Wednesday, December 10, 2014


PEMIMPIN  MENDENGAR CAKAP ‘ENGGANG’

Peribahasa Melayu ada menyatakan, ‘dengar cakap enggang makan buah Belolok, dengar cakap orang kita terjun lubuk’. Enggang adalah sejenis burung sementara Belolok adalah sejenis buah-buahan yang memabukkan tetapi tidak pula memabukkan bagi burung enggang. Peribahasa ini menggambarkan bahawa manusia jahat dan durjana sentiasa menasihatkan agar melakukan perkara curang dan jahat dan kesannya tentulah buruk juga kepada orang yang mendengar nasihat sedemikian.

Bagi aku peribahasa itu amat sesuai dengan keadaan kini di Negara kita dimana ada pemimpin kita amat terpengaruh dengan nasihat-nasihat yang diberikan oleh ‘orang keliling’ mereka sehinggakan seolah-olah tidak dapat langsung membuat pertimbangan bersendirian. Biar dari segi apa pun. Samada dari segi pertimbangan politik, ekonomi, hubungan antara kaum, agama dan sebagainya.

Satu fenomena yang dapat aku perhatikan akhir-akhir ini ialah keadaan pentadbiran yang agak ‘kacau-kena’ atau ‘surung-sentap’ (selalu digunakan oleh orang Perak) yang dilakukan oleh pemimpin Negara. Seolah-olah pemimpin kita sentiasa dalam ‘dilemma’ dan tidak dapat membuat sesuatu keputusan dengan tepat dan jelas. Lantas rakyat pun tentunya akan berada dalam keadaan demikian juga. Rakyat sentiasa mempersoalkan apakah muktamad sesuatu keputusan yang diumumkan oleh kerajaan disebabkan terlalu banyak keputusan yang kadang-kadang ‘ditarik’ balik setelah ‘dimuktamad’kan.

Sebagai contoh elok kita ambil contoh yang betul-betul ‘menyentuh’ hati dan perasaan rakyat terbanyak termasuk anak-anak yang sedang bersekolah – pengajaran Sains dan Matematik. Sebelum matapelajaran itu diajar dalam bahasa Inggeris, sudah agak zaman berzaman selepas merdeka, matapelajaran berkenaan diajar dalam bahasa Melayu. Dan beratus ribu pelajar yang lulus dengan cemerlang matapelajaran berkenaan yang membolehkan mereka bukan sahaja melanjutkan pelajaran di pusat pengajian tinggi dalam Negara  tetapi juga berjaya mendapat keputusan cemerlang di pusat pengajian tinggi luar Negara. Dan telah ramai juga yang telah menjadi doktor dan jurutera yang berjaya dan dapat berkhidmat dengan cemerlang kepada masyarakat.

Tiba-tiba dasar demikian diubah. Aku tidak tahu mengapa dasar sedemikian perlu diubah. Pihak kerajaan dapat memberikan jawapannya. Tentulah ada ‘enggang’ yang menjadi penasihatnya. Rakyat patuh dengan perubahan itu. 

Selepas itu disebabkan oleh nasihat ‘enggang’ yang lain maka dasar pembelajaran Sains dan Matematik dalam bahasa Inggeris itu hendak diubah semula kepada bahasa Melayu. Tentulah rakyat mempersoalkan sikap ‘celum-celam’ sedemikian. Mengapa terdapat keadaan ‘surung-sentap’ sedemikian? Aku merasakan memang hak rakyat untuk mempersoalkan isu sedemikian kerana yang menjadi mangsa kepada keadaan ‘surung-sentap’ kerajaan itu adalah anak-anak yang sedang bersekolah.

Kemudian muncul pula ‘enggang’ lain yang menasihati pihak tertentu supaya sekolah-sekolah dibekalkan dengan komputer memandangkan kita sekarang berada dalam dunia global tanpa sempadan. Tanpa memikirkan baik buruknya (mungkin) , maka kerajaan yang ‘baik hati’ ini terus membekalkan komputer di sekolah. Aku difahamkan bahawa kehadiran komputer di setengah sekolah hanya seperti ‘tikus melihat besi’. Para pelajar (terutama di kawasan luar bandar) tidak dapat menggunakan dengan sepenuhnya. Dan pastinya ‘enggang’ yang menasihati supaya makan ‘buah Belolok’  itu telah memperolehi laba yang melimpah ekoran daripada ‘nasihat’ yang diberikan.

