MOH KHAW DAN ‘THE BRIGGS PLAN’
Moh Khaw nama orang Cina. Aku harap betul
ejaannya. Arwah emak aku yang memangilnya begitu. Aku harap betullah. Dia
memang kawan baik emak aku. Ada seorang lagi Cina di Padang Rengas ni yang juga
kawan baik arwah emak aku. Soo Ha namanya. Emak memanggilnya begitulah.
Tidaklah aku tahu nama sebenarnya. Mungkin dalam kad pengenalannya lain namanya
ditulis. Nyonyak Panjang ( tak tahu aku nama sebenarnya) pun kawan baik dia.
Nyonya Gemuk kedai basikal di Padang Rengas pun kawan baik dia juga. Tetapi
yang betul-betul macam adik-kakak ialah dengan Moh Khaw. Anak Ah Soon yang
berniaga sebelah kedai Pak Mail di pekan Padang Rengas. Aku rasa masih ada lagi
kedai berkenaan.
Aku tak tahu sama ada Moh Khaw masih ada
atau sudah meninggal. Jikalau mengikut ukuran (rakan sebaya dengan emak aku)
maknanya Moh Khaw pun sudah tidak ada lagi.
Suatu hari dalam tahun-tahun 1980an, aku
pulang ke kampung. Kebiasaannya aku akan singgah sebentar di pekan Padang
Rengas ‘membeli-belah’ apa yang patut dibawa pulang ke kampung. Dan pastinya
barang kegemaran emak aku. Dan pastinya singgah di kedai Moh Khaw.
Sesampai sahaja aku di kedainya, Moh Khaw
terus menyapa aku sambil berkata ( dalam loghat Perak yang sungguh fasih), ‘
….pagi tadi emak kamu datang kedai aku….dia kata kamu nak balik petang ni…’
kata Moh Khaw kepada aku. Seolah-olah semua perkara mesti diceritakan oleh
ibuku kepada Moh Khaw. Moh Khaw
tahu aku tinggal di mana. Bekerja di mana. Berapa orang anak aku. Pendek kata
banyak perkara yang emak bincang dengan Moh Khaw. Macam Moh Khaw tu saudara
kandung emak pulak.
Suatu hari secara kebetulan aku bercuti di
kampung. Cuti Tahun Baru Cina. Dan dapat aku lihat keakraban antara ibu dengan
Moh Khaw memeang erat terjalin. Sehari sebelum Tahun Baru Cina, Moh Khaw telah
datang ke rumah membawa ‘Kuih Bakul’ ( orang kampung aku panggil ‘kuih bakul’
ia itu sejenis kuih seperti dodol yang dibungkus dengan daun pisang). Dan
sememangnya setiap tahun ‘amalan’ sedemikian dilakukan oleh Moh Khaw.
Aku tidak pernah bertanya tentang keakraban
hubungan ibu dengan Moh Khaw dan Soo Ha walaupun hubungan itu kelihatan agak
luar biasa. Apa yang perlu dihairankan, sedangkan aku sendiri mempunyai ramai
rakan dan kawan dari keturunan Cina dan India. Dan ibu angkat kami dari bangsa
Amerika lagi (yang sehingga kini masih berhubung).
Namun hubungan ibu dan keluarga Moh Khaw
dan keluarga Soo Ha agak luar biasa. Lantas aku bertanya tentang bagaimana
terjadi sedemikian. Rupa-rupanya memanglah kedua-dua keluarga Cina ini pernah
menumpang duduk di atas tanah
milik Atuk aku sebelum tahun 1950. Bapak Moh Khaw (Ah Soon namanya)
pernah tinggal dan bercucuk tanah di atas tanah milik Atuk aku. Dan ketika
masih kanak-kanak, emak dan Moh Khaw dan Soo Ha membesar bersama. Sepermainan.
Cuma emak lebih tua dari mereka berdua. Dengan sebab itulah mereka memanggil
ibu aku dengan panggilan Kak Midah.
