HUDUD
: JANGAN KITA DITERTAWAKAN
Aku
tidak bermaksud sama sekali bahawa pengenalan hukum Hudud akan dipersoalkan
jika diperkenalkan. Maksud aku lain. Aku tidak bermaksud begitu. Bagi aku hukum
Hudud adalah hokum Tuhan. Hukum Allah. Jangan ada siapa yang boleh
mempersoalkan selagi seseorang itu mengatakan dirinya beragama Islam. Jelas.
Disebabkan
kejahilan aku tentang hal berkaitan dengan Islam biarlah aku petik penjelasan
mengenai hukum Hudud daripada ‘Arkib Islam” yang mengatakan,
“Definisi yang dapat dipetik dari penulisan mereka mengenai
hudud ialah ; Hukum-hukum yang tertentu yang ditentukan oleh Allah sama ada
melalui al-Quran atau Sunnah Nabi Muhammad s.a.w sebagai Hak Allah yang
dikenakan ke atas pesalah-pesalah yang telah melakukan kesalahan-kesalahan yang
tertentu yang digolongkan di dalam jenayah Hudud, iaitu tujuh jenis seperti
yang diterangkan oleh al-Quran iaitu Zina, tuduhan zina (Qazaf) tanpa empat
saksi, minum arak, mencuri, Hirabah (perusuh/ganggu keamanan), Murtad, Baghy
(Bughah – pemberontakan).
Jangan minta aku perjelaskan. Aku memang tak tahu nak
menjelaskannya. Ilmu agama aku hanya belajar di sekolah pondok kampung
bergurukan Pak Haji Sulaiman. Itu pun mengaji sebelah malam. Siang belajar
sekolah orang putih.
Dan aku difahamkan yang kerajaan negeri Kelantan akan
mengadakan sidang khas Dewan Undangan Negeri untuk membincangkan undang-undang
Hudud untuk diperkenalkan di Kelantan. Ada yang suka dan ada yang tak suka.
Biasalah. Ada yang sokong dan ada yang tidak sokong. Dikalangan orang Islam pun
ada yang merasa sangsi mengenai hukum Hudud ini walaupun ia merupakan
undang-undang Allah.
Golongan bukan Islam tentulah tidak bersetuju dengan hukum
Hudud. Dan jangan pula terus dipersalahkan mereka sekiranya mereka tidak
setuju. Masyarakat terpaksa meletakkan diri kita (orang Islam) ditempat mereka ( yang bukan Islam) sekiranya
sesuatu perkara baru yang hendak diperkenalkan. Mungkin betul kata peribahasa
Melayu, ‘tak kenal maka tak cinta’. Betul. Tetapi sebelum diperkenalkan pun
sudah terlalu banyak isu Hudud yang dipolitikkan. Seolah-olah pengenalan hukum
Hudud ini lebih merupakan sebagai ‘political mileage’ kepada pihak-pihak
tertentu.
Sebelum diperbincangkan lebih lanjut di peringkat Dewan
Undangan Negeri aku suka juga menarik perhatian pihak-pihak tertentu tentang
satu atau dua petikan daripada buku teks Sejarah Tingkatan Lima bagi
sekolah-sekolah di Malaysia. (Kemampuan aku hanya merujuk kepada buku teks
sajalah). Ada dinyatakan pada muka
surat 163 begini,
“ Keluhuran Perlembagaan merupakan prinsip Rukun Negara yang
ketiga. Keluhuran perlembagaan bermaksud keagungan dan ketertinggian
undang-undang atau perlembagaan itu sendiri. Keluhuran Perlembagaan Malaysia
mengatasi Yang Dipertuan Agung, Parlimen, Jemaah Menteri dan Mahkamah. Dengan
itu semua jenis undang-undang yang bercanggah dengan Perlembagaan Malaysia
adalah tidak sah”
“Selain itu, undang-undang negeri mestilah selaras dengan
Perlembagaan Persekutuan. Perkara 75 menyatakan, undang-undang negeri yang
bertentangan dengan Perlembagaan Persekutuan adalah terbatal dengan sendirinya.
