Monday, December 29, 2014

MANGSA BANJIR MEMERLUKAN ‘DIRI’ PEMIMPIN DAN BUKAN SAHAJA ‘ARAHANNYA’

Seorang rakan dari Kelantan membertahu aku tentang sesuatu yang amat menarik. Katanya, ‘sekiranyalah DS Najib datang lebih awal di Kelantan, ketika banjir sedang bermula maka aku yakin bahawa pilihanraya akan datang pasti akan dimenangi oleh BN. Aku tak pula bertanya apa maksud beliau. Cuma dia menyambung hujahnya dengan mengatakan bahawa, ‘ orang Kelantan agak berbeza dengan di negeri-negeri lain. Amat sensitif”

Aku masih tak faham apakah maksud beliau yang sebenar. Cuma yang aku dapat rasakan bahawa rakyat Kelantan agak tersentuh dan kecewa dengan kenyataan yang dikeluarkan oleh pemimpin PAS di Kelantan berhubung dengan bencana banjir ini. Mungkin rakyat agak ‘terkilan’ dengan sikap yang ditunjukkan oleh MP Pasir Mas, YB Nik Abduh Nik Abdul Aziz yang masih memperkatakan  isu Hudud sedangkan rakyat Kelantan sedang bersusah payah mengharungi banjir yang menimpa mereka. ini bukan menafikan tentang kepentingan Hudud tetapi aku merasakan kenyataan yang dikeluarkan itu tidak berapa sesuai dengan suasana yang wujud pada ketika itu. Agaknya.

Para pemimpin kelantan yang lain walaupun mengakui bahawa banjir pada kali ini agak luar biasa masih merasakan bahawa masih dalam kawalan kerajaan walaupun rakyat merasakan perlu satu tindakan yang aggresif. Dan sikap Menteri Besar sendiri yang mengatakan bahawa rumah beliau juga tenggelam dan lantas seolah-olah tidak dapat ‘bertungkus lumus’ bersama dengan rakyat untuk menyelamatkan mangsa banjir.

Terlintas pula aku kepada peristiwa yang berlaku di Korea Selatan pada bulan April 2014 yang lalu dimana sebuah ferry penumpang karam yang menyebabkan lebih kurang 300 orang rakyat Korea hilang. Ekoran daripada peristiwa itu maka Perdana Menteri Korea Selatan Chung Hong-won meletak jawatan kerana seolah-olah gagal menangani krisis berkenaan yang menyebabkan begitu ramai rakyat negaranya hilang.

Berasaskan kepada beberapa tinjauan dan menerusi rakan-rakan rapat di Kelantan merasakan bahawa pihak berwajib perlu melakukan sesuatu yang lebih bereksan lagi dalam menangani keadaan banjir yang semakin serious. Keadaan yang berlaku di Kelantan kini boleh aku samakan dengan keadaan malapetaka Hurricane Katrina yang berlaku di New Orleans Amerika Syarikat pada 29 Ogos 2005 yang lalu. Mungkin peristiwa di New Orleans itu lebih teruk dan dahsyat tetapi tindakan pihak berwajib menangani krisis berkenaan agak meragukan, sehinggakan Presiden Bush sendiri pada ketika itu mendapat kritikan yang paling teruk dari rakyat Amerika sendiri.

Mungkin kerajaan Malayisa merasakan bahawa banjir di Kelantan dan di Pantai Timur ini adalah merupakan perkara biasa kerana sememangnya begitu. Lantas pihak berwajib merasakan bahawa rakyat akan dapat menanganinya dengan berkesan. “Alah bisa kerana biasa’. Namun mungkin pihak berwajib tidak menyangkakan yang keadaan banjir kali ini adalah lain dari yang lain yang menyebabkan kerajaan (pusat dan negeri) ‘terperangkap’ dalam keadaan tidak bersedia untuk menghadapinya dengan berkesan.

