YOP
KENTEN
Dalam
kesejukan musim Winter begini, bermacam peristiwa menerkam benak aku terutama
peristiwa lampau ketika masih kanak-kanak. Kadang-kadang aku tersenyum
sendirian mengenangkan peristiwa demikian kerana betul-betul mencuit dan
menggeletk. Dan kadang-kadang diekori dengan linangan air mata pula apaila
mengenangkan peristiwa sedih yang berlaku di kampung. Dan sememangnya kesedihan
adalah ‘mainan’ orang kampung disamping kegembiraan yang sering juga
‘mengunjung’.
Yop
Kenten adalah nama orang. Orang kampung aku memanggilnya Pak Yop Kenten. Aku
juga memanggilnya Pak Yop. Tidaklah pula termasuk ‘Kenten’nya itu. Opah aku
menasihatkan aku supaya panggil ‘Pak Yop’ saja. Hanya Pak Yop. Semangnya orang
Perak terkenal dengan nama ‘Yop’.
Itu sebabnya slogan “kejor Yop kejor’ itu popular dikalangan peminat bola sepak
di Perak.
Jangan
tanya aku apa yang dimaksudkan dengan ‘Kenten’ itu. Aku pun tak tahu. Tidak
pula aku bertanya arwah Opah aku dulu apa maknanya. Dan Opah pun tidak pernah
menjelaskannya. Namun yang aku perasan ialah orang kampung tidak memanggilnya
‘Pak Yop Kenten’. Hanya ‘Pak Yop’ saja. Tak disebut ‘Kenten’nya. Mungkin tidak
begitu disukai oleh Pak Yop agaknya. Mungkin. Begitu juga dengan panggilan ‘Pak
Lop Godak’. Hanya digunakan ‘Pak Lop’ saja. “Godak’nya disenyapkan. Nama ‘Pak
Alang Palit’ hanya di[anggil ‘Pak Alang’ saja sedangkan ‘Palit’nya tidak
disebut langsung.
Semua
orang suka dan sayang pada Pak Yop Kenten. Rupa parasnya agak gemuk dan
beberapa batang gigi hadapanya sudah tercabut (akibat tidak dijaga dengan
sempurna agaknya). Sentiasa
memakai kain dan berbaju ‘Teluk Belanga’ dan bersongkok walaupun tidak ke
masjid. Kebiasaanya pakaian yang dipakai agak lusuh dan mungkin seminggu sekali
dibasuh berasaskan rupa dan bau yang ditinggalkan. Begitu juga dengan
songkoknya yang kelihatan terselit dengan berbagai surat dan resit
dicelah-celah songkok berkenaan.
Orang
kampung suka dengan Pak Yop Kenten kerana pandai bercerita. Aku pun suka
padanya disebabkan kebolehannya bercerita. Kebanyakannya cerita jenaka yang
boleh membuatkan pendengarnya ketawa berdekah-dekah. Boleh membuatkan kita
terkencing mendengarkan ceritanya. Itu kebolehan istimewa Pak Yop Kenten. Dan
mungkin juga ada antara cerita yang disampaikannya pada ketika itu, berbau
seks, tetapi disebabkan aku ketika itu masih kanak-kanak tidak faham yang
cerita Pak Yop Kenten berunsur seks. Mungkin juga disebabkan kehebatannya
menyambaikan cerita berkenaan, sehinggakan terselindung unsur seks itu.
Perlu
juga aku sebutkan di sini ialah tentang ‘kehebatan’ orang tua-tua dulu yang
sentiasa menjaga marwah mereka terutama dihadapan kanak-kanak. Mereka tidak
mencarut atau mengeluarkan perkataan-perkataan yang tidak sepatutnya diketahui
oleh kanak-kanak. (Tidak seperti sekarang dimana media massa ‘menolong’
menyebarkan perkataan sedemikian. Perkataan ‘liwat’ misalnya). Sepanjang hidup
aku dan seingat aku tidak pernah aku mendengar emak dan bapak serta Opah dan
Atuk aku mencarut dan mengeluarkan perkataan yang tidak enak aku dengar.
Oleh
kerana sumber hiburan yang amat kurang pada ketika itu, maka Pak Yop Kenten
boleh aku anggap sebagai penglipur lara di kampung aku. Boleh menghiburkan hati
yang duka lara. Pak Yop Kenten akan dikerumuni dimana sahaja dia pergi. Apabila
dia berada di rumah khenduri, ramai orang suka berada di sisinya. Apabila Pak
Yop berada di kedai Seman Ali, Pak Yop akan dikerumuni di situ. Pendek kata
dimana saja dia berada, akan dikerumuni kecuali di rumah kematian, Pak Yop
tidak akan bercerita serancak sebagaimana
di tempat lain.
Sebenarnya
bukan hasrat dia untuk memberi orang ketawa. Kadang-kadang dia hanya
menjelaskan sesuatu tetapi yang mendengarnya geli hati mendengar cara Pak Yop
Kenten menjelaskannya. Sememangnya Pak Yop Kenten berbakat besar dari segi
lawak jenaka. Sekiranya adalah pertandingan Maharaja Lawak pada ketika itu,
pastinya Pak Yop Kenten akan mengondol trophy berkenaan.
Antara
cerita yang disampaikan oleh Pak Yop Kenten yang sehingga sekarang masih
terdengar di telinga aku ialah kisah perlawanan bola sepak antara pasukan bola
Askar Melayu dan Polis Diraja Malaya. (Terlupa aku nak menjelaskan bahawa Pak
Yop pernah juga bertugas sebagai perajurit dalam pasukan Askar Melayu). Tempat
Pak Yop Kenten bercerita ialah di kedai Pak Man (Osman) Ali. ( Sudah tidak ada
lagi kedai berkenaan dan tidak berapa jauh dari rumah Opah aku. Hanya
sepelaung).
Yang
menyebabkan aku ( dan juga pendengar lain) terpegun mendengar kisah perlawanan
bola (mungkin cerita rekaan Pak Yop) itu ialah cara Pak Yop Kenten bercerita
seperti menyampaikan ulasan selari Radio Malaya. Dan kami hanya melopong
mendengar ulasan selari Pak Yop Kenten. Hanya dia seorang saja yang bercerita.
Tidak ada soalan. Dan diselang selinya dengan lawak jenakanya. Dan tentulah
diekori dengan ketawa yang berdekah-dekah.
Yang
menyebabkan aku ketawa dan dapat mengingati cerita Pak Yop Kenten (sampai ke
saat ini) ialah bagaimana Pak Yop Kenten boleh mempengaruhi ‘pendengarnya’
dengan cerita yang tidak masuk akal. Pak Yop Kenten menceritakan tentang
kehandalan pasukan Askar Melayu bermain bola sepak sehinggakan selama 10 minit
bola tidak jatuh ke bumi!!!......Hanya berlegar di udara dari satu pemain ke
pemain yang lain…..
Dan
tidak ada siapa yang menyoal tentang lojik tidaknya cerita yang disampaikan
oleh Pak Yop Kenten. Begitulah hebatnya ‘tokoh’ di kampung aku yang
bernama Yop Kenten.
Semoga
rohnya dicucuri Rahmat oleh Allah…
Abuhassanadam
London
18
Disember 2014
No comments:
Post a Comment