MALANGNYA BANJIR KINI BERLAKU SELEPAS PILIHAN
RAYA
Aku tidak dapat membayangkan ‘kesibukan’ dan
‘keperihatinan’ calon-calon yang
bertanding sekiranya banjir besar seperti yang berlaku kini berlaku menjelang
sesuatu pilihanraya, samada pilihanraya kecil apatah lagi sekiranya berlaku
menjelang pilihanraya umum sepertimana yang pernah berlaku sebelum ini. Tentunya
akan kelihatan keadaan yang luar biasa dimana semua pemimpin dari peringkat
atasan sehnggalah NGO-NGO akan bertungkus lumus memberikan ‘bantuan’ kepada mangsa
banjir tidak kira malam atau siang.
Sekiranyalah banjir kini berlaku menjelang
sesuatu pilihanraya, maka tidaklah terdengar kisah adanya para pemimpin kita
yang masih ‘bergumbira’ dan merayakan ‘Boxing Day’ di London sebagaimana yang
dirayakan oleh penganut agama Kristian pada tiap-tiap 26 Disember. Tentulah
kelihatan ramai pemimpin negara kita yang mundar mandir di sekitar kawasan
membeli belah di London mengambil peluang harga murah yang ditawarkan oleh
peniaga-peniaga. Dan sekiranya juga pilihanraya diadakan sebelum banjir berlaku
tentulah tidak kedengaran tentang adanya pemimpin negara kita yang berhibur,
bercuti sambil bermain golf di tempat-tempat menarik di dunia setelah ‘penat’
menjalankan tugas sepanjang tahun.
Malangnya bagi rakyat, khususnya mangsa banjir
‘aktiviti’ yang dilakukan oleh pemimpin-pemimpin negara itu amat bertentangan
dengan suasana sedih pilu yang dialami oleh mereka. Rakyat yang mengharapkan
belas ikhsan dan simpati ini rupanya seolah-olah tidak dipeduli dan endahkan.
Ini tidak bermakna yang rakyat tidak mendapat pertolongan, namun yang
diharapkan ialah ‘simpati’ dan perasaan ‘senang sama senang’ dan ‘susah sama
susah’ bertepatan dengan peribahasa
Melayu, ‘ bukit sama di daki dan lurah sama dituruni’
Alangkah jauh perbezaannya suasana antara membeli
belah di Oxford Street London dengan pesakit-pesakit bertarung nyawa di
hospital yang terpaksa berpindah dengan serta merta akibat banjir. Dan alangkah
besar perbezaannya antara suasana pemimpin kita yang bermain golf di sebuah
tempat yang amat menarik di dunia dengan kisah seorang doktor yang juga
terpaksa ‘bersabung’ nyawanya menyelamatkan pesakit yang amat perlu
diselamatkan. Alangkah jauh perbezaan suasana sedemikian!!....
Mungkin ramai juga antara kita yang merasakan
bahawa sepatutnyalah para pemimpin kita diberikan peluang untuk berehat setelah
setahun ‘membanting tulang’ berkhidmat untuk negara. Setuju. Sememangnya
begitulah sepatutnya. Namun bukan dalam keadaan rakyat yang sememangnya dalam
kesusahan sebegini. Ada juga yang mengatakan bahawa pemimpin kita boleh
memberikan arahannya walau dari mana sekalipun. Betul juga. Tetapi dalam
keadaan sebegini rakyat memerlukan ‘diri’ pemimpin itu sendiri. Rakyat
memerlukan simpatinya. Rakyat memerlukan ‘belaian’nya. Rakyat memerlukan
kata-katanya kerana dengan kata-kata demikian merupakan ‘ubat’ bagi mereka yang
berada dalam sengsara.
Aku teringat kisah Al Marhum Sultan Idris shah
yang memerintah negeri Perak pada suatu ketika dulu. Baginda disayangi oleh
rakyat negeri Perak adalah tentang keperihatinan baginda ketika rakyat negeri
itu menghadapi suasana banjir. Baginda akan melawat dari sebuah kampung ke
kampung yang lain ‘menunjuk muka’ tanda simpati dengan keadaan yang dialami
oleh rakyat baginda.
Kini nampaknya, Baginda Sultan Nazrin Shah pula telah
menunjukkan sikap yang amat terpuji apabila dilaporkan yang beliau telah pergi
melawat beberapa daerah di Ulu Perak, kawasan tempat berlakunya banjir. Dan
tindakan awal baginda ialah apabila Baginda mengarahkan pembatalan sebarang
pesta menyambut tahun baru di negeri itu. Dan yang mengembirakan rakyat Perak
juga ialah kesediaan pihak tertentu untuk menghormati titah baginda disamping
bersimpati dengan rakyat yang ditimpa musibah. Syabas!.....
Aku bernasib baik kerana tidak berada di kawasan
banjir. Namun begitu jangan disangkakan golongan yang tidak terlibat dengan
banjir merasa senang hati dan selesa mendengar berita buruk yang menimpa rakyat
di tempat lain. Kami turut bersedih dan amat sedih dengan derita yang menimpa.
Walaupun tidak banyak bantuan yang dicurahkan, namun menepati juga peribahasa
Melayu, ‘ sedikit tandanya ingat’. Bermakna bahawa derita rakan-rakan yang
berada di tempat-tempat yang terlibat sama juga dirasai oleh pihak yang tidak
terlibat. Sekurang-kurangnya diiringi dengan doa agar musibah sebegini akan
berakhir dengan secepat mungkin.
Siapalah aku untuk mengucapkan setinggi-tinggi
terima kasih kepada pihak yang bertanggungjawab untuk menguruskan bantuan
kepada mangsa-mangsa banjir. Namun secara peribadi dan bagi pihak rakan-rakan
yang amat perihatin dan simpati dengan mangsa banjir ini, kami mengharapkan
anda semua bersabar menghadapi ujian dari Allah ini. Percayalah sesuatu ujian
yang diberikan itu terselit hikmah yang terselindung. Kita tidak tahu apakah
hikmah itu. Hanya Allah jugalah yang maha mengetahui.
Kepada para doktor dan pembantu di
hospital-hospital, tugas anda adalah amat mulia di sisi Allah. Teruskan ‘perjuangan’
anda dan jangan sekali-kali putus asa. Bertekadlah dan sematkan perasaan
menolong itu sekuat-kuatnya dalam diri anda semua. Isnyallah akan dibalasNya
jua sumbangan dan jasa bakti kalian itu.
Selamat Berjuang. Kami mendoakan anda terus tabah
menghadapi perjuangan itu.
abuhassanadam
26 Disember 2014
No comments:
Post a Comment