Tuesday, December 30, 2014

TAHUN 2014 DAN ZAMAN ALANG ISKANDAR

Arwah Opah selalu menyebut ungkapan ‘zaman Alang Iskandar dulu semuanya elok belaka. Buah kayu berbuah belaka, padi menjadi…”. Selalu sangat aku dengar dia menyebut ungkapan sedemikian. Tetapi aku tidak tahu ‘biji buah’nya tentang apa yang dimaksudkannya. Ketika itu aku masih kecil lagi dan hanya mendengar sahaja ungkapan tersebut diperbualkan oleh Opah dan rakan-rakan yang ‘sama waktu dengannya’ ketika itu.

Kerap kali aku dengar ungkapan sebegini apabila menjelangnya musim buah-buahan, terutamanya apabila musim buah-buahan pada tahun berkenaan tidak menjadi. Maka akan kedengaranlah Opah mengungkapkan, ‘ …zaman Alang Iskandar dulu, semua menjadi. Apabila sampai musim buah-buahan, akan melimpah ruah buah-buahan di kampung kita. Durian, manggis, langsat…..mewah ‘bebenor’…. Tak laku…... Cina tak hendak beli. Jikalau  beli pun murah ‘bebenor’…. ….begitu sekali mewahnya pada zaman Alang Iskandar…..” Begitulah lebih kurang kata Opah menggunakan loghat Perak.

Aku masih ingat juga tentang musim kemarau yang melanda kampung aku, kampung Keroh Hilir, Padang Rengas, Perak. Pada ketika itu bukanlah kampung aku saja yang mengalami kemarau sedemikian. Hampir seluruh daerah Kuala Kangsar ( mungkin juga seluruh negeri Perak ) mengalami keadaan kering kontang. Sungai-sungai kecil kekeringan. Dan kebanyakan telaga dan perigi juga kekeringan. Tidak dapat dibayangkan kesusahan yang dialami oleh orang kampung untuk mendapatkan air. Dan pada ketika itu kebanyakan kawasan kampung hanya mengharapkan telaga dan perigi untuk mendapatkan ‘air bersih’.

Sekali lagi aku mendengar Opah mengungkapkan, ‘ zaman Alang Iskandar dahulu tak pernah berlaku kemarau serupa ini. Ada hujan, ada panas…..buah-buah kayu juga mewah….’peramah’ untuk berbuah…’ Berbagai usaha dilakukan oleh orang kampung aku untuk ‘meminta’ hujan diturunkan. Khidmat bomoh juga digunakan untuk memohon hujan. Aku masih ingat lagi bagaimana Tok Ki Pandak ( bomoh) menulis sesuatu di atas daun kelapa dan mencampakkan daun kelapa itu ke dalam sungai. Untuk memohon hujan katanya. Dan tulisan yang dilakarnya di atas daun kelapa itu adalah ayat-ayat dari Rasulullah mengikut katanya.

Berdoa sudah, solat Hajat juga sudah dan menggunakan khidmat bomoh juga sudah dilakukan. Namun hujan masih belum turun juga. Semakin banyak telaga dan sungai yang kekeringan. Ada penduduk kampung aku yang terpaksa berbasikal berbatu-batu ke Batu Hampar, Paya Lintah semata-mata untuk mandi di sana. Sungai di Paya Lintah, Laneh masih berair. Itu pun entah berapa lama lagi akan bertahan. Sekiranya air sungai itu juga kekeringan aku tidak dapat membayangkan kesusahan yang akan dialami oleh orang kampung di daerah ini.

Opah kata, keadaan kemarau sebegitu tidak pernah berlaku pada zaman Alang Iskandar. Tak pernah. Dan mengikut kata Opah juga (sebagaimana yang di ‘sosek-sosek’ dengan rakan-rakannya) berlakunya kemarau ini adalah disebabkan oleh adanya penduduk kampung yang melakukan perbuatan ‘sumbang’. Ini merupakan balasan Tuhan kepada seluruh masyarakat kampung akibat daripada perbuatan terkutuk seorang anggota masyarakat di situ. Dan sememangnya ada berlaku perbuatan ‘sumbang’ antara bapa dengan anaknya sendiri di kampung pada ketika itu.

Jikalaulah Opah masih ada kini, dan melihat malapetaka yang menimpa negara kini, maka   pasti Opah akan menyebut ungkapan ‘peribadinya’ itu ia itu, ‘zaman Alang Iskandar……..’. Pasti Opah akan menggelengkan kepala melihat berbagai peristiwa malang yang menimpa negara, yang berlaku bertubi-tubi pada tahun 2014 – kemarau panjang yang menyebabkan catuan air untuk beberapa hari di kawasan yang ketiadaan air, peristiwa kehilangan kapal terbang MH 370, kemalangan pesawat MH 17 dan kini telah berlaku pula kehilangan pesawat Airasia (walaupun bukan merupakan milik negara secara langsung).

Dan peristiwa banjir besar yang berlaku di pantai timur kini dan yang terus merebak ke negeri-negeri lain pasti juga akan menyebakkan Opah menggelengkan kepala. Sudah pernah berlaku banjir pada tiap-tiap tahun di negeri-negeri berkenaan tetapi tidak sebesar ini. Maka Opah akan terus mengatakan bahawa, “ zaman Alang Iskandar dulu tidak seperti ini…..”

Rupa-rupanya yang disebut-sebut oleh Opah ‘Alang Iskandar’ itu sebenarnya adalah Sultan Iskandar Shah, Sultan Perak yang pernah memerintah negeri Perak pada suatu ketika dahulu. Dan sememangnya zaman pemerintahan Sultan Iskandar kononnya adalah merupakan zaman emas di negeri Perak yang penuh dengan berbagai-bagai kemewahan. Zaman Alang Iskandar itu sentiasa diingati oleh penduduk kampung di negeri Perak. Sultan Alang Iskandar menjadi sebutan penduduk di negeri itu pada ketika itu.

Kini sebagaimana yang aku dengar nama Sultan Nazrin Shah pula menjadi sebutan rakyat Perak khususnya dan rakyat Malaysia umumnya. Sifat terpujinya melangkaui dan merentasi berbagai aspek. Bukan sahaja tentang kelulusan luar biasanya (Doktor Falsafah dari university ternama) tetapi kepintarannya dalam mengeluarkan hujah dan pendapat. Malah dari segi tindakannya juga telah mendapat sanjungan yang luar biasa dari penduduk negeri Perak.

Daulat Tuanku.

Dan suatu perkara yang agak unik lagi ialah bahawa penduduk kampung pada ketika itu sentiasa menghubungkaitkan sesuatu keadaan yang berlaku dalam negara atau negeri dengan tampuk pemerintahan negara atau negeri. Sekiranya negara sentiasa dalam keadaan aman dan bahagia maka punca yang terjadi demikian adalah disebabkan pemerintahannya yang direstui oleh Tuhan dan begitu juga sekiranya negara dalam keadaan yang tidak aman, sentiasa berlaku malapetaka yang tidak menentu, maka rakyat selalu mengatakan bahawa kepimpinan negara atau negeri juga yang patut dipersalahkan. Itu pendapat dan pandangan rakyat zaman dulu.

Zaman Opah aku dulu….

abuhassanadam
30 Disember 2014.


2 comments: