UMNO,MCA,MIC,
SEMACAM TIDAK SESUAI WUJUD DALAM KURUN KE 21
Sebenarnya
aku rasa dasar yang ‘dipegang’ oleh Barisan Nasional (UMNO, MCA,MIC) sudah
tidak sesuai lagi wujud dalam Kurun ke21. Sebahagian besar masyarakat Malaysia
sudah tidak boleh terima UMNO yang memperjuangkan Melayunya, MCA yang
memperjuangkan Cinanya dan MIC pula yang ‘tidak jabis-habis’ memperjuangkan
kaum Indianya. Pemikiran masyarakat Malaysia sebenarnya sudah berubah hasil
usaha kerajaan BN yang sentiasa berusaha memupuk perpaduan dikalangan rakyat
Negara ini. Cuma ternampak akhir-akhir ini sedikit ‘keretakan’ dalam hubungan
antara kaum disebabkan anasir ‘terselindung’ yang semacam berusaha
memecah-belahkan rakyat. Nampak macam begitu.
Aku
nampak rakyat Malaysia yang sudah celik dan berpelajaran kini sudah tidak boleh
menerima hakikat sebegini sebagaimana masyarakat zaman dahulu ketika parti
Perikatan ( Barisan Nasional kemudiannya)
di bawah kepimpinan Tunku Abdul Rahman. Janggal benar nampaknya
sekiranya ada lagi parti di Malaysia yang memperjuangkan satu kaum sahaja. UMNO
merupakan parti Melayu. MCA parti Cina dan MIC parti India.
Setelah
setengah abad mencapai kemerdekaan sepatutnya tidak timbul lagi isu ‘Melayu,
Cina dan India’. Aku agak berminat
mengambil contoh negara Amerika Syarikat sebagai perbandingan. Di sana
juga merupakan ‘melting port’ pada suatu ketika dahulu dan sehingga kini pun
masyarakatnya sedemikian juga. Tetapi mengapa tidak wujud parti sebagaimana
yang wujud di Malaysia. Mengapa Obama tidak menubuhkan parti untuk orang
berkulit hitam misalnya. Dalam sejarah politik Amerika tidak pernah wujud parti
untuk satu-satu kaum pun. Malah pemimpin mereka yang terdahulu seperti Martin
Luther Kings pun tidak pernah menubuhkan parti sedemikian.
Dan
di Negara jiran yang terdekat, Singapura juga tidak wujud parti yang
mementingkan kaum sedangkan wujud juga berbagai kaum di sana. Tak silap pernah
juga wujud UMNO di Singapura dibawah kepimpinan Hamid Jumat. Kini sudah tiada
lagi. Tidaklah pula aku jahil benar untuk memahami keadaan masyarakat Melayu
yang hanya tinggal 30% sahaja yang agak mustahil menubuhkan parti
memperjuangkan kaum minority. Tetapi apa salahnya jikalau ditubuhkan parti
untuk orang Melayu….
Soalnya
keadaan sedemikian tidak mengizinkan dan tidak wajar berlaku sedemikian. Aku
merasakan selagi ada tiga parti (UMNO, MCA, MIC) di Malaysia selagi itulah
tidak akan wujud persefahaman dan perpaduan dalam ertikata sebenar-benar di
Malaysia. Konsep ‘perpaduan kaum’ di Malaysia semacam suatu ‘rhetoric’
semata-mata dan tidak berpijak di bumi nyata. Perpaduan di Malaysia masih amat
rapuh selagi setiap parti yang tergolong dalam parti yang memerintah masih
memikir dan memelihara kaum yang diwakilinya.
Apa
tidaknya.
Sekurang-kurangnya
setahun sekali ahli parti berkenaan akan bercakap dan membincangkan isu yang
berkaitan dengan kaum masing-masing. Dalam persidangan MCA misalnya, tidak akan
ketinggalan isu untuk memperjuangkan pendidikan sekolah Cinanya dan hal-hal
yang berkaitan dengan kaum Cina. Begitu jugalah dengan Persidangan Agung UMNO
akan terus menerus memperjuangkan hal yang berkaitan dengan orang Melayu dan
tidak sedikitpun perwakilan bercakap memperjuangkan kaum lain. Dan begitu
jugalah seterusnya apabila sampai masanya MIC mengadakan persidangan. Yang
ditekankan ialah kaum India. Kaum India sana dan kaum India sini….
