60an YANG 'MENGGILAKAN'
Apabila duduk sekejap di negara orang putih
ni, macam-macam peristiwa lama teringat. Maklumlah tidak ada kerja nak lakukan.
Makan tidur, makan tidur. Berjalan. Sejuknya bukan main. Entah berapa kali
ganda sejuknya berbanding dengan kesejukan air perigi di kampung aku, ketika
aku mandi perigi nak ke sekolah pada zaman dulu. Kini perigi tu sudah tiada
lagi. Sekarang semua sudah ada ‘pili’ (paip kata orang sekarang).
Tahun 1960an adalah merupakan tahun-tahun
luar biasa dari segi perkembangan seni tanah air. Tahun 1960an pastinya
dikaitkan dengan lagu-lagu 60an. ‘Oh Fatimah’, ‘Termenung’’ ‘ Suzana’’ dan
banyak lagi lagu-lagu yang mewakili tahun-tahun 1960an. Dan tentulah terbayang
imej-imej yang mewakili tahun-tahun berkenaan. Baju ketat, seluar ketat, kasut
berjenama ‘Clarke’, scooter dan lainlain. Pendek kata bagi mereka yang membesar
dalam tahun-tahun berkenaan akan faham benar dengan apa yang aku jelaskan
demikian.
Seingat akulah lagu-lagu 60an ini muncul
dengan tiba-tiba, ‘menyerang’ masyarakat Melayu di Malaysia dari seberang Selat
Tebrau, Singapura. Dari seberang sanalah munculnya kugiran ‘The Siglap Five’
yang menampilkan penyanyi Jeffrydin; kugiran ‘The Rythm Boys’ dengan penyanyi
A. Ramlee dan banyak lagi. Dan tentunya banyak yang aku sudah lupa. Orang tua.
Takkanlah nak ingat semua. Nanti dikatakan orang tua gatal pula….
Pada pemerhatian aku, penyanyi-penyanyi
60an inilah yang bertanggungjawab ‘melenyapkan’ lagu-lagu P.Ramlee buat
seketika. Kemunculan mereka adalah berpunca daripada ‘kekosongan’ yang
ditinggalkan oleh P. Ramlee dan Saloma yang telah berhijrah ke Malaysia. Dan
agak lama juga kedua-dua bintang ini untuk menyesuaikan diri di Malaysia yang
ditambah pula dengan suasana baru yang memerlukan rakan-rakan baru dalam seni.
Maka dengan demikian, P.Ramlee telah digantikan oleh A.Ramlee.
Pada ketika itu ( tahun-tahun 60an)
sememangnya anak-anak muda di Malaysia hampir kesemuanya ‘gila’. Pemuda melayu
‘gilakan’ A.Ramlee, Jeffrydin, Rafeah Buang, Ahmad jais sedangkan yang bukan
Melayu pula gilakan ‘The Beetles’, Cliff Richard dll. Dengan sebab itulah aku
nasihatkan pada golongan tua seperti aku supaya jangan ‘menghina’ anak-anak
muda sekarang yang ‘gila dan tergila-gila’ dengan artis-artis pujaan mereka
kerana kita dulupun pernah jadi ‘orang gila’. Cuma ada ibu bapa yang tidak mahu
menceritakan ‘kegilaan’ mereka. Mungkin disebabkan takut banyak ‘rahsia’ yang
pecah berderai.
Ekoran daripada ‘merebaknya wabak’ 60an
telah memberikan banyak kesan sampingan. Yang paling ketara sekali ialah
kemunculan kumpulan Kugiran ( Kumpulan Gitar Rancak) yang boleh diibaratkan
seperti tumbuhnya cendawan selepas hujan. Melalui pembacaan majalah hiburan
pada ketika itu, negeri Johorlah yang paling terkemuka dari segi bilangan
kugiran yang tertubuh di sana. Dan ramai juga penyanyi selepas itu yang muncul
di negeri Johor seperti A. Halim, A.Rahman Hassan, A.Dayang dan ramai lagi.
