Tuesday, December 9, 2014


SERULING ANAK GEMBALA



Sambil memerhatikan bagaimama penternak lembu dan kambing biri-biri di kawasan perkampungan di England menternak binatang peliharaannya, teringat pula aku bagaimana Atuk aku dulu membela kerbau di kampung. Jauh bezanya. Dan terlalu banyak perbezaannya. Macam langit dengan bumi.



Tidaklah pula Atuk aku seorang yang memlihara binatang ternakan dengan cara sedemikian. Malah seluruh kawasan Padang Rengas mengamalkan cara menternak binatang dengan cara sedemikian. Aku tak tahulah pulak di tempat-tempat lain. Mungkin berbeza atau pun mungkin serupa.


Banyak perkara yang pelik-pelik apabila aku memikirkan tentang orang kampung membela kerbau pada ketika itu. Antara yang ‘memeningkan’ kepala aku ialah tentang kebolehan dan kepakaran pengecaman kerbau milik mereka antara ratusan kerbau di bendang.

Seingat aku Atuk aku memiliki empat ekor kerbau. Tetapi sepanjang enam bulan dalam setahun, tidak diketahui kerbaunya entah di mana. Maknanya kerbau milik atuk aku itu ( orang lain juga begitu)  bebas sebebasnya. Lepas bebas seperti binatang liar tetapi Atuk aku tahu bahawa kerbaunya berada di mana-mana dalam kawasan sawah kampung kami yang terbentang luas. Hanya kadang-kadang Atuk ‘terserampak’ dengan kerbaunya (ketika berjalan-jalan ) sambil menunjukkan kepada aku bahawa itu kerbaunya. Atuk boleh mengecam kerbaunya dari jauh. Dan apabila dipanggilnya kerbaunya (dengan isyarat yang atuk aku saja yang tahu) kerbaunya akan datang menghampirinya. Pada ketika itu aku menganggapnya sebagai perkara biasa tetapi kini sungguh menghairankan aku. Pelik betul…..

Bukan Atuk aku seorang yang mempunyai ‘kepakaran’ sedemikian. Pak Lang Palit pun boleh berbuat demikian. Pak Lop Godak pun boleh. Tokki Jusuh pun boleh. Pak Su bilal pun boleh. Pak Ngah Joseh pun boleh. Alang Puyuh pun boleh. Pendek kata semua orang kampung aku memelihara kerbaunya dengan cara demikian. Tidak ada kandang kerbau dan tidak perlulah mereka menyediakan makanan rumput untuk kerbau mereka. Dan mereka tahu pula masa dan ketikanya kerbau mereka sudah beranak.

Apabila sampai musim menanam padi, Pak Haji Mat selaku ketua kampung akan membuat pengumuman di masjid meminta penduduk kampung ‘menangkap’ kerbau masing-masing. Maknanya sudah sampailah masanya kerbau-kerbau itu ditambat di kandang-kandang.

Ketika itu Atuk dan begitu juga penduduk kampung yang lain akan ‘mencari’ kerbau masing-masing yang berkeliaran di bendang untuk ditangkap dan dimasukkan ke dalam kandang yang sememangnya ada tersedia disebelah rumah kami. Ada dua tujuan mengapa kerbau-kerbau ini ditangkap dan dikandangkan. Pertama untuk tujuan mengerjakan sawah padi dan yang kedua untuk mengelakkan binatang ternakan itu merosakkan tanaman padi di bendang-bendang.

Apabila sampai musim ‘berbendang’ ( musim mengerjakan sawah dan menanam padi selama enam bulan) maka semua kerbau-kerbau yang dahulunya  berkeliaran di bendang akan ditambat dalam kandang berhampiran dengan rumah masing-masing. Maknanya tidak akan tertinggal walaupun seekor berbau pun di bendang-bendang. Maknanya setiap penternak itu tahu dan mengenali kerbau mereka. Dengan sebab itulah tidak terdapat walau seekor kerbau pun yang tertinggal tanpa dimiliki oleh sesiapa pun.

Ada juga penternak yang tidak begitu mahir untuk mengecam kerbau-kerbau mereka menggunakan penanda kepada kerbau-kerbau milik mereka ataupun menggunakan ‘kerotok’ ( sejenis loceng yang diperbuat daripada tungkul kayu yang ditebuk) yang digantung pada leher kerbau mereka. Dengan demikian mereka akan tahu di mana kerbau-kerbau mereka akan berada melalui ‘kerotok’ mereka yang berbunyi sayu. Dan senanglah mereka mengecam binatang ternakan milik mereka.

Teringat pula aku tentang peristiwa yang agak lucu yang aku alami ketika menaiki keretapi menongkah bajaran Alps di Switzerland di Eropah suatu ketika dulu. Ketika berada dalam keretapi berkenaan, penumpang dinasihatkan untuk ‘memasang telinga’ supaya dapat mendengar bunyi loceng-loceng lembu yang berkeliaran, makan rumput di persekitaran Alps itu. Para pelancung semuanya senyap sepi semata-mata untuk mendengar bunyi loceng berkenaan. Dan para pelancung hampir kesemuanya dalam suasana ‘kehairanan’ dan ‘riang’ apabila dapat mendengar dan ‘menikmati’ bunyi loceng berkenaan kecuali aku……

Bagi aku bunyi itu adalah suatu kebiasaan. Bunyi ‘kerotok’ kerbau Atuk aku di kampung zaman dahulu!!……..

Abuhassanadam
London
9 Disember 2014





2 comments:

  1. Salam Pak Hassan,
    Ayah mertua saya turut memelihara kerbau dengan cara yang sama. Tetapi sejak tidak berbendang, kerbaunya berkeliaran di bawah Gunung Pondok dan sekitar Perak Haanjong. Apabila hendak mengadakan kenduri, bapa mertua saya dan rakan berhari-hari menjadi 'cowboy' mengendap kerbau. Walaupun telah bertahun-tahun dibiarkan lepas liar,mereka masih mengenali kerbau masing-masing. Itulah kehebatan panglima-panglima kita dahulu. Kini tiada lagi kudrat,hanya tali gembala bergulung di tiang seri, menunggu reput memamah diri. Buat yang telah tiada,ku titipkan doa. Hanya nama pengganti nyawa.

    ReplyDelete
  2. Anakanda Shuhada,

    Cerita sebegini harus diabadi dan diturun-temurunkan.

    Pak Abu

    ReplyDelete