Apakah
salah mereka ‘berkelakuan’ sedemikian? Pastinya tidak kerana sememangnya parti
mereka wujud disebabkan untuk memperjuangkan kaum-kaum yang diwakili. Tidak ada
seorang Cina pun dalam UMNO untuk menegur sikap perwakilan UMNO yang sedemikian.
Dan begitu juga tidak seorang Melayu pun dalam parti MCA dan MIC. Lantas
sekiranya parti-parti sedemikian wujud maka harapan Malaysia untuk mencapai
perpaduan kaum sebenarnya pasti tidak akan wujud. Aku ibaratkan keadaan ini
adalah seperti jalan keretapi yang wujud secara ‘parallel’, selari yang
pastinya tidak akan bertemu walau sejauh manapun perjalanannya. Maknanya
janganlah diharapkan akan wujud persefahaman dan perpaduan di Negara ini selagi
tiga parti ini wujud.
Aku
yakin ramai pemimpin kerajaan dari UMNO,MCA dan MIC sedar tentang hakikat ini.
Namun untuk menyata dan meluahkan hakikat ini tentulah amat berat untuk
ditanggung. Apakah ada yang berani menyuarakan hasrat untuk membubarkan
parti-parti berkenaan dan menubuhkan parti baru. Tentu sekali tidak ada yang
berani berbuat demikian. Mahu
tidak mahu ramai yang merasakan bahawa adalah lebih baik dikekalkan
‘status-quo’ sedemikian. Soalnya sampai bila?
Dengan
sebab itulah langkah yang diambil oleh Parti Keadilan Rakyat dan DAP adalah
semacam langkah yang amat sesuai untuk wujud dalam Kurun ke 21 di Malaysia.
Cuma masalah yang dihadapi oleh parti berkenaan ialah menghadapi masyarakat
yang dikuasai oleh pemikiran kolot yang amat sukar ‘keluar’ dari pemikiran
mereka yang agak terkebelakang. Inilah ‘paradox’nya. Dari satu segi mereka mahu
membangun seperti masyarakat maju di dunia tetapi dari satu asegi lain mereka
mahu terus tinggal dalam ‘cocoon’ mereka ‘berselimutkan’ pemikiran lama yang
hampir jumud.
Anak
muda harus menyedari hakikat ini. Apabila disebut ‘anak muda’ bermakna ‘anak
muda bangsa Malaysia’ yang terpaksa melupakan sejenak yang ia anak muda Melayu atau Cina, India, kadazan atau Iban
dan lain-lain. Anak muda yang ingin maju perlu menyedari hakikat bahawa mereka
adalah pembawa obor yang akan menerangi dan menentukan nasib bangsa Malaysia
pada masa yang akan datang. Masih merupakan anak Melayu, Cina, India tetapi
cara berfikir dan tindakan seharusnya bersifat ‘Malaysia’.
Anak
muda jangan menjadi pak turut dan tukang ikut. Anak muda harus mencipta dan
mengukir suatu bangsa yang innovatif dan kreatif. Ini tidak bermakna bahawa
anak muda harus melakukan kekerasan demi untuk mengadakan pembaharuan. Bukan
begitu. Anak muda yang berpendidikan tinggi harus mempunyai idealisme yang
tersendiri tentang bagaimana membentuk acuan demi mewujudkan bangsa Malaysia
yang bersatu padu sesuai dengan hasrat wawasn 2020.
Menunggu
fajar menyinsing.
Abuhassanadam
London
19
Disember 2014
This comment has been removed by the author.
ReplyDeleteVery well said ,if only our politicians can see your point, there won't be any race issues now.
ReplyDeleteAnyway can I have your permission to post this in my FB timeline so that all get to read it ?