Mungkin DS Najib sendiri merasakan bahawa banjir di pantai timur adalah merupakan perkara biasa. Dengan sebab itulah beliau merasakan yang beliau ‘tiada halangan’ untuk bercuti ke luar negara setelah melakukan lawatan ke kawasannya di Pekan yang dilihatnya dalam keadaan yang agak terkawal. Dan begitu jugalah agaknya pemerhatian para menteri lain yang ‘sanggup’ meninggalkan kawasan masing-masing untuk pergi bercuti ke luar negara dengan harapan keadaannya terkawal dibawah pengawasan pembantu masing-masing.

Malang tidak berbau.

Keadaan banjir di Kelantan dan kawasan lain di seluruh negara memaksa DS Najib untuk membatalkan cutinya dan pulang untuk bersama rakyat walaupun timbalannya, TS Muhyiddin Yassin merasakan bahawa yang beliau dapat mengawal keadaan tanpa adanya DS Najib. Namun atas ‘desakan’ rakyat yang disuarakan melalui media sosial telah menyebabkan DS Najib mengambil keptusan untuk pulang bersama dengan rakyat yang menderita.

Walaupun DS Najib boleh memberikan arahannya melalui berabagi cara namun rakyat masih memerlukan ‘diri’nya dan bukan arahannya yang disampaikan melalui ‘pesuruh’nya. Ini adalah merupakan sebahagian dari budaya orang Melayu dan mungkin budaya bangsa Malaysia juga. ‘Personal touch’ itu amat penting dalam kehidupan manusia khususnya golongan yang sedang menderita.

Aku teringat pula kisah seorang wakil rakyat bebas di Selangor pada suatu ketika dulu yang bernama Cikgu Jabar. Sekiranya aku tidak tersilap, seingat aku beliau memenangi satu kawasan di Selangor sebanyak tiga kali. Beliau tidak mewakili mana-mana parti tetapi disebabkan ‘personal touch’nya dengan rakyat di kawasannya telah menyebabkan beliau memenangi pilihanraya beberap kali. Beliau amat disayangi rakyat dan pengundi.

Berbalik aku kepada kenyataan awal rakan aku dari Kelantan yang menyatakan bahawa sekiranyalah DS Najib datang lebih awal ke Kelantan, maka kemungkinan besar pilihanraya akan datang, negeri Kelantan akan ditawan oleh BN. Mengandungi banyak makna untuk ditafsirkan.

Yang dapat aku lihat dengan jelas ialah kehadiran DS Najib (walaupun sudah agak terlewat) telah memberikan kesan yang agak positif kepada mangsa banjir terutama kumpulan yang dapat berinteraksi dengannya dan dapat meluahkan perasaan dan hasrat hati. Tentulah beliau tidak dapat bertemu dan ‘bermesra’ dengan semua mangsa banjir tetapi kehadirannya cukup memberi makna.

Dan amat tepat pula tindakan DS Najib untuk memanggil pulang dengan segera para menterinya yang sedang bercuti di luar negara agar segera pulang dan bersama-sama rakyat yang sedang mengalami kesusahan. Mungkin para pemimpin ini belum begitu faham tentang hati dan perasaan rakyat yang dipimpinnya. Mereka merasa amat sedih dan pilu sekiranya mereka tahu bahwa wakil rakyat mereka sedang berseronok dan bergembira di luar negara sedangkan mereka dalam keadaan berduka.

Pastinya akan terkeluar perkataan-perkataan yang tidak begitu menyenangkan dari mulut mereka. Mungkin mereka akan mendendam dan dendam itu akan dilahirkan pada pilihanraya yang akan datang.

Namun begitu seperi yang dikatakan oleh Tun Mahathir bahawa, “Melayu mudah lupa’.


abuhassanadam
29 Disember 2014


2 comments:

  1. This comment has been removed by a blog administrator.

    ReplyDelete
  2. BUKTIKAN sikap "MELAYU TIDAK MUDAH LUPA" apa yang dilakukan PM kepada kita rakyatnya

    ReplyDelete