'BERKELAH'

Aku yakin ramai yang bersetuju dengan kenyataan aku yang merasakan lebih selesa tinggal di London berbanding dengan tinggal di Kuala Lumpur. Cuma ramai yang tidak berani melahirkan perasaan demikian takut dituduh ‘derhaka’ dan ‘tidak mengenang budi’ atau mungkin juga dituduh ‘khianat’ kepada Negara sendiri. Tetapi pada anggapan aku begitulah persepsinya. Keadaan di London jauh lebih selesa dari keadaan di Kuala Lumpur. Namun jikalau dibandingkan London dengan kampung aku pastinya kampung aku lebih selesa dan lebih nyaman lagi. Tidak ada tolak bandingnya. Tentulah tidak terlepas dari peribahasa Melayu yang mengatakan, ‘hujan emas di negeri orang hujang batu di negeri sendiri, lebih baik di negeri sendiri’.

Sebenarnya aku terpanggil menulis coretan mengenai tajuk ini selepas membaca komen dan permintaan penduduk Brickfields agar kawasan yang dikosongkan oleh rumah kerajaan di situ dijadikan kawasan taman dan bukan pembinaan bangunan. Aku amat setuju dengan cadangan sedemikian memandangkan keadaan di London yang dipenuhi dengan taman-taman dan kawasan lapang. Dan keadaan sedemikian mungkin merupakan salah satu tarikan orang luar untuk datang ke sini. Sehinggakan di Central London itu sendiri dipenuhi dengan taman-taman yang agak luas seperti Regents Park, Hyde Park dan berpuluh-puluh park yang lain yang berada dipersekitaran London. Apatah lagi di kawasan-kawasan kampung mereka seperti di ‘midland’. Amat nyaman dan selesa.

Atas dasar itulah aku dari awal-awal lagi menyatakan bahawa tinggal di London lebih selesa dari tinggal di Kuala Lumpur yang penuh sesak dengan bangunan dan terlalu sedikit kawasan diperuntukan untuk taman. Dan kadang-kadang aku terfikir mungkin ada juga cadangan dari pihak yang tidak bertanggungjawab untuk menjadikan kawasan Tasik Perdana sebagai kawasan perumahan. Mungkin ada terlintas di kepala pihak tertentu yang hanya memikirkan keuntungan tanpa memikirkan keselesaan kehidupan.

Apakah para pemimpin di negara kita yang selalu ‘berulang-alik’ ke London tidak melihat bagaimana selesanya apabila berada di London, terutama apabila berada di taman-taman mereka yang dipenuhi dengan pokok-pokok yang rendang dengan padang  yang luas untuk berbagai aktiviti kesihatan badan. Apakah tujuan mereka ke London hanya untuk melawat Oxford Street dan di Harrods sahaja untuk membeli belah dan terus ‘membutakan’ mata mereka dari melihat alam sekeliling.

Berdasarkan pengalaman aku yang agak cetek ini, sudah tidak banyak negara di dunia yang tidak mempedulikan tentang alam sekitarnya. Dan malangnya kebanyakan negara-negara di Asia Tenggara masih mengamalkan sikap yang tidak mempedulikan alam sekeliling kecualilah Singapura. Dengan sebab itulah kita merasa ‘lemas dan sesak nafas’ apabila berada di Jakarta, Ho Chi Minh City, Bangkok, Kuala Lumpur berbanding apabila berada di Paris, Milan, Geneve dan tempat-tempat lain di Eropah.

Aku ingin juga terus menyoal para pemimpin kita yang selalu ‘berulang-alik’ ke Eropah, setiap kali musim cuti. Apakah mereka tidak melihat bagaimana jernihnya air sungai yang mengalir di Lucerne, Switzerland, walaupun sungai berkenaan terletak di tengah-tengah bandar berkenaan. Berapa lama lagi agaknya pemimpin kita hendak memikirkan tentang perancangan untuk menjernihkan sungai di Negara kita, sekurang-kurangnya Sungai Kelang dan Sungai Gombak.

Apabila berada di kawasan-kawasan taman di London tentulah aku teringat tentang dusun di kampung aku. Masih terdapat pokok-pokok durian yang sudah berpuluh-puluh tahun umurnya hasil tanaman Atuk dan bapak aku. Dan begitu jugalah di London dimana pokok-pokok besar masih tersergam, berdiri ‘megah’ ‘merentasi’ zaman. Aku tidak tahu berapakah umur pokok-pokok itu. Mungkinlah agaknya sama dengan usia Robin Hood yang selalu berselindung disebalik pokok-pokok berkenaan apabila diburu oleh tentera Raja England pada suatu waktu dahulu.

England pada zaman berlakunya Revolusi Industri  (Industrial Revolutions) dahulu mungkin mengalami keadaan yang sama seperti negara-negara yang sedang membangun kini. Sesak dengan udara yang tidak terkawal . Tetapi dengan pengenalan tekonolgi yang canggih kini, maka mereka telah dapat mewujudkan suasana yang sungguh nyaman apabila berada di Negara-negara mereka, Aku masih mengimpikan bilakah agaknya Kuala Lumpur bertukar menjadi London dari segi kebersihan udaranya.

Kesesakan penduduk London adalah seperti di Kuala Lumpur. Malah lebih sesak lagi. Namun penduduk memiliki tempat ‘melarikan diri’ di taman-taman mereka yang bertaburan di persekitaran London. Musim panas mereka boleh berjam-jam berada di taman-taman sambil berkelah dan beriadzah. Berbanding dengan penduduk Kuala Lumpur yang pada suatu ketika dulu bertumpu ke Bukit Belacan ( tahun 1980an) mungkin sudah tidak ada lagi tempat untuk berkelah seperti yang dinikmati oleh penghuni Kuala Lumpur pada tahun-tahun 1980an dulu.

Sudah tidak ada tempat berkelah di Malaysia. Bukit Berapit berhampiran dengan (Padang Rengas) pada suatu ketika adalah merupakan tempat perkelahan yang masyhur. Kini air sungainya sudah tidak sejernih dulu. Kawasan Pertak yang dahulunya merupakan tempat perkelahan mungkin sudah tidak begitu sesuai lagi. Mungkin Templer park masih ada. Mungkin…..Sudah lama tidak ke sana.

Namun di England, penduduknya masih bertuah kerana dapat lagi mereka menikmati suasana ‘berkelah’ sepertimana yang pernah dinikmati oleh penduduk Malaysia pada suatu ketika dulu terutamanya pada musim panas sedangkan anak-anak di Malaysia mungkin sudah tidak tahu apa yang dimaksudkan dengan 'berkelah'. Mungkin.....

Abuasanadam
London
23 Disember 2014






4 comments:

  1. This comment has been removed by the author.

    ReplyDelete
  2. Pak Hassan,
    Batu Hampar masih lagi menadah tangan untuk mendakap anak anak bumi untuk diselimuti dengan airnya yang sejuk dingin. Mungkin generasi sekarang lebih gemarkan sejuk penghawa dingin dari dingin air di kali.

    ReplyDelete
  3. Azilah,

    Anakanda memberikan ilham untuk saya menulis mengenai Berkelah di Batu Hampar. Terima kasih.

    Pak Abu

    ReplyDelete