“Enggang’ juga berkeliaran menasihat pihak tertentu dalam lapangan agama walaupun aku yakin yang mereka juga tidak begitu arif dalam lapangan berkenaan. Wujud kumpulan ‘Enggang’ sedemikian di merata-rata tempat dalam Negara yang kononnya menjadi ‘mata dan telinga’ masyarakat. Mereka akan membuat laporan polis atau mengadakan demonstrasi atau melakukan ‘serangan’ terhadap pihak-pihak yang dianggap oleh mereka ‘menodai’ kesucian agama Islam.

Golongan ‘enggang’ ini kononnya begitu bimbang dengan ternodanya kesuncian agama Islam,(anggapan yang mereka ciptakan sendiri)

Seingat akulah, sebelum ini Negara kita sentiasa dalam keadaan aman dan sejahtera sebelum wujudnya kumpulan ‘enggang’ yang seolah-olah menjadi ‘penasihat’ kepada kerajaan ini. Kewujudan kumpulan ‘enggang’ yang sebegini kelihatan kemunculannya pada awal-awal Kurun ke 21 di Malaysia. Dan tidak berapa jelas tentang  kewujudannya sebelum itu.

Satu hal yang perlu dijelaskan juga, sekurang-kurangnya untuk pengetahuan kumpulan ‘enggang’ yang terlalu ‘bimbang’ kalau-kalau ramai pelajar Melayu (Islam) yang terjebak dan terpengaruh dengan agama Kristian di Malaysia kini. Aku merasakan ‘kebimbangan’ mereka itu hanya ciptaan khayalan mereka sendiri. Tidak ada statistik yang menyokong apa yang mereka perkatakan itu.

Aku ingin pula merujuk fakta sejarah. Sejak zaman berzaman, sejak zaman penjajahan ratusan ribu anak-anak Melayu (Islam) yang belajar di sekolah Inggeris dengan menggunakan Bahasa Inggeris dan tidak pun ada matapelajaran Agama Islam diajar pada ketika itu. Ada juga yang belajar di sekolah-sekolah ‘mission school’ di mana terpampangnya salib sebesar tubuh manusia. Namun tidak pula terdengan anak-anak Melayu (Islam) memeluk agama Kristian (mungkin ada seorang dua – mungkin!) sepertimana yang digambarkan oleh ‘enggang-enggang’ yang sengaja mengada-adakan cerita sedemikian.

Ada juga anak Melayu (Islam) yang belajar di luar Negara ( di Negara orang putih yang beragama Kristian). Tidak pula terdengar ada terdapat anak Melayu yang memeluk agama Kristian, sepertimana yang digambarkan oleh ‘enggang-enggang’ yang berkeliaran mencari makan di Negara kita sekarang.

Apa yang digambarkan oleh ‘enggang-enggang’ ini amat menakutkan. Apakah sebenarnya matlamat mereka berbuat demikian. Apakah bayaran-bayaran yang diterima oleh mereka ( bukan semua) untuk menyampaikan ceramah-ceramah itu hanya untuk menakutkan masyarakat Islam dan menghasut supaya rakyat membenci antara satu sama lain. Apakah begitu hasrat dan tujuan mereka. Apakah mereka merasa puas sekiranya berlaku pertumpahan darah antara golongan Islam dan bukan Islam sepertimana yang berlaku di tempat-tempat lain?

Ada terdapat ‘enggang jantan’ dan terdapat juga ‘enggang betina’. Namun kedua-dua jantina ini berfungsi seolah-olah sama ia itu cuba menghasut rakyat agar membenci antara satu dengan yang lain. Seolah-olah ada pula ‘suara’ yang menghasut ‘enggang-enggang’ ini agar menyebarkan dakyah supaya rakyat makan buah Belolok.

Ini dasar “Pecah dan Perintah” namanya yang pernah dilakukan oleh penjajah British dulu.

Abuhassanadam
London
10 Disember 2014

No comments:

Post a Comment