Mungkin agaknya negeri Johor berhampiran dengan Singapura yang menyebabkan
pengaruh demikian cepat menjalar.
Walaupun Kuala Lumpur merupakan ibu Negara,
namun hampir tidak ada muncul penyanyi di sini sepertimana yang menucul di
Johor. Sebaliknya ‘wabak’ itu ‘menyerang’ Pulau Pinang. Disana muncul kugiran
terkenal pada ketika itu ia itu ‘Teruna Ria’ yang menampilkan penyanyi L.Ramlee
dan Suria Mohd Noor. Dengan sebab itulah selalu dinyatakan bahawa sesuatu
perkembangan samada perkembangan politik dan sosial biasanya bermula di kawasan
pelabuhan. Sejarah mengatakan begitu.
Di tempat aku, Padang Rengas tidak mahu
ketinggalan dalam ‘mengejar kemajuan’ dari segi perkembangan Pop Yeh Yeh ini.
Ada dua Kugiran ditubuhkan ia itu ‘ Rentak Teruna’ yang ditubuhkan oleh
anak-anak muda (kini dah tua) kampung aku, Kampung Keroh Hilir dan satu lagi
ialah ‘The Swampers’ dari Kampung Paya Panjang. Tidak mahu aku menyenaraikan
nama-nama mereka, takut diketahui oleh anak cucu. Malu juga…Dan salah seorang
yang mengasaskan sudah pun mendapat gelaran Datuk (kurniaan DYMM Sultan Perak).
Menubuhkan Kugiran tidak memerlukan
perbelanjaan besar. Hanya memerlukan tiga buah guitar. Lead guitar, bass
guitar, rhythm guitar dan drum. Dan bagi yang berkemampuan ditambah pula dengan
Organ. Jadilah satu Kugiran. Bolehlah
beraksi di rumah orang kahwin atau di pasar-pasar minggu.
Sebagaimana zaman P.Ramlee,pada zaman 60an
juga muncul peminat-peminat tegar yang ‘tidur tak lena dan mandi tak basah’
sekiranya tidak dapat menyanyi di pentas-pentas hiburan di pasar-pasar minggu
yang banyak ditubuhkan pada ketika itu. Di Padang Rengas saja tertubuh dua
pasar minggu. Satu di kawasan bawah Gunung Pondok dan satu lagi di Paya
Ranggam. Kedua-dua pasar minggu ini merupakan tempat anak muda di sini mengasah
bakat mereka menampilkan lagu-lagu 60an.
Dan salah seorang ‘penyanyi’ yang mesti
menyanyi pada setiap kali diadakan pasar minggu (hari Jumaat malam Sabtu di
Bawah Gunung dan hari Sabtu malam Ahad di Paya Ranggam) ialah Jefri Salleh Din.
Nama sebenarnya Salleh. Salleh bin Kulup….Dan disebabkan Jeffridin begitu
popular pada ketika itu ramai yang telah meniru namanya. Dan lagu yang dipilih
oleh Salleh untuk dinyanyikan pastinya lagu ‘Termenung’ dan ‘ Seruling Anak
gembala’ ( lagu nyanyian Jeffrydin).
Jikalaulah Jeffrydin mendengar Salleh
menyanyikan lagunya, pasti beliau akan tertanya-tanya apakah itu lagu yang
pernah dinyanyikannya. Kadang-kadang langsung ‘lari’ entah ke mana iramanya.
Yang nyanyi pergi ‘ke hulu’ sedangkan kugiran ‘pergi ke hilir’. Itu tidak
menjadi kehairanan. Yang penting Jeffri Salleh Din mesti menyumbabngkan suara
pada setiap kali diadakan pasar minggu, sebab dia tahu Tijah (Khadijah) pasti
ada mendengar lagu nyanyiannya.
Aku dapat juga menceritakan kisah-kisah
60an ini adalah disebabkan aku juga termasuk dalam golongan ‘orang gila’ pada
ketika itu.
Kini sentiasa berada di masjid dan surau…..
Abuhassanadam
London
7 Disember 2014
No comments:
Post a Comment