TAK SEMPAT MANDI……….
Tahun 1977. Ketika berada dalam pesawat
Cathay Pacific menuju Hong Kong, berbagai perasaan menerpa benak aku. Maklumlah
ini kali pertama aku menaiki kapal terbang. Aku tidak dapat bayangkan yang aku,
budak kampung yang bermandi dengan selut dan lecah di bendang dapat menaiki
kapal terbang Boeing 747 pergi ke New York dan singgah bermalam di Hong Kong.
Kata orang nak tahu samada sesuatu
peristiwa itu benar atau mimpi kena cubit lengan kita. Aku pun buat begitu.
Sakit. Maknanya betullah aku menaiki pesawat ke Hong Kong. Sebelum ini aku
pernah juga ‘menaiki kapal terbang khayalan’ di kampung ketika masih
kanak-kanak. Naik ‘Canggung” ia itu menaiki batang pokok yang tumbang
melintangi sungai. Sambil menhenjut batang pokok berkenaan, kami akan
menjeritkan perkataan ‘New York, London, Calcutta..’ seolah-olah sedang menaiki
pesawat menuju ke tempat-tempat berkenaan. Yang menghairankan aku kini mengapa
pula ‘Calcutta’ pula yang disebut.
Pendek cerita, aku tak pernah langsung
menaiki kapal terbang. ‘Udah tongkeh’ (sudah tua - loghat Perak) barulah merasa
(berpeluang). Itu pun dengan perbelanjaan Kerajaan. Harapkan belanja sendiri
jauh panggang dari api.
Dalam pesawat aku diam membisu. Aku memerhatikan
saja apa yang orang lain lakukan. Maklumlah jakun dari kampung. Cakap orang
putih tu tahu ler. Peramugari memberikan ‘saputangan basah’ untuk mengelap
muka. Aku pegang dulu. Tengok gelagat penumpang lain. Aku tengok mereka
mengelap muka. Maka aku pun lap muka juga dengan ‘saputangan lembap’. Lepas tu
nak buat apa pulak ‘saputangan lembap’ ni, fikir aku. Nak aku buang ikut
tingkap tak boleh!!.......
Setiap orang diberikan ‘earphone’ untuk
menikmati lagu-lagu di atas pesawat. Ketika itu belum ada lagi TV skrin
sepertimana sekarang. Hanya untuk mendengar muzik saja. Lagi sekali aku
‘tercangak-bangak’ ( tak tahu nak buat apa). Aku lihat penumpang sebelah. Apa
yang dia lakukan, aku pun buat begitu. Akhirnya dapatlah aku saluran untuk aku
mendengar lagu. Tentulah aku nak mendengar lagu ‘Oh Fatimah’ nyanyian A. Ramlee
ataupun lagu Jefridin “Seruling Anak Gembala’. ‘Meracun’ ( tidak ada). Jadi aku
terpaksalah berpuas hati mendengar lagu-lagu orang putih dan lagu Jepun,Cina….
Selepas itu datang pula waktu makan. Lagi
sekali aku panik. Maklumlah tak pernah makan makanan barat seperti yang
disajikan atas pesawat. Seumur hidup aku hanya tahu makan di kedai mamak atau
di gerai-gerai saja. Dan mana pernah makan makanan orang putih. Asyik-asyik
roti canai, mee goring, laksa Pak Ngah.
Nasib baiklah aku duduk dekat tingkap.
Dapatlah aku ‘belajar’ daripada penumpang di sebelah aku. Jadi aku ikut saja
apa yang dia buat. Aku buat-buat macam aku pandai macam dia juga. Tapi aku rasa
dia tahu yang aku ni memang jakun dari kampung. Tiba-tiba peramugari terus
memberikan makanan kepada aku. Tak tanya pun sedangkan penumpang lain ditanya
nak makan apa. Apabila sampai ke giliran aku tidak ditanya, hanya dia tersenyum
dan terus menghulurkan makanan kepada aku. Aku hairan juga. Rupa-rupanya sudah
ditempah awal-awal lagi. Makanan halal..
Lepas makan semua penumpang berehatlah.
Mendengar lagu atau membaca. Ada buku aku bawa untuk dibaca. Tapi aku fikir
pula, kalau nak membaca lebih baik di rumah. Maklumlah baru pertama kali
menaiki pesawat, tentulah nak cari pengalaman atas pesawat. Berbeza keadaannya
jika sudah biasa dengan kapal terbang….
Pesawat mendarat di Hong Kong. Transit.
Besok akan sambung lagi. Singgah di Hawaii pulak. Lepas itu barulah sampai di
Kennedy Airport, New York. Di Hong Kong kami ditempatkan di Hotel Merlin. Aku
tak tahu samada hotel ini ada lagi ke dah tak ada. Kami sampai puku 8.00 malam.
Lagi sekali aku panik. Mana pernah aku
menginap di hotel sebesar ini. Yang aku biasa menginap ialah hanya di
hotel-hotel Jalan Tuanku Abdul Rahman, Kuala Lumpur. Itu pun sudah dikira cukup
hebat pada ketika itu. Kebanyakan para perwakilan UMNO yang menghadiri
mesyuarat di Kuala Lumpur pada ketika itu tinggal di hotel-hotel berhampiran
Chow Kit Road. Empat atau lima orang sebilik.
Semacam aku tak tahu nak buat apa apabila
berada di bilik hotel berkenaan. Tidak pernah terfikir yang aku boleh berada
dalam suasana sedemikian. Dari tingkat lima hotel berkenaan aku melihat bandar
Hong Kong waktu malam. Terlalu jauh bezanya dengan keadaan di kampung aku
apabila waktu malam. Cuma bezanya ialah di Hong Kong tidak kelihatan cahaya
pelita orang menyuluh belalang di bendang. Di kampung aku terdapat keadaan
sedemikian apabila pokok menerung sudah tumbuh membesar, tempat belalang
berpaut.
Aku buka TVnya. Besar sekali. TV warna.
Seingat aku pada ketika itu belum ada lagi TV warna di Malaysia dan hanya ada
terdapat dua saluran saja. TV1 dan TV2 sedangkan di Hong Kong ketika itu sudah
terdapat berpuluh-puluh saluran. Bayangkanlah apa yang aku lakukan semalaman di
hotel berkenaan. Tak boleh tidur. ‘Excited!”.
Aku tak ingat pukul berapa agaknya mata aku terlelap.
Jikalau boleh aku tak mahu tidur pada malam itu. Terlalu rugi rasanya jikalau
tidur, memandangkan keadaan di Hong Kong yang aku nikmati pada ketika itu. Pernah
juga terlintas di kepala aku. ‘Inikah rupa syurga yang pernah digambarkan oleh
Pak Haji Sulaiman guru Quran di kampung aku. Tentulah jauh lebih hebat dari
Hong Kong.
Tiba-tiba aku dikejutkan dengan deringan
telipon di sebelah katil aku. Suara Bernard, rakan aku yang akan bersama ke Princeton,
New Jersey. “Abu, kita mahu bertolak ke airport sekarang…….”katanya.
Rupa-rupanya ku sudah terlewat. Aku tengok jam. Tepat waktu aku bertolak ke
lapangan terbang untuk menyambung
perjalanan. Pada ketika itu aku belum lagi mandi dan gosok gigi. Tanpa
berlengah aku terus mengenakan pakaian seadanya dan terus turun ke lobby hotel
untuk ke lapangan terbang Hong Kong
Tak sempat mandi………
Abuhassanadam
London
2 Disember 2014
No comments:
Post a Comment