Friday, December 5, 2014


YANG KAYA ORANG UMNO, YANG MISKIN ORANG MELAYU

Agak tidak keterlaluan sekiranya aku katakan bahawa yang hidup senang lenang dan kaya raya ialah orang Melayu yang ‘rapat’ dengan UMNO. Mungkin aku tersilap ‘pandang’ tetapi pada hakikatnya begitulah sedangkan orang Melayu yang bukan ‘orang kuat’ UMNO (apatah lagi yang berkait rapat dengan parti pembangkang), berada dalam keadaan ‘kais pagi makan pagi dan kais petang makan petang’. Tidak kira samada orang Melayu yang tinggal di bandar atau di kampung.

Jika berada di Bandar, orang Melayu (bukan UMNO) terpaksa bertungkus lumus, berhempas pulas untuk mencari sesuap pagi dan sesuap petang, berbanding dengan orang Melayu (UMNO) dalam keadaan yang cukup selesa, menikmati ‘rezeki’ yang melimpah ruah. Keadaan sebegini agak serupa juga di kampung-kampung dan di daerah-daerah di Malaysia.

Tentulah ramai yang hairan apabila melihat Ketua Cawangan UMNO berlagak (dan sememangnya) sebagai orang kaya dengan memiliki dua atau tiga buah kereta sedangkan diketahui yang pekerjaan yang dilakukannya hanyalah sebagai Ketua Cawangan UMNO di kampung. Apabila diperkatakan sedemikian seolah-olah ada yang merasa cemburu dan iri hati dengan kekayaan yang dimiliki oleh golongan berkenaan, yang juga merupakan orang Melayu juga.

Bukan tidak gembira melihatkan keadaan orang Melayu yang sudah ‘terbela’ kehidupannya. Yang menjadi kemushkilan kebanyakan rakyat kini ialah tentang begitu ramai lagi orang Melayu (bukan UMNO) yang kehidupan mereka ‘merempat’ yang hanya mengharapkan ikhsan BRIM. Keadaan sebegini tidak kira samada di kampung atau di Bandar.

Apabila kita berbincang dengan rakan-rakan yang tinggal di bandar yang bekerja sebagai buruh-buruh kilang atau pekerja am di pejabat-pejabat mungkin kita tidak akan ‘terlelap’ memikirkan tentang bagaimana mereka menguruskan kehidupan mereka dengan keadaan pendapatan seperti ‘memakai kain sehelai’ itu. Ditarik ke atas, di bawah terlopong dan ditarik ke bawah di atas terlopong.

Dapat aku simpulkan bahawa orang Melayu sememangnya ‘kuat menderita’. Mereka tahan sabar untuk menghadapi keadaan sedemikian walaupun kehidupan yang dilalui oleh mereka itu semenjak zaman berzaman dikira amat menyusahkan, namun mereka tetapi melaluinya dengan penuh kesabaran.

Diperhatikan kebanyakan orang Melayu samada di kampung atau di bandar-bandar dapat melupakan kesusahan yang mereka hadapi dengan menikmati hiburan. Dengan sebab itulah agaknya dapat diperhatikan bahawa segala bentuk hiburan yang dihidangkan mendapat sambutan yang hangat dari kalangan orang Melayu. Mungkin dengan berbuat demikian dapat mereka melupakan ‘derita’ yang mereka hadapi walaupun seketika.

Orang Melayu juga cepat percaya dengan kenyataan-kenyataan yang mengatakan bahawa keadaan orang Melayu kini sudah agak senang berbanding dengan keadaan pada zaman pemerintahan Jepun. Mereka percaya walaupun mereka dalam kesusahan. Seolah-olah perasaan mereka ‘terubat’ dengan kenyataan sedemikian dan seolah-olah yang berada dalam kesusahan itu bukannya mereka tetapi ‘orang lain’.

Aku yakin bahawa rata-rata orang Melayu samada di bandar atau di kampung tidak mengadakan wang simpanan untuk keperluan masa hadapan. Aku yakin. Lagi pun jika difikirkan dan diperhalusi, bagaimanalah mereka hendak menyimpan sekiranya untuk keperluan harian pun tidak mencukupi. Apatah lagi dengan kenaikan harga barang yang terus menerus melonjak.

Malangnya keadaan orang Melayu yang sedemikian akan berterusan sehingga tidak dapat dilihat tarikh noktahnya. Kebiasaannya ‘social mobility’ dikalangan orang Melayu adalah melalui pendidikan yang diperolehi oleh anak-anak mereka. Telah terbukti bahawa Dasar Ekonomi Baru Malaysia telah berjaya mengubah cara hidup orang Melayu. Tetapi soalnya berapa lama lagikah orang Melayu hendak bergantung kepada DEB berkenaan?

Dengan penurunan harga getah dan kelapa sawit tentulah amat menyukarkan keadaan orang Melayu di kampung-kampung pula khususnya di kawasan FELDA  yang mengharapkan kepada bahan demikian sebagai punca pendapatan. Pengalaman lampau seharusnya dapat ‘mengajar’ orang Melayu supaya berhati-hati menangani kehidupan seharian. Bukan tidak pernah berlaku kesempitan dan kesusahan. Sudah pernah berlaku juga keadaan kemewahan yang melampau ketika harga getah meningkat tetapi apabila harga getah turun keadaan orang Melayu masih berada di takuk lama.

Pendek kata orang Melayu samada di bandar atau di kampung memang dalam keadaan kesusahan kini apatah lagi apabila menghadapi keadaan meleset yang diramalkan akan datang dan menjelang pada hari-hari yang mendatang.

Sebagaimana yang telah ditegaskan di awal rencana ini bahawa golongan orang Melayu yang kehidupanya senang lenang tidak ramai. Golongan orang Melayu yang ‘bertempik sorak’ di Persidangan Agung UMNO baru-baru ini tidak boleh dijadikan kayu ukuran untuk menunjukkan yang orang Melayu sudah maju dan senang lenang sedangkan masih ramai lagi orang Melayu (samada di kampung atau dibandar) yang kehidupannya merempat….

Aku harap pemerhatian aku ini tidak tepat………

Abuhassanadam
London
5 Disember 2014

No comments:

Post a Comment