Mendengar emak menceritakan kisah mereka
seolah-olah seperti mendengar kisah ‘Cerita Seribu Satu Malam’. Suka sungguh
emak menceritakan kisah mereka ketika masih kecil. Seolah-olah semacam tidak
ada langsung batasan kaum antara mereka. Cuma kata emak, dia tak pernah makan
nasi di rumah Moh Khaw tetapi Moh Khaw dan Soo Ha sentiasa makan di rumah Opah
aku. Tetapi mengikut kata emak tidak pernah pula dia melihat mereka makan babi
sedangkan banyak babi hutan berkeliaran di sekeliling rumah memakan tanaman
mereka pada ketika itu.
Aku juga dapat melihat keunikan hubungan
antara Soo Ha dan Atuk aku. Soo Ha adalah sebagai tukang membuat rumah. Dan
rumah kampung yang masih ada sekarang adalah hasil tangan Soo Ha. Dibina dalam
tahun 1960. Seingat aku harganya ialah RM 2000.00. Atuk terpaksa menjual empat
ekor kerbaunya (berharga RM1600.00) untuk membina rumah berkenaan. Bakinya
RM400.00 perlu dijelaskan.
Disinilah kelihatan keunikan hubungan
antara mereka dalam menyelesaikan hutang rumah berkenaan. Atuk aku masih ada
seekor lagi anak kerbau yang masih kecil. Lantas tidak boleh dijual lagi. Oleh
itu Soo Ha telah bersetuju supaya Atuk membela kerbau berkenaan sehingga besar
dan kemudian boleh dijual untuk menjelaskan baki hutang. Dan seolah-olah kerbau
berkenaan Soo Ha yang punya. Dan seingat aku ‘pelan’ mereka berjaya setelah dua
tahun Atuk aku membela kerbau kepunyaan Soo Ha.
Keluarga Moh Khaw dan keluarga Soo Ha
berpindah dari kampung aku ke Kampung Baru Padang Rengas adalah ekoran daripada
pengenalan ‘The Briggs Plan’ (1950) ia itu rancangan penempatan kaum Cina di
kampung-kampung baru sebagai langkah British untuk memerangi Komunis. Dikatakan
bahawa sebahagian besar orang Cina pada ketika itu adalah sebagai penyokong
gerakan Parti Komunis Malaya. Oleh itu sebagai usaha untuk mengawal kegiatan
mereka, maka mereka ditempatkan disuatu kawasan kampung baru yang diwujudkan di
seluruh Tanah Melayu pada ketika itu. Dan di Padang Rengas juga wujud kampung
baru Cina ia itu berhampiran dengan sekolah Cina Padang Rengas.
Dan The Briggs Planlah yang memisahkan
antara keluarga Aku dan keluarga Moh Khaw dan Soo Ha. Namun hubungan atara
mereka terus terjalin dan akbrab walaupun tinggal agak berjauhan.
Keunikan hubungan antara kaum Melayu, Cina
dan India di Tanah Melayu (Malaysia) bukan baru. Malah ahli sejarah mengatakan
yang hubungan ini telah terjalin sebelum tertubuhnya kerajaan Melayu Melaka
lagi. Dan yang mungkin bertanggungjawab merenggangkan hubungan antara kaum ini
adalah penjajah British yang membawa masuk beramai-ramai imigran Cina dan India
untuk mengerjakan lombong bijih timah dan bekerja di ladang getah. Dan mereka
ditempatkan secara berasingan.
Perpaduan antara kaum terus dipupuk selepas
kemerdekaan dan diperkukuhkan lagi selepas berlakunya Peristiwa 13 Mei 1969
yang dirasakan telah wujud semacam ‘keretakan’ hubungan kaum di Negara ini.
Hubungan antara kaum terus harmoni sehinggalah muncul sauasana yang agak kurang
menyenangkan kini yang sekiranya tidak dibendung dan disekat berkemungkinan
akan merugikan usaha perpaduan yang dipupuk selama ini. Negara akan kehilangan ‘permata’
yang amat berharga.
Abuhassanadam
London
22 Disember 2014
Bapa mertua saya,Pak Ajid,amat menggemari ikan masin belanak yang dibeli dari kedai 'Moko'. Berebut-rebut waktu makan bila terjumpa telur dalam perut ikan belanak. Indah sungguh saat itu. Tak terungkap dek kata-kata,tak ternilai dek harta benda.
ReplyDelete