BANJIR BESAR DI KUALA KANGSAR - 1967
Perasaan sedih dan pilu beserta dengan simpati tentulah aku ‘hulurkan’
kepada mangsa banjir yang ditimpa musibah ini di seluruh negara khususnya di
negeri-negeri sebelah Pantai Timur – Kelantan, Terengganu dan Pahang. Terbayang
muka rakan-rakan dan keluarga mereka yang terkena kesan banjir demikian.
Tentulah tidak ada perkataan lain dan ungkapan lain yang lebih sesuai diucapkan
kepada mereka melainkan mengharapkan supaya mereka sentiasa bersabar menghadapi
ujian dari Allah ini.
Apabila menyebut mengenai musibah ini aku
teringat kepada perbualan aku dengan YBhg Dato Harun Din disebuah hotel di
Cardif, Wales pada tahun 1997. Pada ketika itu aku mengringi Dato Harun Din
untuk menyampaikan ceramah agama kepada pelajar-pelajar Malaysia yang menuntut
di Cardiff. Sambil minum pagi di hotel berkenaan, antara perkara yang disentuh
oleh Dato Harun Din ialah mengenai balasan Allah kepada manusia. Antara
kata-katanya yang masih terpancar di fikiran aku ialah apabila beliau
mengatakan bahawa balasan Allah bukan secara ‘cash’. Maknanya ada yang ‘bayar
cash’ dan ada yang ‘tertunda’. Beliau memberikan contoh tentang balasan yang
kenakan Allah ke atas Firaun adalah amat pedih dan perit, setelah beberapa lama
Firaun melakukan kejahatan menggunakan kuasa yang ada padanya.
Dan satu perkara lain yang disentuh yang
menakutkan ialah tentang balasan Allah kepada manusia yang mana kadang-kadang
(katanya) sesuatu perkara jahat yang dilakukan oleh seseorang pemimpin itu
tidak dikenakan kepada diri seseorang pemimpin itu tetapi kepada seluruh masyarakat
yang dipimpinnya. Berasaskan kepada keadaan itu aku merasakan eloklah kita
semua, termasuklah para pemimpin peringkat negara dan negeri merenung dan
melihat kembali apakah kesalahan-kesalahan yang telah dilakukan dan terus insaf
agar musibah begini tidak terus berlaku.
Peribahasa kita ada mengatakan, ‘betapa berat
mata memandang lagi berat bahu memikul’. Tepat sekali. Bagi sesiapa yang tidak
terlibat dengan keadaan banjir sedemikian tidak dapat mengerti dan faham
kesengsaraan yang dialami oleh mangsa berkenaan. Walaupun tidak melibatkan
kehilangan nyawa namun kehilangan harta benda sudah cukup menyulitkan, walaupun
harta benda bukan dalam nilaian jutaan ringgit. Kehilangan sehelai baju bagi
seorang yang miskin dapat dirasakan kesedihannya, apatah lagi sekiranya kehilangan
sebuah rumah tempat berteduh.
Aku tidak pernah merasakan tentang derita ditimpa
banjir disebabkan kampung aku agak jauh dari Sungai Perak. Namun kawasan persektaran kampung aku kerapkali
ditimpa banjir ketika musim tengkujuh. Walaupun tidak berlaku perpindahan dan
kerugian harta benda, namun aku mash bayangkan juga tentang penderitaan orang
kampung aku ketika musim tengkujuh.
Mereka tidak dapat menoreh getah. Hampir 90%
penduduk di kampung aku mengharapkan rezeki dari pokok getah dan bersawah padi.
Apabila sampai musim tengkujuh maka ramailah yang agak ‘kelaparan’ terutama
yang memiliki keluarga besar. Yang menghairankan aku (kini) ialah mengapa orang
kampung aku tidak terfikir dan beriktiar untuk mencari jalan bagaimana untuk
menambahkan pendapatan sedangkan musim tengkujuh datang setiap tahun. Mengapalah orang kampung
tidak mengusahakan tanah mereka yang luas ataupun mejalankan perusahaan
penternakan ayam, kambing, itik secara kecil-kecilan, sepertimana yang
dilakukan oleh anak-anak kampung kini.
Bercakap tentang banjir di Kuala Kangsar, aku
melihat sendiri dengan ‘mata kepala’ aku air Sungai Perak’ mencecah muka
bulatan jam besar yang terletak di tengah bandar Kuala kangsar. Tahun 1966.
Zaman pemerintahan Sultan Idris Shah. Kataya bah besar sebelum ini yang
menenggelamkan bandar Kuala kangsar ialah pada tahun 1946 ketika pemerintahan
Sultan Alang Iskandar. “Dua puluh tahun sekali nampaknya’ kata orang Perak pada
ketika itu. Tetapi tidak pula berlaku pada tahun 1986!!...
Anak-anak zaman ini, terutama yang berasal dari
Kuala Kangsar boleh membayangkan suasana pada ketika itu. Seluruh bandar Kuala
Kangsar tenggelam. Jalan ke istana Bukit Candan
terputus. Limpahan air Sungai Perak sampaikan ke kampung Talang, ia itu
di kawasan kilang getah Heah Joo Seng ( sudah tidak ada lagi kilang berkenaan dan digantikan dengan taman
perumahan). Walaupun boleh dilalui oleh kereta dan kenderaan kecil ( seperti
motor Vespa aku) menandakan betapa besar
dan melimpahnya air Sungai Perak pada ketika itu.
Tentulah tidak diketahui tentang keadaan di
tempat lain pada ketika itu disebabkan kekurangan sumber maklumat seperti mana
yang terdapat kini. Sumber maklumat yang diperolehi hanya melalui radio dan
surat khabar. Tambah menyulitkan lagi ialah penghantaran surat khabar tidak
dapat dilakukan disebabkan perhubungan yang terputus.
Rakyat Malaysia, terutama yang terlepas daripada
bencana sedemikian, hanya mampu berdoa kepada Allah supaya dikurangkan bebanan
yang menimpa rakan-rakan kita yang malang itu. Dan pihak bertanggungjawab
difahamkan telah melakukan setakat yang terdaya untuk membantu mangsa banjir
berkenaan. Terima kasih.
abuhassanadam
25 Disember 2014
p/s Tidak
lupa juga mengucapkan Selamat Menyambut Krismas kepada pembaca yang beragama
Kristian yang meminati juga blog yang tidak sepertinya ini.
This comment has been removed by the author.
ReplyDeleteKamisah,
ReplyDeleteSaya tersentuh dan merasa bangga dengan kejayaan anda dan orang kampung anda. Syabas!...
Pak Abu