Perlembagaan Persekutuan memperuntukan kuasa kepada mahkamah untuk membatalkan
akta yang diluluskan di luar bidang kuasa Parlimen atau bercanggah dengan
Perlembagaan Malaysia. Mahkamah berkuasa menentukan kesahihan setiap
undang-undang bagi menjamin keluhuran dan ketertinggian Perlembagaan Malaysia”
Jikalau mengikut fahaman aku yang ‘ bodoh, tolol dan bangang’
ini Dewan Undangan Negeri Kelantan boleh membincangkan hal-hal yang berkaitan
dengan Hudu tetapi tentulah tidak boleh dijadikan satu undang-undang. Perlembagaan
Malaysia kata ‘tak sah’. Perlembagaan Malaysia kata undang-undang negeri mesti
selaras dengan Perlembagaan Persekutuan.
Yang menghairankan aku ialah tidak pula aku terdengar tentang
komen dari pihak kerajaan (yang berkaitan dengan undang-undang dan perlembagaan
Malaysia) tentang ura-ura kerajaan kelantan hendak memperkenalkan hukum Hudud.(
Mungkin aku berada jauh dari Malaysia maka aku tidak dapat mendengar dan
membacanya). Ataupun mungkin ada ‘peruntukan’ ( yang ramai orang tak tahu )
dalam Perlembagaan Malaysia yang membolehkan Dewan Undangan Negeri Kelantan
penggubal perlembagaan negeri sendiri. Mungkin.
Yang paling membimbangkan aku ialah kita akan ditertawakan
oleh anak-anak kita yang telah membaca dan mempelajari hal sedemikian ketika
mereka berada dalam Tingkatan Lima dulu yang mereka terpaksa membuat persediaan
rapi untuk menduduki Peperiksaan SPM. Mungkin mereka akan ketawa terbahak-bahak
melihatkan gelagat ‘golongan bijak pandai’ di Negara ini yang mengamalkan
‘cakap tak selupa bikin punya….”
Mungkin mereka tertawa dan mungkin juga mereka menangis
mengenangkan nasib bangsa dan Negara mereka yang tercinta….
Abuhassanadam
London
17 Disember 2014
Ini pandangan peribadi saya..
ReplyDeleteSaya tidak menolak hukum hudud sekiranya ia memang telah termaktub dalam al quran dan itu adalah perintah Allah yang wajib dilaksanakan. Cuma sebelum melaksanakan hudud, kita perlu melihat dulu keutamaan yang lain, yang lebih memberikan impak yang signifikan kepada kemasyalahatan rakyat. Saya percaya, hukum hudud tidak sama sebagaimana Allah mewajibkan ke atas 5 perkara (rukun islam) yang mana kita wajib melaksanakannya tanpa kompromi, kecuali hal haji yang ada kelonggaran kepada yang mampu sahaja.
Keadaan semasa dan Malaysia yang terdiri dari pebagai agama dan bangsa, hudud bukan satu objektif yang mesti dilaksanakan di Malaysia. Kerajaan Kelantan sepatutnya menumpuhkan usaha-usaha pembangunan ekonomi yang agresif, tumpukan kepada pembangunan modal insan, supaya Malaysia menjadi bangsa yang dihormati dan berdaya saing. Ini sepatutnya yang wajib menjadi keutamaan. Saya tidak bersetuju sekiranya alasan melaksanakan hudud adalah untuk mengekang jenayah yang semakin tidak terkawal, Bagi saya, rakyat yang berpengetahuan tinggi, ekonomi yang baik , pemerintahan yang adil akan secara tidak langsung memberi kesan signifikan kepada pengekangan kadar jenayah.
Kamisah,
ReplyDeleteSatu pandangan bernas yang ikhlas. Perlu ramai lagi anak Malaysia yang berani menyuarakan pendapat sebegini. Saya bangga.
Pak Abu